Thursday, May 28, 2015

Daun Kenangan...

Daun Gugur
(mengenang Rahimidin Zahari, 1968-2015)

tidak pernah putus dengan puisi-puisnya
puisi manis
puisi menghiris
puisi berbunga
seperti senyummu
terlihat mesra dan kasih sayang.

bertahun-tahun kita berjalan
menyibakkan kertas dan catatan
pengalaman tidak terlupakan.

dia penyair
dekat di hati sebagai sahabat
menusuk dalam kata-kata puisi, bersalut keindahan
gigih dengan kitab, dengan majlis ilmu
tahu tentang tradisi, petuah dan amanah
peribadi mengusik sempadan
antara pengajaran, nasihat dan sindiran
mengenal dan bersahabat
sebagai bayangan mengenal diri sendiri.

terlalu cepat kau pergi
tiada upaya, inilah kudrat Ilahi
segalanya terangkum dalam bait-bait kenangan.
ya Allah,
kau sempurnakanlah perjalanan
saudaraku, rahimidin zahari.

ARIFF MOHAMAD
28 Mei 2015


Al Fatihah, dan doa kesejahteraan buat sahabat, Rahimidin Zahari yang telah pulang ke pangkuan Ilahi pada 14 Mei 2015 di Hospital Sungai Buluh. Sungguh tersentuh rasa hati. Beliau merupakan sahabat, sebagai abang, dan juga sebagai guru. Terlalu banyak kenangan bersama-sama beliau. Dan tentunya terlalu banyak kebaikan yang telah diberikan.
Malah, apabila membuka blog ini, menaip kembali sebagai entri, tentunya kuat teringatkannya.
Sepanjang hayatnya, beliau tidak pernah berhenti menulis puisi. Selain sebagai seorang yang mempunyai kelebihan dalam seni persembahan, terutama tradisi dari Kelantan, wayang kulit dan pernah mengarahkan drama pendek Rebab Berbisik yang menggabungkan unsur tradisional dan moden.
Puisi-puisinya jujur, indah dan tepat. Peribadinya lembut, luhur dan mesra. Kumpulan puisi terakhir beliau dijudulkan Sehelai Daun Kenangan. Aduhai, judul itu tentunya membuatkan sesiapa yang mengenali peribadi beliau lebih dekat, tidak dapat menahan sebak.

Gambar di bawah, adalah gambar terakhir bersama-sama beliau, pada 31 Mac 2015, sebaik sahaja selesai menonton teater Kena Main di Istana Budaya, tempat beliau berkhidmat.


No comments: