Friday, November 06, 2009

Naratif yang Memerlukan Sudut Pandangan


Kerana namanya naratif, atau pengertian lain adalah cerita atau pengkisahan, maka terdapat sudut pandangan dalamnya. Sudut pandangan dalam bahasa yang lain ialah point of view (POV) ataupun ada yang menyebut sebagai viewpoint. Istilah POV lebih dekat dengan kerja-kerja sinematografi, fotografi yang melibatkan alat iaitu kamera. Namun daripada konsepnya POV itu adalah daripada pandangan individu. Dalam konteks naratif, pandangan itu adalah orang yang menghasilkan karya itu, penulis atau pengkarya atau narator.

Pengarang bebas memilih sudut pandangan yang mahu digunakan dalam karyanya. Dalam buku Characters & Viewpoint (1988), Orson Scott Card menyatakan terdapat beberapa sudut pandangan yang boleh dipilih dan setiap satunya ada kelebihan dan bergantung pula dengan karya yang hendak dihasilkan. Jika sudut pandangan orang pertama digunakan, dengan kata ‘aku’ atau ‘saya’ atau ‘kami’, maka tentulah ada batasan yang menyebabkan watak itu tidak dapat bercerita semua perkara dalam satu masa. Namun sudut pandangan pertama menggunakan ‘aku’ lebih dekat dengan pembaca, lebih mesra dan semestinya lebih lancar bagi pengarang iu sendiri kerana kadang-kadang ‘aku’ itu adalah sebahagian daripada dirinya sendiri.

Sudut pandangan yang kerap dan popular digunakan ialah sudut pandangan orang ketiga. Dalam kategori ini ada pembahagiannya, sudut pandangan orang ketiga serba tahu dan terbatas. Ada juga yang menamakan sudut pandangan ini sebagai bird view atau sudut pandangan mata burung. Sudut pandangan ini memberikan kebebasan kepada penulis untuk bercerita tentang apa sahaja dan siapa sahaja yang diketahuinya. Di sini pengarang telah mengenal semua watak secara ifzikal dan dalamannya hingga boleh bercerita tentang watak itu serba-serbi, pengalamannya dan peristiwa yang dihadapinya. Dalam waktu yang sama bercerita tentang watak yang lain dan peristiwa yang lain di tempat yang lain juga.

Diringkaskan tentang sudut pandangan daripada buku O.S. Card ini iaitu:
1. Narator Serba Tahu, sudut pandangan orang ketiga, ibarat sebuah CCTV yang merakam semua peristiwa, setiap detik, dan boleh menceritakan kembali. Sudut pandangn ini merupakan sudut pandangan yang lengkap, dan setiap watak pula mempunyai sudut pandangan sendiri terhadap apa yang mereka alami, rasai dan lihat.
2. Narator Pertama, sudut pandangan orang pertama, seperti yang dijelaskan di atas merupakan sudut pandangan yang terhad kepada satu watak.
3. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terhad Luaran, iaitu seperti pancaran lampu pentas yang hanya menyuluh satu watak sahaja. Selalunya watak utama diberi perhatian. Pengarang bercerita tentang perasaan, perlakuan dan apa yang dialami oleh satu watak itu sahaja tanpa mendalami watak lain.
4. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terhad Dalaman/ Mendalam (deep penetration), walaupun masih terhad pada satu watak, perincian tentang watak-watak diberi perhatian dan didalami.
5. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terhad: Pandangan Sinema, seperti sebuah kamera yang merakam gambar untuk filem atau video. Dapat merangkumi semua watak, tidak berfokus kepada satu watak yang digerakkan oleh pengarang.

Kadangkala pengarang tidak menghiraukan sangat sudut pandangan ini. Sewajarnya sebelum memulakan penulisan, perkara ini wajar difikirkan dan diambil perhatian. Bukan dalam prosa naratif sahaja, dalam puisi juga perlu berhati-hati dalam sudut pandangan. Lihatlah karya-karya besar dan hebat, sudut pandangan yang bagaimana mereka gunakan. Dan kesani karya-karya yang kita temui di kedai-kedai buku, perpustakaan dan internet, apakah ada kesan terhadap sesuatu sudut pandangan yang digunakan selepas membacanya? Jadi, sudut pandangan memungkinkan kesan dan bermutu atau tidaknya sesebuah karya.

Sebagai pengarang kreatif, sudut pandangan atau apa-apa sahaja dalam penulisan, tidak semestinya terlalu bergantung dengan apa yang ada atau apa yang pernah dihasilkan. Ada ketikanya perlu juga pengarang generasi baru melakukan inovatif, melanggar konvensi, dan kreatif dalam menggubah, menyusun dan melanggam kraf naratifnya.

