Tuesday, November 07, 2006

Kejujuran dalam Berkarya

Terlintas saya untuk memperkata tentang kejujuran dalam berkarya apabila saya membaca kembali cerpen yang pernah saya tulis bertajuk “Tibanya Nostalgia Mengusik”. Saya akui, saya menulis cerpen ini secara jujur dan terus atau kata kasarnya, main belasah saja! Setelah siap memang dirasa longgar sana sini, nampak bersahaja dan kurang estetika bahasa. Rasa tidak yakin untuk menghantarnya. Maka saya mula mengedit tetapi rasanya semakin tidak ‘original’ kerana terlalu banyak yang perlu dibaiki. Cerpen ini terbiar begitu saja, agak lama.
Buka kembali folder, jumpa cerpen ini, saya cetak dan ubah sikit-sikit kemudian terus hantar ke Utusan Karya. Agak lama juga, 3-4 bulan, tersiar akhirnya.
Begitulah, dalam proses pengkaryaan, ada ketikanya kita tidak perlu memikir-mikir sangat tentang apa yang kita tulis itu. Kalau kita mencerewetkan diri, bimbang dengan gaya bahasa, tema cerita, nama watak, plot cerita dan sebagainya, nanti karya itu terperap sajalah.
Ya, setiap karya mesti jujur. Jujur dari kita sebagai pengkarya. Tetapi jangan diabaikan tentang estetika, nilai dan pemikiran yang bernas kerana di situlah letaknya keistimewaan kesusasteraan.
Begitu juga dengan puisi yang dihasilkan. Ada ketikanya puisi di negara kita ini mengikut musim (lihatlah di akhbar mingguan sebagai contoh). Kalau Hari Guru, adalah puisi-puisi tentang guru seolah-olah guru tidak wujud pada waktu yang lain. Puisi tentang pengorbanan guru atau penghargaan terhadap guru boleh ditulis, dihantar tidak mengira masa. Begitu juga dengan tema nasionalisme, puisi-puisi mengingati perjuangan dan kemerdekaan akan dilihat tersiar sekitar Ogos dan September. Macamlah bulan lain, kita tidak patriotik. Begitulah juga dengan tema peperangan, krisis di Timur Tengah dan lain-lain. Seolah-olah bermusim. Padahal isu-isu umum dan sejagat ini melatari kehidupan kita sehari-hari.
Saya agak susah untuk menulis puisi-puisi bermusim ini. Jika terlintas untuk tulis, tulislah. Mungkin sebab itulah agaknya apabila saya menghantar puisi nasionalisme pada bulan April tidak tersiar. Sepatutnya hantar pada bulan Ogos, itupun kalau terpilih untuk disiarkan.
Maaflah saya tegur sikit, pada bulan Ogos dan September lalu, dunia digoncang dengan krisis di Lubnan dan Palestin. Maka ada sebuah majalah sastera mahu puisi-puisi khas untuk mengenang dan membela golongan yang malang ini. Saudara seislam kita juga. Usaha ini amat baik sebenarnya. Tapi puisi-puisi yang dihantar dan tersiar? Entahlah saya bukan panel hadiah sastera, tapi hanya beberapa sahaja yang dikatakan baik, selebihnya, ….? Sebab itulah saya katakan jujurlah dalam berkarya!
p/s: Agak-agaknya bolehkah kejujuran 'dibaca'?

4 comments:

Jimadie Shah Othman said...

Benar, mengedit karya-karya lepas adalah mengedit diri kita di masa lalu. Berpada-padalah. Jujur adalah menulis apa yang kita mahu. Tetapi tidak jujur adalah menulis apa yang orang mahu. Tak kiralah editor atau siapa-siapa.

ekspresi said...

ada antara penulis yang tidak jujur dalam pengkaryan. contoh, tulis ttg kempen IT la, kempen jaga sungai la, kibar jalur gemilang la, tapi dia tak buat pun. ada juga yang guna nama perempuan untuk beri novel dia laris. dan ada yang sanggup dibayar untuk tulis artikel dalam surat khabar. macam-macam.

Puan Ainon Mohd. said...

Menulis dengan jujur bukan sama ertinya dengan menulis dengan tidak berpandukan kepada teori dan teknik.

ekspresi said...

ya, teori dan teknik perlu.
terima kasih atas kunjungan puan ainon. baru tadi sms dengan prof abdullah. seronok ke biliknya, kerana dapat buku percuma.