Monday, July 10, 2006

Demikianlah … yang indah dan yang melukakan.

Sastera @ kesusasteraan, bagaikan satu dunia yang tersendiri. Di dalamnya ada keindahan yang sukar dinyatakan dengan kata-kata, Cuma dapat dikesani oleh akal dan naluri. Ada impak intelektualiti dan harmoni yang tersendiri. Kadang-kadang terasa aneh. Maka kembali kepada diri, merenung dan mentafsir, inilah anugerah, nikmat dan hikmah Allah yang diberikan kepada manusia yang sepatutnya menghargai dan menyayangi kesusasteraan itu dan pastinya lebih utama, semakin dekat kepadaNya.

Proses kreatif, dalam penghasilan sesebuah karya serius adalah perjalanan dalaman yang lenguh dan jenuh. Sepintas lalu, memang dilihat agak mudah dan cepat (menulis puisi dan cerpen contohnya) namun hanya orang-orang yang tertentu (maksudnya penulis) yang memahami dan merasainya. Dalam proses inilah berlaku interaksi akal dan rasa yang adakalanya menyeronokkan, seperti bermain-main di padang kenangan. Sesekali terkesan dengan watak yang direka sendiri untuk bercakap dan bergerak seperti yang dikehendaki. Ya, aneh. Kepuasan atau keseronokan seseorang penulis itu bertambah-tambah apabila karya itu diterbitkan atau disiarkan atau paling tidak setelah dicetak melalui printer sendiri.

Menggarap kreativiti (menulis) ini bukanlah kerja yang boleh dikongsi. Ia bersifat peribadi yang nilainya cukup mahal dan sangat bererti. Sebab itu, jangan hairanlah jika seseorang penulis itu sangat menyayangi karyanya. Tidak sanggup rasanya dicuri, ditipu, diciplak ataupun diperlekeh. Namun untuk tujuan kebaikan seperti pengeditan dan adaptasi, boleh diterima.

Bagi seseorang penulis, berkarya juga satu perjuangan. Perjuangan mengangkat nilai kesusasteraan itu sudah pastinya. Jika penulis Melayu, sastera Melayulah yang disayang dan ingin dimartabatkannya. Dari sisi yang lain, sastera juga wadah untuk motivasi diri. Semakin berazam untuk menghasilkan karya yang baik, diterima pembaca lantas mengambil manfaat daripadanya. Jadi, karya yang dihasilkan sepatutnya berniat baik, dapat memberi kepuasan dan keseronokan walaupun agak berat berperanan untuk menyedarkan, menghantar pesanan dan mendidik.

Sastera juga adalah salah satu cabang pendidikan malahan bidang teorinya adalah sains sosial. Pendidikan adalah suatu proses yang mempunyai tujuan yang biasanya diusahakan untuk mencipta pola-pola tingkah laku tertentu pada orang yang dididik. Setiap suasana pendidikan mengandungi tujuan-tujuan, maklumat-maklumat yang dapat dinyatakan sebagai kandungan, metod yang sesuai untuk mempersembahkan kandungan itu secara berkesan.

Berbalik kepada dunia sastera yang digulati. Proses kreativiti seseorang penulis tulen itu tidak pernah selesai hinggalah ke tahap keuzuran fizikalnya. Lihatlah Shahnon Ahmad (Datuk Profesor Emiritius, Sasterawan Negara) yang tidak pernah berhenti berkarya (dalam esei, cerpen dan novel) hingga sekarang. Begitu juga dengan Abdullah Hussain, A. Samad Said (kedua-duanya Datuk, Sasterawan Negara). Karya-karya mereka malar-hijau dan tidak jemu-jemu dihayati malah masih diperkatakan hingga sekarang.

Mereka (juga sasterawan terdahulu yang lain) telah menghasilkan karya yang memberi kesan kepada pembaca selain untuk berhibur, ada keindahan yang terungkap di dalamnya, ada falsafah yang tersembunyi, ada kata-kata yang perlu direnung-tafsir dan ada sindiran yang terkena pada sesiapa sahaja (walaupun ada juga yang bersifat ringan). Inilah perjuangan mereka. Dan mereka telah membuktikan.

Namun dalam situasi hari ini, apalah sangat pada sastera. Berapa banyak rakyat negara kecil ini yang membaca karya sastera pada saat hebohnya bolasepak Piala Dunia, Akademi Fantasia, juga kisah kahwin-cerai pelakon dan penyanyi. Begitu juga dengan kemudahan hiburan seperi kaset dan cakera padat, siaran televisyen 24 jam, akses internet, sms, mp3 dan macam-macam lagi. Ini tidak termasuk akan sibuknya manusia mengejar kemewahan atau paling tidak untuk bekerja siang malam mencari wang sebagai sara hidup agar dapat melunaskan perbelanjaan harian, bayaran bulanan kereta, bil telefon dan harga petrol yang semakin tinggi.

Maka sastera semakin kecil pada persepsi masyarakat negara ini yang tidak banyak tahu tentang manfaat dan keindahan pemikiran, falsafah atau apa sahaja yang baik dalam sastera. Karya-karya ringan, picisan begitu popular di kalangan pembaca negara ini terutama di peringkat remaja. Dari segi industri perbukuan memang ada baiknya tetapi dari segi pembangunan sahsiah dan intelektualiti, apa yang buku-buku sebegini boleh berikan? Secara peribadi, buku-buku ini hanya boleh memberikan kehancuran! Hancur budi bahasa, hancur bahasa, hancur akhlak.

Keadaan lebih runcing dan sakit apabila ada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab kerana ada kuasa dan upaya untuk melebarkan dan mengangkat martabat sastera tetapi tidak dapat berbuat demikian sepenuhnya. Tidak perlulah dinamakan badan apa, individu mana, namun koreksi pada diri, tanyai dan jawablah sendiri. Apa yang dilakukan untuk masa hadapan sastera Melayu di negara ini?

Catatan : Esei pendek ini dihasilkan biasan daripada beberapa blog teman penulis yang ‘bercerita’ secara kiasan tentang pemilihan seorang penulis novel ringan mewakili Malaysia ke seminar @ bengkel Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia. Pemilihan itu dibuat oleh jawatankuasa tertinggi sebuah badan berkanun bahasa, pendidikan, budaya, dan sastera yang cukup terkenal.
Apa yang dapat dinyatakan di sini, kami (penulis sastera serius) sungguh-sungguh tidak menyetujuinya kerana itu akan memalukan negara dan bertentangan dengan perjuangan pecinta bahasa dan sastera juga demi martabat kesusasteraan tulen.
Situasi sedemikian sangat mengecewakan!

1 comment:

Anonymous said...

This is very interesting site... »