Monday, November 02, 2009

Sekolah Satu Aliran?

Saya sudah lama tidak berbual-bual dengan Pak Lias. Sejak isu PPSMI, Pak Lias banyak mendiamkan diri. Baru-baru ini saya sempat bertemunya. Sebaik sahaja meletakkan basikalnya di hadapan medan selera itu, saya tanya ke mana Pak Lias selama ini. Katanya dia sibuk buat lemang berniaga pasar malam selain membaca buku-buku dan kitab-kitab lama.
Saya tanyai Pak Lias tentang sekolah satu aliran. Ini jawabnya:
"Ingat peristiwa penutupan sebuah sekolah Cina yang kontroversi beberapa tahun dahulu. Ingat tunjuk perasaan tentang itu? Itu baru sebuah sekolah. Belum lagi mahu tutup semua sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil? Bagaimana agaknya cara damai untuk melaksanakan ini? Perjanjian Pangkor sekali lagi? Apa guna slogan 1 Malaysia kalau sekolah satu aliran pun susah untuk ditentukan. Apa khabar Sekolah Wawasan, sekolah bestari?
Lagi satu pertanyaan, sejak selepas merdeka Perikatan (BN) melalui MCA mewakili masyarakat Cina ada SJKC, MIC mewakili masyarakat India ada SJKT, UMNO yang mewakili masyarakat Melayu kenapa tidak pernah memikirkan untuk menubuhkan SJKM?"

Berita Terkejut

Pagi ini agak terkejut dengan berita penahanan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin oleh JAIS malam tadi. Tersentak seketika memikirkan macam-macam, dari pelbagai sisi. Dalam keadaan masyarakat kita yang semakin banyak orang pandai pada masa ini, terdapat selisih pendapat yang menyentuh perasaan, menggugat kedudukan dan menggoyang fahaman.
Faktor yang mempengaruhi mungkin kefahaman dan penerimaan terhadap ajaran dalam agama yang dibawa itu, atau mungkin juga faktor individu, juga faktor politik, atau pengaruh orang-orang di hadapan atau di belakang seseorang itu.
Sudahnya, kita katakan 'entah' dalam pengertian suasana masyarakat pada hari ini, yang 'entah' dan sering keliru juga!

Mengagumi Gigihnya Pak Latip

Dalam Mingguan Malaysia dua hari lalu, Dr Talib Samat ada menulis tentang kegigihan A.Latip Talib menulis novel-novel sejarah. Saya sendiri memeng telah terkesan banyaknya novel sejarah tulisan A.Latip Talib sejak 2006. Tahun 2009 ini begitu banyak sekali novel yang siap dihasilkan oleh beliau melalui syarikat PTS.
Beliau sangat gigih dan begitu aktif sekali. Tahniah. Dari sudut keprolifikan pengkaryaan itu amat wajar dicontohi.

Thursday, October 29, 2009

Apabila Mengucapkan ‘Salam 1 Malaysia…’

Dalam seminggu dua ini saya membaca e-mel daripada beberapa pihak yang memulakan dengan ucapan ‘Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia’. Saya rasa sangat senang hati apabila e-mel atau ucapan lisan Assalamualaikum diberikan. Dan saya wajib menjawabnya Waalaikumussalam. Sebelum ini yang kerap diucapkan adalah Salam Sejahtera ataupun selamat pagi daripada yang bukan Islam kepada yang Islam dan bukan Islam juga. Malah pengertian Assalamualaikum itu adalah ‘semoga sejahtera ke atas kamu’ dalam bahasa Arab.
Saya bukan tidak sedia menjawab Salam 1 Malaysia dengan Salam 1 Malaysia juga tetapi kerana perkara ini bermusim maka kita hanya menuturkan atas lapisan permukaan sahaja. Apa makna pengertian mendalam dan doa kesejahteraan pada ucapan salam itu. Ini adalah pandangan peribadi dan bukan untuk meremehkan gagasan 1 Malaysia. Tidak salah mengucapkan ini tetapi memadai jika sebagai penutup seperti yang pernah kita dengari Salam Perpaduan, Salam Bitara dan Salam Mesra . Namun lain hal dan keadaannya jika dituturkan pada hari tertentu seperti Salam Aidilfitri, Salam Kemerdekaan dan lain-lain. Ataupun tentang keadaan peristiwa tertentu seperti Salam Bestari dan Salam TajMahal.
Inilah pentingnya pemahaman tentang pragmatik dalam bahasa, yang melihat makna dan kesan daripada penggunaan bahasa dalam situasi tertentu. Perkara ini perlu difahami walaupun tidak banyak, memadailah tahu sedikit.

