Friday, April 20, 2007

Nadra yang Luka


Membaca Atas Nama Cinta (ANC) adalah satu pengalaman yang menarik. Secara peribadi, saya memang ingin menulis novel tentang sejarah Natrah / Nadra (Maria Hertogh) yang melibatkan empat negara. Baru-baru ini saya terjumpa novel ANC ini, dan agak gembira juga peristiwa ini telah dinovelkan.

Peristiwa Natrah adalah peristiwa sejarah politik dan keagamaan yang dianggap sensitif. Maka, banyak pihak yang tidak begitu memfokuskan walaupun isi dan pengajarannya sangat penting. Suatu ketika dahulu, majalah Dewan Masyarakat ada mengangkat isu ini sebagai fokus utama untuk empat keluaran berturut-turut. Jika tidak silap, wartawan yang melakukan liputan dan penyelidikan tersebut ialah Fatini Yaacob. Bagi saya itu adalah antara dokumen tentang Natrah yang penting.

Sedikit tentang Natrah: Dia gadis Belanda yang dibesarkan oleh keluarga Melayu setelah diserahkan sebagai anak angkat dan memeluk Islam. Kemudian setelah awal remaja, keluarga kandungnya ingin menuntut semula. Ini melibatkan soal mahkamah. Akhirnya, Natrah kembali ke negaranya. Ini kisah pilu sebenarnya. Juga mencabar keutuhan tradisi kita, kemantapan institusi perundangan agama kita, dan juga keyakinan serta jatidiri politik kita.

Peristiwa Natrah telah diabadikan oleh Isa Kamari (jika tidak silap inilah novel berbahasa Melayu yang pertama tentang Natrah). Isa, seorang penulis dari Singapura yang telah memenangi Sea Write Award pada tahun 2006. Kesungguhan Isa menghasilkan novel ini patut dipuji. Dan tambah menarik, sebuah CD yang mengandungi tiga lagu puisi dendangan Isa dan kawan-kawannya (kumpulan Sirrfillsirr) dikepilkan bersama-sama novel. Lagu-lagu puisi ini tidak mengecewakan. Tahniah Saudara Isa Kamari.

Saya telah menghubungi Isa melalui emel tentang novel ini. Dan beliau membalas:
syukran kerana telah membaca anc. sebenarnya ketika menulis anc, tumpuan saya adalah untuk menggambarkan cerita tersebut seadanya, tanpa banyak intervensi kerana kisahnya memang sudah sangat dramatik dan romantis. saya telah berusaha menggunakan bahasa yang termudah agar dapat digarap lebih ramai pembaca. malah saya mencuba juga untuk menghapuskan batasan di antara karya 'sastera' dan karya 'popular' kali ini. setelah berenang dalam lautan sastera selama 30 tahun, saya semakin berasakan batasan itu sebenarnya adalah 'palsu' yang hanya direka-reka bagi kepentingan golongan tertentu.lebih ramai pembaca harus dapat menelusuri pemikiran sasterawan. jika sasterawan 'terperangkap' dalam dunianya sendiri, pembaca tidak akan dapat mengakses pemikirannya. salah satu cara mendekati pembaca ialah dengan menghapuskan batasan tersebut. hamka berjaya dalam pendekatan ini, saya fikir.sekadar menambah.....semoga dapat direnungkan bersama.
salam
isa
www.isakamari.com
labirin maya sasterawan nusantara
SUKMAISA CONCEPT POWERHOUSE

6 comments:

annyss said...

Salam Ariff,
Oleh sebab entri ini ditulis pada hari lahir aku, jadi aku pun tumpang komen ya. :-)

Aku pun dah baca novel ini, siap bertukar buku dengan pengarangnya lagi. Sejarah bangsa Melayu/Islam memerlukan dokumentasi begini, hatta dalam bentuk novel. Anak-anak bangsa perlu disedarkan bahawa orang Barat telah lama menyembunyikan banyak fakta tentang kita.

Dokumentasi yang ada tentang Natrah antara lain boleh didapati dalam Laporan Kes tersebut - tersimpan untuk rujukan pelajar undang-undang - dalam membaca laporan kes, emosi pihak-pihak yang terlibat tidak dinyatakan langsung.

Buku ini harus disokong!

ekspresi said...

terima kasih nisah.
seperti yang aku katakan, ada banyak perkara yang disenyapkan. entahlah, dalam beberapa hal kita agak takut tapi sebaliknya dalam beberapa hal yang lain.
dan selamat hari jadi!
(dalam bulan yang sama dengan wife aku, 17 april)

Jiwa Rasa said...

Buku ni saya dah lama beli tapi belum lagi habis baca. Kalau Isa Kamari tahu tentu dia kecil hati. :)


Penulis Haja Mahiden dan bukunya Nadra Tragedy telah mengenalkan saya kepada isu Natrah.

ekspresi said...

terima kasih jiwa rasa.
ya, buku nadra tragedy terbitan pelanduk. bagus juga buku tu.

Anonymous said...

dimana saya boleh dapatkn buku ni ye?

DrZackiey said...

Kisah Natrah telah dijadikan pelbagai novel, terbaru oleh
Datin Seri Fatini antara orang yg gigih mencari fakta dan mendapat kesempatan utk bertemu, menemubual selanjutnya berkongsi rasa dengan Natrah secara peribadi.

Malah Fatini juga mendapat kesempatan untuk melihat dan meyimpan semua surat2 antara Mansor Adabi dengan natrah.

Menurut sudut pandangan peribadi, saya percaya bahawa natrah cuma satu watak yg allah turunkan pada bangsa Melayu yg ketika itu sedang hanyut di bawah kawalan kolonial British.

Natrah walaupun berbangsa Belanda tetapi mewakili kelompok org puteh yg menjajah Asia termasuk Indonesia.

Mereka merupakan tuan, dan melayu adalah bangsa yg menjadi pak turut.

apabila trajedi Natrah berlaku, org melayu menunjukkan keberanian bangkit menentang org puteh yg bersifat sbg tuan itu dan sepatutnya pada tahun 1950 itu kemerdekaan tanah melayu berjaya dicapai sekiranya ia dapat diuruskan sebaiknya oleh pemimpin pada masa itu.

Malangnya, kemerdekaan hanya diperolehi selepas 7 tahun dari peristiwa itu.

Bg manapun, semangat kesatuan dan perjuagan menegakkan hak sudah mula membara. Inilah sebenarnya yg patut kita sedari dan hayatinya sehingga kini.

natrah sudah pergi, tetapi semangat dan kebangkitan bangsa dalam mempertahankan maruah diri patutnya berterusan terutama dalam situasi sekarang.