Friday, December 14, 2007

Al-Kisah Leman

Dalam seminar pendidikan sastera di UM (lihat entri di bawah), saya bercakap sedikit tentang teks-teks yang sepatutnya sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Tujuan untuk mengajar Bahasa Melayu, bukan Kesusasteraan Melayu. Dalam Komsas, sastera adalah medium atau bahan atau unsur, dalam KM, bahasa pula jadi medium. Tidak sama. Ada lagi yang kurang jelas tentang Komsas, terutama mereka yang tidak pernah menjengok ke sekolah.
Komsas pula telah ada di sekolah rendah. Perkembangan yang baik dan positif. Saya pun dapatkan maklumat yang sedikit ini daripada seorang kawan. Dia pun memberikan senarai tajuk buku-buku (cerpen dan novel) yang digunakjan untuk tahun empat, lima dan enam.
Saya tertarik pada satu tajuk untuk tahun empat. Tajuknya "Leman Penjual Kuih". Saya tertarik untuk mengkritiknya habis-habisan.
Saya tidak menyentuh tentang kandungan. Saya mengajak khalayak memikirkan tentang tajuk sahaja. Leman Penjual Kuih. Leman itu Melayu tipikal, nama yang tidak popular dan nama zaman Seniman Bujang Lapok dahulu. Penjual kuih, tiada masalah, kerja halal. Pasar Ramadhan jual kuih boleh untung banyak. Tapi dalam cerita itu, Leman jual kuih guna bakul, macam filem zaman KM Baskar atau Phani Majundar dulu. Inikah yang mahu dibaca oleh anak-anak yang berumur sepuluh tahun. Mungkin di Triang atau Changloon boleh terima, tapi di Subang Jaya dan Damansara bagaimana?
Saya juga kaitkan dengan imej Melayu dahulu dengan sekarang. Jika dahulu Melayu hidup susah jual kuih, kita perlu ubah tanggapan kesusahan itu. Kalau tulis cerita orang miskin, janganlah asyik cerita pasal jual kuih, pisang ataupun nasi lemak. Banyak lagi benda boleh buat. Saya sekali lagi kaitkan dengan imej Melayu. Orang lain (bangsa lain) tidak akan tulis cerita macam ini lagi. Cukuplah, cerita sebegini sudah penuh di perpustakaan sejak tahun 60-an dahulu. Zaman dahulu, kanak-kanak main lastik dan pistol kayu, sekarang main PS2 dan SMS. Saya katakan cerita ini tidak relevan.
Melalui teks (sastera) inilah kita gunakan untuk memberikan persepsi yang positif tentang jati diri dan kematangan pelajar.
Saya bangkitkan perkara ini kerana setelah selesai pembentangan ada peserta yang bangun mempertikai, "Apa salahnya dengan Leman Penjual Kuih?"

Seminar Sastera di UM

Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan Melayu telah diadakan 11 - 13 Disember lalu di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Secara teramat ringkas, saya rumuskan sebagai menarik, bagus dan penting. Menarik kerana persoalan pendidikan Kesusasteraan Melayu (KM) dan Komsas dalam BM disekalikan. Menarik juga kerana kertas kerja banyak yang berbentuk kajian empirikal yang terkini dengan data dan bukan semata-mata berdasarkan kajian terdahulu. Bagus kerana tidak selalu seminar yang membincangkan pendidikan kesusasteraan diadakan di negara ini. Penting, kerana banyak idea dan cetusan yang sepatutnya diketengahkan, diangkat, disuarakan dan diketahui oleh pihak Kementerian Pelajaran dan kerajaan tentang situasi yang melanda dalam KM, juga dalam Komsas.
Dalam buku program, terdapat 32 tajuk kertas kerja namun ada juga pembentangan tanpa kertas kerja dan ada pembentang yang tidak hadir. Pembentang terdiri daripada pensyarah pendidikan IPTA, IPTS dan juga guru-guru pakar dari sekolah-sekolah, juga dari Pusat Perkembangan Kurikulum dan mahasiswa calon PhD. Kertas dasar disampaikan oleh Prof.Rahman Shaari, SN Dato' A.Samad Said dan Prof.Datin Dr.Rahmah Bujang.
Saya membentangkan kertas kerja bertajuk Kewajaran Memperkenal Teks Baharu Komsas: Pertimbangan Penentuan bagi Genre Cerpen dan Novel.
Ada beberapa sebab mengapa saya tertarik untuk mendalami tajuk ini:
1. Mengenalpasti kriteria pemilihan teks yang sepatutnya
2. Memilih dan mendapatkan karya yang memenuhi ciri-ciri atau kriteria yang wajar
3. Memberi panduan kepada penulis menghasilkan karya yang sesuai dijadikan teks Komsas
4. Mengenalpasti apa yang sepatutnya ada dalam penulisan yang baik
5. Teks sedia ada telah lapan tahun digunakan
Dalam kertas kerja itu, saya tutup dengan kata-kata: Perhatian seharusnya diberikan dengan mengambil kira banyak faktor-faktor yang perlu disesuaikan dengan situasi semasa seperti tema yang perlu universal, penggunaan bahasa yang estetik, nilai-nilai pendidikan yang ketara dan tentulah hasil penulis yang diuji kemantapannya. Bukanlah seperti yang ada sekarang, terdapat karya yang dihasilkan oleh penulis yang terlalu baru, penulis yang dulunya menulis kini entah ke mana, penulis yang dipilih teksnya kerana keluarga sebagai panel, atau sahabat baiknya semata-mata, dan beberapa lagi karya yang secara umum dirasakan amat tidak sesuai dijadikan teks untuk pendidikan bahasa Melayu.

