Monday, August 31, 2009

Hari Kebangsaan dan Iklan TV

Selamat menyambut Hari Kebangsaan. Oleh sebab kebanyakan masyarakat kita agak kelabu mata dan keliru naluri tentang bahasa, ada yang tetap menyebutnya sebagai Hari Kemerdekaan pada setiap tahun. Kepada yang menyebut Hari Kemerdekaan ini betulkanlah lidah dan minda dengan memahami bahawa Hari Kemerdekaan hanya sekali iaitu pada 31 Ogos 1957 sedangkan yang kita sambut pada tarikh 31 Ogos setiap tahun itu adalah ULANG TAHUN sahaja. Namun begitu jika menyebut Hari Merdeka boleh dimaafkan kerana merdeka itu dari segi istilah bererti:
bebas (drpd penjajahan, kurungan, naungan, dll), lepas (drpd tebusan, tuntutan), berdiri sendiri, tidak bergantung pd yg lain: Malaysia ialah sebuah negara yg ~ dan berdaulat; (dipetik daripada Kamus Dewan edisi e-Kamus)
manakala pengertian kemerdekaan pula:
perihal merdeka (bebas), kebebasan: kita telah berjaya mencapai ~ pd 31 Ogos 1957; (Kamus Dewan edisi e-Kamus)
Seperti biasa, sempena sambutan 31 Ogos ini, di kaca tv akan disuakan kepada kita iklan-iklan, drama-drama dan filem-filem patriotik serta lagu-lagu yang mengajak rakyat berbuat baik, sayangi negara dan yang berpadu. Inilah yang disarankan oleh kerajaan tidak henti-henti. Namun ada kala membuatkan penonton meluat kerana ada unsur yang dibuat-buat, kelihatan tidak jujur dan terlalu disengajakan. Sebagai contoh, sebuah iklan tentang sebuah keluarga yang makan duduk bersila bersama-sama dengan kaum Cina dan India di rumah. Wah, satu Malaysia begitu rupanya. Namun, jujurlah bertanya dan menjawab, siapakah yang pernah melakukan sedemikian?
Begitu juga dengan iklan yang memaparkan temu bual dengan seorang kanak-kanak Cina yang ditanya tentang siapa murid perempuan yang disukainya (murid Melayu). Apabila ditanya murid perempuan itu siapa teman lelakinya, maka dijawabnya Tan Hong Meng (murid lelaki Cina di sisinya). Iklan ini pernah ditayangkan satu ketika dahulu dan ditayangkan kembali pada tahun ini. Gambaran yang terlalu asing apabila murid sekolah rendah yang masih kecil digalakkan bercinta, dan untuk menggambarkan perpaduan itu, dikisahkan hubungan baik antara dua jantina itu dan antara bangsa yang berlainan. Inikah yang diimpikan dalam perpaduan?
Bagi orang Melayu, sebagai penduduk asal negara ini, sebagai yang banyak berhempas pulas dalam segala bidang mempertahan bahasa, bangsa, dan negara sejak penjajahan kuasa Eropah, komunis, Siam dan Jepun, hak-hak istimewa sebagai Melayu seharusnya dihormati. Bukan tidak menyetujui sebarang gagasan untuk kebaikan seperti perpaduan antara kaum, namun hormatilah jati diri, perasaan dan masa hadapan bangsa Melayu ini. Sambil tidak menafikan perpaduan amat perlu, tapi berpada-padalah tentang keterbukaan kerana bukan semua perkara boleh diterima secara terbuka dan berlapang dada.
Konteks perpaduan yang dilihat hanya dalam bentuk perhubungan jiran dan kawan tetapi jarang sekali dipaparkan tentang makna perpaduan yang diresapi dan dibuktikan dalam bidang ekonomi. Pernahkah iklan atau drama yang memaparkan bagaimana individu korporat Cina membantu Melayu atau India dalam bidang perniagaan? Siapakah yang membantu golongan miskin seperti dalam rancangan Bersamamu di TV melainkan syarikat beras. Siapakah yang menguasai urus niaga gula, telekomunikasi dan lain-lain.
Perpaduan dan integrasi yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita tidak perlu digambarkan begitu kerana setiap masyarakat ada pegangan, ada prinsip, ada budaya dan kepercayaan agama. Perpaduan dan 1 Malaysia yang digembar-gemburkan bertepatan pula dengan Hari Kebangsaan, hari raya dan sambutan perayaan kaum lain tetapi gagal dijelmakan dalam situasi sebenar dalam masyarakat. Orang Melayu tetap begini dan begitu dalam suasana dan situasi yang tersendiri. Begitu juga dengan kaum Cina, India dan lain-lain. Merujuk situasi terkini seperti krisis dalaman MCA, pergelutan jawatan MIC yang tidak demokrasi, pembinaan kuil di Shah Alam, cerita Beng Hock, dan segala macam lagi, adakah jujur menggambarkan Satu Malaysia. Dan satu lagi soalan yang berkaitan tentang pemupukan perpaduan dalam negara, mengapa masih wujud sekolah jenis kebangsaan yang berbeza sukatan pelajarannya? Sedangkan sekolah kebangsaan sedang diperkasakan.
Kita fikir-fikirkan sempena cuti ulang tahun merdeka yang ke-52 ini.

