Monday, February 14, 2011

Yang Aneh Tentang Pencinta Buku

Cinta, satu perasaan. Namun demikian, dalam keadaan yang juga wajar, cinta adalah fikiran. Mencintai kebijaksanaan juga membawa hikmah. Malah perkataan ‘philo’ dan ‘sophie’ dalam ungkapan philosophy adalah mencintai kebijaksanaan.

Buku merupakan salah satu daripada sumber cinta yang lahir di dunia. Istilah kitab juga dikaitkan dengan buku, namun kitab seperti kitab-kitab agama disifatkan lebih tinggi nilai dan kandungannya sedangkan buku pula berbagai-bagai-bagai daripada yang tinggi, sederhana dan rendah nilainya. Buku-buku juga bergantung pada bidang, jenis, kategori, genre dan bentuk. Dalam keadaan tertentu, buku juga boleh dianggap mempunyai kasta. Pembaca yang bijaksana dapat membezakan kategori buku-buku ini.

Saya mempunyai beberapa orang kenalan yang mempunyai ‘kegilaan’ terhadap buku. Menurut beberapa kenalan ini, mereka ‘pantang’ jika pulang dari kedai buku dengan tangan kosong. Maksudnya buku mesti dibeli. Jika tiada wang, jangan masuk kedai buku, sebab nanti hati akan merintih, fikiran akan teringat-ingat, batin akan terseksa jika buku yang sudah dipegang, diminati tidak dapat dimiliki. Sifat-sifat itulah yang ada pada pencinta buku.

Keinginan untuk mencari dan mendapatkan buku bagi pencinta buku dilihat aneh. Dia sanggup untuk meredah hujan untuk ke kedai buku sebelum kedai buku itu ditutup. Sanggup untuk berpanas, bersesak-sesak-sesak dalam LRT ataupun memandu di jalan raya terutama di bandar-bandar besar yang tidak pernah sunyi. Pencinta buku juga sanggup berdiri agak lama untuk memilih buku, membaca blurb pada buku, bergerak dari satu rak ke satu rak yang tidak disedari masa berlalu dari sejam ke dua jam malah hingga ke tiga jam pun tiada berasa lenguh. Aneh, namun itulah realiti apabila rasa diserang cinta.

Pencinta buku juga sesekali aneh apabila pasangan hidup merasa cemburu kerana asyik buku yang difikirkan. Tidakkah pencinta buku ini teringin membeli gelang emas atau subang bertatah berlian untuknya ataupun bagi lelaki jam Crocodile, jersi Adidas ataupun coklat Feraro Roche untuknya. Pencinta buku sesekali resah tentang ini namun seharusnya menggunakan kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah rumah tangga masing-masing.

Pencinta buku selalunya tidak berkira untuk mengeluarkan wang atau rela kad kredit digesek semata-mata untuk mendapatkan buku yang diingini. Pencinta buku jarang sekali membandingkan harga buku dengan sepinggan ayam gerong di restoran terkenal atau sepuluh kilogram beras ataupun rim tayar model terbaharu. Pencinta buku tahu membezakan itu dengan keperluan hidupnya.

Namun begitu, pencinta buku ini mempunyai satu lagi tanggungjawab penting yang mesti dipenuhi iaitu membaca buku tersebut. Membaca buku bukanlah satu tugas yang boleh dilaksanakan bila-bila masa. Membaca buku memerlukan masa, perancangan dan keadaan badan dan otak yang segar. Jika membaca ketika badan letih atau mata mengantuk, kesannya akan berkurang. Jika mahu tidur dengan membaca, bacalah majalah.

Penangguhan dalam membaca buku sering berlaku. Namun begitu, membaca buku lain ketika membaca sesebuah buku juga adalah perkara biasa bagi pencinta buku. Malah ada yang tidak membaca sesebuah buku itu hingga habis. Satu lagi kebiasaan yang lain tetapi hanya pada pencinta buku tertentu ialah tidak tahu yang mana satu buku yang mahu dibaca dalam satu-satu masa.

