Monday, July 20, 2009

Lautan Naratif dan Keanehan yang Memerangkap

Berenang dalam lautan naratif pasti menjanjikan keanehan, yang kemudiannya menjadikan diri terperangkap. Namun perangkap itu hanyalah bersifat sementara. Jika dapat melepaskan diri daripada perangkap, akan bebaslah daripada hal itu dan pergilah ke mana-mana yang diingini. Keluarlah dari perangkap naratif itu.
Namun yang anehnya juga, ada yang rela diperangkap dan tidak mahu keluar atau membebaskan diri daripada perangkap itu. Dek demikian kerana ada keindahan dan keasyikan yang dirasai berada dalam perangkap lautan naratif itu. Keanehan-keanehan itu tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata kerana rasa keindahan itu bukan ada pada rasa indera yang lima. Mana duduknya rasa yang aneh itu, tidak pasti yang tepat namun dapat dikenalpasti berada antara akal, hati dan naluri.
Keanehan yang memerangkap dalam lautan naratif ini tidak dapat dikongsi kerana ia adalah milik peribadi. Orang lain dapat mengagak dan memahami luarannya sahaja sedangkan yang lebih dalam adalah hak pengetahuan si pemilik rasa dan pastilah yang lebih tahu Allah yang maha Esa. Orang lain hanya bertepuk tangan apabila dilihat baik dan menyenangkan. Orang lain akan mengutuk atau mengeji jika dilihat atau dirasa buruk, jelik dan mendedahkan keaiban dirinya sendiri ataupun kaum-kaum kerabatnya. Orang lain lebih suka dipuji-puji dan dibelai-belai. Orang lain tidak suka disentak, disentap apatah lagi dihentak. Itulah bedanya antara orang lain dengan si pemilik naratif yang terperangkap dalam lautan itu.
Maka yang terperangkap dalam lautan naratif itu terus berenang secara bersendiri ataupun ditemani teman-teman yang mengerti. Itupun ada teman-teman yang mulanya ingin berenang bersama-sama tetapi menuju ke haluan yang lain kemudiannya. Ada juga yang terserempak di mana-mana karang hanya menegur dan sudi berenang bersama-sama. Ada yang hanya berenang tetapi tidak merasa terperangkap. Ada yang berenang tetapi suka mengetawakan orang yang terperangkap sedangkan dirinya sendiri sentiasa singgah di pulau-pulau di daratan.
Berenang dan terus berenang. Keanehan terus memerangkap. Dan indahnya perangkap itu. Berenanglah dalam lautan naratif hingga puas, ataupun lemas, ataupun hingga satu ketika duduk berehatlah di jeti, sambil menikmati indahnya dermaga dipukul ombak.

Thursday, July 16, 2009

Setelah Usai PPMN (Siri Dua dan Terakhir)


Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 (PPMN09) telah hampir dua bulan berlalu. Secara sedar atau tidak, perhimpunan ini memberi kesan kepada peserta dan pembentang. Tingkat atau darjah kesannya pula bergantunglah kepada individu sama ada kuat, sederhana atau biasa-biasa sahaja. Bagi sesetengah penulis baru, ini pengalaman yang menarik.
Dalam Berita Harian hari ini tertera tajuk "Penulis MPR Perasan Hebat!"dengan tambahan tajuk kecil 'Tohmahan dibuat penulis baru ekoran mereka tidak mesra' bernada sedikit pesimis dan provokasi yang pasti membuatkan alumni MPR tidak selesa dan marah. Namun ini bukan pandangan dua pendapat yang diwawancara iaitu saya dan Tuan Haji Shamsudin, sifu merangkap sahabat saya tu. Ini adalah pendapat para peserta dalam kalangan penulis baru yang menyertai perhimpunan itu. Tidak diketahui siapa, berapa jumlahnya mereka, namun mereka ada, dan suara inilah yang sampai hingga menjadi perhatian akhbar ini untuk mengulasnnya.
Saya, secara peribadi, walaupun membangkitkan persoalan ini dalam PPMN09 itu, namun tidaklah berniat untuk membuatkan mana-mana pihak berasa kecil hati. Pandangan yang saya kemukakan adalah berpandukan suara-suara yang saya dengari secara tidak rasmi daripada orang lain tentang perkara itu. Dari sudut ilmiah, pandangan dalam kertas kerja adalah tanggungjawab saya namun di luar itu bukan.

