Monday, March 23, 2009

Suara Kebimbangan tentang Bahasa Melayu (Ini bukan Pandangan Pesemis)

Dalam satu seminar bahasa Melayu di Brunei, saya ditanyai tentang apakah suasana politik dalam negara saya ini (Malaysia) amat mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu?

Saya menjawab , Ya.

Persoalan bahasa melibatkan dua sudut:

Pertama, bahasa dan linguistik itu sendiri dari sudut akademik.

Dan kedua, dari sudut sosiopolitik.

Yang kedua itulah yang membimbangkan.

Kebimbangan yang bagaimana?

Kebimbangan ada suara-suara yang amat kuat untuk memperkecil malah kalau boleh ingin memusnahkan bahasa Melayu.

Kemudian memberi alasan-alasan bodoh dan tidak munasabah yang sangat-sangat menghiris hati orang Melayu itu sendiri.

Tidak pula dapat dipastikan kenapa golongan tertentu (berbangsa Melayu dan berbahasa Melayu sejak dalam kandungan rahim ibunya ini) sangat sayangkan bahasa Inggeris dan memandang rendah serendahnya terhadap bahasa Melayu.

Dari sudut akademik, bahasa Inggeris penting untuk penelitian dan pembacaan sumber dan rujukan. Buku-buku dalam bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat atau United Kingdom dan juga dari India tidak dipertikai kualiti, dan sangat kaya dengan teori, aplikasi dan kreativiti. Para pelajar sekolah, mahasiswa dan pelajar sarjana perlu mendekati buku-buku dalam bahasa Inggeris ini dan menguasainya dengan baik.

Namun begitu, dari sudut yang lain, ilmu yang kita perolehi itu, perlu diaplikasi dalam suasana dan konteks negara kita. Di sini, satu tranformasi ilmu berlaku. Apa yang diperoleh daripada bahasa Inggeris akan disesuaikan dalam bahasa Melayu untuk disampaikan dalam bahasa Melayu pula kemudiannya.

Bahasa Melayu perlu dipertahan dan dikekalkan selama-lamanya. Terlalu banyak keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu jika betul pada ahli dan pakarnya. Pendapat yang mengatakan bahasa Melayu kekurangan perbendaharan kata untuk menyampaikan bidang ilmu terutama ilmu moden seperti sains teknologi adalah pandangan yang cetek, singkat akal dan tidak yakin dengan keupayaan orang Melayu mengungkapkan sesuatu.

Bahasa Melayu (dalam konteks di Malaysia) sudah mencapai kecemerlangannya. Sejak zaman kesultananan Melayu Melaka, bahasa Melayu telah diyakini hinggalah dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Juga sebagai bahasa pengantar. Buku-buku dalam bahasa Melayu telah terlalu banyak dihasilkan dalam pelbagai bidang ilmu. Dalam kesusasteraan pula, terlalu banyak karya bahasa Melayu telah diterbitkan sama ada berbentuk komik, karya popular dan karya sastera bermutu tinggi. Malahan dalam tempoh 30 tahun, Malaysia telah mempunyai 9 orang Sasterawan Negara berbanding hanya seorang Angkasawan Negara.

Kebimbangan terus mengasak.

Dan berjuanglah hingga ke titisan pena yang terakhir…

Dan jika perlu … darah yang terakhir!

16 comments:

Anonymous said...

ooo...

senyapyglelap said...

betul3...memangla bahasa inggeris tu sekarang penting. tapi...tak kan la sampai anak tirikan bahasa melayu. bukan apa...takut nanti, bahasa melayu orang cuma guna di rumah dan pasar2 je. hihi kadang2 kan, kalau difikirkan balik, keadaannya macam seseorang budak yang sedang mencangkung dan cuba bangun untuk capai songkok yang ada di atas rak yang tinggi. bila dah berdiri, dah dapat songkok, dah pakai songkok tu hensem2..tiba-tiba terasa sejuk2 pulak di bahagian bawah. sebab kain pelekat yang dia pakai masa dia mencangkung tadi tak diikat ketat2 dan terlondeh tertinggal di lantai. kalau sempurna tak pa lah juga..ini tak, baru je sunat belum baik pulak tu...

Fauzan Razak said...

SALAM ENCIK ARIFF...
silalah ke laman blog saya encik ariff... saya ada menggubah beberapa puisi...kalau puisi itu cantik, saya ingat nak hantar ke dewan sastera...

ekspresi said...

terima kasih senyapygelap.
kias yang menarik dan lucu.

ekspresi said...

terima kasih fauzan
tahniah sudah bangunkan blog sendiri. teruskan dengan entri yang bermanfaat.

Fauzan Razak said...

Salam...

Terima Kasih Encik Ariff...
Mungkin banyak lagi yang saya perlu belajar. Saya masih tidak faham dengan penulisan puisi yang tidak terlalu berterus terang. Apakah maksud sebenarnya?

Anonymous said...

suara kebimbangan tentang bahasa Melayu-sememangnya tidak boleh dipandang remeh..marilah kita sama-sama menaikkan martabat bahasa kerana bahasa itu indah lagi puitis..bahasa itu sesuatu yang bermakna pada orang yang faham akan kualiti berbahasa..jangan dipolitikkan keindahan bahasa..hilang bahasa umpama hilang identiti diri..

