Thursday, May 28, 2015

Daun Kenangan...

Daun Gugur
(mengenang Rahimidin Zahari, 1968-2015)

tidak pernah putus dengan puisi-puisnya
puisi manis
puisi menghiris
puisi berbunga
seperti senyummu
terlihat mesra dan kasih sayang.

bertahun-tahun kita berjalan
menyibakkan kertas dan catatan
pengalaman tidak terlupakan.

dia penyair
dekat di hati sebagai sahabat
menusuk dalam kata-kata puisi, bersalut keindahan
gigih dengan kitab, dengan majlis ilmu
tahu tentang tradisi, petuah dan amanah
peribadi mengusik sempadan
antara pengajaran, nasihat dan sindiran
mengenal dan bersahabat
sebagai bayangan mengenal diri sendiri.

terlalu cepat kau pergi
tiada upaya, inilah kudrat Ilahi
segalanya terangkum dalam bait-bait kenangan.
ya Allah,
kau sempurnakanlah perjalanan
saudaraku, rahimidin zahari.

ARIFF MOHAMAD
28 Mei 2015


Al Fatihah, dan doa kesejahteraan buat sahabat, Rahimidin Zahari yang telah pulang ke pangkuan Ilahi pada 14 Mei 2015 di Hospital Sungai Buluh. Sungguh tersentuh rasa hati. Beliau merupakan sahabat, sebagai abang, dan juga sebagai guru. Terlalu banyak kenangan bersama-sama beliau. Dan tentunya terlalu banyak kebaikan yang telah diberikan.
Malah, apabila membuka blog ini, menaip kembali sebagai entri, tentunya kuat teringatkannya.
Sepanjang hayatnya, beliau tidak pernah berhenti menulis puisi. Selain sebagai seorang yang mempunyai kelebihan dalam seni persembahan, terutama tradisi dari Kelantan, wayang kulit dan pernah mengarahkan drama pendek Rebab Berbisik yang menggabungkan unsur tradisional dan moden.
Puisi-puisinya jujur, indah dan tepat. Peribadinya lembut, luhur dan mesra. Kumpulan puisi terakhir beliau dijudulkan Sehelai Daun Kenangan. Aduhai, judul itu tentunya membuatkan sesiapa yang mengenali peribadi beliau lebih dekat, tidak dapat menahan sebak.

Gambar di bawah, adalah gambar terakhir bersama-sama beliau, pada 31 Mac 2015, sebaik sahaja selesai menonton teater Kena Main di Istana Budaya, tempat beliau berkhidmat.


Saturday, January 04, 2014

http://www.cinando.com/DefaultController.aspx?PageId=FicheFilm&IdC=39&IdF=133524
The Happy Life of Debbie, Sebuah daripada empat filem Taiwan dalam siri 'perkahwinan imigran'.

Saturday, June 15, 2013

Setelah lama tidak menulis blog, setelah terlupa kata kunci, dan memperoleh kembali. Ada rasa yang mengasak dan mengajak. Ada fikiran yang mahu perkongsian. Ada hati yang mahu bercerita. Dan, semua itu tentunya menuntut ruang masa dan kudrat, yang setara kadarnya, mengikut upaya.

Wednesday, January 11, 2012

PPMN Fasa Ketiga

PPMN mempunyai rentetan peristiwa dan sejarahnya tersendiri. Saya akan memperkata tentang PPMN dari sudut pandangan peribadi di sini.

PPMN fasa ketiga telah dilaksanakan 16-18 Disember lalu. Sejak dari PPMN pertama, saya berperanan sebagai ahli jawatankuasa, dari sekecil-kecil tugas hingga tugas-tugas yang penting. Juga berkesempatan membentangkan kertas kerja (PPMN kedua dan ketiga). Semua itu pengalaman yang menarik dan tentunya kenangan yang indah.

