Monday, March 02, 2009

Kes Buli: Salah Guru Lagi?

Pengetua, warden boleh dikenakan tindakan

PUTRAJAYA 1 Mac – Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas semua pihak yang terlibat dalam kes buli membabitkan seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Dalat, Sarawak.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, pengetua sekolah atau warden juga akan dikenakan tindakan sekiranya terbukti gagal mengawal disiplin pelajar sehingga tercetusnya kes buli.

‘‘Saya tekankan bahawa saya amat serius dalam isu ini. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak sama ada pelajar atau pihak sekolah yang didapati gagal menjalankan tugas dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas aksi sekumpulan pelajar sekolah yang dimuatkan dalam laman web YouTube membuli seorang pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Dalat.

Aksi tersebut telah menarik perhatian umum apabila ia dilaporkan oleh sebuah stesen televisyen baru-baru ini.

Menurut Alimuddin, kejadian buli di sekolah berkenaan telah menguji tahap kesabaran Kementerian Pelajaran.

‘‘Gejala buli di kalangan pelajar menunjukkan pelajar semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap penghapusan budaya membuli sesama pelajar sekolah sebenarnya telah dilaksanakan dengan konsisten oleh kementerian.

Alimuddin mengingatkan pihak sekolah agar menekankan elemen disiplin yang perlu sentiasa terkawal dan semua guru sebenarnya perlu memainkan peranan sebagai guru disiplin.

Komentar

Berita TV3, malam tadi, tentang kes buli. Saya tonton dan alangkah sedihnya, kecewanya apabila kenyataan seperti di atas (memetik Utusan Malaysia hari ini) dikeluarkan. Seperti satu amaran dan satu kenyataan yang tidak adil kepada pihak sekolah dan guru.

Tuan-tuan yang dihormati,

Berilah keadilan kepada guru-guru. Janganlah terlalu cepat menuding jari kepada mereka. Buli, gaduh, samseng bukan kerana guru. Bukan. Faktor lain yang boleh kita bincangkan seperti pengaruh media, sikap ibu bapa sendiri, persekitaran, psikologi dan tekanan, ekonomi, dan banyak lagi.

Tugas guru bukan memantau pelajar semata-mata.

Saya senaraikan tugas guru, memandangkan saya pernah menjadi guru selama 11 tahun.

Guru mata pelajaran (Bahasa Melayu, Matematik, Sains)

Guru panitia (Ketua Panitia, Ketua Bidang, setiuasaha ataupun ahli)

Guru kelas

Itu tugas utama, wajib. Dan tugas-tugas tambahan (namun penting dan menunutut masa dan tenaga):

Guru penasihat persatuan, kelab atau unit beruniform (ko-kurikukum)

Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar (disiplin, buku teks, keceriaan, perubatan, pendaftaran dll)

Jawatankuasa Pentadbiran (akademik, jadual waktu, program peningkatan, panitia dll)

Jawatankuasa penyedia soalan peperiksaan

Menganalisa pencapaian peperiksaan

Merancang dan melaksanakan program motivasi pelajar

Memantau kehadiran pelajar dan kebersihan kelas

Setiap hari menyemak buku latihan pelajar

Menyediakan ruang pembelajaran dan yang selesa, bahan pembelajaran yang memuaskan dan menarik.

Guru rumah sukan

Pengurus atau jurulatih sukan (bolasepak, bola baling, badminton)

Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau berjawatan Setiausaha, Bendahari dll

Guru ganti jika ada guru yang tidak hadir pada hari tertentu

Melaksana program peringkat zon, daerah, nengeri dan kebangsaan seperti pertandingan, kempen, ceramah dll


Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Dr.-Dr., Tuan-tuan, puan-puan,

Bacakan alfatihah kepada guru-guru anda yang mengajar anda membaca dan menulis, sama ada yang masih hidup ataupun telah meninggalkan kita.

Dan hiduplah kita dalam berkat ilmunya.


Monday, February 23, 2009

Aduhai Politik

Sememangnya senario politik negara kita berterabur, tidak berhaluan dan menampakkan perjuangan yang tidak ikhlas.

