Thursday, November 09, 2006

Puisi: Darah Coklat Manusiawiku

ketika manusia ketawa melihat badut pesta ria berlakon
susah untuk aku percaya bahawa air mataku makin banyak
ya, aku demikian kerana memikirkan darah coklatku
yang sudah lupa tona dirinya dan mana mula lampin basahnya

manusia ini juga pernah menangis ketika orang lain berdekah
mereka berdarah, berkulit dan bernafas sepertiku
tetapi tangisan mereka adalah kerana perut sendiri yang kosong
setelah penuh mereka mentertawakan orang lain pula

ada juga dalam kelompok manusiawiku
yang berambut hitam dan makan sambal belacan
tetapi hati teringin sangat bersembahyang hari ahad
meneguk wiski berbintang lima
dan mentertawakan perjuangan datuk moyangnya

malamku tanpa bintang, dihilangkan malang
awan siangku suram, tetap begitu
hingga kini kunanti berubah
entah, entahlah

doaku, doa kami yang berharap
teguhkanlah iman kami
selamatkan manusia bernama Melayu ini.

ARIFF MOHAMAD

p/s: Puisi ini tidak diedit sepatah katapun. Saya tidak akan menghantar ke mana-mana penerbitan. Untuk blog ini sahaja.

Sesak di Kuala Lumpur

Jam 6.45 petang. Beginilah di Kuala Lumpur. Lebih-lebih lagi pada waktu sebegini. Hari ini, 7 November. Hujan. Lebat. Sangat lebat. Viper digerakkan pada kelajuan tertinggi. Lampu dipasangkan. Hawa dingin terasa mencengkam. Suara di radio hampir tenggelam. Hujan oh hujan.
Hari ini aku terperangkap. Sesak di jalan. Banjir! Kemungkinan yang membimbangkan. Sudah hampir satu jam dalam kereta dari Selayang melalui Jalan Kuching menuju ke Kajang.
Hari semakin gelap. Dan tambah digelapkan dengan curahan hujan. Aku sabarkan diri. Mungkin biasa bagi sesetengah orang, namun tidak bagiku. Kesesakan, kelambatan, berlamanya dalam kereta bukan lagi satu pengalaman yang perlu aku tempuhi. Aku tidak suka pengalaman ini.
Nampaknya, semakin besar jalan raya, semakin tinggi harga petrol, semakin banyak lebuh raya bertol, semakin sesak jalan raya. Semakin dan semakin.

p/s: Lagu Kembara, “Sesat di Kuala Lumpur” tapi ramai yang “sesak”

Tuesday, November 07, 2006

Kejujuran dalam Berkarya

Terlintas saya untuk memperkata tentang kejujuran dalam berkarya apabila saya membaca kembali cerpen yang pernah saya tulis bertajuk “Tibanya Nostalgia Mengusik”. Saya akui, saya menulis cerpen ini secara jujur dan terus atau kata kasarnya, main belasah saja! Setelah siap memang dirasa longgar sana sini, nampak bersahaja dan kurang estetika bahasa. Rasa tidak yakin untuk menghantarnya. Maka saya mula mengedit tetapi rasanya semakin tidak ‘original’ kerana terlalu banyak yang perlu dibaiki. Cerpen ini terbiar begitu saja, agak lama.
Buka kembali folder, jumpa cerpen ini, saya cetak dan ubah sikit-sikit kemudian terus hantar ke Utusan Karya. Agak lama juga, 3-4 bulan, tersiar akhirnya.
Begitulah, dalam proses pengkaryaan, ada ketikanya kita tidak perlu memikir-mikir sangat tentang apa yang kita tulis itu. Kalau kita mencerewetkan diri, bimbang dengan gaya bahasa, tema cerita, nama watak, plot cerita dan sebagainya, nanti karya itu terperap sajalah.
Ya, setiap karya mesti jujur. Jujur dari kita sebagai pengkarya. Tetapi jangan diabaikan tentang estetika, nilai dan pemikiran yang bernas kerana di situlah letaknya keistimewaan kesusasteraan.
Begitu juga dengan puisi yang dihasilkan. Ada ketikanya puisi di negara kita ini mengikut musim (lihatlah di akhbar mingguan sebagai contoh). Kalau Hari Guru, adalah puisi-puisi tentang guru seolah-olah guru tidak wujud pada waktu yang lain. Puisi tentang pengorbanan guru atau penghargaan terhadap guru boleh ditulis, dihantar tidak mengira masa. Begitu juga dengan tema nasionalisme, puisi-puisi mengingati perjuangan dan kemerdekaan akan dilihat tersiar sekitar Ogos dan September. Macamlah bulan lain, kita tidak patriotik. Begitulah juga dengan tema peperangan, krisis di Timur Tengah dan lain-lain. Seolah-olah bermusim. Padahal isu-isu umum dan sejagat ini melatari kehidupan kita sehari-hari.
Saya agak susah untuk menulis puisi-puisi bermusim ini. Jika terlintas untuk tulis, tulislah. Mungkin sebab itulah agaknya apabila saya menghantar puisi nasionalisme pada bulan April tidak tersiar. Sepatutnya hantar pada bulan Ogos, itupun kalau terpilih untuk disiarkan.
Maaflah saya tegur sikit, pada bulan Ogos dan September lalu, dunia digoncang dengan krisis di Lubnan dan Palestin. Maka ada sebuah majalah sastera mahu puisi-puisi khas untuk mengenang dan membela golongan yang malang ini. Saudara seislam kita juga. Usaha ini amat baik sebenarnya. Tapi puisi-puisi yang dihantar dan tersiar? Entahlah saya bukan panel hadiah sastera, tapi hanya beberapa sahaja yang dikatakan baik, selebihnya, ….? Sebab itulah saya katakan jujurlah dalam berkarya!
p/s: Agak-agaknya bolehkah kejujuran 'dibaca'?

