Friday, October 17, 2008

Forum Sastera Sempena BBSN08

Forum Sastera sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 dengan tema “Merenung Masa Depan Sastera Melayu” diadakan di Dewan Sri Tanjung, UPSI anjuran DBP Wilayah Utara dengan kerjasama Fakulti Bahasa, UPSI.

Acara terbahagi dua sesi, sesi pertama syarahan Haji A.Halim Ali bertajuk “Peranan dan Sumbangan Guru dalam Perkembangan Puisi Tanah Air”. Namun yang paling menarik adalah sesi kedua forum yang dibarisi tiga ahli panel yang mantap dan bertenaga, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Baha Zain dan Prof Rahman Shaari. Cuma agak sayang, masa untuk mereka bercakap tentang masa depan sastera yang perlu direnung-renungkan amat terhad. Rugi, masa dan ruang yang sebaik-baiknya untuk kita dengar kata-kata tokoh ini di tempat yang cukup sesuai, pada waktu yang cukup kena, tapi kesempatan yang cukup sedikit. Masa satu jam setengah diperuntukkan tambahan mengejar waktu makan (Jumaat pula), ditolak dengan alu-aluan ketibaan dan perasmian, ucapan itu-ini maka tokoh ini hanya boleh bercakap lebih kurang 15 minit setiap seorang.

Apapun tahniah penganjuran forum terutama Jabatan Kesusasteraan Melayu, Haji Halim, Datuk Rosli dan Hasrina terutamanya. Setidak-tidaknya program ini termasuk juga dalam senarai program BBSN.

Tokoh-tokoh ini berbicara tentang sastera kini dan masa depan. Saya ringkaskan dengan gaya bahasa saya sendiri seperti berikut:

Prof Muhammad Haji Salleh:

Sastera di negara ini memang dikesampingkan dan ditolak ke tepi. Ilmu sastera seolah-olah berada di bawah berbanding bidang sains, kejuruteraan dan lain-lain. Ini mengakibatkan nilai-nilai murni dan budaya fikir tinggi melalui sastera itu tidak ada dalam masyarakat negara ini. Ini amat merugikan dan menyedihkan. Saya menangis mengenangkan nasib sastera di negara ini.

Datuk Baha Zain:

Tidak ada synergy collaboration antara badan-badan yang bertanggungjawab di negara ini berkaitan dengan sastera. Kementerian Kebudayaan, DBP, ITNMB, Majlis Buku Kebangsaan dan beberapa lagi badan dan organisasi bergerak dengan haluan masing-masing. Kononnya ada wujud kerjasama untuk meningkatkan, mengembangkan sastera namun sebenarnya tidak wujud.

Prof Rahman Shaari:

Salah satu bidang yang amat kuat dan rapat dengan masyarakat adalah pendidikan. Melalui pendidikan sastera dapat berkembang dan dipromosi. Namun orang selalu memikirkan dan bertanyakan apa kaitan sastera dengan kewangan. Adakah sastera itu menguntungkan. Para penulis memikirkan berapa bayaran untuk sesebuah karya. Para pelajar juga begitu. Sebagai contoh ada program di DBP yang berfaedah tetapi dikira dari segi tambang dan kos lain maka para pelajar tidak dapat menghadirkan diri.

Banyak lagi yang dapat direnungkan. Saya pun mencatat ‘gitu-gitu’ sahaja. Ada yang terlekat ada yang terlepas. Namun banyak yang terkesan.