Wednesday, August 26, 2009

Seorang Guru, Seorang Sahabat yang Pergi

Minggu lalu saya dikejutkan dengan berita kehilangan bekas guru saya. Beliau meninggal dunia kerana serangan asma. Beliau mengajar bahasa Inggeris ketika saya berada dalam menengah rendah, Puan Asmah Mohd Tahir.
Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana cerpen pertama beliau “Belalang” tersiar dalam Dewan Siswa (jika tidak silap tahun 1987) memberi cetusan awal untuk saya melibatkan diri dalam bidang penulisan. Cerpen itu memang memberi inspirasi.
Ketika menyelia latihan mengajar (praktikum) di SMK Methodist Tanjung Malim awal tahun ini, saya terserempak dengannya di perpustakaan sekolah itu. Baru mendapat Sarjana Pendidikan TESL dari UPSI, juga aktif sebagai jurulatih pidato bahasa Inggeris.
Takziah kepada keluarga Almarhumah.
Minggu ini pula saya mendapat berita kehilangan lagi. Kali ini sahabat saya, Abdul Halim yang sama-sama menuntut di Maktab Perguruan Sri Pinang, Pulau Pinang. Kami memanggilnya Abang Long kerana beliau sahaja pelajar yang sudah berumah tangga ketika itu.
Abang Long kemalangan jalan raya dan mengalami masalah paru-paru. Allah lebih menyayanginya. Takziah untuk keluarga Abang Long.

Friday, August 21, 2009

Selamat Berpuasa

Selamat datang Ramadhan.
Selamat berpuasa dan menjalani ibadah sepanjang Ramdhan.

Monday, August 17, 2009

Tahniah Datuk Berdua




Saya ingin mengucapkan tahniah setinggi-tingginya kepada dua individu ini.
Pertama, Datuk Anwar Ridhwan yang menerima anugerah Sasterawan Negara kesepuluh. Karya beliau tidak sebanyak karya Arenawati atau Azizi Haji Abdullah tetapi satu-satu karya yang dihasilkan sentiasa diingati dan bermakna. Antaranya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang masih disebut hingga ke hari ini dan Naratif Ogonshoto. Beliau juga menulis cerpen, yang masih diingati seperti “Sahabat”, “Tik! Tik! Tik!” dan “Dunia adalah Sebuah Apartmen”. Beliau juga menulis puisi dan drama serta kajian sastera. Karya beliau telah banyak diterjemah dalam bahasa asing. Garapan beliau bersahaja namun terserlah satu gaya yang tersendiri, bijaksana dan mengesankan. Anugerah ini selayaknya untuk beliau.
Beliau seorang yang pendiam dan jarang sekali didengar bergurau melainkan lawak-lawak biasa yang beliau sendiri mulakan untuk senyum. Bercakap dengan beliau merasakan diri terlalu berhati-hati untuk bertanya dan mengeluarkan pendapat bimbang dilihat tidak relevan. Banyak yang perlu kita contohi daripada Anwar Ridhwan.
Kedua, tahniah saya untuk Prof Dr. Mohd Yusof Hasan yang dianugerahkan gelaran Profesor Emeritius oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris pada konvokesyen ke 11 minggu lalu. Terkenal dengan teori SPB4L dalam kajian kesusasteraan yang kemudiannya daripada cetusan itu membina teori pemikiran SPB4K iaitu Sistem Pemikiran Bersepadu 4K: Kerohanian, Kebitaraan, Kesaintifikan dan Kekreatifan. Buku terbaharu beliau ialah Pemikiran Mahathir Mohamad: Kesinambungan Gelombang Intelektualisme Melayu Global dari Munsyi Abdullah dan Za’ba.
Saya pernah dua kali berkunjung ke pejabatnya. Beliau banyak menasihati, memberi panduan dan sekali gus motivasikan. Pembaca setia Utusan Malaysia ini gemar bercerita tentang apa sahaja termasuklah tentang itik yang dipelihara di rumahnya. Beliau juga bercerita tentang kajian-kajian beliau tentang karya-karya Shahnon Ahmad, hinggakan Shahnon sendiri pernah mengatakan bahawa orang yang banyak tahu tentang dirinya adalah isterinya dan Mohd Yusof Hasan.
Tahniah kepada kedua-dua tokoh ini. Banyak yang saya pelajari daripada Datuk berdua.