Maaf, ini pernyataan terbuka dan sesiapa sahaja boleh menyetujuinya dan tidak menyetujuinya. Dan kenyataan ini ditujukan kepada dua kumpulan (Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional) secara terbuka keseluruhannya.

Pada masa kini, Negara kita, Malaysia, yang serba indah, aman, makmur dan sentosa ini hanya dapat dilihat pada mata kasar. Fizikal cantik, dalaman bergelora. Malaysia kini menghimpun pelbagai masalah dan kemelut dalam pelbagai bidang terutama politik yang amat payah untuk diselesaikan dan memuaskan hati banyak pihak. Aduhai, keadaan ini sangat membimbangkan, menyedihkan dan menakutkan.

Pelbagai isu politik timbul dan semakin berserabut menenggelamkan isu-isu lain yang cukup penting dan besar bagi seluruh rakyat. Sejauh mana pemerintah mahupun pembangkang berusaha memikirkan persoalan tentang bidang –bidang seperti berikut:

Bidang pendidikan

1. Isu PPSMI yang belum selesai dan berdolak-dalik

2. Isu sekolah wawasan

3. Isu sekolah agama

4. Pencapaian akademik pelajar luar bandar

5. Kekurangan guru dan peningkatan kualiti pedagogi

6. Orientasi sistem peperiksaan yang kurang berkesan

7. Keselamatan pelajar sekolah

8. Isu ponteng

9. Dasar pendidikan

10. Buku teks yang tidak relevan

11. Gejala buli dan samseng

12. Yuran dan bantuan

Bidang ekonomi

1. Kenaikan harga barang

2. Pasaran saham tempatan yang tidak menentu

3. Pergantungan terhadap hasil pertanian import

4. Masalah peniaga-peniaga kecil

5. Peningkatan taraf pendapatan golongan sederhana

6. Rungutan pemandu pengangkutan awam

7. Harga petrol, diesel dan alat ganti kenderaan

8. Kos telekomunikasi yang masih tinggi

9. Pengganguran yang semakin bertambah

Sosial

1. Keselamatan awam

2. Hak peribadi yang diceroboh

3. Fitnah

4. Perpaduan

5. Jenayah

6. Hiburan yang melampau

7. Cetak rompak

8. Kurang membaca

9. Penerapan nilai Islam

Dan bermacam-macam lagi, banyak lagi yang tertangguh, terlupa atau terabai.

Aduhai, terlalu banyak yang perlu difikirkan oleh pemerintah (tidak kira kerajaan atau pembangkang).

Rakyat jelata bukan mahukan:

1. Salah menyalah dan tuduh menuduh

2. Saman menyaman

3. Mengaibkan orang

4. Mencemar institusi raja

5. Mencemar tokoh ilmuan agama

6. Tidak menghormati pandangan akademik dan tokoh bahasa

7. Membuat pernyataan yang tidak bijaksana

8. Penonjolan tokoh yang bertanding dalam pemilihan parti

9. Berbahasa tidak sopan dalam sidang parlimen dan negeri

10. Hanya memikirkan kemenangan pilihanraya

Inilah rayuan rakyat jelata. Perbetulkanlah secara bijaksana. Dan jagalah hati kami. Jangan terlalu banyak melukakan hati kami.

Wednesday, February 11, 2009

Sudah Selesai

Isu Pelantikan MB Perak sudah selesai. Itu sahaja.

Friday, February 06, 2009

Mana Satu Idaman Kalbu?


PR= 28, BN=28?
BEBAS= TIADA PARTI

Thursday, February 05, 2009

Aduhai... ADUN yang Empat

Ini komentar pendek, ringkas dan selebihnya kita fikirkan sendiri.
Tentang situasi politik Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dan semestinya alkisah 3 ADUN yang mengisyhtihar berparti BEBAS dan mengelirukan pengundi-pengundinya tahun lalu. Dan kisahnya juga seorang yang keluar dan masuk parti seolah-olah masuk dan keluar tandas awam sesuka hati. Jika ada taksonomi saya berikan enam peringkat soalan.
1. Peringkat Pengetahuan
Apakah pendirian seorang pemimpin?
2. Peringkat Kefahaman
Mengapakah prinsip boleh berubah-ubah?
3. Peringkat Analisis
Bagaimana dengan masa depan parti yang mempunyai pemimpin seperti ini?
4. Peringkat Aplikasi
Wajarkah sokongan diberikan kepada pemimpin sebegini?
5. Peringkat Sintesis
Sejauh manakah pemimpin dapat membijaksanakan rakyat atau sebaliknya?
6. Peringkat Penilaian
Adakah rakyat juga akan diperlaku sedemikian?

