Thursday, December 24, 2009

2009 daripada Beberapa Dimensi

Tahun 2009 akan berakhir dua minggu lagi. Tahun baru Hijrah 1431 baru muncul seminggu. Suatu peralihan yang cantik.
Saya melihat 2009, sebagai pandangan peribadi daripada beberapa dimensi secara umum.
Politik. Peralihan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional pada tahun ini. YAB Dato’ Seri Najib mengambil alih tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri. Dalam waktu yang sama, pakatan pembangkang yang bercakap tentang peralihan kuasa telah gagal, sambil tetap menyimpan hasrat. Keunikan politik Malaysia menarik untuk diperhati dan diperkatakan.
Sosial. Hal ehwal masyarakat tidak banyak berubah tetapi kebimbangan keadaan zaman yang semakin mencabar dan kata kunci 'globalisasi'. Gagasan Satu Malaysia dalam konteks masyarakat, ada pro dan kontra.
Ekonomi. Tahun ini suasana agak cemas. Dasarnya dilihat selesa namun hakikatnya situasi agak menggugat. Kadar inflasi tinggi. Harga barang naik. Cukai dikuatkuasakan dalam itu ini. Kakitangan kerajaan tiada bonus (Cuma insentif RM500).
Agama. Masih berlingkung dalam persoalan sensitif jika diperkata berlebihan. Ada perdebatan tentang mazhab dan fahaman yang kadangkala mengelirukan masyarakat. Ada kecenderungan untuk mempertikai tokoh dan ilmuan agama.
Sukan. Tiada peningkatan secara keseluruhan. Pingat emas bola sepak dalam Sukan Sea bukan ukuran. Sukan Sea hanyalah sukan peringkat Asia Tenggara yang tarafnya tinggi sedikit daripada Piala Malaysia sahaja. Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini, tindakan penonton pasukan yang kalah tidak menunjukkan kemajuan.
Hiburan. Masih tetap sama. Lagu yang sedap didengar lagu dari Indonesia juga. Kehilangan beberapa karyawan seperti Ustaz Asri Rabbani dan pengarah filem Yasmin Ahmad turut memberi kesan. Namun kehadiran pengarah luar seperti Khabir Bhatia, dengan hasil karya yang kreatif, sepatutnya dialu-alukan. Akademi Fantasia semakin pudar. Sehati Berdansa kering idea. Masyarakat masih mengangkat hiburan ringan.
Bahasa Melayu. Tetap malang. Walaupun PPSMI telah dimansuhkan tetapi terpaksa menunggu dua tahun lagi. Itu pun setelah diasak dengan memorandum dan pelbagai forum. Kini, ada kecenderungan meletakkan bahasa asing sebagai bahasa yang sama penting dengan bahasa Melayu di negara ini.
Kesusasteraan. Sederhana. Tiada program yang besar, mungkin kerana sokongan kewangan yang kurang. GAPENA, sebagai badan penulis yang terbesar telah berpindah rumah, dan semakin sunyi. Tahun ini negara mengiktiraf seorang lagi Sasterawan Negara. DBP mempunyai Ketua Pengarah yang baru yang sebelum ini menguasai pentadbiran sebuah badan yang mengendali peperiksaan. Teks baru untuk komponen sastera (Komsas) akan mula digunakan 2010 bagi tingkatan satu. Kemunculan penulis baru banyak di blog. Golongan tertentu semakin menjadi-jadi mempromosi kelompok mereka.
Teknologi. Pesat berkembang dalam bentuk perisian dan peralatan. Namun kadar bayaran dan bil tetap sama. Penggunaan jalur lebar dan tanpa wayar sangat memuncak.
Pembangunan. Banyak bangunan baru. Pembangunan desa diberi perhatian walaupun geraknya perlahan. Dalam waktu yang sama, semakin bertambah bangunan runtuh dan diruntuhkan.
Penerbitan. Agak rancak walaupun banyak atas dorongan komersial dan keuntungan. Satu kemajuan yang sihat. Kejayaan beberapa syarikat bumiputera seharusnya dipuji. Namun begitu, budaya membaca masih sederhana, malahan jika dilihat kajian tentang budaya membaca amat menyedihkan.
Pendidikan. Sudah masuk fasa terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Hasilnya masih kabur. Manakala pengajian tinggi pula semakin bertambah universiti awam, swasta, kolej universiti dan kolej swasta. Cuma, budaya pendidikan tinggi belum meresapi sepenuhnya dalam jiwa siswa-siswi.
Seni dan kebudayaan. Gagasan Satu Malaysia sedikit sebanyak mengganggu identiti dan menjadi cacamerba hinggakan pudar keaslian dan jatidiri. Program seni di media terlalu sedikit. Hasil seni seperti lukisan dan fotografi yang baik ada tetapi kurang disebarluaskan.
Kesihatan. Kemunculan selesema babi atau influenza H1N1 membimbangkan masyarakat hingga ada yang dikuarantin. Iklan basuh tangan di televisyen dan di mana-mana seolah-olah sebelum ini orang ramai tidak pandai membasuh tangan. Namun begitu, tiada pula iklan tentang pemakanan yang sihat dan latihan pakar perubatan serta usaha merapatkan nisbah pegawai perubatan dengan pesakit digiatkan.
Kemelut Antarabangsa. Kemunculan Obama di Amerika melebihi populariti daripada sumbangan. Bumi Palestin diasak lagi dan semakin menghibakan. Afghanistan tetap serupa.
Demikian, sebagai renungan.