PPMN dijayakan dengan kerjasama banyak pihak. Kerjasama daripada idea dan tenaga, juga bantuan daripada segi kewangan, penyediaan bahan dan sarana dan persediaan tempat penganjuran. Menjayakan PPMN, dan seminar-seminar yang lain juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga, juga fikiran dan sikap mengawal rasa dalam beberapa keadaan, terutama bagi yang dipertanggungjawabkan jawatan-jawatan penting.

PPMN pertama diadakan di Tanjung Piai, Johor pada tahun 2005. SM Zakir bertindak sebagai Pengarah dibantu oleh Shamsuddin Othman, Mohamad Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali dan barisan jawatankuasa dalam kalangan penulis muda yang berterusan bekerjasama dengan PPMN dan program-program PENA yang lain. Ucap utama disampaikan oleh Datuk Baharuddin Zainal. PPMN kedua diadakan di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2009 dibarisi AJK yang diketuai oleh Saifullizan Yahaya sebagai Pengarah Program dibantu oleh Muhammad Lutfi Ishak. Ucap utama disampaikan oleh SN Datuk Dr Anwar Ridhwan.

PPMN ketiga berlangsung di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur. Pengarah Program Muhammad Lutfi Ishak dibantu saya dan AJK yang bekerja keras dari awal seperti Rebecca Ilham, Norziati Rosman, Hani Salwah dan ramai lagi termasuk Zaiful Nizam, dan Ijamala MN yang tetap setia dengan PPMN dari yang pertama hingga ketiga ini. Juga tenaga-tenaga baru seperti Fadli Akiti, Nisa Yusof, Hafiz Latif, Norhazwin, Zarif Hasan, Arif Atan dan Ali Atan dan yang lain-lain. Ucap utama disampaikan oleh Datuk Profesor Dr Mohd Salleh Yaapar. Terima kasih juga kepada para wartawan sastera dari Berita harian dan Saudara Ku Seman dari Mingguan Malaysia.

PPMN ketiga juga sempat meluncurkan tiga buah buku iaitu antologi Karya Sasterawan 2011, Perjuangan Penulis Muda ; Arah dan Cabaran (kumpulan kertas kerja) dan Takah Lima Puluh (antologi puisi sempena 50 tahun PENA).

PPMN ketiga yang bertemakan “Pengukuhan Makna diri Pengarang Muda” membariskan para pembentang kertas kerja daripada pelbagai latar pengamalan dan penguasaan subjek. Yang pasti, terdapat kertas kerja yang baik daripada segi penghujahan. Terdapat kertas kerja yang diberi perhatian lebih oleh pihak-pihak tertentu dari sisi pro dan kontranya. Yang kena pada yang pro tentulah pujian melangit akan diberikan, manakala yang kontra tentulah ada emosi sinis diungkapkan. Cuma, perbahasan-perbahasan lanjut tidak pula mahu diteruskan. Dalam waktu yang sama, ada yang bersikap neutral dan buat-buat tidak kisah.

Sememangnya dunia kesusasteraan mahukan perdebatan dan polemik dengan niat untuk kebaikan. Namun keadaan ini berlangsung secara sangat sederhana. Malahan perbincangan tentang dunia sastera dalam akhbar, majalah dan blog semakin kurang ditambah pula dengan adanya laman sosial seperti facebook dan twitter yang lebih banyak berbicara soal peribadi yang kadangkala berbunyi remeh-temeh. Mungkin, berbicara tentang apa-apa subjek berkaitan dunia sastera sama ada teorinya, suasananya dan kesesuaiannya dengan zaman tidak begitu menarik dan menguntungkan lagi. Jadi, perbahasan ilmu itu hanya dalam kertas kerja, seminar dan kuliah semata-mata.

Seperti PPMN yang sebelumnya, perhimpunan kali ini membawa resolusi pada akhir seminar. Resolusi PPMN ketiga antara lain mengesyorkan agar para penulis/ pengarang memanfaatkan nilai-nilai sejagat sebagai teras pemikiran dan pengucapan dalam pengkaryaan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukunegara. Selain itu menegaskan bahawa
Dasar Kebudayaan Kebangsaan mesti diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu manifestasi kerangka kebudayaan yang jelas.