Thursday, January 29, 2009

Puisi Untuk Palestina


Syahid, Jalan Pilihan Terakhir
(Suara Perindu Syuhada di Palestina)
Hidup kami dikelilingi tulang kehancuran
Pilihan kami hanya dua: melawan atau menyerah
Yang terjawab tetap kemusnahan
Belulang disayat darah syuhada.

Kami dimainkan oleh kuasa
Dirintihkan oleh nasib dan celaka
Bekal kami hanya semangat dan cinta
Tanah ini akan kami pertahan setiap inci
Kami tahu ini pilihan terakhir
Dan yang terbaik
Maka kami restukan sendiri
Dengan doa sepenuhnya di bawah kubah suci.

Ya Allah,
Kasturi yang mewangi di syurga-Mu kelak
Adalah darah pejuang yang bergelimpangan ini.

Ya Allah,
Cahaya restu-Mu kami pohon
Berilah petunjuk kepada pendurjana
Kurniakan restu kepada pejuang kami
Anugerahkan kekuatan khalifah kami
Teruskan kezaman pemimpin kami
Rapatkan persaudaraan antara kami
Gantikan pengorbanan ini dengan kasih sejati.

Ya Allah,
Tangisan kami telah kering
Darah syuhada kami di mana-mana
Kubur kami terlalu segera
Saudara kami entah di mana.

Ya Allah,
Ampunkan dosa-dosa kami
Berikan cahaya suci kepada kami
Kembalikan kubah kesayangan kami
Izinkan kami berinjak selesa di bumi sendiri.

Ya Allah,
Inilah suara perindu syuhada di Palestina
Kami restu di jalan ini
Jalan syahid yang dipilih sendiri
Jalan pilihan terakhir
Dan yang terbaik buat kami.

ARIFF MOHAMAD

Wednesday, January 21, 2009

Cerita Tentang Bangsa

Kegementaran dan kebimbangan mengasak. Mengganggui rasa, merobok –robok ke dalam hati. Menungan, telaah dan tafakur ini menelusur sejarah catatan yang entah bila dapat disiapkan. Ini cerita bangsa, merujuk kepada kita, yang sawo matang dan kuning langsat. Aduh, manis bangsaku pada citra, namun gelora batiniahnya.

Saban hari, saban detik kita diganggui peristiwa dan cerita. Mewaspadakan diri menjadikan kita perlu siap siaga sentiasa. Cermin yang dulunya amat jujur kini telah retak malah dalam beberapa keadaan terasa seakan hilang.

Pertanyaan semakin mengasak. Mana cermin itu? Di mana? Di mana? Dalam keadaan yang sama, ada pula yang bertanya apa cermin itu? Ah, kata tanya ‘apa’ dan ‘di mana’ terlalu jauh berbeda. Begitulah hakikat dalam kalangan kita. Cara berfikir, cara menanggap, cara mentafsir tidak sama. Benar. Jika tidak percaya rujuki diri. Renung seketika dan cuba jawab pertanyaan ini, apa inti perjuangan kita?

Jika kau menjawab perjuanganmu benar-benar ikhlas, maka bermuzakarahlah mencari penyelesaian. Jika bukan titik penyelesaipun, memadai jika itu rumusan yang mudah dan melegakan. Ini bukan soal individu satu atau dua di atas sana, namun kami yang di bawah, berjuta-juta jumlahnya ini. Korbanlah sesuatu yang cukup bermakna kepada kami, kita bersama-sama mensyukuri. Jalan kemenangan dan kebahagiaan ada di mana-mana. Jauhkanlah petaka yang direka-reka. Sebagai manusia, kita tidak berkuasa, sesungguhnya Dia yang Maha Bijaksana menyusun segala-galanya, menetap dan memutuskan. Setelah ikhtiar dan usaha kita, redhalah dengan kehendak Dia.

