Tuesday, August 12, 2008

Filem Bagaimana yang Kita Harapkan?


Gambar dari Utusan Malaysia

Sabtu lalu berlangsungnya Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 21 (FFM21) di Putrajaya. Festival kali ini sengit daripada segi persaingan pengkarya (terutama pengarah) berbanding pelakon. Beberapa pengarah yang tersendiri, pernah diiktiraf terbaik termasuk dalam kalangan pengkritik dan ahli akademik perfileman turut mengarah filem (penyertaan FFM21 ini). Mereka ialah:

  1. Dr.Anuar Nor Arai – pengkritik filem yang disegani, ahli akademik dan karyawan drama dan filem yang disegani. Beliau mempertaruh Johny Bikin Filem yang telah dihasilkan 15 tahun lalu.
  2. Dr. Hatta Azad Khan – bekas Ketua Pengarah Istana Budaya, kini pensyarah UiTM, pernah menghasilkan filem Mat Som, berdasarkan komik Lat satu ketika dahulu. Hatta juga penulis drama, antara yang terkenal Syyy (Pi Mai Pi Mai Tang Tu). Dr. Hatta mempertaruh filem Wayang.
  3. Suhaimi Baba – pernah beberapa kali menang anugerah bermula Selubung hingga Layar Lara kemudian siri Pontianak dan Waris Jari Hantu dan kali ini mempertaruh 1957: Hati Malaya (yang pernah saya ulas sebagai filem yang menghiris hati)
  4. Osman Ali – pengarah muda yang berpotensi selepas hasilkan Bukak Api dan Surat untuk Bulan, namun makin dikritik selepas Puaka Tebing Biru tambah pula kali ini menghasilkan Anak Halal.
  5. Khabir Bhatia – bukan orang Malaysia tapi cukup cemerlang dalam garapan telenovela melayu (Idaman) dan filem terbaiknya, Cinta. Kali ini mempertaruh Sepi.
  6. Amir Muhammad – banyak menghasilkan filem pendek, juga seorang pengkritik dan pengulas filem selain penulis sastera Inggeris. Filem Susuk merupakan filem cereka pertamanya.

Kali ini tiada penyertaan filem arahan Adman Salleh, U-Wei dan Yasmin. Begitu juga tiada filem Aziz M.Osman, Bada Hj. Azmi dan Yusof Haslam.

Semenjak Suhaimi Baba melepaskan Pontianak Harum Sundal Malam, banyaklah hantu-hantu dan Pontianak di pawagam kita. Ditambah pula dengan hantu Jepun, Korea dan Siam. Pengkarya kita pun berani buat filem hantu dan seram sebab dapat sambutan. Penerbit yang tidak tahu apa-apa tentang karya pun mahu cari untung dengan filem-filem begini. Tapi hanya satu dua sahaja boleh dianggap terbaik.

Satu lagi trend pembikin filem adalah kisah muda-mudi yang samseng gila dan lumba-lumba. Ibarat filem Bollywood yang menampilkan hero yang berlagak miskin namun kuat beradu (bergaduh), filem kita pun mahu buat seperti itu. Filem sebegini tiada jati diri, malah lebih kosong daripada pemikiran tauke-tauke panggung. Tiada apa- yang boleh dibanggakan daripada filem-filem ini melainkan meraikan kegagalan dan kehancuran akhlak.

Filem terbaik FFM21 adalah Kala Malam Bulan Mengambang, arahan Mamat Khalid. Filem hitam putih ini menarik daripada beberapa sudut namun dari segi pemikiran dan budaya, filem Wayang lebih mengusik. Kemengan filem ini tidak dijangkakan apatah lagi bagi anugerah lakonlayar terbaik dimenangi oleh filem Cuci ( Hans Issac). Selalunya filem yang memenangi lakonlayar terbaik mempunyai peluang yang cerah untuk filem terbaik. Entah kenapa pula yang dikatakan lakonlayar filem ini terbaik sedangkan dialog filem ini berbahasa pasar dan perkembangan cerita dapat diduga. Sedikit pelik filem yang bernaratif ringan dan biasa-biasa dapat hadiah lakonlayar terbaik namun filem yang berat pemikiran seperti Johny atau Wayang atau 1957, tidak menang. Cerita asal terbaik pula dimenangi oleh Anak Halal (Osman Ali). Anak Halal pernah dikritik kerana menampilkan kehidupan muda-mudi yang bebas, jauh dari pegangan agama dan rendah moralnya.

Kemenangan Kala Malam Bulan Mengambang bukanlah kemenangan mutlak yang membolot banyak anugerah utama melainkan Pengarah Terbaik (Mamat Khalid), Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik dan Kostum Terbaik. Rumusan mudah dapat dilihat filem ini cemerlang daripada segi pembikinan, pengarahan dan penataan serta pelakon utama yang terlalu kerap muncul bukan kerana inti pemikiran dan ceritanya.

Mamat Khalid adalah pengarah yang serius dan tekun, namun beberapa filemnya dilihat agak main-main (seperti Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang dan beberapa telemovie kelakarnya di NTV7 suatu ketika dahulu). Apabila Mamat menghasilkan Kala Malam Bulan Mengambang,persepsi filem itu seperti filem-filem sebelumnya tetap ada.