Selamat Pengantin Baru


Selamat pengantin baru buat adik ipar, Saiful & Aisyah. Majlis pernikahan di Kota Bharu 11 Disember 2009 dan kenduri pada keesokannya kemudian majlis di Alor Setar pada 19 Disember 2009. Semoga bahagia berkekalan sepanjang hayat.

Main Kamera

Wednesday, December 16, 2009

Tentang Teater Natrah


Teater Natrah: Antara Garapan Kreatif Imaginatif dan Karya Biografi
Oleh ARIFF MOHAMAD
Mengangkat peristiwa sejarah dalam karya merupakan komitmen yang berat. Namun begitu, ada kelonggaran diberi pada penghasilan teks pengkaryaan jika sesuatu peristiwa sejarah itu dihasilkan dalam bentuk kreatif imaginatif. Usaha ini telah banyak dilakukan sambil menyerahkan pentafsiran makna dan pengajaran kepada khalayak sama ada pembaca ataupun penonton. Sebagai sebuah karya yang berjaya, pancaran kebijaksanaan pemikiran yang dibawa dan sentuhan seni daripada berbagai-bagai sudut seharusnya dapat dikesani.
Teater Natrah diarahkan oleh Erma Fatima dipentaskan dengan gemilangnya di Istana Budaya dari 30 November hingga 9 Disember kemudian disambung hingga 13 Disember 2009 membuktikan teater merupakan medium hiburan yang popular dalam kalangan masyarakat. Apatah lagi kisah Natrah merupakan kisah yang sangat menyentuh serta punya sejarah yang besar dan penting bagi negara ini, Singapura dan Indonesia juga di samping tentunya melibatkan negara Belanda dan Britain yang mentadbir Tanah Melayu ketika itu. Natrah adalah sebuah ikon yang punya keistimewaan sendiri dalam konteks sejarah masyarakat Malaysia, Indonesia dan Singapura dan sebagai kenangan hidup bagi masyarakat yang pernah mengenali Natrah dan manusia-manusia yang rapat dengannya di Chukai, Terengganu dan Singapura.
Maria Hertogh atau Natrah (dalam panggilan bahasa Melayu) atau Nadra (panggilan bahasa Inggeris) ialah anak angkat Che Aminah Mohamad, seorang wanita Melayu peniaga emas yang pernah tinggal di Tjimahi, Pulau Jawa. Keadaan perang dan ancaman tentera Jepun telah menyebabkan keluarga Natrah (ayahnya seorang tentera Belanda) terancam. Apabila ayahnya ditahan oleh tentera Jepun, kesukaran hidup telah menyebabkan nenek Natrah (sahabat dan jiran Che Aminah) menyerahkan Natrah untuk dijaga. Kemudian, Natrah dibawa pulang ke Chukai, Terengganu hingga seorang pegawai Inggeris menyuruh Natrah dibawa ke Singapura. Dari situ, bermulalah konflik yang menghiris ini.
Seseorang pengkarya wajar memilih dua kategori pengkaryaan peristiwa sejarah sama ada dalam bentuk kreatif imaginatif atau bentuk karya biografi. Kisah Natrah boleh dilihat daripada berbagai-bagai-bagai sudut dan keupayaan garapan bergantung pada pengkarya. Isa Kamari pernah menghasilkan novel Atas Nama Cinta yang merupakan karya kreatif imaginatif yang sederhana namun berjaya dan mempunyai sentuhan sendiri. Fatini Yaacob, pengkaji kisah hidup Natrah telah menulis kisah hidup Natrah dalam bentuk biografi bermula dalam majalah Dewan Masyarakat Februari 1989 hingga Mei 1989. Kini, tulisan lengkap tentang Natrah telah dibukukan dan diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia.