Thursday, August 13, 2009

Mengungkap Sejarah sebagai Naratif

Saya sedang membaca novel bertajuk “Tun Perak”. Kisah Bendahara Melaka yang bijaksana, dan kontroversi juga. Novel ini terbitan Tinta Publisher di bawah dana Dewan Bahasa dan Pustaka. Sambil-sambil saya membaca kembali “Lepaskan Kembali Aku Ke Laut Jilid 1” edisi terawal DBP karya Shaari Isa.
Kedua-dua novel ini mengangkat sejarah. Satu, sejarah lama zaman Kesultanan Melaka yang ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin dan satu lagi novel berkisah dalam dekad pancaroba menjelang kemerdekaan. Elok juga musim sambutan kemerdekaan, sambil melaung-laungkan slogan Satu Malaysia yang juga bersempena pelancaran Amanah Saham 1 Malaysia, kita membaca novel-novel sebegini.
Tun Perak, dalam bentuk naratif, terasa lebih mengesankan. Kisah Tun Perak sebagai Bendahara sejak remajanya hingga penghujung usia. Kisah dalam sejarah Melayu ini dihidupkan kembali walaupun ada juga kelemahan garapan yang tidak ketara. Tahniah kepada penulisnya atas usaha sebegini.
Lepaskan Kembali Aku ke Laut pula sememangnya panjang dan memerlukan masa yang panjang untuk membacanya serta menjenuhkan juga. Kisah Kazman, nasionalis Melayu dan juga sisi birokrat British di Tanah Melayu yang menarik untuk ditekuni.
Mengungkap sejarah sebagai naratif satu tugas yang berat namun penuh tanggungjawab. Penulis generasi kini perlu mencontohi usaha sebegini dalam penghasilan karya. Karya-karya yang mengangkat sejarah ini perlu diperbanyak pada masa kini dengan tafsiran segar dan membuka mata. Paling tidak, sumbangan ini dapat membantu pada ketika kekaburan tentang dimensi nasionalisme dan jati diri yang ketika-ketika tertentu dikelirukan.
Saya pernah mengangkat sejarah Pasir Salak dalam dimensi yang tersendiri dalam Versi Aria. Novel ini jarang diperkatakan mungkin kerana bentuknya terlalu kecil dan kehadirannya amat sederhana. Pengalaman mengangkat sejarah ini menarik walaupun memenatkan.
Idea untuk menulis Versi Aria pada tahun 2000 saya peroleh ketika melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak yang mana terdapat replika tombak yang menikam J.W.W Birch dan sebuah tugu peringatan. Juga dua buah Rumah Kutai yang diisi dengan frem-frem penceritaan pembunuhan Birch, kesultanan Perak dan peralatan gambaran budaya terdahulu termasuk senjata, pakaian dan alatan perikanan.
Saya menulis cerpen mulanya dengan tajuk yang sama. Namun cerpen itu tidak lengkap, lalu saya hentikan seketika. Ketika diwartakan Pertandingan Menulis Novel Alaf Baru, saya menulisnya kembali. Saya meminta pandangan Saudara Shahrom T.M Sulaiman ketika itu. Saya bertanya sambil menguji keyakinan diri untuk menyentuh tentang Revolusi Mental dan Malay Dilemma diangkat dalam novel itu. Saudara Shahrom mengatakan boleh saja dengan syarat berhati-hati dengan fakta. Saya terus menulisnya.
Pembacaan perlu luas dan banyak. Maka bersepah-sepahlah buku rujukan yang saya baca. Saya menulisnya dalam tempoh satu bulan setengah termasuk dalam bulan Ramadhan. Dan Alhamdulillah novel itu siap dan telah dua kali ulang cetak oleh Dawama dan diterbitkan oleh DBP.
Benarlah, dalam proses menulis, kita perlu membaca juga. Kadangkala yang dibaca lebih banyak daripada yang ditulis. Mungkin kerja sebegini lebih susah berbanding menulis novel percintaan remaja yang hanya bercerita, bercerita dan bercerita. Mungkin.
Saya telah memulakan draf sebuah novel yang diangkat daripada sejarah. Harap-harapnya menjadi novel yang sempurna satu hari nanti.