Ini cerita bangsa. Cerita tentang perjuangan bangsa. Bukan untuk menyebar empayar namun kita perlu mengukuhkan yang ada.

Tuesday, January 13, 2009

Harapnya...

Tradisi filem Malaysia diteruskan dengan kelembapan akal dan lawak bodoh. Sebagai contoh, filem 'Sifu dan Tongga'. (Maaf, bukan semua filem Malaysia begitu, ada juga yang baik dan cemerlang). Masih banyak filem kita mengajak penonton ketawa semata-mata. Apabila dikatakan filem Malaysia tidak ada isi, karyawan marah. Tapi malang karyawan pun tidak banyak yang berilmu, tidak kreatif dan tidak banyak membaca. Filem Melayu tidak ada idea lain, balik-balik tentang anak muda berpeleseran dengan kereta dan motor tunjuk lagak untuk berlumba, hantu yang berada di merata-rata, lawak jenaka yang sudah ketinggalan zaman, dan kisah pemuda samseng macam filem tamil tapi kenyataan hidup pemuda melayu banyak yang penakut.

Drama dan telemovie di tv ada juga yang baik, tapi ada juga yang remeh dan berjela-jela. Kisah eksekutif yang kaya jatuh hati pada anak petani masih berlambak-lambak. Cerita korporat yang tidak jujur dan gila kuasa hingga sanggup membunuh pun banyak. Kadang-kadang malas tonton televisyen dengan drama-drama sebegini.

Tahun 2009 dan mendatang (hampir ke dasawarsa kedua 2010 dan seterusnya) harapnya pemikiran yang bernas dalam filem dan televisyen semakin serius diusahakan. Pemikiran melangkaui pemikiran politik, budaya usahawan, budaya fikir dan budaya ilmu, seni yang bermanfaat, dakwah islamiah yang mengesankan, motivasi, semangat perjuangan yang relevan dengan situasai semasa, pemaparan budaya yang wajar perlu diterapkan malah diperbanyak.

Bukan dalam filem sahaja, dalam karya tulis seperti novel, cerpen dan drama juga perlu.

Ini tanggungjawab bersama.

Friday, January 02, 2009

Salam Tahun Baru

selamat tahun baru hijrah dan masihi buat semua.
tahun berubah,
sikap manusia juga boleh berubah
tapi banyak juga perkara tidak berubah-ubah atau belum berubah.

apapun, sesiapa yang mahu berhijrah, inilah masa yang terbaik.

Wednesday, November 19, 2008

PPSMI: suara hati delegasi

Pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia perlu dihentikan segera. Jangan lagi berdolak dalik dan beralasan untuk meneruskannya. Bertindaklah secara rasional dan contohilah negara-negara maju yang lain tentang budaya ilmu, kedaulatan bahasa dan penghormatan terhadap ketinggian ilmu. Tamadun yang gemilang di dunia disebabkan kekuatan jati diri berkait dengan bahasa dan kekuatan penguasaan ilmu selain lingkungan politik yang selamat, sistem ekonomi yang teratur, masyarakat yang beragama dan berbudaya tinggi.

Sudah banyak suara tentang betapa usaha untuk memahirkan pelajar dalam berbahasa Inggeris dalam bidang ilmu atau subjek yang berat seperti Matematik dan Sains adalah usaha yang tidak koheren (tidak bersangkut paut). Bahasa Inggeris adalah bahasa Inggeris. Matematik dan Sains pula bidang ilmu yang lain. Bahasa Inggeris boleh dikuasai dengan berbagai-bagai cara bukan dengan menggunakan sebagai bahasa subjek. Situasi yang berlaku di sekolah-seklolah, pelajar tidak dapat menguasai istilah dan aplikasi dan operasi dalam kedua-dua subjek ini. Pemahaman dan konsep lebih jelas dalam bahasa ibunda masing-masing.

Bahasa adalah keupayaan akal dan hati manusia yang dibentuk pemikiran, budaya dan lingkungan persekitaran. Tiada kena-mengena dengan penguasaan ilmu Matematik dan Sains. Kita digalakkan untuk menguasai banyak bahasa dengan berbagai-bagai cara, bukannya dalam subjek khusus Matematik dan Sains. Penguasaan Bahasa Inggeris perlu dimantapkan melalui kurikulum dan kempen kerajaan.