Cerpen Nostalgia

"Tibanya Nostalgia Mengusik" salah satu judul cerpen yang pernah saya tulis tahun lepas. Hampir terlupa bahawa saya pernah menulis cerpen ini. Tersiar dalam URTV awal tahun ini. Saya menulisnya secara bersahaja dan tidak banyak melakukan pengeditan. Cerita dalam cerpen ini sangat hampir dengan saya kerana sememangnya saya ada dalam cerita itu, ya, hampir 70% ada kebenarannya. Eksklusif untuk bacaan pengunjung blog ini, sila ke http://karyaekspresi.blogspot.com/ (galeri karya)

Raya Sudah Habis

Ya, hari raya sudah habis. Raya hanya pada 1 Syawal sahaja. Program televisyen pada hari raya? Banyak. Macam-macam ada! Filem, telefilem, konsert, klip video, siri khas raya dan lain-lain. Yang lebih adalah hiburan.
Dalam suasana beraya, menonton tv kalau sempat atau ketika berziarah atau bersama-sama tetamu, sempat juga menoleh ke kaca tv. Kebanyakan filem yang ditayangkan, telah saya tonton. Drama pula banyak yang diulang dari tahun-tahun lepas. Lagu-lagu raya pun lebih sedap dengar di radio.
Tapi yang agak menarik bagi saya adalah iklan komersil. Durasi hanya 2-3 minit tetapi berkesan. Antara iklan yang menarik sempena hari raya ini ialah iklan syarikat Petronas, PNB dan KFC.
Yang paling baik bagi saya ialah iklan komersil Petronas. Didaktiknya bersahaja dan sindirannya mengena. Kisah anak dan menantu yang menyinggung perasaan si ayah yang uzur. Kemudian berasa insaf setelah ‘disedarkan’ oleh dua anak kecil.
Antara dialog yang diingati ialah
“Panas sangat ke kopi tu?” – menunjukkan sikap sombong dan sudah bosan dengan karenah si tua. Disambung pula “Karpet baru raya ni.”
“Abah ni kenapa ni, dah tahu…” – luahan dan rungutan hingga ke peringkat sudah hilang sabar tetapi masih bersopan.
Dan yang paling mengusik apabila anak kecil berkata, “Nanti bila kakak besar, abah dengan emak duduk sini, kakak dengan adik duduk dalam rumah”

Visual bercerita dengan penuh pengertian seperti kucing sedang makan, gambar yang difremkan, pinggan mangkuk yang dijatuhkan dan wajah murung si tua.
Penerbit atau pengarah iklan ini berjaya menimbulkan kesan melalui lagu ‘Aku Ingin Pulang’ nyanyian Ebiet G Ade yang menjadi latar.
Harapnya lebih banyak iklan bermesej kemanusiaan, kemasyarakatan dan keislaman dihasilkan.
Untuk menonton iklan tersebut, klik
sini

p/s: Ada berpuluh-puluh lagu Ebiet dalam mp3. Aku teringat si ayah di kampung. Juga memikirkan bagaimana aku tua nanti?

Thursday, November 02, 2006

Heart?