Peristiwa yang berlaku hampir 60 tahun dahulu seharusnya dilihat daripada perspektif yang tersendiri dan penuh sedar. Masyarakat Islam tentunya amat tersentuh apabila mengetahui Natrah menghabiskan hidupnya dalam agama Kristian seperti yang digambar dalam teater ini. Perubahan agama ini tidak pula dipastikan secara kerelaan Natrah sendiri (yang ketika itu bersia 13 tahun) ataupun dipaksa sebaik sahaja dibawa ke Girls Home di Singapura dan dijaga oleh Mother St. Columbia.
Sisi kemanusiaan dalam peristiwa benar mahupun sebagai teks kreatif, selalunya diberi perhatian sebagai unsur didaktif. Terlalu banyak manusia yang memberikan nilai kemanusiaan yang cukup tinggi dalam kisah Natrah ini. Tentunya Che Aminah dan Mansor Adabi dan manusia-manusia lain seperti kawan-kawan baik Che Aminah, peguam Ahmad Ibrahim, M.A Majid dan juga nasionalis Sardon Jubir dan Burhanuddin Helmi. Dalam teater ini watak-watak dipaparkan hanya sebagai watak sampingan (kecuali Che Aminah) dan paparan tentang perjuangan dan semangat nasionalisme mereka hanya pada aras yang dasar semata-mata. Masyarakat di Chukai pada awal kehadiran Natrah di Kampung Air Putih juga digambar secara bersuka-suka dan tari-menari. Malahan, watak Kamariah, seorang lagi anak angkat Che Aminah yang merupakan seorang anak Jepun langsung tidak dipaparkan.
Pemilihan karya dalam bentuk biografi mempunyai risiko tentang fakta dan kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang sebenar pada watak. Dalam teater ini, dikesani unsur biografi ditekankan namun begitu kreatif imaginatif yang diharapkan di dalamnya menjadikan karya ini berterabur dan dipersoalkan. Persoalan di sini bukanlah tentang hidup Natrah itu sendiri kerana peristiwa sebenar telah lama berlaku. Masyarakat hari ini hanya melihat dan menjadikannya pengajaran dalam keadaan tidak boleh berbuat apa-apa tindakan daripada segi undang-undang syariat mahupun undang-undang sivil. Semuanya telah terjadi dan tidak perlu menyalahkan sesiapa lagi. Semua peristiwa itu hanyalah pengajaran agar masyarakat sedar bahawa Natrah pernah wujud bukan sahaja di pentas sandiwara tapi dalam realiti.
Monolog Natrah ketika usia tua pada awal dan akhir teater ini terasa mengganggu keseluruhan kisah Natrah. Sesiapapun tidak mengetahui ajal maut dan agama apa akhirnya seseorang manusia. Ini soal akidah dan rahmat yang Maha Kuasa. Dalam teater ini dipaparkan kebersalahan rasa dalam diri Natrah. Wajarkah begitu sedangkan Natrah terhantar dalam kemelut ini bukan atas kehendaknya. Tangan-tangan penjajah yang begitu membenci agama Islam dan membodohkan masyarakat yang dijajahnya yang menyebabnya terjadi demikian. Meletakkan patung di pentas, imej gereja dan salib yang besar membuatkan penonton yang beragama Islam berasa tidak selesa sambil menanyakan apa perlunya itu digambarkan. Sebagai persepsi dirasakan penting dan besarnya agama Kristian itu bagi Natrah daripada agama Islam yang diletakkan sebagai set pada monolog akhirnya.