Para pemimpin perlu memikirkan perkara ini bukan asyik bercakap tentang pemilihan jawatan dan manifesto pilihanraya sahaja. Jangan korbankan bahasa Melayu semata-mata untuk mengangkat bahasa asing. Tidak salah menguasai bahasa asing namun strategi dan pendekatan perlulah sesuai. Lagipun bukan sahaja bahasa Inggeris itu penting, bahasa lain juga perlu dikuasai jika mampu seperti bahasa Mandarin, bahasa Arab dan bahasa Jerman. Bahasa Inggeris bukan untuk pelajar-pelajar sekolah semata-mata namun untuk seluruh rakyat Malaysia. Penguasaan bahasa Inggeris secara umumnya di negara kita masih lemah. Siaran televisyen pun ada alih suara, sari kata dan terjemahan. Bahasa Melayu perlu terus didaulatkan.

-Ariff Mohamad.

Friday, November 14, 2008

Wawancara Dengan Pak Lias

Ikuti temubual ekslusif dan eksekutif seorang wartawan (Wartawan/W) dengan Saudara Alias a.k.a Asmawi bin Atan (Pak Lias/PL). Kebetulan saya terjumpa mp3 rakaman wartawan itu di tepi kondo Datuk Shahron Khon.

W: Salam, Pak Lias. Er... Maaf me...mengganggu. Saya mahu me...mewawanca...ca...cara Pak Lias seketika. Bb.. Boleh?
PL: Boleh. Boleh blah!
W: Eh, Pak Lias marahkah. Er...Kk..ke..napa?
PL: Tidak marah pun. Saya marahkan nyamuk yang melilau depan saya ni.
W:Oh...
PL: Hmm...
W: Err...Pak Lias mahu ke mana tt.. te..ter.. ter..gg..gesa-gesa ini?
PL: Putrajaya.
W: Er...Apa tt.. tt.. ttt.. tujuannya?
PL: Bersiar-siar.
W: Er...Kenapa tergg.. gg.. gg.. gesa-gesa?
PL: Suka hati akulah.
W: Ops, ma.. ma..ma..af Pak Lias. Er...Saya ingin bertanya pendapat, er... Pak Lias tentang keputusan yu...yu..yu... UPSR 2008 terutama peratus Matematik dan ss.. ss.. sssssss... Sains dalam Bahasa Inggeris yang meningkat.
PL: Aku bukan guru yang menyemak kertas soalan itu. Bukan aku yang buat soalan pun. Yang buat skema pemarkahan pun bukan aku juga. Jadi, suka hati merekalah yang buat semua tu... apa yang mereka nak buat, Nak naik ke nak menurun ke... nak melingkup ke...
W: Kenapa Pak Lias cc.. ca..ca..kap macam begitu?
PL: Suka hati akulah.
W: Jadi pada pendapat... pak... pak Pak Lias, hasrat untuk me.. me..mengembalikan penggunaan Bahasa Melayu dalam ss..ss..subjek itu agaknya bb..bb..bagaimana?
PL: Tak mengapa. Kita boleh guna bahasa apa-apa saja untuk belajar subjek apapun. Bukan Matematik dan Sains saja, subjek Bahasa Melayu pun boleh dipelajari dalam bahasa Sanskrit, Bahasa Jerman, Bahasa Iban, Bahasa Telegu, apa-apalah... Boleh kan... Malaysia boleh kan...
W: Pak Lias... er, jadi tidakkah kita bimbang ke.. ke.. ke.. dudukan Bahasa Melayu akan tergugat...
PL: Tidak bimbang sebab memang kita sentiasa tergugat.
W: Er... Pak Lias, ada banyak lagi sss..ss..ss.. so...so...so.. soalan saya... er... er... er...
PL: Sudahlah kau si gagap!
W: Pak Lias, nn..nnan...ti dulu!
PL: Suka hati akulah!

(Pak Lias mencapai basikalnya lalu terus meninggalkan wartawan)
PL: