Wednesday, March 25, 2009

Forum PPSMI di UPSI

Satu forum tentang PPSMI : Inovasi dan Konfrontasi dalam Pendidikan akan diadakan pada Jumaat ini (27 Mac 2009) di Bilik Pameran, Bitara Siswa, UPSI jam 9.00 pagi. Panel Prof Emerituis Datuk Dr Isahak Haron, Prof Emeritius Dr Abdullah Hassan dan Sdr. Khairul Anuar (PKIPM). Moderator Ariff Mohamad.

Silakan.

Monday, March 23, 2009

Suara Kebimbangan tentang Bahasa Melayu (Ini bukan Pandangan Pesemis)

Dalam satu seminar bahasa Melayu di Brunei, saya ditanyai tentang apakah suasana politik dalam negara saya ini (Malaysia) amat mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu?

Saya menjawab , Ya.

Persoalan bahasa melibatkan dua sudut:

Pertama, bahasa dan linguistik itu sendiri dari sudut akademik.

Dan kedua, dari sudut sosiopolitik.

Yang kedua itulah yang membimbangkan.

Kebimbangan yang bagaimana?

Kebimbangan ada suara-suara yang amat kuat untuk memperkecil malah kalau boleh ingin memusnahkan bahasa Melayu.

Kemudian memberi alasan-alasan bodoh dan tidak munasabah yang sangat-sangat menghiris hati orang Melayu itu sendiri.

Tidak pula dapat dipastikan kenapa golongan tertentu (berbangsa Melayu dan berbahasa Melayu sejak dalam kandungan rahim ibunya ini) sangat sayangkan bahasa Inggeris dan memandang rendah serendahnya terhadap bahasa Melayu.

Dari sudut akademik, bahasa Inggeris penting untuk penelitian dan pembacaan sumber dan rujukan. Buku-buku dalam bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat atau United Kingdom dan juga dari India tidak dipertikai kualiti, dan sangat kaya dengan teori, aplikasi dan kreativiti. Para pelajar sekolah, mahasiswa dan pelajar sarjana perlu mendekati buku-buku dalam bahasa Inggeris ini dan menguasainya dengan baik.

Namun begitu, dari sudut yang lain, ilmu yang kita perolehi itu, perlu diaplikasi dalam suasana dan konteks negara kita. Di sini, satu tranformasi ilmu berlaku. Apa yang diperoleh daripada bahasa Inggeris akan disesuaikan dalam bahasa Melayu untuk disampaikan dalam bahasa Melayu pula kemudiannya.

Bahasa Melayu perlu dipertahan dan dikekalkan selama-lamanya. Terlalu banyak keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu jika betul pada ahli dan pakarnya. Pendapat yang mengatakan bahasa Melayu kekurangan perbendaharan kata untuk menyampaikan bidang ilmu terutama ilmu moden seperti sains teknologi adalah pandangan yang cetek, singkat akal dan tidak yakin dengan keupayaan orang Melayu mengungkapkan sesuatu.

Bahasa Melayu (dalam konteks di Malaysia) sudah mencapai kecemerlangannya. Sejak zaman kesultananan Melayu Melaka, bahasa Melayu telah diyakini hinggalah dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Juga sebagai bahasa pengantar. Buku-buku dalam bahasa Melayu telah terlalu banyak dihasilkan dalam pelbagai bidang ilmu. Dalam kesusasteraan pula, terlalu banyak karya bahasa Melayu telah diterbitkan sama ada berbentuk komik, karya popular dan karya sastera bermutu tinggi. Malahan dalam tempoh 30 tahun, Malaysia telah mempunyai 9 orang Sasterawan Negara berbanding hanya seorang Angkasawan Negara.

Kebimbangan terus mengasak.

Dan berjuanglah hingga ke titisan pena yang terakhir…

Dan jika perlu … darah yang terakhir!

Tuesday, March 10, 2009

Gambar Punya Bahasa

"Saya tiada kepentingan apa-apa untuk parti, untuk kroni... saya hanya ada anak-anak..."

Bukalah mata, hati, naluri...

Lebih 50,000 orang ya... bukan 5,000

Siapa kata ini perarakan parti pembangkang. Budak sekecil ini ahli partikah? Setelah mereka datang dengan niat untuk bahasa dan bangsa,
patutkah mereka disembur dengan gas pemedih mata?

Yang disembur tetaplah kena, bertempiaran lari. Merah dan pedih mata mereka siapa tahu... dan pedih di hati siapa yang dapat ubati...

