Sunday, July 31, 2011

Ramadhan dan Cita-cita

Salam Ramadhan almubarak.
Moga-moga Ramadhan yang mempunyai seribu keindahan ini turut memberi ruang kepada kreativiti selain melebihkan amalan wajib dan sunat yang dituntut. Semoga Ramadhan yang penuh dengan cahaya dan keberkatan ini menajamkan akal dan hati untuk berkarya sebaik-baiknya. Semoga Ramadhan juga memberi jawapan kepada beberapa keraguan dan kebimbangan berkaitan dengan tuntutan melunaskan cita-cita yang ingin didapatkan selama ini.
Sungguh pun ada perkara yang membuatkan rasa terkilan, tetapi harapnya ada yang memberikan rahmat yang tersembunyi.

Thursday, July 21, 2011

Lensa Mastera

Untungnya sampai awal ke Jakarta sempat pada hari terakhir Pesta Buku Jakarta 2011. Setiap gerai menawarkan diskaun minimum 20%. Kali kedua mengunjungi Istora Senayan. Tiba-tiba terbayang Lee Chong Wei dan Taufik Hidayat beraksi.

Kelompok 3 yang sentiasa berinspirasi. Berdiri dari kiri: Saat Omar (Malaysia), Nisah Haron (pembimbing Malaysia), dan Mohd Rafi (pembimbing Singapura). Duduk dari kiri: Shahira (Singapura), Ilyani Khalid (Malaysia), Zakiya (Indonesia) dan Cornelia (Indonesia).

Bersama-sama Bapak Ahmad Tohari, sasterawan Indonesia yang saya kagumi. Antara novel beliau Ronggeng Dukuh Paruk, Kubah, Nyanyian Malam dan edisi terbaharu Bekisar Merah. Pernah menulis di bawah cahaya lampu minyak tanah dan menaip tanpa langkau demi menjmatkan kertas.

Para peserta, pembimbing dan panitia yang ‘luar biasa’ sifat setia kawan dan komitmennya.

Bersama-sama Seno Gumira Ajidarma. Asyik beliau bercerita tentang novel Jazz, Parfum dan Insiden melalui ceramah beliau. Banyak juga menulis cerpen, antara yang terkenal ialah Sebuah Pertanyaan untuk Cinta, Cinta di Atas Perahu Cadik dan terbaharu dalam cerpen pilihan Kompas 2010, Dodolitdodolitdodolibret. Antara kata-kata Seno yang sempat saya catat: “Karya yang sukses ialah karya yang dibilang bagus dan jelek.”

Bersama-sama Hafizah Iszahanid dan Asma Nadia. Asma Nadia, adinda kepada Helvi Tiana Rosa ini memiliki syarikat penerbitan buku sendiri selain aktif menyampaikan ceramah sastera dan kekeluargaan. Filem Emak Ingin Naik Haji berdasarkan cerpen beliau dengan judul yang sama. Antara kata-kata Asma, “guru yang paling baik ialah membaca.”

Di sebuah perkampungan perladangan teh Gunung Mas.
Udara segar dengan panorama yang cantik.

Panorama Gunung Mas yang luar biasa indahnya. Gambar asli tanpa sebarang editing. Saya menggunakan kamera DSLR Sony Alpha menggunakan seting aperture dan shutter automatik gambar saiz 16:9 . Saya juga peminat fotografi, terfikir akan datang lagi khusus untuk mengambil gambar.

Rombongan Cik Kiah dari Malaysia. Berdiri dari kiri: Bahrudin Bekri (tidak banyak bicara, tapi diajak menyanyi, boleh saja! katanya), saya yang mewakili batik Malaysia, Cikgu Abdul Razak Adam (katanya sangat berbaloi hadir ke bengkel Mastera walaupun dengan belanja sendiri), Husairi Hussin (terpaksa pulang awal kerana kemalangan kakanda di Baling), dan Saat Omar (terkilan kerana Putu Wijaya yang dikagumi pulang awal). Duduk dari kiri: Hafizah Iszahanid (peserta ‘last minute’ ke Mastera yang banyak bertanya, al-maklumlah dia ini seorang wartawan),Nisah Haron (peserta Indonesia bernama Cornelia mengatakan puan ini begitu energetic sekali)dan Ilyani Khalid (kak yong dari Kuala Kangsar yang tidak perlu tukar gear dialek Perak apabila berjumpa saya dan Hafizah).