Friday, December 07, 2007

Buku Terbaharu di Mejaku(1)


Buku Membina Kepustakaan dalam Bahasa Melayu (Enrich the Repository of Knowledge in Malay) merupakan buku yang terbaharu di meja saya. Seperti biasa setiap buku baru amat saya hargai dan kalau boleh saya ingin membacanya hingga habis dan dibawa ke tidur sebelum diletakkan di rak. Tapi kadang-kadang tidak begitu. Buku ini cukup menarik bagi saya kerana bidang terjemahan di negara kita amat perlahan kadang-kadang terasa sepi. Buku ini disusun oleh Prof. Em. Dr. Abdullah Hassan merupakan hasil kertas kerja dari Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-11 yang diadakan baru-baru ini. Dua kertas dasar daripada Y.B Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh, Pengerusi ITNMB yang juga ahli Parlimen Grik yang agak panas mengkritik DBP baru-baru ini. Satu lagi kertas kerja dihasilkan oleh Prof Abdullah sendiri, tokoh akademik bahasa yang produktif.
Sebanyak 66 kertas kerja oleh ahli akademik dari jepun, Korea, Arab Saudi, Jerman, enmark, Perancis, Chile, indonesia, Brunei dan yang lain dari Malaysia dalam pelbagai tajuk merangkumi bidang teori terjemahan, terjemahan berkomputer, terjemahan kesusasteraan, terjemahan qur'an dan hadith, terjemhan pengajaran bahasa, interpretasi, terjemahan dan industri penerbitan, terjemahan sari kata, terjemahan dan budaya, perkamusan, aktiviti terjemahan, dan tajuk-tajuk umum.
Buku ini diterbitkan oleh PTS dengan kerjasama ITNMB, setebal 778 halaman, dijual dengan harga RM30.00 sahaja.

Jom bercuti!


Cuti tidak pernah ada sebenarnya.
Namun aku perlu mencari ruang walau sedikit untuk berehat, seketika.
Ke mana ya?
Jom jalan-jalan?
Jalan-jalan cari makan?
Mmmm...... kita ke pulau?
Mari!

Monday, November 12, 2007

Promosi Kongres

Kali ini kita berkongres pula. Kongres Sebudaya Serumpun anjuran bersama PENA, KEKKWA, dan DBP. Berlangsung di DBP pada 16 – 18 November 2007.

Seminar ini bertema Sebudaya Serumpun Jambatan Hubungan Serantau. Yang berkonsepkan penemuan pelbagai fikiran dan pandangan budaya dalam hubungan serumpun. mungkin banyak perkara tentang sastera, budaya, seni, atau apa saja yang berkaitan dengan bahasa dan mungkin sedikit-sedikit menyentuh politik. Inilah wadah, ruang, untuk bersuara. Namun doa dan harapan kita, agar suara kita lebih didengari dan terbuka pula untuk difikirkan, dipatuhi. Apa yang perlu diubah, kita pindah, apa yang patut ditingkat, kita naikkan, apa yang perlu digilap, kita silaukan, apa yang perlu disedar, kita bukakan mata, dan apa-apa lagi lah.