Monday, October 13, 2008

Puisi Naratifnya Mudahnya Bergelar Datuk

Orang Melayu selalunya sopan berbahasa. Namun begitu sesekali marahnya meledak juga. Ketika berjalan-jalan menyusur sebatang sungai aku terpandang sehelai kertas bertulis. Aku dapati kata-kata dalam kertas ini penuh rasa amarah dan entah kenapa aku pun tersentak juga. Ku bersandar di sebatang pohon yang tidak silap aku namanya pohon Melaka. Aku membaca kata-kata dalam kertas ini yang bertajuk "Puisi Naratifnya Mudahnya Bergelar Datuk".
Inilah puisi tersebut:

Hari ini, pada tanggal ini, orang Malaysia mudah bergelar ‘Datuk’. Bukan orang Malaysia (Tanah Melayu) sahaja, orang India di tanah India pun boleh. Orang Cina di Tanah Hong Kong juga boleh. Apa yang tidak boleh. Semua boleh. Suka hatilah. Apa-apa sahaja. Tidak perlu pandangan sesiapa. Tidak perlu bijak pandai, tidak perlu penelitian ilmiah, tidak perlu pandangan orang agama, suka hatilah. Buatlah.

Hari ini, pada tanggal ini, orang Malaysia mudah bergelar ‘Datuk’. Berlakon filem watak pembantu dari mula sampai tua pun dapat Datuk, pelawak tebar roti canai pun dapat Datuk, nyanyi dua tiga lagu gelek-gelek pun dapat Datuk, kontraktor bancuh simen pun dapat Datuk, berenang beberapa kilometer pun dapat Datuk, jadi mat rempit pun dapat Datuk. Bukan susah dapat Datuk.

Aku teringat datukku di kampung. Dia tidak perlu bersusah-susah untuk dapat Datuk. Dia ada 11 anak dan kini 64 cucu. Dia memang Datuk. Dia Datuk berkat. Datuk yang sebenar. Dunia akhirat.

-

Menyusur Pandang Susur Masa di BSLN

Gambar: Cenderamata untuk Saudara Erry. Terima kasih daun keladi.

Ke Balai Seni Lukis Negara (BSLN) setelah bertahun-tahun tidak ke sana. Atas sebab projek ilmiah kursus UBM 1032, atas nama program Kembara Ilmu, atas kesudian pihak BSLN menerima dengan tangan yang cukup terbuka, atas urusan surat-menyurat yang ada kesilapan namun dimaafkan, atas kebenaran pentadbir, atas pengorbanan usaha para pelajar, kami ke sana.
Pameran Susur Masa sempena 50 tahun BSLN sedang diadakan. (tamat hujung tahun ini). Bertuah juga dapat melihat hampir keseluruhan karya terbaik pelukis tempatan termasuk beberapa dari luar negara, juga arca. ada lukisan yang kerap ditengok, ada yang belum pernah, dan ada yang tidak jemu-jemu ditatap.
Terima kasih BSLN dan tahniah. 50 tahun yang sunyi namun berisi.
Gambar: Seniman S.Amin Shahab bersama-sama lukisan terpanjang beliau.

Kearifan Orang Melayu Berbahasa

"Mulia cakap kerana beradab, bermakna bual kerana berakal, berisi bicara kerana berkira, elok berbisik kerana selidik, terpuji isyarat kerana cermat."

"Apabila hendak menyampaikan perasaan, lakukan dengan perasaan, apabila hendak menyampaikan fikiran, lakukan dengan fikiran, apabila hendak menyampaikan kehendak lakukan dengan bijak, apabila hendak melakukan niat, lakukan dengan cermat, apabila hendak menyampaikan maksud, lakukan secara patut."

"Celaka cakap aib tersingkap, celaka bual badan terjual, celaka bicara membawa cedera, celaka perangai cakap merempai, celaka laku tidak bermalu."

"Apa tanda Melayu yang bijak, berfikir dahulu sebelum bertindak. Apa tanda Melayu beradab, berfikir dahulu sebelum bercakap. Apa tanda Melayu bertuah, berfikir dahulu sebelum bermadah. Apa tanda Melayu berakal, berfikir dahulu sebelum berbual."

-Ungkapan Dr. Tenas Effendi.

Gambar: Sekumpulan pelajar kursus UBM 1032 bersama-sama Prof Dr. Tenas Effendi, Prof. Emeritius Abdullah Hassan dan saya pada akhir majlis Syarahan Raja Ali Haji anjuran Persatuan Linguistik Malaysia dan DBP pada 10 Oktober 2008.