Thursday, November 19, 2009

Puisi dan Keupayaan Memperkata Apa Sahaja

Puisi adalah genre yang paling sukar untuk dihasilkan. Ramai orang yang beranggapan menulis puisi sangat mudah. Selain bentuknya yang pendek dan ringkas, puisi dapat dihasilkan di mana-mana asal ada pen dan kertas atau komputer. Persepsi ini perlu diperbetul. Puisi bukan semudah ini. Dan maaf, jika saya katakan bukan semua puisi yang ada tersiar dalam akhbar, majalah, blog, malah ada yang telah dibukukan pun, layak digelar puisi yang sebenar-benarnya. Ada yang tidak layak digelar puisi. Namun ini bukanlah satu penghakiman yang muktamad kerana setiap individu, pembaca, penilai, pengkritik dan editor mempunyai pandangan dan ilmu masing-masing. Puisi-puisi yang dikatakan tidak layak disebut puisi yang sebenar-benarnya itu mungkin boleh disebut sajak suka-suka atau himpunan kata yang membentuk rangkap semata-mata.

Puisi mempunyai pecahan-pecahannya. Puisi itu luas termasuk juga pantun, syair dan gurindam juga merupakan puisi, dalam pembahagian puisi tradisional. Namun disebabkan tradisionalnya pada nama, maka puisi lama ini tidak begitu popular, tidak diminati dan hampir dilupakan. Puisi moden, hanya sajak. Namun ada juga pecahan-pecahan yang kadangkala kabur untuk ditentukan seperti lirik lagu puisi, puisi naratif, sajak deklamasi, sajak sempena dan lain-lain. (Saya, dalam banyak keadaan beranggapan ‘puisi’ itu adalah karya yang bernilai tinggi manakala sebaliknya hanya dipanggil ‘sajak’, menyetujui yang dikatakan oleh Muhammad Haji Salleh dalam buku Pengalaman Puisi)

Puisi yang baik, tentunya ada pemikiran. Ada tujuan puisi itu disampaikan selain luahan perasaan semata-mata. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, perasaan itu ada juga baiknya kerana perasaan yang mendalam dapat memberi kesan perasaan juga kepada pembaca. Seterusnya daripada perasaan yang dikesani ini dapat memberikan tafsiran tentang diri manusia itu sendiri, kehidupan, amal baktinya, dosa pahalanya, dan sejauhmana kebijaksanannya.

Kadangkala rasa lucu apabila membaca puisi-puisi tertentu yang kelihatan tiada apa-apa yang ingin dinyatakan melainkan pandangan peribadi yang tidak dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Puisi yang bijaksana seharusnya dapat dinikmati oleh orang lain agar bijaksana dan bermanfaat juga. Kalau tidak membaca puisi itu hanya membuang masa.

Perlu didalami unsur-unsur puisi itu, kepada mereka yang belum tahu apa itu puisi sebenarnya. Bukan semata-mata definisi siapa-siapa namun fahamilah unsur-unsur yang terbina daripada puisi itu. Puisi juga, sewajarnya ada keindahan. Keindahan itu pula luas maksudnya namun dapat dibahagikan kepada keindahan estetik bahasa melalui gaya bahasa dan keindahan makna yang terungkap. Lagi satu adalah nilai. Nilai juga dapat dibahagikan kepada dua, iaitu nilai murni yang dapat dikesani daripada isi puisi dan lagi satu nilai gaya bahasa yang dapat memperlihat keistimewaan sesuatu bahasa itu sendiri yang menunjukkan bahas itu kreatif, kaya dan luas serta unik.

Sememangnya puisi merupakan satu genre yang cepat terkesan dihasilkan apabila penulis terasa tersentuh, terfikir dan ingin memberikan justifikasi terbuka kepada pembaca. Puisi mempunyai keupayaan memperkata apa sahaja. Pembaca boleh memnikmati sekaligus mentafsir dan menghayati puisi tersebut. Selebihnya milik penulis puisi itu.

8 comments:

benuasuluk said...

baca perenggan pertama engkau tulis entri ni pun dah buat aku menggeletar. Fuh, nasib baik dah mantan, taklah rasa berdosa sangat... :-)

Rahimidin Z said...

Mujurlah aku dah berhenti menyair...

ekspresi said...

tuan ridzuan dan tuan rahimidin, hehehe...
janganla macam tu. itu persepsi sahaja.

edolah said...

...bagaimana pula dengan puisi-puisi naratif dan erotis?

p/s: teringat sebuah puisi karya penyair wanita generasi baharu dr tanah seberang yg dimuatkan dlm antologi sempena temu penyair nusantara..diungkapkannya diksi
'babi suci'...

ekspresi said...

tuan shukri,
puisi naratif tu jelas naratifnya. yang jadi keliru puisi yang nak kata naratif bukan, puisi pun bukan. tapi itu semua bukan masalah sangat pun.

lutfi said...

apapun, hari ini dan semalam, aku berjaya menulis 15 puisi, hehe

ekspresi said...

lut, maaf lambat beri respons. tak perasan ada komen kau.
eloklah tu, tulis sajalah.

mek said...

salam..tak tahu pulak puisi2 yang tersiar di dada2 akhbar dan majalah tu bukan puisi namanya!(ikut persepsi ngko) Ish..ish.. dalam sungguh pemikiran engko sekarang ni ya. kalu engko baca aku punya puisi tentu ngko terguling-guling gamaknya. ntah kategori mana la ngko letak puisi ciptaan aku tu. hu..hu..