Pembentang, antaranya:

Datuk Johan Jaafar, Ariffin Ariff, Datuk Firdaus Abdullah, Abu Hassan Hasbullah, Arbaiyah Mohd Nor, Mohd Daud Mohamad, Mohamad Saleeh Rahamad dan Shamsuddin Othman.

Juga dari Indonesia, Emha Ainun Najib, Maman S.Mahayana, Eri Sarimanah, Muhamad Takari, Fazlin Jaafar, Fatin Hamamah dan Djamal Bakir juga dari Singapura antaranya Suratman Markasan dan Isa Kamari. Dari Brunei (Morshidi Hj. Mohamad dan Zefri Ariff), Thailand (Worait Baru, tengku Ariffin Tengku Chik, Abdul Razak Pandangmalam, Nik Rakib) dan Jepun (hagari Yasako) juga.

Maklumat lanjut hubungi Setiausaha PENA, S.MZakir melalui emel smzakir@hotmail.com atau Shamsuddin emel sudean66@hotmail.com.

Jumpa di sana.

Tuesday, November 06, 2007

Hati Malaya atau Mala atau Maya?

1957: Hati Malaya Atau Hati Siapa yang Terluka?
Sebuah komentar jujur ARIFF MOHAMAD

Tahun ini ulangtahun ke 50 kemerdekaan negara. Banyak juga program, pertandingan, kempen dijalankan. Dan semangat itu cuba dibawa melalui filem ini, 1957: Hati Malaya. Judulnya ada unsur sentimental.

Filem ini punya jiwa, itu yang dirasakan namun sesekali kontang dan hambar, kering dan usang. Dalam akhbar ada yang kata penonton menangis dan hiba apabila menonton beberapa adegan, saya akui memang makcik yang duduk di baris hadapan saya menangis terutama adegan Tunku perlukan wang untuk ke London bermesyuarat menuntut kemerdekaan. Satu lagi scene yang menghibakan adalah ketika Sultan (lakonan Jalaludin Hasan) terpaksa menandatangani surat di hadapan pegawai British.

Filem ini bergerak seperti sebuah dokumentari, sesekali seperti montaj dan iklan. Hubungan dua zaman, zaman sekarang dengan zaman pra-merdeka langsung tidak kena dengan perkaitan watak. Watak yang sama muncul dalam dua zaman, menggunakan nama yang sama tapi tidak berkaitan dari segi peranan. Cinta entah ke mana, perjuangan entah ke mana. Alangkah cantiknya jika filem ini sepenuhnya period movie. Seperti Ghandi ataupun yang lokal seperti Bukit Kepong.


Suhaimi Baba amat gemar mengambil pelakon yang sama dalam setiap filemnya. Rusdi boleh berlakon dengan baik, Maya Karin juga cemerlang (namun sesekali terbayang pontianak harum sundal malam muncul), Ida Nerina dan Nanu juga patut dipuji. Malah kehadiran dua pelakon baru dalam layar iaitu Kamaruzzaman Taib (watak Tunku) dan Zaefrul Nordin (watak Datuk Onn) sememangnya baik, amat baik terutama Zaefrul untuk watak Datuk Onn. Gerak badan dan fikirannya cukup bertokoh, realistik.

Namun ada watak yang seolah-olah tidak kena seperti Sardon yang dilakonkan oleh Nagsrizal Ngasri. Sardon seorang yang bertubuh besar, kelihatan serius namun Sardon dalam filem ini seperti watak anak-anak sekolah.

Sedikit teruja dengan kemunculan barisan bintang veteran dan senior, Datuk Jins Shamsuddin (Sultan Johor), Datuk Mustafa Maarof (Sultan Selangor) , Kuswadinata (Sultan Perak), Jalaludin Hassan (Sultan Kedah). Begitu juga watak Abdullah Fahim. Yang dilakonkan oleh Datuk Rahim Razali. Mereka ini sebenarnya sultan (raja) dalam sinema Melayu terutama Jins, Mustafa dan Rahim.