Tuesday, October 27, 2009

Menstruktur Naratif Ibarat Arkitek

Komitmen dalam naratif sesekali menjenuhkan dan memenatkan. Sesekali terasa unik. Sesekali terasa geram tidak tercapai apa yang diingini, malah kerapkali terasa terkilan kerana tidak sempat menyiapkan sesebuah hasil naratif yang baik dalam masa yang diharapkan. Namun setelah dapat menumpahkan idea dan rasa dalam naratif, rasa gembira muncul dan sedikit bangga dalam diri. Rasa bangga dan asyik itu tidak dapat dikongsi dengan orang lain, hanya dalam diri sahajalah bersemaraknya. Kerana jika rasa bangga dan riak itu dipaparkan, orang lain merasakan bahawa kerja naratif ini ada tujuan lain seperti berlagak dan menunjuk-nunjuk pula halanya.
Seseorang pengamal naratif, seharusnya mengetahui bagaimana mereka bentuk cerita. Untuk menghasilkan sebuah karya, pengarang perlu seronok dan senang dengan kerja yang dilakukan. Ini memerlukan teknik. Jadi, dicadangkan sebelum memulakan kerja naratifnya, perancangan merangka struktur cerita amat penting. Komitmen ini ibarat seorang arkitek mereka bentuk sebuh bangunan.
Dr. Victoria Lynn Schmidt dalam bukunya Story Structure Architect (2005), menyatakan terdapat enam keputusan yang boleh diambil sebelum memulakan kerja naratif yang menakjubkan.
1. Apakah hubungan dramatik yang sebaik-baiknya digunakan?
2. Apakah jenis konflik yang terbaik untuk cerita saya?
3. Genre manakah yang mesti saya pilih?
4. Apakah model struktur yang terbaik?
5. Berapa banyak situasi akan saya gunakan?
6. Berapa banyak penyelidikan yang mesti saya kendalikan?
Yang pertama, apakah hubungan dramatik yang sebaik-baiknya digunakan? Hubungan dramatik merupakan persoalan pusat yang ada dalam fikiran pembaca tentang arah cerita dalam karya yang digubah. Seseorang narator seharusnya menyedari dan merangkan arah jalan ceritanya dan hubungannya dengan plot dan kesan kepada pembaca. Terdapat lima jenis hubungan dramatik:
1. Kejayaan watak utama
2. Kegagalan watak utama
3. Kehendak hati matlamat watak utama
4. Tidak menyempurnakan matlamat watak utama
5. Pembaca mencipta matlamatnya sendiri
Yang kedua pula, memilih konflik yang sesuai untuk cerita. Konflik dapat memperteguh dan menumbuhkan kesegaran pengkaryaan. Konflik yang baik dan berkesan juga dapat memberikan kepuasan kepada pembaca. Terdapat enam jenis konflik :
1. Konflik Berhubungan (Relational Conflict)
2. Konflik Situasi (Situational Conflict)
3. Konflik Dalaman (Inner Conflict)
4. Konflik Paranormal (Paranormal Conflict)
5. Konflik Alam Semesta (Cosmic Conflict)
6. Konflik Sosial (Social Conflict)

Yang ketiga, genre manakah yang seharusnya saya pilih? Antara genre yang menjadi pilihan ialah
1.Aksi (superhero, underdog/ yang tertindas, revenge/ membalas dendam, savior/ penyelamat).
2. Kembara (adventure)
3. Kanak-kanak
4. Komedi
5. Nonfiksyen Kreatif (Jenayah, Kisah benar, Jurnalisme, Autobiografi dan Biografi)
6. Fantasi
7. Sejarah / Epik
8. Seram
9. Inspirasi Spiritual
10. Muzikal
11. Misteri
12. Politik
13. Romantik
14. Sains Fiksyen
15. Gaya barat (Western)

Seterusnya yang keempat ialah Apakah model struktur yang terbaik? Model struktur selalunya dilihat menggunakan ukuran graf yang diperingkatkan kepada Act 1, Act 2 dan Act 3. Struktur yang mudah difahami dengan memahami cerita secara konvensional bermula dengan permulaan, pengembangan, perumitan, klimaks, peleraian dan penyelesaian. Terdapat banyak model struktur yang boleh dipilih. Antaranya:
1. Struktur Tradisional
2. Pusingan Roller-Coaster
3. Model selari (parallel)
4. Model Episodik
5. Melodrama
6. Model Perjalanan

