Thursday, September 20, 2007

Cerita Lain tentang Kemerdekaan



Agak terlewat untuk memperkata kemerdekaan kerana kemerdekaan bagi kebanyakan kita adalah musim Ogos sahaja. Maka saya membuat kelainan, memperkata kemerdekaan (ulangtahun) pada bulan September. Ya, mungkin terlewat bagi mereka yang tidak pernah ambil tahu tentang kemerdekaan yang sebenar-benarnya.
Saya letakkan puisi saya dalam blog ini. Sebagai kenangan sempena 50 tahun sambutan kemerdekaan Malaysia yang tercinta. Bagi saya tidak perlu letak bendera banyak-banyak pada kereta, tidak perlu menyaksikan bunga api malam merdeka, tidak perlu potong kek, dan ada lagi beberapa yang tidak perlu.

Inilah puisi saya. Puisi sederhana segala-galanya.

Cerita Lain tentang Kemerdekaan

burung-burung bersarangan, damai menyemati diri
dalam-dalam diusik bayu sentosa bumi terindah
perjuangan belum tamat dikisahkan
namun kita cepat bertepuk tangan
sama-sama, bergembira

awan putih, langit biru, kasih satu
sungguh-sungguh, nikmat dikecap
perjuangan, seberat manapun jarang difikirkan
mahal keringat jerih payahnya
kita hanya (masih) bertepuk tangan
menjerit melaung tanpa makna sebati
sama-sama, bergembira

daun-daun berguguran melewati hari
aliran di sungai menghimpun kedukaan
langkah ke puncak sering tersangkut
harapan terhalang dek kewalahan memanjang
impian seumpama slogan ditertawakan
cita-cita murni disindir tanpa perdebatan
maka beginilah
mengusung cerita komedi ke sana ke mari
sedang diri tanpa genggaman berisi

suara ini bukan pancaran pesimisme
jatidiri telah dikukuhkan sejak berzaman-zaman
namun percayalah, kealpaan dan khayalan
akan menghanyutkan melainkan segera ingat
perlu berubah, perlu kembali digubah

sesekali langit mendung memberi isyarat
hujan, turunlah semahu-mahunya
biar bumi ini berbanjir nasionalisme
lupakan pedih atau cerita sedih
letakkan fantasia sepanjang hari ke tepi
jalinan kemerdekaan yang berselirat
telusuri alurnya namun perlu gagah
tiada kata lain untuk kemerdekaan ini
hanya bersedia dan berjuanglah lagi!


ARIFF MOHAMAD

3 comments:

mohamadkholid said...

seorang kawanku kata aku tidak patriotik kerana tidak pasang bendera... Aku bertanya kembali - siapa lebih patriotik - aku atau seorang ternama yang menghabiskan banyak peruntukan kerajaan untuk kembara berkonvoi... Atau kau yang hanya pasang bendera free!

Nancy Ahmadie Chen said...

kemerdekaan kita masih muda lagi. kalau dianalogikan pada usia manusia, kemerdekaan kita belum mencapai usia pencen pun.. oleh tu, kita jgn terlalu cepat mendabik dada n melepas nafas lega. sama-samalah kita renung-renungkan... en. Ariff, xsangka jumpa blog encik ni... tabik la kt encik.

sitirabaah said...

sejarah merdeka,mulanya mmg sy rskan kita merdeka 31ogos,tp sebenarnya itu hanya luaran shj.hakikatnya,wpun sudah merdeka pemikiran kita masih dijajah.ramai lagi antara kita terperangkap dalam kapsul masa.