Monday, August 10, 2009

Apa yang Dicari daripada Sebuah Filem?


Festival Filem Malaysia tahun ini telah berakhir. Malam yang dinanti-nanti adalah malam kemuncaknya. Filem arahan Afdlin Shauki bertajuk Papadom memenangi anugerah filem terbaik. Tahniah juga Afdlin yang memenangi Pelakon Lelaki Terbaik. Dia pernah memenangi anugerah yang sama menerusi filem Soal Hati sebelum ini.
Perlu dinyatakan juga di sini, kemenangan bintang-bintang baru seperti Liyana Jasmay (Pelakon Wanita Terbaik), Salina Shaibi (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Shafie Naswib (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik) serta Jac (Pelakon Harapan Wanita) telah membuka lembaran baru bagi pelakon-pelakon berbakat besar ini (Kecuali Jac yang merupakan seorang penyanyi). Tahun lepas, Zulhuzaimy memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Wayang.
Untuk menghasilkan filem yang bermutu bukan semata-mata memerlukan pelakon dan pengarah yang baik. Yang paling asas dan cukup penting adalah skrip dan garapannya. Filem adalah medium visual yang cukup bererti jika betul-betul mahu memahaminya. Filem bukan sekadar seronok ditonton kemudian pulang dengan kepuasan akhir cerita. Filem berhak berbicara lebih jauh daripada itu. Dan ini perlulah dimanfaatkan oleh karyawan dan tentulah pula oleh penonton yang berfikir.
Agak susah untuk mengenal pasti kriteria penonton yang berfikir kerana bagi sesetengah penonton, filem adalah untuk hiburan. Maka sebab itulah agaknya jika bintang filem itu adalah Nabil, maka berduyun-duyunlah mereka ke panggung.
Penonton tidak mahu berfikir kerana karyawan tidak mahu membawa dimensi fikir kepada mereka. Ada filem yang menggunakan teknologi tinggi tetapi malang meniru cara Amerika. Amerika mempunyai jati diri mereka dalam filem-filem mereka dan sesetengahnya mempunyai propaganda yang senyap.
Sesekali terasa rindu akan filem seperti Esok Untuk Siapa ataupun Abang, ataupun Anak Sarawak ataupun sentimental seperti Sayang Salmah dan Azizah The Legend. Malahan rindu juga akan kritikan berani yang dipaparkan dalam Jebat, mahupun Antara Dua Darjat.

Monday, August 03, 2009

Saja-saja

Sejak Rabu lalu, pelajar UPSI dikuarantin. Ada pelajar yang positif mendapat selsema babi. Uh, angkara babi ini menakutkan, hingga membuatkan suasana agak kecoh. Semua pelajar balik ke kampung. Dulu babi menjadi punca J.E, kini H1N1 pula.
---
Karya terbaharu, sebuah puisi dalam majalah Pentas (Istana Budaya). Berjudul "Kucari Hang Jebat". Entah, mengapa pula tajuknya begitu. Macam mana nak cari Hang Jebat sebab Hang Jebat memang tiada.
---
Sabtu, berkunjung ke Pesta Buku Selangor di Shah Alam. Tidak banyak syarikat penerbitan yang menyertai. Banyak gerai dari syarikat penjual atau kedai-kedai buku. Dan banyak buku yang sama di beberapa gerai. Harga, potongan 10% sahaja.
---
Kemaskini blog? Hmm... tiada idea seketika.