Kesudahan yang malang dan gagal bagi pejuang Melayu, bagi agama Islam cukup ketara dalam teater yang dihasilkan oleh karyawan Melayu dan beragama Islam ini. Realiti adalah realiti namun subjek yang dipaparkan tidak kreatif dan tidak mengambil kira sensitiviti. Gambaran pejuang-pejuang yang bersorak di luar mahkamah sambil melaungkan ‘Natrah Islam’ dilihat terlalu bersahaja bagi sebuah perjuangan agama yang sebenar. Selain itu, tragedi rusuhan di Singapura 1950 menyebabkan 18 orang terbunuh dan 173 orang tercedera seharusnya diberi perhatian lebih khusus tentang perjuangan orang-orang Melayu ketika itu. Kesungguhan M.A Majid mengutip derma mengelilingi kota dan kampung juga tidak dipaparkan.
Keberkesanan teater ini adalah watak Che Aminah (Umie Aida) dan watak Adeline (Samantha Schubert). Kedua-dua berperanan dengan berkesan. Walaupun dalam keadaan sebenar Che Aminah tidak bercakap seperti Umie Aida, dapat dirasakan jiwa watak yang luruh dengan kekecewaan tindakan undang-undang yang dikuasai penjajah. Kasih sayang yang tinggi telah dikorbankan. Begitu juga dengan nilai agama yang hanya dapat diserahkan pada Allah Maha Pencipta. Dari sisi Adeline pula, kesilapannya dapat ditebus kerana kuasa kolonial. Dia dapat membawa pulang Natrah namun dalam realiti, dia gagal menjadikan Natrah sebagai anak yang patuh dan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepadanya.
Watak Natrah (Maya Karin) digambarkan periang dan gemar bermain. Tidak pula digambarkan tentang minatnya terhadap Islam. Dalam keadaan tertentu, watak ini berjaya diperanankan dengan baik terutama pada babak-babak klimaks. Dalam suasana romantik pula, watak Natrah dilihat berlebih-lebih sedangkan ketika perkahwinan itu dia berusia 13 tahun. Watak Mansor Adabi (Remy Ishak) pula, lebih banyak dipaparkan gelora cinta dan kecewanya kehilangan Natrah tetapi tidak pada agama dan tanah airnya.
Alunan muzik dalam teater ini sama seperti teater muzikal yang lain. Unsur tari-menari masyarakat kampung dan suasana Natrah berangkat ke Singapura seperti sebuah filem yang penuh dengan kelunakan lagu mendayu dan visual imaginasi. Sesekali lagu-lagu mirip irama Bollywood yang menggunakan instrumen moden yang menenggelamkan suasana tahun 1950-an. Kelincahan para penari, termasuk para penari di gereja dengan memakai salib membuatkan sesetengah penonton mengerutkan kening.
Demikianlah teater Natrah daripada sisi biografi dan kreatif imaginatif yang bercampur-campur. Ada kekuatan daripada sisi-sisi tertentu dan ada garapan yang berterabur dan tidak sesuai. Natrah adalah kisah penting dalam masyarakat kita. Terlalu banyak yang boleh kita pelajari daripada Natrah, bukan kisah cinta semata-mata.

