Thursday, July 21, 2011

MASTERA, Kreativiti dan Saudara Nusantara

Saya seharusnya memuji, apabila MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) diwujudkan dengan pengisian yang wajar. Saya ingin terus memuji dan mengakui bahawa Program Penulisan MASTERA yang berselang pelbagai genre dari tahun ke tahun merupakan satu program yang amat bermanfaat. Pengalaman mengikuti Program Penulisan MASTERA : Novel Tahun 2011 yang berakhir Jumaat, 15 Julai lalu sesuatu yang amat berharga bagi saya, dan tentunya yang lain.
Program ini bukanlah bertujuan semata-mata untuk melahirkan novel yang hebat. Bukan juga untuk memastikan novel itu semestinya mendapat sambutan hangat untuk berada dalam carta pilihan pembaca kedai buku besar. Program ini juga bukan semata-mata untuk mengajar teknik penulisan yang berkesan. Program ini bukan untuk mengajar sesiapa. Program ini program wacana, perbincangan dan diskusi secara formal dan sebaiknya. Bagi saya, perbincangan dalam kumpulan amat bermanfaat, namun perbincangan di bilik rehat atau di luar kamar mahupun di dewan makan, juga memberi pengisian yang tersendiri. Benarlah kata orang pengalaman tidak boleh dijual beli.
Bengkel MASTERA Genre Novel 2011 disertai oleh 18 peserta dari empat buah negara iaitu tujuh orang dari Indonesia, tujuh orang dari Malaysia, dua orang dari Brunei Darussalam dan dua orang dari Singapura. Malaysia diwakili oleh Hafizah Iszahanid, Ilyani Khalid (Jemari Seni), Husairi Hussin, Bahruddin Bekri (PTS), Mohd Saad Omar, Abdul Razak Adam, dan saya. Program ini berlangsung pada 11-15 Julai 2011 di Andara Resort, Cisarua, Bogor, Indonesia. Urus setia program ialah Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan Nasional, Republik Indonesia manakala pembimbing pula tiga orang dari Indonesia (Ahmad Tohari, Putu Wijaya dan Asma Nadia), seorang dari Malaysia (Nisah Haron), Brunei (Dr. Haji Morsidi) dan Singapura (Muhammad Rafi) serta seorang penceramah undangan (Seno Gumira Ajidarma).
Program diisi dengan perbincangan manuskrip masing-masing. Manuskrip dibedah oleh pembimbing dan pandangan juga diberi dalam kalangan peserta. Tiga pusingan perbincangan berlaku kerana perbincangan berbeza cara mengikut pembimbing yang digilirkan. Saya membawa manuskrip sebuah novel bertema sosiopolitik yang saya gemari. Saya sangat berterima kasih atas pandangan yang diberi oleh para pembimbing dan rakan-rakan dalam kalangan peserta.
Program Penulisan MASTERA telah berlangsung selama 14 tahun sejak 1997. Pusingan untuk genre novel telah tiga kali iaitu 2001, 2006 dan 2011. Saya terlepas untuk tahun 2006. Tapi rupa-rupanya 2011 saya berpeluang juga walaupun pada hujung syarat usia. Saya pernah berasa kecil hati dengan MASTERA dan bersikap membiarkan sahaja apabila keliru dengan cara pemilihan peserta dari tahun ke tahun pelbagai genre.

No comments: