Sunday, August 20, 2006

Melayu di Pulau Pinang


Nasib Melayu di Pulau Pinang masih belum terbela dan terbela (bela-pelihara, bela-dilindungi). Masalah Melayu di Pulau Pinang (terutama bahagian pulau, sekitar George Town) sejak sekian lama masih tidak berubah. Isu ini telah dibangkitkan sejak tahun 70-an, berterusan dalam 90-an hinggalah ke hari ini. Lebih menyedihkan pemimpin utama negara kita satu ketika dahulu dan sekarang adalah dari utara (Tun Dr. Mahathir, Dato’ Seri Anwar, Dato’ Seri Abdullah).
Dalam Mingguan Malaysia hari ini (20 Ogos 2006), wawancara dengan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Salim Abd Bari dinyatakan beberapa persoalan tentang nasib Melayu di negeri itu dan juga berkaitan dengan cadangan penggiliran jawatan Ketua Menteri. Belum pun usul penggiliran jawatan ini dibawa ke peringkat lebih atas, mereka sudah diberi ‘amaran’ agar tidak memanjangkannya. Parti Gerakan nampaknya cukup bimbang kehilangan kuasa. Tapi UMNO peringkat pusat perlu mengambil perhatian akan hal ini.
Antara isu orang Melayu di Pulau Pinang yang dinyatakan dalam MM hari ini ialah pemilikan tanah di bandar, pengabaian kawasan Melayu di bandar, pembangunan tanah wakaf, pembangunan luar bandar yang meminggirkan orang Melayu dan masalah sosial antaranya penagihan dadah.
Di tengah-tengah bandar raya Geoge Town atau sekitarnya, payah sekali menemui nama Melayu yang gah. Kedai-kedai besar tidak banyak milik Melayu. Jika adapun hanya kedai-kedai kain dan restoran yang boleh dibilang dengan patahan jari. Melayu lebih banyak ditemui menjual laksa dan air sirap di Jalan Kulit atau gerai pasar malam. Yang lain dikuasai orang Cina dan India Muslim. Penguasaan ekonomi di sini telah lama dikuasai oleh bukan Melayu.
Orang Melayu di Pulau Pinang (termasuk Seberang Perai) perlu bangun bersuara. Secara umum, seluruh Melayu di negara ini perlu mengambil perhatian akan perkara ini. Menjelang ulang tahun kemerdekaan, tidak salah malah digalakkan menunjukkan patrotisme dengan mengibar bendera. Namun apa maknanya jika kita hanya berdiam diri tentang hal-hal sebegini.


p/s: Saya pernah tinggal di Pulau Pinang selama tiga tahun sebagai pelajar. Saya tinggal menyewa di No. 63, Lengkok P.Ramlee tidak jauh dari jalan Air Itam dan Jalan Free School. Pernah mengajar di SRK Francis Light dan di Tanjung Tokong. Ketika itu saya sudah nampak permasalahan Melayu di sini.
Banyak kenangan di Pulau Pinang. Persekitaran lautnya cantik. Angin bukitnya segar. Nasi kandarnya memang ‘power’, dan tidak lupa anak mami yang manja.

No comments: