Friday, August 15, 2008

Puisi Baha Zain yang Masih Berbara


Postponing Truth and Other Poems (Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain) terjemahan Muhammad Haji Salleh (SN) memuatkan puisi-puisi Datuk Baha secara kolektif daripada Perempuan dan Bayang-bayang (1974), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa ke Kota (1994), Esei dan Puisi Baha Zain (2000), Sajak-sajak Merdeka (tidak diterbitkan) dan Renungan di Taman (tidak diterbitkan).
Baha Zain adalah antara penyair Malaysia yang 'briliant'. Tidak banyak penyair yang sebegini. Pemilihan kata-kata dalam puisinya tepat, tajam dan bijaksana. Gayanya bersahaja namun terkesan. Estetika tetap ada secara terselindung di sebalik makna dan ungkapan kata-kata itu sendiri.
Secara peribadi, puisi Baha Zain tetap membara dari segi pesanan, penyataan, sindiran dan keindahannya juga kelembutan dan romantisnya. Beliau sepatutnya sudah lama diberi anugerah sastera negara (Sasterawan Negara) tetapi tidak pasti pula kriteria yang bagaimana untuk melayakkan penerimaan anugerah itu yang sepatut-patutnya.
Kehadiran buku ini dinanti-nantikan dan dibanggakan!
Saya petik puisi "Dua Wajah Kenyataan"
Bulan sebahagian tergantung di langit kelam
Bintang-bintang tersusun seakan berserakan
Api-api berkelipan di perahu nelayan
permukaan yang siang tadi menyilaukan
kini pekat, berat dan hitam
hanya cahaya pembeza ukuran
antara kenyataan siang
dan kenyataan malam
di mana batasmu langit dan lautan
(1993)

3 comments:

lutfi said...

Seorang Baha Zain tidak terlalu mabuk kata, tetapi, beliau seorang penyajak yang menyerdahanakan kata dan pemikiran. Sebenarnya, beberapa penyajak generasi beliau, seperti Muhammad Hj. Saleh, juga sederhana, antara pemilihan diksi, gaya dan pemikiran.
Sajak-sajak Baha Zain, ialah rakaman renungan akal dan pemikirannya sendiri.
salam

Baha Zain said...

ASM Sdr Arif
Ada saat tertentu apabila seorang penulis berasa gembira apabila tulisannya dihargai oleh penulis lain. Saat yang dia lebih terharu ialah apabila penulis daripada generasi lain berasa selesa dengan pengucapannya; bererti dia telah menjembatani emosi dan fikiran dua zaman berlainan yang memendam nilai-nilai yang tahan dan manusiawi. Bahasa yang hidup dan sarat makna menjadi medium perhubungan idealisme zaman berzaman. Teruskan ekspresi bangsa yang merdeka

ekspresi said...

terima kasih datuk baha. saya percaya karya datuk akan terus dikenang dan disebut-sebut.