7 Mac 09

Negara ini asalnya bernama Tanah Melayu. Orang-orangnya berbahasa Melayu. Maka, yang diperjuangkan oleh warga yang punya jati diri itu tentulah bahasa Melayu. Apabila bahasa Melayu diganggu gugat, malahan nampak akan semakin mengecil fungsinya dalam bidang ilmu dan segala hal yang berkaitan dengan masyarakat dan komunikasi, maka mestilah kita menentangnya. Bersuaralah kita, walaupun dalam hujan dari langit dan semburan gas dari FRU.
7 Mac 2009, hari bersejarah.
Perhimpunan bersejarah bermula dari Masjid Negara menuju ke Istana Negara. Bukan perarakan parti politik untuk menuntut kerajaan baru, bukan demonstrasi membela raja-raja, tetapi sesuatu yang cukup penting untuk dinyatakan iaitu
Pertama, mansuhkan PPSMI (pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah)
Kedua, daulatkan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu)
Ketiga, selamatkan bahasa ibunda (bahasa Melayu atau kaum yang lain)
Keempat, tingkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah (bukan jadikan bahasa untuk Matematik dan Sains)
Perarakan yang luar biasa ini mengumpulkan lebih 50,000 orang pelbagai keturunan, usia, dan jantina. Pada jangkaan tidak ramai yang menyertainya namun sangat luar biasa selepas waktu zohor hinggakan Masjid Negara seperti jemaah solat Jumaat dan di luar dari Dataran Merdeka, Sogo dan tempat-tempat lain. Dari negeri-negeri lain, beberapa buah bas telah sampai sejak pukul 9.00 pagi.
Ini bukan penentangan politik. Lihatlah bukti pada gambar-gambar yang ada dalam mana-mana blog bahawa yang datang bukan sahaja lelaki malahan kaum ibu, remaja, pelajar sekolah dan kanak-kanak seawal usia baru habis pantang.
Inilah suara rakyat. Ramai lagi yang tidak hadir, tidak dapat hadir, bekerja, belajar, berseminar dan tiada kenderaan untuk ke situ. Suara-suara ini bukan suara biasa-biasa namun inilah suara mohon pembelaan, mohon keadilan, mohon perlindungan, mohon keterbukaan, mohon kebijaksanaan pihak berkuasa (Yang Dipertuan Agong dan kerajaan pemerintah) agar menghentikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dan tingkatkan usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu.

Wednesday, March 04, 2009

Pasir Berdengung...


mari kita ke
negeri pasir berdengung,
zam zam al kazam.

Monday, March 02, 2009

Kes Buli: Salah Guru Lagi?

Pengetua, warden boleh dikenakan tindakan

PUTRAJAYA 1 Mac – Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas semua pihak yang terlibat dalam kes buli membabitkan seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Dalat, Sarawak.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, pengetua sekolah atau warden juga akan dikenakan tindakan sekiranya terbukti gagal mengawal disiplin pelajar sehingga tercetusnya kes buli.

‘‘Saya tekankan bahawa saya amat serius dalam isu ini. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak sama ada pelajar atau pihak sekolah yang didapati gagal menjalankan tugas dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas aksi sekumpulan pelajar sekolah yang dimuatkan dalam laman web YouTube membuli seorang pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Dalat.

Aksi tersebut telah menarik perhatian umum apabila ia dilaporkan oleh sebuah stesen televisyen baru-baru ini.

Menurut Alimuddin, kejadian buli di sekolah berkenaan telah menguji tahap kesabaran Kementerian Pelajaran.

‘‘Gejala buli di kalangan pelajar menunjukkan pelajar semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap penghapusan budaya membuli sesama pelajar sekolah sebenarnya telah dilaksanakan dengan konsisten oleh kementerian.

Alimuddin mengingatkan pihak sekolah agar menekankan elemen disiplin yang perlu sentiasa terkawal dan semua guru sebenarnya perlu memainkan peranan sebagai guru disiplin.

Komentar

Berita TV3, malam tadi, tentang kes buli. Saya tonton dan alangkah sedihnya, kecewanya apabila kenyataan seperti di atas (memetik Utusan Malaysia hari ini) dikeluarkan. Seperti satu amaran dan satu kenyataan yang tidak adil kepada pihak sekolah dan guru.

Tuan-tuan yang dihormati,

Berilah keadilan kepada guru-guru. Janganlah terlalu cepat menuding jari kepada mereka. Buli, gaduh, samseng bukan kerana guru. Bukan. Faktor lain yang boleh kita bincangkan seperti pengaruh media, sikap ibu bapa sendiri, persekitaran, psikologi dan tekanan, ekonomi, dan banyak lagi.

Tugas guru bukan memantau pelajar semata-mata.

Saya senaraikan tugas guru, memandangkan saya pernah menjadi guru selama 11 tahun.

Guru mata pelajaran (Bahasa Melayu, Matematik, Sains)

Guru panitia (Ketua Panitia, Ketua Bidang, setiuasaha ataupun ahli)

Guru kelas

Itu tugas utama, wajib. Dan tugas-tugas tambahan (namun penting dan menunutut masa dan tenaga):

Guru penasihat persatuan, kelab atau unit beruniform (ko-kurikukum)

Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar (disiplin, buku teks, keceriaan, perubatan, pendaftaran dll)

Jawatankuasa Pentadbiran (akademik, jadual waktu, program peningkatan, panitia dll)

Jawatankuasa penyedia soalan peperiksaan

Menganalisa pencapaian peperiksaan

Merancang dan melaksanakan program motivasi pelajar

Memantau kehadiran pelajar dan kebersihan kelas

Setiap hari menyemak buku latihan pelajar

Menyediakan ruang pembelajaran dan yang selesa, bahan pembelajaran yang memuaskan dan menarik.

Guru rumah sukan

Pengurus atau jurulatih sukan (bolasepak, bola baling, badminton)

Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau berjawatan Setiausaha, Bendahari dll

Guru ganti jika ada guru yang tidak hadir pada hari tertentu

Melaksana program peringkat zon, daerah, nengeri dan kebangsaan seperti pertandingan, kempen, ceramah dll


Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Dr.-Dr., Tuan-tuan, puan-puan,

Bacakan alfatihah kepada guru-guru anda yang mengajar anda membaca dan menulis, sama ada yang masih hidup ataupun telah meninggalkan kita.

Dan hiduplah kita dalam berkat ilmunya.