Wednesday, January 11, 2012

PPMN Fasa Ketiga

PPMN mempunyai rentetan peristiwa dan sejarahnya tersendiri. Saya akan memperkata tentang PPMN dari sudut pandangan peribadi di sini.

PPMN fasa ketiga telah dilaksanakan 16-18 Disember lalu. Sejak dari PPMN pertama, saya berperanan sebagai ahli jawatankuasa, dari sekecil-kecil tugas hingga tugas-tugas yang penting. Juga berkesempatan membentangkan kertas kerja (PPMN kedua dan ketiga). Semua itu pengalaman yang menarik dan tentunya kenangan yang indah.

PPMN dijayakan dengan kerjasama banyak pihak. Kerjasama daripada idea dan tenaga, juga bantuan daripada segi kewangan, penyediaan bahan dan sarana dan persediaan tempat penganjuran. Menjayakan PPMN, dan seminar-seminar yang lain juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga, juga fikiran dan sikap mengawal rasa dalam beberapa keadaan, terutama bagi yang dipertanggungjawabkan jawatan-jawatan penting.

PPMN pertama diadakan di Tanjung Piai, Johor pada tahun 2005. SM Zakir bertindak sebagai Pengarah dibantu oleh Shamsuddin Othman, Mohamad Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali dan barisan jawatankuasa dalam kalangan penulis muda yang berterusan bekerjasama dengan PPMN dan program-program PENA yang lain. Ucap utama disampaikan oleh Datuk Baharuddin Zainal. PPMN kedua diadakan di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2009 dibarisi AJK yang diketuai oleh Saifullizan Yahaya sebagai Pengarah Program dibantu oleh Muhammad Lutfi Ishak. Ucap utama disampaikan oleh SN Datuk Dr Anwar Ridhwan.

PPMN ketiga berlangsung di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur. Pengarah Program Muhammad Lutfi Ishak dibantu saya dan AJK yang bekerja keras dari awal seperti Rebecca Ilham, Norziati Rosman, Hani Salwah dan ramai lagi termasuk Zaiful Nizam, dan Ijamala MN yang tetap setia dengan PPMN dari yang pertama hingga ketiga ini. Juga tenaga-tenaga baru seperti Fadli Akiti, Nisa Yusof, Hafiz Latif, Norhazwin, Zarif Hasan, Arif Atan dan Ali Atan dan yang lain-lain. Ucap utama disampaikan oleh Datuk Profesor Dr Mohd Salleh Yaapar. Terima kasih juga kepada para wartawan sastera dari Berita harian dan Saudara Ku Seman dari Mingguan Malaysia.

PPMN ketiga juga sempat meluncurkan tiga buah buku iaitu antologi Karya Sasterawan 2011, Perjuangan Penulis Muda ; Arah dan Cabaran (kumpulan kertas kerja) dan Takah Lima Puluh (antologi puisi sempena 50 tahun PENA).

PPMN ketiga yang bertemakan “Pengukuhan Makna diri Pengarang Muda” membariskan para pembentang kertas kerja daripada pelbagai latar pengamalan dan penguasaan subjek. Yang pasti, terdapat kertas kerja yang baik daripada segi penghujahan. Terdapat kertas kerja yang diberi perhatian lebih oleh pihak-pihak tertentu dari sisi pro dan kontranya. Yang kena pada yang pro tentulah pujian melangit akan diberikan, manakala yang kontra tentulah ada emosi sinis diungkapkan. Cuma, perbahasan-perbahasan lanjut tidak pula mahu diteruskan. Dalam waktu yang sama, ada yang bersikap neutral dan buat-buat tidak kisah.

Sememangnya dunia kesusasteraan mahukan perdebatan dan polemik dengan niat untuk kebaikan. Namun keadaan ini berlangsung secara sangat sederhana. Malahan perbincangan tentang dunia sastera dalam akhbar, majalah dan blog semakin kurang ditambah pula dengan adanya laman sosial seperti facebook dan twitter yang lebih banyak berbicara soal peribadi yang kadangkala berbunyi remeh-temeh. Mungkin, berbicara tentang apa-apa subjek berkaitan dunia sastera sama ada teorinya, suasananya dan kesesuaiannya dengan zaman tidak begitu menarik dan menguntungkan lagi. Jadi, perbahasan ilmu itu hanya dalam kertas kerja, seminar dan kuliah semata-mata.

Seperti PPMN yang sebelumnya, perhimpunan kali ini membawa resolusi pada akhir seminar. Resolusi PPMN ketiga antara lain mengesyorkan agar para penulis/ pengarang memanfaatkan nilai-nilai sejagat sebagai teras pemikiran dan pengucapan dalam pengkaryaan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukunegara. Selain itu menegaskan bahawa
Dasar Kebudayaan Kebangsaan mesti diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu manifestasi kerangka kebudayaan yang jelas.

Saranan kepada Kementerian Pelajaran juga diberikan untuk memartabatkan sastera kebangsaan dalam sistem pendidikan negara dengan menekankan aspek kesusasteraan dan saintifik secara seimbang. Juga kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan agensi kerajaan yang terbabit mesti menyediakan geran penyelidikan, zamalah, penerbitan dan memberi peluang kepada penulis muda yang berbakat untuk menyertai aktiviti peringkat serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan intelektualiti dan kreativiti. Agensi tersebut dan pihak-pihak lain yang berkaitan perlu mewujudkan program pertemuan penulis muda peringkat Asean untuk mempertemukan penulis muda serantau bagi merapatkan hubungan kebudayaan serantau.

Dalam resolusi PPMN ketiga juga mengesyorkan agar Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memberikan biasiswa kepada penuntut cemerlang dan penulis lepasan sekolah untuk menuntut dalam bidang kesusasteraan sama ada di dalam negeri atau di luar negara. Dan yang terakhir, agensi-agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri perlu memperbanyak peruntukan untuk menyemarakkan aktiviti kesusasteraan, kebudayaan, pemikiran dan penerbitan penulis untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada antara penulis di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

PPMN ketiga memberi kenangan manis apabila perasmian dilaksanakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Sumbangan RM 1 juta kepada PENA yang diumumkan pada malam perasmian, yang serentak juga melancarkan sambutan 50 tahun PENA sesuatu di luar jangkaan. Kepada suara-suara di luar yang agak pesimis dengan situasi ini, percayalah, apa yang PENA lakukan termasuk PPMN ini bukanlah untuk kepentingan peribadi. Ini untuk dimanfaatkan bersama-sama. Soal politik satu hal yang lain tetapi siapa lagi yang diharapkan untuk menggerakkan bahasa, budaya dan sastera sesebuah negara? Bukankah pemerintah itu sangat berperanan. PENA tidak perlu dicemburui, kerana PENA tidak pernah pun berasa cemburu dengan sesiapa.

PPMN keempat hanya dalam bayangan. Saya, mungkin hanya hadir untuk bertemu kawan-kawan sahaja nanti. Harapnya PPMN keempat dilangsungkan dengan lebih baik dan bermanfaat. Jika tiada PPMN keempat dan seterusnya, saya antara yang terasa amat terkilan.

6 comments:

NASSURY IBRAHIM said...

Tahniah kpd pengerak PPMN 2011

ekspresi said...

terima kasih nassury kerana turut memeriahkan.

edolah said...

Alhamdulillah...antara generasi yang sempat telusuri sebermula Perhimpunan Penulis Muda 1987 di KBN (skg tapak ASWARA) sehingga ke PPMN yg diterajui PENA...

ekspresi said...

terima kasih e-dolah.

fadz said...

tahniah orang kuat!

ekspresi said...

terima kasih juga fadli yang membantu.