Yang kelima, memilih situasi. Berapa banyak situasi yang mahu digunakan? Terdapat berbagai-bagai-bagai situasi boleh diwujudkan. Perkara ini sangat kompleks. Antaranya situasi:
1. Rayuan dan Sumbangan (Supplication and Benefaction)
2.Bencana dan Mukjizat (Disaster ang Miracle)
3.Pemberontak dan Penyokong (Revolt and Support)
4.5.Yang Membingungkan dan Ciptaan (Enigma and Invention)
5.Kegilaan dan Kebijaksanaan (Madness and Genius)
Dan banyak lagi

Yang terakhir, yang keenam, berapa banyak penyelidikan dan kajian yang mesti saya jalankan? Sebaik-baiknya sebelum menyiapkan karya pastikan penyelidikan tentang perkara-perkara berikut dilakukan:
1. Lokasi
2. Setting
3. Tempat
4. Tempoh masa
5. Latar belakang
6. Fakta
7. Perbezaan kelas
8. Agama dan kepercayaan
9. Adat resam masyarakat

Begitulah. Dan masanya untuk memulakan!

Friday, October 23, 2009

Anwar Ridhwan, SN ke 10

Antara karya Anwar ridhwan dalam koleksi saya (tidak termasuk Sangkar yang sedang dipinjam seseorang, Arus yang telah hilang, dan buku Jatidiri Pasca Asas 50 yang tidak ditenui pada rak)

20 Oktober lalu, rasmilah Dato’ Dr Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara kesepuluh. Tahniah sekali lagi Dato’. Gelaran paling berprestij bagi penulis sastera di Malaysia. Menjadi idaman ramai penulis dengan syarat dan kriteria tertentu untuk melayakkan penerimaan tersebut. Malaysia, memang ramai sasterawan hebat. Tapi Dato’ Anwar berada dalam kelas yang tersendiri walaupun dalam barisan yang sama dengan sasterawan lain.
Sempat bergambar malam itu walaupun kerap bertemu Dato Anwar dalam mesyuarat Persatuan Penulis Selangor. Nazmi, sempat 'potong Q' berdiri di sebelah Dato'. Saya faham dia adalah wartawan.

Menurut SN Prof Dr Muhammad Haji Salleh dalam Dewan Sastera, Oktober 2009, karya Anwar Ridhwan mempunyai kritikan yang berani dalam lembut, bahasa yang berseni dan berhati-hati. Saya secara peribadi, dapat merasakan karya-karya beliau bijaksana (briliant). Hendak tahu dan rasai kelainan dan keistimewaan itu, bacalah karya-karya beliau.


Menu hidangan Palace of Golden Horses, antara yang menarik nama "Sup Makanan Laut Ogonshoto" dan "Ayam Panggang Rangup Pak Hassan"

Monday, October 19, 2009

Penangguhan Naratif


Gambar hiasan dari sebuah blog multiply

Dalam kerja mengungkap kreativiti, dalam arus naratitiviti, penangguhan sering berlaku. Kerja menulis, dalam banyak keadaan mempunyai obsesi yang sukar dibayangkan dengan kata-kata. Yang terkeluar akhirnya rungutan dan sesalan diri berupa kata-kata marah, geram dan kecewa. Malah lebih membahayakan apabila memilih untuk kata, ‘putus asa’.
Kerja menulis memerlukan kekuatan, disiplin diri yang kuat dan keberanian. Ini kata-kata pencetus. Namun kadangkala dilupakan apabila kekuatan hilang menjadi lemah, lupa dan malas. Ini sering berlaku. Bayangkan jika seseorang penulis perlu duduk menekuni karya sepanjang tiga jam untuk sebuah bab pendek novel. Sehari dua mungkin punya kekuatan tapi untuk meneruskan selama seminggu, sebulan? Bukan semua ada kekuatan itu. Bukan hanya kekuatan stamina dan metabolisme sahaja, kekuatan daya fikir dan kreativiti juga perlu. Antara yang menjadi pantang bagi penulis yang baik adalah mengulang klise. Unsur-unsur stereotaip atau klise adalah musuh penulis. Klise dapat diatasi ini jika ada kekuatan.
Disiplin diri. Ya, disiplin sangat penting. Islam sangat mengambil berat tentang disiplin ini. Sebagaimana perlunya kita bersolat pada awal waktu wajib lima kali sehari, dan sering makan tengah hari betul pada waktunya, menulis juga sepatutnya begitu. Namun bagi yang menulis secara sambilan, kerja-kerja menulis terpaksa dikorbankan untuk tugasan yang lebih utama.
Keberanian? Daripada segi apa penulis perlu berani? Ada bloger yang agak berani namun ditahan I.S.A kemudiannya. Ada penulis yang kritis namun dipandang sesat sudahnya. Ada penulis yang perasan hebat, akhirnya dipulaukan peminatnya sendiri. Keberanian dalam naratif adalah keberanian kreatif. Ini pernah dilakukan oleh Shahnon Ahmad, A.Samad Said, Arenawati, Anwar Ridhwan dan banyak lagi. A. Samad Said pernah dikritik kerana mengangkat kisah pelacur dalam Salina. Masalahnya, orang hanya mengkritik tetapi tidak pun menulis kisah yang lebih mulia daripada itu. Jika adapun, tidak sehebat itu. Begitu juga Shahnon dengan Ranjau Sepanjang Jalan. Ada yang mengkritik Shahnon merendah-rendahnya pemikiran petani. Namun tiada novel yang berkisah tentang petani sehebat itu walaupun sudah berdekad lamanya. Anwar Ridhwan dalam Naratif Ogonshoto mempunyai kias sosial dan politik yang mendalam. Itulah keberanian mereka dalam kreativiti.
Dalam waktu penangguhan naratif, seperti ruang intermezzo dalam konserto, marilah kita memikirkan sejenak tentang kekuatan, disiplin diri dan keberanian ini.