Walau apapun, tidak dipertikai kemenangan Kala Malam Bulan Mengambang. Cuma sedikit terkilan filem seperti Wayang (daripada skrip asal di Finas, Kelir Kaku), Johny Bikin Filem (filem noir yang mirip Godfather) dan Sepi (kisah manusia yang bergerak dalam naratif yang menyentuh rasa dan fikiran) tidak diiktiraf sewajarnya. Lagipun agak jarang kita dapat menyaksikan karya Anuar Nor Arai dan Hatta dalam sinema kita.

Agak menarik FFM21 kali ini mengiktiraf Ruminah Sidek (Mak Mah) sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (juga anugerah khas veteran wanita). Inilah keterbukaan penilaian juri pelakon yang dialu-alukan. Pelakon pembantu terbaik tidak semestinya muda yang berperanan kedua atau ketiga penting dalam filem. Watak ibu, orang tua, nenek, orang gaji juga berkesan. Terfikir juga betapa banyak pelakon-pelakon bukan hero dalam sinema kita yang jarang atau tidak pernah diberi anugerah seperti Baharuddin Haj Omar, Haji Arshad, Hisham Ahmad Tajudin, Tamam Idris, Ahmad Marbawi, Roomai Noor, Noraini Hashim, Rokiah Shafie, Rohaya Rahman, M.Suki, Kuswadinata, Mustafa Maarof dan banyak lagi nama (antaranya sudah meninggal dunia)

Daripada senarai penyertaan FFM kali ini, dapat dikesani pola pemikiran karyawan kita berada dalam kitaran yang sederhana. Jangan harapkan unsur falsafah, jangan fikirkan tentang cita-cita mengangkat budaya dan warisan, jangan mimpi tentang moral dan wawasan kemanusiaan, keagamaan, peradaban, teknologi sebaliknya marilah kita tonton kisah anak muda yang samseng di jalan raya dengan kereta mewah, remaja kolej yang suka menyanyi, wanita pendendam, kisah hantu dalam masyarakat yang mengaibkan, korporat melayu yang kehilangan arah, dan gejala masyarakat yang bebas dan mengkhayalkan.

Mungkin kita perlu menoleh ke belakang, dengan mengambil contoh filem-filem yang tersenarai di bawah. Ini adalah filem-filem kita yang telah kita tinggalkan sebagai nostalgia namun filem-filem ini kaya pemikirannya, walaupun tidak begitu tinggi dan hebat namun amat sesuai dan memadai untuk diwajarkan dengan situasi kita, budaya kita dan keupayaan ilmu, persekitaran, modal dan teknologi kita. Kita mahukan filem-filem yang sebegini lagi, terutama pada masa kini. Filem-filem itu antaranya:

  1. Matinya Seorang Patriot (1984) arahan Rahim Razali – kisah keluarga korporat yang patriotik dan sinikal dengan perjuangan Melayu serta perkaitannya dengan tradisi dan agama, juga undang-undang.
  2. Bukit Kepong (1980) arahan Jins Shamsuddin – kisah perjuangan pasukan polis Bukit Kepong yang mempertahan tanah air. Cukup tebal nilai kemanusiaan dan nasionalisme.
  3. Bintang Malam (1991) arahan Adman Salleh – kisah anak muda pulang dari rantauan yang mencari keluarganya dan menyelamatkan kecurangan dan menebus kesilapan.
  4. Sayang Salmah (1994) arahan Mahadi J. Murat – kisah perjuangan yang gagal dan sikap anak muda yang mengikut nafsu hingga lupakan keluarga dan perjuangan.
  5. Ranjau Sepanjang Jalan arahan Jamil Sulong diangkat dari novel Shahnon Ahmad. Kisah kemiskinan dan kepayahan keluarga petani dan ikhtiar mengubah nasib.
  6. Hang Jebat arahan Husain Haniff – kisah dari klasik Melayu Tuah-Jebat tentang kesetiaan, persahabatan, percintaan dan kebenaran.
  7. Semerah Padi arahan P.Ramlee – kisah keadilan dalam agama, juga percintaan dan persahabatan.
  8. Kami (1981) arahan Patrick Yeoh – kisah persabahatan anak gelandangan yang menempuh nasib di kota raya, juga cita-cita dan perpaduan.
  9. Kembara Seniman Jalanan (1985) – filem muzikal tentang situasi industri hiburan yang melibatkan cetak rompak, dadah yang akhirnya dimusnahkan dan dikalahkan dengan kebenaran.
  10. Jogho arahan U-wei Haji Shaari daripada novel S.Othman Kelantan berkisar tentang keputusasaan dalam dua gelanggang, politik dan laga lembu.

dan beberapa lagi filem Melayu yang baik, bermutu, berkesan dalam berbagai-bagai aspek terutama inti cerita, nilai dan pemikitran juga kualiti pengarahan, sinematografi dan aspek-aspek lain sesebuah filem.

Dunia filem Melayu yang dicintai, harapnya filem-filem kita tidak membawa kemunduran pemikiran, kreativiti dan akhlak. Bersama-sama fikirkan dan lakukanlah yang sepatutnya.

2 comments:

Rahimidin Z said...

Tuan Ariff,
aku dah lama tak tengok filem Melayu, sebab filem Melayu dah tak ada.

gaara said...

aku dah lama tak tgk filem malaysia yang tak ada mesej berguna..