Banyak kali juga saya menonton filem Indonesia. Antara yang saya ingat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini ialah filem Cinta dalam Sepotong Roti, Ada Apa dengan Cinta, Daun di Atas Bantal, Ca Bau Kan, Pasir Berbisik, Biola Tidak Berdawai, Bintang Menari dan beberapa lagi.Yang agak baharu ialah filem Mirror dan Dealova (belum lagi saya tonton) sebelum itu Heart, dan agak lama sebelum ini filem Janji Joni, Eiffel I’m In Love, Ungu Violet, Kiamat Sudah Dekat, kemudian Tentang Dia dan 9 Naga.
Ada tarikan mengapa saya memilih filem Indonesia. Antaranya teknik dan pendekatan garapan pengkaryanya (skrip, kamera dan sutradara terutamanya). Nampak berisi dan menarik hasil kerja seni yang serius. 9 Naga terutamanya, bersifat komunikatif dan impak psikologi pada watak dapat dikesani.
Apabila saya memuji garapan filem Indonesia bukanlah bermaksud meremehkan filem kita sendiri (filem Malaysia). Saya adalah penyokong dan peminat filem Melayu sejak tahun 80-an lagi (sejak menonton tv). Tidak dinafikan ada filem kita yang dikerjakan secara serius dan baik (seperti filem Suhaimi Baba, Uwei, Bada Azmi, dan filem tv Osman Ali dan Rashid Sibir) tetapi ada banyak filem kita yang mengambil pendekatan mudah, ringan dan murah.
Lihatlah Remp-It yang bercelaru cerita dan mempunyai nilai moral yang rendah. Sebelum itu ada Jutawan Fakir, Lady Boss, dan apa-apa lagi. Terbaru, Erma Fatima pula buat Diva Popular, selepas ini Razak Mohaideen teruskan tradisinya dengan Nana Tanjung dan ada pula Cicakman keluaran KRU. Filem-filem yang bertema ringan, kehidupan masyarakat ini boleh digarap dengan lebih menarik, berkesan dan serius. Filem kita lebih banyak mahu memberi ketawa semata-mata kepada penonton.
Baru-baru ini saya sempat menonton filem Heart arahan Hanny R. Saputra dalam bentuk DVD. Fokus pada tiga pelakon utama filem ini, kesemuanya bintang baru Irwansyah, Nirina Zubir dan Acha Septriasa.Temanya ringan tetapi penggarapannya serius. Sebenarnya tarikan utama saya ingin menonton filem ini adalah kerana lagu-lagunya. Lagu-lagu ciptaan Melly dan Anto Hoed bagi saya memang brilliant. Beberapa lagu dalam filem ini dinyanyikan sendiri oleh pelakon utamanya. Sedap didengar dan cepat digemari.
Filem bertema cinta tidak banyak membawa kesan dan pengajaran melainkan untuk remaja yang bercinta. Namun unsur kemanusiaan, kasih sayang yang dipaparkan adalah bersifat universal yang perlu difikirkan kewajarannya.

p/s: Sambil memandu saya mendengar lagu-lagu dari album soundtrack filem ini.

Wednesday, November 01, 2006

Ke Suluh Budiman


Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah atas kurniaanNya. Saya telah berhijrah ke Tanjong Malim, Perak, berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 16 Oktober lalu.
Kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh keluarga, semua guru (dari sekolah hingga universiti), teman-teman sekerja dahulu dan sekarang, teman-teman penulis, pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia, para editor dan penerbit (akhbar, majalah, buku), juga warga UPSI yang baru saya kenali di sini yang banyak membantu dan memberi galakan. Segala kebaikan yang anda semua berikan amat saya hargai dan semoga Allah membalasnya dengan kebaikan juga.

p/s: Pulang ke negeriku!

Bengkel Penulisan Kreatif Kelab PBMP UPM




sejuknya air sungai
redupnya rumpun buluh
memupuk sedikit ilmu
menimba pengalaman
bercerita dengan alam
lewat kreativiti prosa puisi
sesederhana mungkin.
Tahniah Kelab PBMP (Bacelor Pendidikan – Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama) Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama PENA kerana telah mengadakan Bengkel Penulisan Kreatif dan Apresiasi Alam di Rock Resort, Ulu Yam, Selangor pada 22 dan 23 September 2006 lalu.
Menarik juga. Secara santai di tempat terbuka (tepi sungai) berbengkel tentang penulisan kreatif kepada bakal-bakal guru, mahasiswa-mahasiswi Sem. 3 Fakulti Pengajian Pendidikan UPM.
Penceramah dan pembimbing bengkel ialah SN Prof. Dr. S. Othman Kelantan, Napie Mat, S.M Zakir dan saya sendiri.
Tahniah juga inisiatif PENA dan Kelab PBMP UPM atas pelaksanaan program sebegini. Semoga bakal-bakal guru ini dapat memanfaatkan apa yang telah disampaikan dan dibincangkan sepanjang ceramah dan bengkel sekaligus mendalami minat dalam bidang bahasa dan sastera ini. Dan serahkan minat itu kepada bakal pelajar apabila menjawat gelaran guru nanti. Tanggungjawab ini besar dan penting sebenarnya!

p/s: Saya telah tunaikan janji saya kepada peserta bengkel bahawa gambar akan dimasukkan dalam blog ini. Cuma agak lewat. Juga terima kasih kepada Haji Naffi Mat, penyelia sarjana saya di UPM dahulu yang telah banyak membantu saya. Budi tuan tidak cukup dengan terima kasih, semoga Allah yang membalasnya.