Saranan kepada Kementerian Pelajaran juga diberikan untuk memartabatkan sastera kebangsaan dalam sistem pendidikan negara dengan menekankan aspek kesusasteraan dan saintifik secara seimbang. Juga kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan agensi kerajaan yang terbabit mesti menyediakan geran penyelidikan, zamalah, penerbitan dan memberi peluang kepada penulis muda yang berbakat untuk menyertai aktiviti peringkat serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan intelektualiti dan kreativiti. Agensi tersebut dan pihak-pihak lain yang berkaitan perlu mewujudkan program pertemuan penulis muda peringkat Asean untuk mempertemukan penulis muda serantau bagi merapatkan hubungan kebudayaan serantau.

Dalam resolusi PPMN ketiga juga mengesyorkan agar Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memberikan biasiswa kepada penuntut cemerlang dan penulis lepasan sekolah untuk menuntut dalam bidang kesusasteraan sama ada di dalam negeri atau di luar negara. Dan yang terakhir, agensi-agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri perlu memperbanyak peruntukan untuk menyemarakkan aktiviti kesusasteraan, kebudayaan, pemikiran dan penerbitan penulis untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada antara penulis di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

PPMN ketiga memberi kenangan manis apabila perasmian dilaksanakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Sumbangan RM 1 juta kepada PENA yang diumumkan pada malam perasmian, yang serentak juga melancarkan sambutan 50 tahun PENA sesuatu di luar jangkaan. Kepada suara-suara di luar yang agak pesimis dengan situasi ini, percayalah, apa yang PENA lakukan termasuk PPMN ini bukanlah untuk kepentingan peribadi. Ini untuk dimanfaatkan bersama-sama. Soal politik satu hal yang lain tetapi siapa lagi yang diharapkan untuk menggerakkan bahasa, budaya dan sastera sesebuah negara? Bukankah pemerintah itu sangat berperanan. PENA tidak perlu dicemburui, kerana PENA tidak pernah pun berasa cemburu dengan sesiapa.

PPMN keempat hanya dalam bayangan. Saya, mungkin hanya hadir untuk bertemu kawan-kawan sahaja nanti. Harapnya PPMN keempat dilangsungkan dengan lebih baik dan bermanfaat. Jika tiada PPMN keempat dan seterusnya, saya antara yang terasa amat terkilan.

Kembara


Selain memandu, kembara saya sepanjang sebelum berlangsung PPMN
menggunakan pengangkutan awam, bas dan komuter. Memerlukan masa yang banyak, penat berjalan namun menjimatkan wang. Tidak perlu memikirkan tol, parking dan petrol.
Saya masih terus berkembara dalam Kembara Pasca-S, dan suka dengan cara ini, sesekali.

Lensa PPMN 3

PM memang mahu jumpa penulis muda...

Meja L2. Paling belakang.
Itu tempat yang paling sesuai untuk Timbalan Pengarah Program PPMN yang juga AJK PENA. Gambar bersama-sama Sindiket Soljah.


Penerima anugerah Tokoh PENA pertama, Datuk Baha Zain.
'Hanya orang perjuangan tahu makna sebenar sebuah perjuangan'


Sdr. Mohd Khair Ngadiron, ketua eksekutif ITNMB (ITBM) mula saya kenali sebagai ketua hakim debat dari UIA. Mohd Khair yang melorongkan jalan PPMN dirasmikan oleh PM.
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, anak Penghulu di Chemor kini Presiden PENA.
Kejayaan Khair dan Saleeh adalah bukti bahawa kita perlu berani
bermain dengan mimpi-mimpi.


