Friday, December 14, 2007

Al-Kisah Leman

Dalam seminar pendidikan sastera di UM (lihat entri di bawah), saya bercakap sedikit tentang teks-teks yang sepatutnya sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Tujuan untuk mengajar Bahasa Melayu, bukan Kesusasteraan Melayu. Dalam Komsas, sastera adalah medium atau bahan atau unsur, dalam KM, bahasa pula jadi medium. Tidak sama. Ada lagi yang kurang jelas tentang Komsas, terutama mereka yang tidak pernah menjengok ke sekolah.
Komsas pula telah ada di sekolah rendah. Perkembangan yang baik dan positif. Saya pun dapatkan maklumat yang sedikit ini daripada seorang kawan. Dia pun memberikan senarai tajuk buku-buku (cerpen dan novel) yang digunakjan untuk tahun empat, lima dan enam.
Saya tertarik pada satu tajuk untuk tahun empat. Tajuknya "Leman Penjual Kuih". Saya tertarik untuk mengkritiknya habis-habisan.
Saya tidak menyentuh tentang kandungan. Saya mengajak khalayak memikirkan tentang tajuk sahaja. Leman Penjual Kuih. Leman itu Melayu tipikal, nama yang tidak popular dan nama zaman Seniman Bujang Lapok dahulu. Penjual kuih, tiada masalah, kerja halal. Pasar Ramadhan jual kuih boleh untung banyak. Tapi dalam cerita itu, Leman jual kuih guna bakul, macam filem zaman KM Baskar atau Phani Majundar dulu. Inikah yang mahu dibaca oleh anak-anak yang berumur sepuluh tahun. Mungkin di Triang atau Changloon boleh terima, tapi di Subang Jaya dan Damansara bagaimana?
Saya juga kaitkan dengan imej Melayu dahulu dengan sekarang. Jika dahulu Melayu hidup susah jual kuih, kita perlu ubah tanggapan kesusahan itu. Kalau tulis cerita orang miskin, janganlah asyik cerita pasal jual kuih, pisang ataupun nasi lemak. Banyak lagi benda boleh buat. Saya sekali lagi kaitkan dengan imej Melayu. Orang lain (bangsa lain) tidak akan tulis cerita macam ini lagi. Cukuplah, cerita sebegini sudah penuh di perpustakaan sejak tahun 60-an dahulu. Zaman dahulu, kanak-kanak main lastik dan pistol kayu, sekarang main PS2 dan SMS. Saya katakan cerita ini tidak relevan.
Melalui teks (sastera) inilah kita gunakan untuk memberikan persepsi yang positif tentang jati diri dan kematangan pelajar.
Saya bangkitkan perkara ini kerana setelah selesai pembentangan ada peserta yang bangun mempertikai, "Apa salahnya dengan Leman Penjual Kuih?"

4 comments:

Ghazali Lateh said...

Sdr Arif,
Jangan terkejut kalau sejarah pemilihan teks komsas yang lalu akan berulang. Jangan terkejut juga teks-teks yang akan terpilih nanti tidak ada nilai struktural yang membuka ruangan untuk kajian. Komsas sebenarnya bukan pendidikan sastera. Komsas hanyalah pemahaman teks seperti pemahaman terdahulu. Rasanya komsas perlu memperkenalkan amali, begitu juga subjek sastera itu sendiri. Saya turut menghantar abstrak dalam seminar tersebut tetapi tidak dapat hadir mkerana ada komitmen lain.

zaidakhtar said...

Tuan Arif,
Teruskanlah bersuara untuk kebenaran dan demi masa depan anak bangsa kita.

Sahrunizam said...

aduh, aduh contoh kat triang tu yang buat aku syahdu tu

ekspresi said...

terima kasih tiga penulis update malaysia, dr.ghazali, zaid dan sharunizam.