Thursday, January 29, 2009

Puisi Untuk Palestina


Syahid, Jalan Pilihan Terakhir
(Suara Perindu Syuhada di Palestina)
Hidup kami dikelilingi tulang kehancuran
Pilihan kami hanya dua: melawan atau menyerah
Yang terjawab tetap kemusnahan
Belulang disayat darah syuhada.

Kami dimainkan oleh kuasa
Dirintihkan oleh nasib dan celaka
Bekal kami hanya semangat dan cinta
Tanah ini akan kami pertahan setiap inci
Kami tahu ini pilihan terakhir
Dan yang terbaik
Maka kami restukan sendiri
Dengan doa sepenuhnya di bawah kubah suci.

Ya Allah,
Kasturi yang mewangi di syurga-Mu kelak
Adalah darah pejuang yang bergelimpangan ini.

Ya Allah,
Cahaya restu-Mu kami pohon
Berilah petunjuk kepada pendurjana
Kurniakan restu kepada pejuang kami
Anugerahkan kekuatan khalifah kami
Teruskan kezaman pemimpin kami
Rapatkan persaudaraan antara kami
Gantikan pengorbanan ini dengan kasih sejati.

Ya Allah,
Tangisan kami telah kering
Darah syuhada kami di mana-mana
Kubur kami terlalu segera
Saudara kami entah di mana.

Ya Allah,
Ampunkan dosa-dosa kami
Berikan cahaya suci kepada kami
Kembalikan kubah kesayangan kami
Izinkan kami berinjak selesa di bumi sendiri.

Ya Allah,
Inilah suara perindu syuhada di Palestina
Kami restu di jalan ini
Jalan syahid yang dipilih sendiri
Jalan pilihan terakhir
Dan yang terbaik buat kami.

ARIFF MOHAMAD

Wednesday, January 21, 2009

Cerita Tentang Bangsa

Kegementaran dan kebimbangan mengasak. Mengganggui rasa, merobok –robok ke dalam hati. Menungan, telaah dan tafakur ini menelusur sejarah catatan yang entah bila dapat disiapkan. Ini cerita bangsa, merujuk kepada kita, yang sawo matang dan kuning langsat. Aduh, manis bangsaku pada citra, namun gelora batiniahnya.

Saban hari, saban detik kita diganggui peristiwa dan cerita. Mewaspadakan diri menjadikan kita perlu siap siaga sentiasa. Cermin yang dulunya amat jujur kini telah retak malah dalam beberapa keadaan terasa seakan hilang.

Pertanyaan semakin mengasak. Mana cermin itu? Di mana? Di mana? Dalam keadaan yang sama, ada pula yang bertanya apa cermin itu? Ah, kata tanya ‘apa’ dan ‘di mana’ terlalu jauh berbeda. Begitulah hakikat dalam kalangan kita. Cara berfikir, cara menanggap, cara mentafsir tidak sama. Benar. Jika tidak percaya rujuki diri. Renung seketika dan cuba jawab pertanyaan ini, apa inti perjuangan kita?

Jika kau menjawab perjuanganmu benar-benar ikhlas, maka bermuzakarahlah mencari penyelesaian. Jika bukan titik penyelesaipun, memadai jika itu rumusan yang mudah dan melegakan. Ini bukan soal individu satu atau dua di atas sana, namun kami yang di bawah, berjuta-juta jumlahnya ini. Korbanlah sesuatu yang cukup bermakna kepada kami, kita bersama-sama mensyukuri. Jalan kemenangan dan kebahagiaan ada di mana-mana. Jauhkanlah petaka yang direka-reka. Sebagai manusia, kita tidak berkuasa, sesungguhnya Dia yang Maha Bijaksana menyusun segala-galanya, menetap dan memutuskan. Setelah ikhtiar dan usaha kita, redhalah dengan kehendak Dia.

Ini cerita bangsa. Cerita tentang perjuangan bangsa. Bukan untuk menyebar empayar namun kita perlu mengukuhkan yang ada.

Tuesday, January 13, 2009

Harapnya...

Tradisi filem Malaysia diteruskan dengan kelembapan akal dan lawak bodoh. Sebagai contoh, filem 'Sifu dan Tongga'. (Maaf, bukan semua filem Malaysia begitu, ada juga yang baik dan cemerlang). Masih banyak filem kita mengajak penonton ketawa semata-mata. Apabila dikatakan filem Malaysia tidak ada isi, karyawan marah. Tapi malang karyawan pun tidak banyak yang berilmu, tidak kreatif dan tidak banyak membaca. Filem Melayu tidak ada idea lain, balik-balik tentang anak muda berpeleseran dengan kereta dan motor tunjuk lagak untuk berlumba, hantu yang berada di merata-rata, lawak jenaka yang sudah ketinggalan zaman, dan kisah pemuda samseng macam filem tamil tapi kenyataan hidup pemuda melayu banyak yang penakut.

Drama dan telemovie di tv ada juga yang baik, tapi ada juga yang remeh dan berjela-jela. Kisah eksekutif yang kaya jatuh hati pada anak petani masih berlambak-lambak. Cerita korporat yang tidak jujur dan gila kuasa hingga sanggup membunuh pun banyak. Kadang-kadang malas tonton televisyen dengan drama-drama sebegini.

Tahun 2009 dan mendatang (hampir ke dasawarsa kedua 2010 dan seterusnya) harapnya pemikiran yang bernas dalam filem dan televisyen semakin serius diusahakan. Pemikiran melangkaui pemikiran politik, budaya usahawan, budaya fikir dan budaya ilmu, seni yang bermanfaat, dakwah islamiah yang mengesankan, motivasi, semangat perjuangan yang relevan dengan situasai semasa, pemaparan budaya yang wajar perlu diterapkan malah diperbanyak.

Bukan dalam filem sahaja, dalam karya tulis seperti novel, cerpen dan drama juga perlu.

Ini tanggungjawab bersama.

Friday, January 02, 2009

Salam Tahun Baru

selamat tahun baru hijrah dan masihi buat semua.
tahun berubah,
sikap manusia juga boleh berubah
tapi banyak juga perkara tidak berubah-ubah atau belum berubah.

apapun, sesiapa yang mahu berhijrah, inilah masa yang terbaik.