Zaen Kasturi, penerima SEA Write Award 2010. Zaen seperti idola bagi kebanyakan penulis muda. Kini Zaen sudah tidak begitu muda. Dalam karyanya masih banyak yang belum benar-benar tersingkap? Kenapa tiada yang mahu membincangkan puisi siri "Ingatan Kepada Kawan' itu sudah berpuluh-puluh itu?

Saya bersama SN Anwar Ridhwan. "Penyeberang Sempadan"
sebuah catatan sejarah secara kreatif dan nostalgia yang menarik.


Pelajar-pelajar saya dari UPSI yang hadir dalam PPMN dan membantu berlangsungnya seminar.
Antara bakal guru yang bertebaran di seluruh negara.
Ingat, suara UPSI ada di mana-mana!


Salah satu sesi pembentang dalam PPMN 3.
Kerusi yang kosong bermakna ada pembentang yang tidak hadir.
Jadi, biarkanlah moderator bertindak seperti panel juga...


Muziru, paling aktif bertanya menggantikan tempat Ali Atan dalam PPMN 2 dulu.
Kalau ada lagi ramai macam ini lagi bagus!

Antara peserta PPMN yang benar-benar muda. Masih bersekolah.
Nombor 2 dari kiri itu pelajar Universiti Malaya dari Jepun.
PPMN bukan lagi bertaraf nasional tetapi sudah ke peringkat antarabangsa.


Simbol lonjakan berbentuk tiga segi. Apa yang melonjak, tanyalah peserta.


Semua peserta bergambar dari kamera view mata burung.
Ayuh, kita semarakkan sastera Malaysia!

Lutfi bersama-sama penulis muda yang sudah tidak muda,
S.M Zakir (juga penerima SEA Write Award 2011).
Dua perempuan itu, Hani Salwah dan Rebecca (ada nama Melayunya)
adalah harapan untuk pelaksanaan PPMN seterusnya.


Gambar tiga bulan sebelum PPMN berlangsung. Nampak rileks tapi risau...


Antara buku yang dilancarkan. Minta maaf jika ada yang marah-marah karya anda tidak dimasukkan. Pengumuman untuk hantar karya telah dibuat enam bulan sebelum PPMN. Sila hubungi Rumah PENA untuk membeli buku ini.

Tuesday, September 06, 2011

Perginya Seorang Pemikir Melayu

Orang Melayu mempunyai ciri-ciri pemikir yang unik. Keistimewaan Melayu dalam pengungkapan bahasa memang diakui oleh orang-oarng luar, walaupun ada segelintir orang Melayu yang kurang faham tentang kebijaksanaan bangsanya sendiri. Antara orang Melayu yang bijak ini ialah Zainal Abidin Ahmad (Za'ba), P.Ramlee, A. Kadir Adabi, Ishak Haji Muhammad, Usman Awang, A, Samad Ahmad, Aminuddin Baki, dan banyak lagi. Kesemua mereka telah pergi meninggalkan kita. Dalam bulan Ramadhan yang lalu, kita juga kehilangan seorang sasterawan yang istimewa, Azizi Haji Abdullah.
Kepergian Dato' Hassan Ahmad pada 31 Ogos 2011 ketika ulangtahun kemerdekaan negara dan hari raya kedua merupakan satu kehilangan besar bagi bangsa, agama dan negara ini. Benar, perginya tiada ganti. Almarhum adalah pemikir Melayu yang tersendiri. Alfatihah.

Khazanah pemikir Melayu yang ada pada simpanan saya. Falsafah Melayu terselit di dalamnya. buku-buku ini mungkin sudah tiada dijual di pasaran apatah lagi urusan percetakan diserahkan kepada syarikat yang bermasalah. Namun masih banyak di perpustakaan.

Al-fatihah juga buat wartawan sejati, jurugambar Bernama TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang meninggal dunia di Somalia 2 September lalu.

