Wednesday, May 27, 2009

Setelah Usai PPMN 09

Setelah usai PPMN09, saya bersyukur kerana telah selamat sampai rumah. Saya bersyukur juga kerana dapat makan dan tempat yang ditaja walaupun masuk dengan bayaran RM 50 SAHAJA. Saya bersyukur kerana dapat membentang kertas kerja dengan baik walaupun saya dipandang sinis oleh sesetengah pihak. Saya bercakap tentang jati diri dan cabaran sastera Melayu sebagai identiti negara bangsa dan sedikit tentang identiti peribadi. Mungkin ada yang bermanfaat yang boleh diambil daripada kertas kerja sederhana saya itu. Saya berniat ikhlas untuk menegur adik-adik agar betul jalan dan langkahnya. Kalau ikutkan perasaan, saya tidak berpuas hati kepada beberapa pihak termasuk luahan dalam beberapa blog dan gambar-gambar yang dipaparkan. Begitu juga dengan kenyataan sesetengah pihak tersebut agar memilih-milih penulis yang ingin didekati atau tidak. Kenyataan itu berbau hasutan dan ke arah memecahbelahkan ukhwah. Fikir-fikirkanlah.

Monday, May 18, 2009

Hari Guru

Maaf terlewat mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di negara ini. Teristimewa guru-guru saya baik di sekolah, di surau atau guru mengaji saya dulu di kampung. Banyak lagi individu lain yang selayaknya saya gelarkan sebagai guru dalam hidup saya.
Dan terima kasih atas ucapan melalui sms kepada saya.

PPMN kembali

Setelah empat tahun, Perhimpunan Penulis Muda Nasional diadakan lagi. Kali ini di Melaka selepas 2005 di Tanjong Piai, Johor. Kali ini keadaannya agak sederhana, tidak seperti sebelum ini ada pelancaran tiga buah buku dan peserta yang ramai serta dapat tajaan yang selesa daripada DBP.
Tema perhimpunan kali ini adalah "Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran".
Masih terbuka hingga hari pendaftaran. Tapi ada baiknya menghubungi urusetia untuk pengesahan tempat.
tarikh 22-24 Mei 2009 di puteri Resort, Melaka.
Ucaptama Datuk Dr. Anwar Ridhwan dari ASWARA.
Jadi, marilah kita bersama-sama memeriahkan dan harap dapat dimanfaatkan.

Tuesday, May 12, 2009

Bulan Mengambang di Darul Ridzuan

Bulan mengambang penuh malam tadi. setelah beberapa purnama ia tidak muncul akibat disorok atau mungkin menyembunyi diri. Cantik sungguh cahayanya. Moga bersinarlah negeri ini..

Monday, May 04, 2009

Kenyataan Akhbar PENA tentang PPSMI

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris telah berkembang ke tahap kedua apabila berlakunya penyertaan ahli politik dalam tunjuk perasaan yang digerakkan oleh golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan. Lanjutannya ada pemimpin politik kerajaan menjadikan penyertaan ahli politik sebagai alasan untuk menyelar penentangan tersebut walaupun sebenarnya penentang-penentang PPSMI tidak bermotifkan politik, dan malah sudah lebih enam tahun menyuarakan pandangan mereka secara sabar dan sopan.


Kedua, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang sejak Jun 2002, secara terbuka melalui kenyataan akhbarnya menentang PPSMI, tetap dengan pendirian asalnya bahawa PPSMI harus dimansuhkan segera sebelum isu ini mendatangkan implikasi pendidikan, sosial dan politik yang lebih buruk.


Ketiga, Sudah sedemikian banyak memorandum, hasil penyelidikan ilmiah, forum dan persidangan diadakan , dan dengan demikian sudah cukup banyak maklumat, dapatan ilmiah, dan pendapat disampaikan oleh kelompok budayawan dan ilmuwan kepada Kementerian Pelajaran. Sikap Kementerian Pelajaran yang menangguh-nangguhkan keputusan selama ini sangatlah mengecewakan sedangkan PPSMI telah menjadi isu kebangsaan yang berat sehingga menimbulkan pemikiran bahawa Kementerian Pelajaran tidak cekap dan tidak pantas menangani masalah, dan tidak sensitif terhadap suara-suara jujur dan rasional rakyat.


Keempat, Sempena pelantikan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran , PENA mengucapkan setinggi tahniah dengan iringan doa restu agar beliau dirahmati Allah dengan sikap perjuangan kebangsaan yang tinggi, menghormati warisan dan agama sebagai akar dan asas kemodenan bangsa, dan menempuh kejayaan yang cemerlang.


Kelima, PENA sekali lagi, dengan hormatnya menyeru kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran , dan dalam kekuasaannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, memansuhkan PPSMI dan memulihkan kembali peranan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan.


Keenam, Keputusan PENA ini bukan sahaja berasaskan premis bahawa PPSMI memberi natijah buruk kepada perkembangan kognitif dan keadilan pendidikan majoriti anak-anak dari keluarga biasa di luar bandar dan di pinggir bandar , tetapi yang lebih berbahaya PPSMI sedang meminggirkan Bahasa Kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu moden .


Dato’ Baharuddin Zainal ( Presiden )