Buku juga seharusnya disayangi. Buku perlu dijaga dengan baik. Letakkan di rak atau kotak di tempat yang kering dan mempunyai pengudaraan yang baik. Jika berada di tempat yang lembap, buku boleh berkulat ataupun berkedut kertasnya. Ada yang membalut buku yang dibeli atau buku-buku tertentu yang diminati, disayangi, bermakna ataupun yang dibeli dengan harga yang mahal. Satu lagi amalan pencinta buku ialah menulis nama sendiri dan tarikh dibeli pada halaman depan atau halaman kedua buku.

(Saya sendiri menyusun buku-buku dalam senarai atau sistem pengkatalogan seperti di perpustakaan. Mungkin ada yang menggunakan Sistem Dewey tetapi Sistem yang saya gunakan adalah Sistem ‘Sukahatiakulah’ iaitu menggunakan huruf sebagai kategori dan diikuti dengan nombor. Contoh R bagi buku rujukan diikuti 001 dan seterusnya. Saya mulai menyusun senarai atau index ini sejak tahun 2002 dengan tulisan tangan dalam buku panjang (seperti buku hutang dulu-dulu). Senarai dibagikan kepada lajur tajuk diikuti tahun terbitan, penulis, penerbit, tarikh diperoleh (dibeli). Contoh R001/ Sejarah Perak (1972)/ Buyong Adil (DBP)/ 6 Januari 1999. Sejak tahun lalu saya menambah satu lajur lagi iaitu harga memandangkan harga kertas semakin tinggi dan kos percetakan negara semakin meningkat. Malahan harga juga penting untuk diingati kerana saya pernah mendapatkan buku yang berharga seringgit dan pernah juga membeli buku yang berharga ratusan ringgit. Kategori lain yang saya gunakan ialah F bagi fiksyen, P bagi puisi, A bagi agama, U bagi umum dan S bagi sendiri/ buku yang dihasilkan sendiri. Dalam senarai buku itu, S adalah kategori yang paling sedikit.)

Beberapa langkah wajar diambil oleh pihak-pihak tertentu untuk menggalakkan orang meminati buku walaupun tidak semestinya menjadi pencinta buku yang dianggap aneh. Jadilah makhluk biasa-biasa sahaja tetapi meminati dan mencintai buku walaupun ‘gitu-gitu’ sahaja. Langkah kerajaan memberi rebet atas pembelian buku bagi cukai pendapatan tahunan adalah langkah yang baik. Usaha lebih giat untuk kempen membaca perlu dilaksanakan seperti memberi baucar buku atau elaun galakan membaca kepada semua orang tidak semestinya kakitangan kerajaan (kerana khabarnya ada segelintir kakitangan kerajaan ini kadangkala kerja menggunakan kaki dan tangan sahaja tanpa menggunakan hati dan otaknya).

Selain itu promosi buku-buku perlu juga digiatkan dan tidaklah bertumpu kepada buku-buku yang laris kerana menggunakan perkataan karipap sahaja sebagai contoh. Resensi buku di institusi pendidikan, di syarikat-syarikat swasta, di kilang-kilang pengeluaran, di pusat servis kereta, di perhentian teksi juga boleh diteruskan. Televisyen pula selang-selikanlah program bual bicara tergedik-gedik dengan bicara buku. Satu lagi, pameran dan jualan buku dengan potongan perlu diadakan secara kerap. Diharapkan juga penerbit-penerbit buku dan penjual-penjual buku faham-fahamlah kalau dikatakan karnival buku ataupun pesta buku mestilah ada diskaun. Jikalau tiada diskaun, lebih baik beli di kedai mamak stesen bas sahaja.

Demikianlah beberapa sifat dan tabiat yang ada pada pencinta buku. Pencinta buku bukanlah seseorang yang ideal ataupun hidupnya makan dengan buku dan tidur dengan buku. Pencinta buku juga banyak komitmen lain yang perlu diuruskan. Pencinta buku juga mempunyai minat yang lain seperti lukisan, filem, fotografi, sukan, seni persembahan dan lain-lain.

2 comments:

dahri said...

kena tiru tuan dalam bab rekod buku sendiri ni

ekspresi said...

hehe. nak tengok pun boleh. tapi buku saya taklah banyak sangat.