Monday, May 23, 2011

Lensa di Tanjung

Shamsudin, saya dan Rahimidin dapat merasakan aura seorang Sasterawan Negara. Akhir perjalanan singkat ke Pulau Pinang sempena cuti Hari Vesak.

Kesempatan yang sangat bermanfaat. Bersama-sama SN Muhammad Haji Saleeh di rumahnya.

Ridzuan, Rahimidin dan Shamsudin sempat bergambar dengan anakanda Sasterawan Azizi Haji Abdullah bernama Azimah di pintu wad ICU Hospital Pulau Pinang. Hajat melawat kesampaian juga, dalam kawalan rapi dan masa yang terhad.

Buku-buku lama di Chowrasta. Sekarang sudah mahal sedikit berbanding lima tahun dan sepuluh tahun lalu. Sedikit panas, dan berhabuk. Jangan terkejut buku anda (para penulis) ada banyak di sini berbanding dalam simpanan anda sendiri.


Rahimidin kata, dulunya ini rumah Syed Sheikh al-Hadi, pengarang Hikayat Faridah Hanum. Sekarang, apa sudah jadi?

Pasar Jalan Kulit. Unik.

Monday, May 09, 2011

Buku, Penulis, Penerbit dan Perjuangan Duit

Seronoknya mendengar berita dan cerita sepanjang pesta buku antarabangsa di PWTC baru-baru ini. Seronoknya dengar orang-orang bercakap tentang pesta buku yang menjual buku-buku popular, majalah dan komik itu. Seronoknya bercakap tentang novel-novel apa yang laku di pesta buku. Seronok juga bercakap tentang jenis-jenis novel yang tidak laku-laku. Seronoknya melihat buku-buku termasuk buku puisi-puisi yang diterjemahkan ke bahasa Jerman adalah antara puisi-puisi ‘terbaik’ Malaysia yang dipilih. Seronoknya apabila melihat puisi-puisi tertentu yang dipilih kerana kononnya terbaik itu adalah yang ‘bukan terbaik’ rupa-rupanya dan ada sesetengah penulisnya tidak diketahui pun wujudnya dalam dunia puisi Melayu di Tanah Melayu ini. Seronoknya apabila orang yang sepatutnya tahu apa itu puisi pun sudah lupa puisi itu bagaimana rupa-rupanya. Seronoknya juga apabila Kementerian Pelajaran mengumumkan Sasterawan Negara ke 11 selepas habisnya pesta buku antarabangsa. Jadi, tidak perlulah buku SN itu dipromosi pada pesta buku tahun ini. Tunggulah pada tahun hadapan untuk melihat SN hadir diraikan di pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur. Seronoknya juga dengar rungutan orang tidak senang kerana sering diganggu dengan jurujual produk pembelajaran bahasa Inggeris yang tidak tahu membezakan antara pesta buku dengan jom heboh. Seronoknya dengar ada pengakuan penyanyi yang memperjuangkan bahasa Melayu sedangkan lagu-lagunya tidak pun menunjukkan kecintaan kepada bahasa Melayu termasuk namanya, nama kumpulannya dahulu dan sekarang. Seronoknya lihat jurujual yang mengesyorkan buku komik untuk orang tua seperti saya. Seronoknya tengok poster-poster penulis-penulis Malaysia yang haram satu pun ada gambar Sasterawan Negara atau tokoh-tokoh bahasa dan budaya. Seronoknya bukan kepalang apabila melihat gerai-gerai novel-novel popular penuh sesak sedangkan buku-buku agama dari Nusantara dan Timur Tengah sepi dan sunyi. Seronoknya lihat buku-buku akademik diletakkan di tingkat paling atas dan tutup pada pukul enam petang. Seronoknya lihat penerbit-penerbit universiti mencampurkan semua buku tidak kira bidang dan pengkhususan di rak-rak buku. Seronoknya. Seronoknya. Seronoknya mereka.

Saya kunjungi pesta buku setiap tahun. Namun kali ini, Pesta Buku Antarabangsa 2011, adalah pesta buku pertama yang saya tidak membeli sebuah buku pun.