Sunday, July 31, 2011

Ramadhan dan Cita-cita

Salam Ramadhan almubarak.
Moga-moga Ramadhan yang mempunyai seribu keindahan ini turut memberi ruang kepada kreativiti selain melebihkan amalan wajib dan sunat yang dituntut. Semoga Ramadhan yang penuh dengan cahaya dan keberkatan ini menajamkan akal dan hati untuk berkarya sebaik-baiknya. Semoga Ramadhan juga memberi jawapan kepada beberapa keraguan dan kebimbangan berkaitan dengan tuntutan melunaskan cita-cita yang ingin didapatkan selama ini.
Sungguh pun ada perkara yang membuatkan rasa terkilan, tetapi harapnya ada yang memberikan rahmat yang tersembunyi.

Thursday, July 21, 2011

Lensa Mastera

Untungnya sampai awal ke Jakarta sempat pada hari terakhir Pesta Buku Jakarta 2011. Setiap gerai menawarkan diskaun minimum 20%. Kali kedua mengunjungi Istora Senayan. Tiba-tiba terbayang Lee Chong Wei dan Taufik Hidayat beraksi.

Kelompok 3 yang sentiasa berinspirasi. Berdiri dari kiri: Saat Omar (Malaysia), Nisah Haron (pembimbing Malaysia), dan Mohd Rafi (pembimbing Singapura). Duduk dari kiri: Shahira (Singapura), Ilyani Khalid (Malaysia), Zakiya (Indonesia) dan Cornelia (Indonesia).

Bersama-sama Bapak Ahmad Tohari, sasterawan Indonesia yang saya kagumi. Antara novel beliau Ronggeng Dukuh Paruk, Kubah, Nyanyian Malam dan edisi terbaharu Bekisar Merah. Pernah menulis di bawah cahaya lampu minyak tanah dan menaip tanpa langkau demi menjmatkan kertas.

Para peserta, pembimbing dan panitia yang ‘luar biasa’ sifat setia kawan dan komitmennya.

Bersama-sama Seno Gumira Ajidarma. Asyik beliau bercerita tentang novel Jazz, Parfum dan Insiden melalui ceramah beliau. Banyak juga menulis cerpen, antara yang terkenal ialah Sebuah Pertanyaan untuk Cinta, Cinta di Atas Perahu Cadik dan terbaharu dalam cerpen pilihan Kompas 2010, Dodolitdodolitdodolibret. Antara kata-kata Seno yang sempat saya catat: “Karya yang sukses ialah karya yang dibilang bagus dan jelek.”

Bersama-sama Hafizah Iszahanid dan Asma Nadia. Asma Nadia, adinda kepada Helvi Tiana Rosa ini memiliki syarikat penerbitan buku sendiri selain aktif menyampaikan ceramah sastera dan kekeluargaan. Filem Emak Ingin Naik Haji berdasarkan cerpen beliau dengan judul yang sama. Antara kata-kata Asma, “guru yang paling baik ialah membaca.”

Di sebuah perkampungan perladangan teh Gunung Mas.
Udara segar dengan panorama yang cantik.

Panorama Gunung Mas yang luar biasa indahnya. Gambar asli tanpa sebarang editing. Saya menggunakan kamera DSLR Sony Alpha menggunakan seting aperture dan shutter automatik gambar saiz 16:9 . Saya juga peminat fotografi, terfikir akan datang lagi khusus untuk mengambil gambar.

Rombongan Cik Kiah dari Malaysia. Berdiri dari kiri: Bahrudin Bekri (tidak banyak bicara, tapi diajak menyanyi, boleh saja! katanya), saya yang mewakili batik Malaysia, Cikgu Abdul Razak Adam (katanya sangat berbaloi hadir ke bengkel Mastera walaupun dengan belanja sendiri), Husairi Hussin (terpaksa pulang awal kerana kemalangan kakanda di Baling), dan Saat Omar (terkilan kerana Putu Wijaya yang dikagumi pulang awal). Duduk dari kiri: Hafizah Iszahanid (peserta ‘last minute’ ke Mastera yang banyak bertanya, al-maklumlah dia ini seorang wartawan),Nisah Haron (peserta Indonesia bernama Cornelia mengatakan puan ini begitu energetic sekali)dan Ilyani Khalid (kak yong dari Kuala Kangsar yang tidak perlu tukar gear dialek Perak apabila berjumpa saya dan Hafizah).