Tuesday, December 15, 2009

Sedang Bercuti

Blog ini berehat seketika. Dalam kata lain sedang bercuti. Dalam tempoh dua minggu yang berlalu, saya terlibat dengan Debat Piala DiRaja di Universiti Malaya. Dapat demam dua hari kemudian terlibat dengan Majlis Peperiksaan Malaysia pula. Sambung dengan majlis pernikahan adik ipar di Kota Bharu dan Ahad depan majlis di Alor Setar pula.
"Saya Sudah Menonton Natrah", sebagai jawapan kepada post blog sebelum ini, "Teringin Menonton Natrah". Saya sedang menulis ulasannya.

Tuesday, December 01, 2009

Teringin Menonton Natrah


Kalau sempat, ingin menonton teater Natrah arahan Erma Fatima. Bukan kerana Umie Aida, atau Maya Karin atau Remy Ishak. Tapi mengingatkan peguam Allahyarham Ahmad Ibrahim, Allahyarham Mansor Adabi dan tentunya Allahyarhamah Che Aminah. Mereka telah meninggalkan kisah, catatan dan dokumentasi sejarah bangsa dan negara daripada dimensi yang menghiris. Persoalan kemanusiaan satu hal yang perlu ditafsir dan jadikan pengajaran sambil nilai patriotisme dan lebih daripada itu tentang kesucian agama Islam dan kekuatan untuk mempertahankannya.
Teater Natrah telah bermula 30 November lalu dan berakhir pada 9 Disember ini. Teater ini memaparkan rentetan kehidupan Nadra Maarof, atau nama Belanda Bertha Heartogh. Beliau adalah wanita keturunan Belanda yang dipelihara oleh Che Aminah Mohamad. Berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Konflik percintaan antara Natrah dan Mansoor Adabi yang menyebabkan terjadi rusuhan di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit. Pada 9 Julai 2009, beliau meninggal dunia pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda akibat leukemia.

Menggeledah Puisi


Menggeledah puisi, satu kerja sendiri. Asing dan sunyi. Banyak puisi yang tidak disiapkan, tertangguh. Banyak yang belum sempurna dan memuaskan hati, dan banyak yang hanya ada sebaris kata sahaja.
Saya mula menulis puisi ketika Tingkatan 3. Dalam tahun yang sama juga, pertama kali ke pentas untuk mendeklamasikan puisi. Puisi pertama saya bertajuk “…”, maaf terlupa. Dan tidak tahu di mana puisi itu sekarang. Puisi yang pertama saya deklamasikan bertajuk “Intelektual” karya Muhammad Hj Salleh. Saya menyertai pertandingan selepas tamat SRP (PMR sekarang). Dan saya menjadi johan, mendapat hadiah kotak pensel.
Sejak itu saya menulis puisi dan kadang-kadang meninggalkannya berhari-hari, kadang-kadang berminggu-minggu dan berbulan-bulan. Sedar tidak sedar, sudah jauh juga perjalanan saya dalam genre ini. Saya pernah menceritakan serba sedikit tentang proses kreatif dan pengalaman puisi ini dalam slot Pengakuan Penyair anjuran PENA dan Dewan Sastera di Rumah PENA pada Januari 2006.
Kumpulan puisi saya Bebaskan Ekspresi sampai sekarang masih belum habis terjual. Dan sesungguhnya saya tidak mahu menghabiskannya kerana mungkin satu masa nanti, saya akan menghadiahkannya kepada pihak tertentu sebagai khazanah ataupun sebagai kenang-kenangan sahaja.
Alhamdulillah, saya berupaya menggulati genre lain. Novel, cerpen juga drama. Namun puisi tetap muncul dalam fikiran dan sanubari, dan sesekali mengganggu untuk ditulis.
Kadangkala rasa malas untuk berpuisi dan yang sering berlaku adalah malasnya saya untuk menghantar ke penerbitan. Ini sebenarnya seperti penyakit.
Baru-baru ini, saya mengumpul kembali puisi-puisi yang saya hasilkan selepas Bebaskan Ekspresi (tahun 2003). Selain itu ada dua buah buku (yang tidak diterbitkan) puisi-puisi awal saya yang jumlahnya hampir 100 buah yang dijilid kemas. Puisi-puisi itu berlegar tentang diri, persahabatan, keluarga, kasih sayang, alam, dan masyarakat sekeleliling daripada perspektif yang sangat remaja. Semuanya dalam folder di komputer, helaian-helaian kertas nota (note pad), kertas peperiksaan, kertas buku sekolah dan ada juga pada kertas tisu yang ditulis kembali. Saya juga mempunyai sebuah buku yang hanya digunakan untuk menulis puisi satu ketika dahulu. Ada juga yang bertaip menggunakan mesin taip manual yang cukup bernostalgia.
Dan tentunya, apabila membaca puisi sendiri, ada rasa lucu, ada rasa malu, ada rasa yakin dengan tidak, dan ada sedikit rasa bangga.