MQA, ISO, Fail Meja…

Sejak awal minggu lalu, sibuk membereskan kerja-kerja pejabat atas tuntutan auditan MQA dan ISO.

Aduh… kepenatan!

Friday, October 09, 2009

Satu Malaysia dalam Talentime?

Sudah terlewat untuk memperkata filem Talentime. Namun tidak terlewat untuk memperkata Satu Malaysia (1 Malaysia) sebuah gagasan yang dicetuskan untuk perpaduan dalam serba-serbi dalam negara ini.
Talentime, buah tangan terakhir Allahyarham Yasmin Ahmad sememangnya patut dipuji kerana diolah dengan kreatif, menarik dan mengesankan. Filem ini lebih sopan berbanding Gubra. Subjek yang mudah, tentang persahabatan, kasih sayang kekeluargaan, cinta dan perpaduan dapat diolah dengan berkesan. Namun dalam yang baik itu, tentulah juga ada kelemahan yang terpaksalah direlakan. Terutama soal bahasa. Filem-filem Yasmin tidak pernah mendaulatkan bahasa Melayu. Bahasa dalam filem Yasmin cacamerba, rojak dan tunggang langgang. Ibu dan anak bercakap yang berbangsa Melayu bercampur-campur bahasa Melayu dan Inggeris. Dalam filem ini juga bahasa Tamil banyak digunakan (dialog watak keluarga India), bahasa Cina dan bahasa Inggeris slanga British (keluarga campuran Melayu+Cina+Inggeris) tetapi diindahkan dengan nama Melor, Mawar dan Melati.
Berbalik tentang Satu Malaysia, ada model satu Malaysia dalam filem ini. Namun model ini bukanlah sempurna sepenuhnya. Hanya gambaran tentang Satu Malaysia dapat dilihat. Atau sekadar hiasan yang membuktikan satu Malaysia dalam filem Malaysia, inilah dia. Realiti filem tetaplah filem, dalam realiti hidup realiti dalam filem yang dipaparkan itu hanya berlaku segelintir, dalam keadan yang kecil relatifnya. Selebihnya, masih jauh daripada kenyataan itu.
Tidak dinafikan di sekolah, para pelajar sememangnya bergaul dengan bangsa-bangsa lain. Dan ada ketikanya tidak dilihat ada jurang pemisah dalam pergaulan, persahabatan mahupun pencapaian akademik dan penonjolan bakat tertentu termasuklah bakat seni. Apabila keluar dari sekolah, tanggapan dan rasa itu terus berlangsung dengan baik namun ada ketikanya terselit juga rasa tidak puas dan merasakan perbedaan tetap wujud apatah lagi memikirkan tentang bahasa, agama, kepercayaan dan amalan harian. Ini tidak boleh dinafikan kerana setiap bangsa mempunyai jati diri dan identitinya yang tersendiri yang payah dipadamkan dengan nama gagasan yang tidak menyeluruh dan kabur.Tentang Talentime, kehadiran para pelakon baru seperti Mahesh Jugal Kishor dan Pamela Chong serta Jacquelin Victor dan Howard Hon patut dipuji. Begitu juga dengan Syafie Naswip yang sangat berbakat di samping Harith Iskandar, Adibah Noor dan Mazlina Musthapa. Lagu gubahan Pete Lim juga enak didengar dan sumbangan suara Aizat dan Atilia menambah sentuhan filem ini.