Mesyuarat agung di luar talian. Malam akhir di Bogor. Semoga berjumpa lagi.
Semoga terus berinspirasi.

Dari Bogor menuju ke Bandung,
Dari Bandung kembali ke Jakarta;
Kawan ditemu ilmu dikendong,
Sepanjang hayat tidak kulupa.

MASTERA, Kreativiti dan Saudara Nusantara

Saya seharusnya memuji, apabila MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) diwujudkan dengan pengisian yang wajar. Saya ingin terus memuji dan mengakui bahawa Program Penulisan MASTERA yang berselang pelbagai genre dari tahun ke tahun merupakan satu program yang amat bermanfaat. Pengalaman mengikuti Program Penulisan MASTERA : Novel Tahun 2011 yang berakhir Jumaat, 15 Julai lalu sesuatu yang amat berharga bagi saya, dan tentunya yang lain.
Program ini bukanlah bertujuan semata-mata untuk melahirkan novel yang hebat. Bukan juga untuk memastikan novel itu semestinya mendapat sambutan hangat untuk berada dalam carta pilihan pembaca kedai buku besar. Program ini juga bukan semata-mata untuk mengajar teknik penulisan yang berkesan. Program ini bukan untuk mengajar sesiapa. Program ini program wacana, perbincangan dan diskusi secara formal dan sebaiknya. Bagi saya, perbincangan dalam kumpulan amat bermanfaat, namun perbincangan di bilik rehat atau di luar kamar mahupun di dewan makan, juga memberi pengisian yang tersendiri. Benarlah kata orang pengalaman tidak boleh dijual beli.
Bengkel MASTERA Genre Novel 2011 disertai oleh 18 peserta dari empat buah negara iaitu tujuh orang dari Indonesia, tujuh orang dari Malaysia, dua orang dari Brunei Darussalam dan dua orang dari Singapura. Malaysia diwakili oleh Hafizah Iszahanid, Ilyani Khalid (Jemari Seni), Husairi Hussin, Bahruddin Bekri (PTS), Mohd Saad Omar, Abdul Razak Adam, dan saya. Program ini berlangsung pada 11-15 Julai 2011 di Andara Resort, Cisarua, Bogor, Indonesia. Urus setia program ialah Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan Nasional, Republik Indonesia manakala pembimbing pula tiga orang dari Indonesia (Ahmad Tohari, Putu Wijaya dan Asma Nadia), seorang dari Malaysia (Nisah Haron), Brunei (Dr. Haji Morsidi) dan Singapura (Muhammad Rafi) serta seorang penceramah undangan (Seno Gumira Ajidarma).
Program diisi dengan perbincangan manuskrip masing-masing. Manuskrip dibedah oleh pembimbing dan pandangan juga diberi dalam kalangan peserta. Tiga pusingan perbincangan berlaku kerana perbincangan berbeza cara mengikut pembimbing yang digilirkan. Saya membawa manuskrip sebuah novel bertema sosiopolitik yang saya gemari. Saya sangat berterima kasih atas pandangan yang diberi oleh para pembimbing dan rakan-rakan dalam kalangan peserta.
Program Penulisan MASTERA telah berlangsung selama 14 tahun sejak 1997. Pusingan untuk genre novel telah tiga kali iaitu 2001, 2006 dan 2011. Saya terlepas untuk tahun 2006. Tapi rupa-rupanya 2011 saya berpeluang juga walaupun pada hujung syarat usia. Saya pernah berasa kecil hati dengan MASTERA dan bersikap membiarkan sahaja apabila keliru dengan cara pemilihan peserta dari tahun ke tahun pelbagai genre.