Friday, July 10, 2009

PPSMI: Antara Gembira dengan Curiga

Terima kasih Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengisytiharkan PPSMI dimansuhkan. Tetapi kenapa 2012? Tiga tahun macam-macam boleh berlaku, dan rasional kenapa menunggu hingga 2012 tidak pula diumumkan. Mungkin kerana penulisan semula buku teks dalam BM mengambil masa, tetapi pengajaran bukan 100% menggunakan buku teks. Mungkin juga sebab untuk membetulkan minda guru-guru dan pentadbir KPM untuk kembali berbahasa Melayu dalam pengajaran Matematik dan Sains itu? Atau entah apa sebab lain.
Walaupun begitu, keputusan itu sudah cukup baik berbanding sebelum ini yang hanya diam bertangguh dan tidak memberikan apa-apa keputusan. Nampaknya Tan Sri Muhyiddin lebih berani dan bijak membuat keputusan berbanding Datuk Seri Hishamudin yang berbolak-balik tentang PPSMI.
Sesungguhnya kerajaan untung banyak apabila PPSMI ini dimansuhkan kerana kerajaan melalui KPM tidak perlu mengeluarkan banyak wang memberikan laptop dan peralatan tayangan kepada sekolah-sekolah yang nilainya tidak munasabah. Bayangkan sebuah laptop berharga RM6,000 dan LCD juga sedemikian. Padahal jika guru-guru ini membeli laptop sendiri (pada masa ini) hanya bereharga bawah RM2,000. Pembaziran pembayaran kerajaan berlaku melalui agen-agen yang merupakan syarikat yang mendapat tender kerajaan yang mengambil untung berganda-ganda ini.
Selain itu, kerajaan juga dapat menjimatkan pengaliran wang apabila elaun khas yang diberikan kepada guru Matematik dan Sains ini (10% daripada gaji bagi guru sekolah rendah dan 5% daripada gaji bagi guru sekolah menengah) dihentikan. Sebenarnya ini adalah polisi pelik KPM yang memberi elaun lebih kepada guru dua subjek ini padahal tugas dan peranan sama dengan guru-guru subjek lain. Hendak dikatakan mahir berbahasa Inggeris, belum tentu, dan ada dalam kalangan guru Bahasa Melayu dan guru Pendidikan Jasmani pun mahir bahasa Inggeris tetapi tidak diberi elaun khas.
Memang sedikit lega dengan berita pemansuhan PPSMI tetapi itu bukan bermakna kita hanya perlu diam. Usaha untuk menguatkan bahasa Inggeris patut dipuji tetapi janganlah menggugat kepentingan bahasa Melayu pula. Walaupun PPSMI tidak dijalankan tetapi jangan kerah pelajar-pelajar ini menguasai BI dengan cara yang lain pula. Sebarang keputusan perlu dilihat dari pelbagai sudut. Untuk bertanya kepada tokoh, tanyalah pelbagai golongan termasuk tokoh pendidikan dan tokoh bahasa. Pendapat tokoh politik yang hanya bersandar logik bukan berdasarkan pandangan ilmu tidak perlulah dihiraukan sangat. Negarawan seperti Tun Dr Mahathir seeloknya banyak berehat sahaja menempuhi hari-hari senjanya.

Tuesday, July 07, 2009

Penulis yang Berjalan dan Perjalanan Penulis

Sebagai penghasil karya kreatif, seseorang penulis itu mesti berjalan. Berjalan dengan akal. Berjalan dengan mata, dengan hati dan naluri. Sesebuah karya memerlukan perancangan bermula dengan cetusan idea yang kemudiannya dibentuk dalam draf atau contengan atau sekadar catatan. Peringkat yang seterusnya adalah menyusun idea sebelum memulakan taipan. Namun ada ketikanya hanya tinggal idea dan tidak sempat atau sukar sekali untuk disempurnakan.

Ada baiknya berjalan. Apabila berjalan macam-macam yang kita lihat. Konsep ‘berjalan’ tidak semestinya melangkah dengan kaki tetapi ‘berjalan’ adalah bergerak ke satu-satu tempat dengan berkereta, bermotosikal atau berbasikal. Tempat yang ditujui ada ketikanya pasti dan ada ketika entah ke mana pada mulanya, tetapi dalam perjalanan tahu dan terdorong ke mana tujunya. Begitu juga dengan kreativiti dalam penghasilan karya. Tulislah, dalam pengertian di sini, mulalah berjalan dan setelah berjalan tahulah mana tempat yang ingin diberhenti atau ditujui.

Sesebuah karya ada ketika cukup mengganggu untuk disiapkan, dan ada sesetengahnya terbiar begitu sahaja berminggu-minggu, berbulan-bulan, bertahun-tahun yang kemudiannya tidak tahu apakah nasibnya kemudian sama ada disentuh lagi atau lenyap begitu sahaja. Gangguan dalam pengkaryaan selalunya berkaitan dengan penyusunan cerita terutama sesebuah novel yang panjang. Namun begitu, banyak sekali buku-buku panduan yang boleh diambil untuk rujukan dan pemecah kebuntuan.

Antara buku yang mesra untuk digulati ialah Writing Fiction: A Guide to Narrative Craft oleh Janet Burroway (2003). Kandungan buku ini mudah untuk ditelusuri. Bermula dengan pengenalan tentang ‘perjalanan pengkaryaan’ pada peringkat garis mula dan mengenal pasti tema yang dipilih. Seterusnya buku ini melihat bagaimana cerita disusun dalam bentuk figura yang disebut ‘story form’. Kemudian plot dan struktur cerita disusun. Menariknya buku ini, pada setiap bab disertakan contoh hasil karya-karya yang baik seperti karya Ernest Hemingway, Anne Lamott, Marquez, Grace Palley dan banyak lagi.

Dalam sesebuah karya fiksyen, ada beberapa unsur yang penting tetapi ada ketikanya terabai dalam karya seperti perwatakan, adakah mahu diperikan sebagai paparan (showing) ataupun beritahu (telling). Begitu juga dengan sudut pandang (POV).

Menulis adalah proses berjalan, yang membahagiakan namun terasa juga lenguh dan bosan. Keindahan dan keseronokan tetap ada malahan ada ketikanya dapat menebat luka dan memecah kebosanan. Ditambah dengan urusan-urusan rutin yang menyebabkan perjalanan perlu singgah dan berhenti. Dan kemudain menyambung kembali. Boleh agaknya diibaratkan seperti burung pagi yang keluar mencari makan, petangnya terbang melihat alam dan malamnya tidur di sarang. Esoknya kembali demikian.

Empayar?

Terima kasih Mingguan Malaysia yang menyiarkan cerpen saya, "Manuskrip Empayar di dalam Laci" pada Ahad lalu. Terima kasih atas pandangan kawan-kawan tentang cerpen ini melalui sms kepada saya.
Cerpen ini sepenuhnya telah dimuatnaik di sini