Anonymous said...

isu bahasa semakin dipolitikkan..tiada langkah yang drastik akan menghilangkan kejernihan bahasa itu sendiri..hakikatnya,bahasa Melayu wajar dilindungi oleh orang Melayu itu sendiri dengan tindakan dan pemikiran yang lebih profesional serta saluran yang tepat..

ekspresi said...

terima kasih mus, sudah ada blog sendiri rupa-rupanya.
ini cuma suara kebimbangan, apabila tenaga dan upaya terikat, hanya suara mampu dilontarkan.

ekspresi said...

fauzan,
puisi yang tidak berterus terang itu puisi yang banyak menggunakan simbol, metafora dan kiasan.
contoh - "kejamnya zionis menawan bumi anbiya" (terus terang)
- "mereka serigala berpura-pura di bawah tiang demokrasi" (tidak berterus terang)

Anonymous said...

Assalamualaikum Encik Ariff.

Apa pendapat Encik Ariff apabila ada segelintir pelajar khasnya pelajar yang sudah sebati dengan PPSMI ini menyatakan bahawa PPSMI tidak perlu dibangkang.Antara sebab-sebab mereka menyatakan begitu ialah:

1. Kebanyakkan ilmu sains dan matematik bahan rujukannya adalah dalam bahasa Inggeris dan mempersoalkan mengapa tiada penterjemahan dalam bahasa Melayu. Salah siapa?

2. Masyarakat Jepun pada zaman dahulu iaitu pada zaman pemerintahan Meiji (kalau tak silap)telah menghantar rakyatnya ke negara Eropah untuk mempelajari teknologi dan menterjemahkan segala ilmu tersebut dalam bahasa Jepun dan dari situlah mereka membina empayar teknologi.

Diharap Encik Ariff dapat memberi pandangan berkaitan dengan soalan saya tadi. Bahasa Melayu sudah termaktub sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan namun masih ada yang berpura-pura buta dengan kenyataan ini. Mungkin orang Melayu terlalu "baik hati" dengan bahasa sendiri...

~GENIT~

suasuekemoneng1028992 said...

Kita perlu sedar bahawa bahasa asing termasuk bahasa Inggeris yang sekian lama bertapak di negara ini sejak dijajah tidak pernah berupaya menyelesaikan masalah dalaman negara terutama dalam urusan politik, sosial dan budaya antara kaum serta keturunan di negara ini. Bahasa yang tidak difahami sebahagian besar penduduk hanya akan menjadi alat pemisah masyarakat dan pemecah perpaduan kebangsaan. Malah, perbezaan ini hanya akan menjadi instrumen kepada pengembangan nilai pembangunan yang dipengaruhi budaya dan kepentingan Barat. Sepatutnya, identiti bahasa dipertahankan supaya negara lebih dihormati. Bagi pencinta bahasa, keadaaan ini hanya akan menjadi virus yang akan merencatkan perkembangan bahasa Melayu. Asas bahasa Melayu yang dibina kukuh di Tanah Melayu mungkin akan terkubur begitu sahaja tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya.

dalam bidang pendidikan pula, pembelajaran paling berkesan terutama ilmu pada peringkat asas ialah dalam bahasa ibunda masing-masing. Itulah sebabnya Jepun mampu menjadi sebuah negara yang kuat dan berjaya membangunkan negaranya menjadi sebuah negara yang paling maju berbanding negara ASEAN yang lain. lihat pula negara lain seperti Zimbabwe yang semakin hari semakin merudum rakyatnya dek pemikiran "hebat" pemimpin yang dianggap berjaya membawa perubahan dalam negara.
Jadi, renung-renungkanlah. Sebagai mahasiswa, kudrat kita yang sangat diperlukan. Saya malu kalau ada orang Melayu yang menyokong PPSMI. Nampak sangat tak menghayati sejarah. Akhir kata
"LU PIKIRLAH SENDIRI"

ekspresi said...

terima kasih genit dn suasue.

Unknown said...

saya da boleh mengundi...tapi, nak undi siapa ye??
nampak macam semua xmampu memperjuangkan nasib orang Melayu, bahasa melayu, raja melayu dan paling penting agama Islam..
bila pilihan raya janji macam2.
pening...pening...

satu titik ke satu titik,
satu jalan ke satu jalan,
mana titik mana jalan,
titik banyak jalan bersimpang,
pilih titik pilih jalan,
jumpa di simpang satu tujuan,
satu tujuan dua persimpangan...

Unknown said...

untuk pertama kali saya berjumpa dengan prof bahasa yang sanagt dihormati. tapi, sebenarnya masih tak faham akar sendiri. macam kasihan...
sekarang baru lah saya faham rupanya Malaysis ni nak dijadikan seperti Singapura. bagusnya, pelajar makin pandai bahasa Inggeris. tapi apa gunanya kalau hilang identiti dan jati diri. tak hairan nanti generasi PPSMI ada yang akan cakap malu dilahirkan sebagai orang Melayu

ekspresi said...

terima kasih aween
sudah ada blog, teruskan dan bangunkan