Terima kasih kepada penyelenggara blog penyuburan islam UPSI yang menghantar emel pada setiap post yang terbaharu. Harap blog tersebut dapat dimanfaat bersama.

Dipetik post yang terbaharu.

Dipetik dari: Al-Ghazālī Abū Hāmid Muhammad Ibn Muhammad (2006). Minhaj Al-‘Abidin : Petunjuk Jalan bagi Orang-Orang Ahli Ibadah. Abu Mazaya Al-Hafiz (terj.), c. 2. Johor bahru : Perniagaan Jahabersa.

Ilmu adalah penghulu amal dan Allah Taala menurunkan kitab kepada para RasulNya adalah untuk ilmu dan ibadah, begitu juga dengan langit dan bumi dan apa sahaja yang ada di dalamnya seperti firmanNya:

Allah yang menciptakan tujuh langit dan tujuh bumi, seperti langit, turun berkali-kali perintah Allah antara langit dan bumi, supaya engkau memperoleh ilmu, bahawa Allah itu kuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah sudah berilmu, sudah mengetahui segala sesuatu yang meliputi ilmu itu untuk segala sesuatu.
Surah al-Talāq (65): 12

Kepentingan ilmu mendahului amal bagi manusia adalah untuk melakukan amal atau ibadah yang betul dan berkualiti kepada Allah Taala. Manusia wajib mengenal dahulu siapa Tuhan yang disembah sebelum menyembahNya, dan ini sudah pasti memerlukan ilmu tentang asmaNya, sifat-sifatNya yang wajib mahupun yang mustahil. Ini kerana ditakuti manusia yang bersifat makhluk mengiktikadkan sesuatu yang tidak layak bagi Allah Taala serta sifat-sifatNya. Terdapat tiga kategori ilmu yang fardhu bagi setiap makhluk iaitu ilmu tauhid, ilmu syariah, dan ilmu tasawuf.