Mesyuarat agung di luar talian. Malam akhir di Bogor. Semoga berjumpa lagi.
Semoga terus berinspirasi.

Dari Bogor menuju ke Bandung,
Dari Bandung kembali ke Jakarta;
Kawan ditemu ilmu dikendong,
Sepanjang hayat tidak kulupa.

MASTERA, Kreativiti dan Saudara Nusantara

Saya seharusnya memuji, apabila MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) diwujudkan dengan pengisian yang wajar. Saya ingin terus memuji dan mengakui bahawa Program Penulisan MASTERA yang berselang pelbagai genre dari tahun ke tahun merupakan satu program yang amat bermanfaat. Pengalaman mengikuti Program Penulisan MASTERA : Novel Tahun 2011 yang berakhir Jumaat, 15 Julai lalu sesuatu yang amat berharga bagi saya, dan tentunya yang lain.
Program ini bukanlah bertujuan semata-mata untuk melahirkan novel yang hebat. Bukan juga untuk memastikan novel itu semestinya mendapat sambutan hangat untuk berada dalam carta pilihan pembaca kedai buku besar. Program ini juga bukan semata-mata untuk mengajar teknik penulisan yang berkesan. Program ini bukan untuk mengajar sesiapa. Program ini program wacana, perbincangan dan diskusi secara formal dan sebaiknya. Bagi saya, perbincangan dalam kumpulan amat bermanfaat, namun perbincangan di bilik rehat atau di luar kamar mahupun di dewan makan, juga memberi pengisian yang tersendiri. Benarlah kata orang pengalaman tidak boleh dijual beli.
Bengkel MASTERA Genre Novel 2011 disertai oleh 18 peserta dari empat buah negara iaitu tujuh orang dari Indonesia, tujuh orang dari Malaysia, dua orang dari Brunei Darussalam dan dua orang dari Singapura. Malaysia diwakili oleh Hafizah Iszahanid, Ilyani Khalid (Jemari Seni), Husairi Hussin, Bahruddin Bekri (PTS), Mohd Saad Omar, Abdul Razak Adam, dan saya. Program ini berlangsung pada 11-15 Julai 2011 di Andara Resort, Cisarua, Bogor, Indonesia. Urus setia program ialah Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan Nasional, Republik Indonesia manakala pembimbing pula tiga orang dari Indonesia (Ahmad Tohari, Putu Wijaya dan Asma Nadia), seorang dari Malaysia (Nisah Haron), Brunei (Dr. Haji Morsidi) dan Singapura (Muhammad Rafi) serta seorang penceramah undangan (Seno Gumira Ajidarma).
Program diisi dengan perbincangan manuskrip masing-masing. Manuskrip dibedah oleh pembimbing dan pandangan juga diberi dalam kalangan peserta. Tiga pusingan perbincangan berlaku kerana perbincangan berbeza cara mengikut pembimbing yang digilirkan. Saya membawa manuskrip sebuah novel bertema sosiopolitik yang saya gemari. Saya sangat berterima kasih atas pandangan yang diberi oleh para pembimbing dan rakan-rakan dalam kalangan peserta.
Program Penulisan MASTERA telah berlangsung selama 14 tahun sejak 1997. Pusingan untuk genre novel telah tiga kali iaitu 2001, 2006 dan 2011. Saya terlepas untuk tahun 2006. Tapi rupa-rupanya 2011 saya berpeluang juga walaupun pada hujung syarat usia. Saya pernah berasa kecil hati dengan MASTERA dan bersikap membiarkan sahaja apabila keliru dengan cara pemilihan peserta dari tahun ke tahun pelbagai genre.