Filem ini bersifat pro-pemerintah dan terlalu memikirkan perpaduan. Mungkin kerana ditaja oleh syarikat telekomunikasi yang berwarna kuning maka, filem ini perlu di’warna’kan sedikit. Watak bukan Melayu juga digambarkan sebagai pejuang dalam filem ini. Inilah hati Malaya, yang bagi saya dilukakan. Ada beberapa tokoh yang tidak disebut, tidak dilintaskan dalam bentuk gambar. Lagi pula, nasionalisme terdahulu bukan semata-mata terhadap Inggeris atau Malayan union, namun nasionalisme sejak Portugis, Belanda, Jepun, komunis seakan diabaikan.


Filem ini lebih baik jika diambil dari sudut Datuk Onn atau Tunku semata-mata atau wujudkan watak lain yang menggabungkan tokoh-tokoh penting ini dalam filem. Sejarah kemerdekaan cukup penting, cuma janganlah dilukakan.

Sinematografi filem ini cemerlang. Penyuntingan juga boleh dipuji. Teknik split screen apabila dua atau tiga iorang berbual juga teknik yang baik dan tidak menjemukan. Filem ini layak menjadi Filem Terbaik malah filem sebeginilah yang ditunggu-tunggu oleh segelintir peminat, pengikut dan pengkaji filem Melayu. Alangkah baiknya jika kita lebih banyak dan kerap berpatriotik dengan filem-filem sebegini, berbanding ber’mami’, ber’otai’ tak tentu pasal, dan ber’hantu’ menjerit di siang hari.

Sekian, terima kasih.

Gambar dari astro.com.my

Friday, November 02, 2007

Shahnon Di Sini


Sepatutnya entri ini dimasukkan lama dahulu, tiga bulan dahulu. Ini cerita bulan Ogos lalu. Kerana memikirkan penting juga untuk dikongsi pengalaman ini, lewat pun saya masukkan juga.
Pada 6-10 Ogos 2007, diadakan Minggu Keterampilan Bahasa anjuran fakulti. Macam-macam program siang dan malam. Masuk majalah dan akhbar juga. Saya sendiri mengendalikan dua event penting iaitu pertandingan untuk pelajar sekolah dan mengendalikan majlis perasmian dan penutup termasuk sebagai juruacara.
Antara program yang paling terkesan, dan kadangkala dirasakan amat manis ialah kehadiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ke sini. Bukan tidak biasa dengan nama Sasterawan Negara, tetapi SN yang satu ini susah untuk ditemui kecuali berkunjung ke rumahnya terutama sejak beliau tidak aktif lagi dalam politik kepartiannya.
Wacana Sasterawan Negara pada 9 Ogos dalam slot Pemikiran Melayu Global dipengerusikan oleh Datuk Mohd Yusof Hassan. Orang yang kena dan bertepatan sekali. Tiga SN diundang, Datuk A.Samad Said, Dr. S.Othman Kelantan dan Prof. Emeritius Shahnon Ahmad. Mereka bercakap tentang pemikiran global namun menjurus kepada perjalanan kreatif dan pengabdian mereka terhadap bidang sastera(penulisan kreatif). Kadang-kadang bangga, sesekali terharu, ah, syahdu juga!
Shahnon, yang jarang sekali 'keluar rumah' dalam keadaan lutut tidak kuat dan selalu ke tandas ini gagah juga ke UPSI. Katanya dia punya nostalgia yang berisi di UPSI (dahulu SITC, MPSI, IPSI). Bercakap tentang pengalaman di SITC, dan sayangkan bidang perguruan yang diceburi, maka beliau sanggup menyerahkan koleksi bukunya untuk UPSI. Wah, bertuah sekali Suluh Budiman. Terharu juga, apabila beliau berkata, buku-buku tersebut boleh diambil sedikit demi sedikit mulai sekarang dan setelah dia tiada nanti, ambillah kesemuanya.
Terima kasih, Datuk Shahnon.
Aku: cepat sekali teringat Lahuma, Jeha, Su Usul...
Sempat bertemu Datuk Shahnon dan bercakap sedikit tentang Setitis Embun Semarak Api. Katanya, manuskrip itu dihantar ke Penerbit UKM asalnya. Kemudian ke Karangkraf.
Bagaimana khabarnya SN Datuk Abdullah Husain, dan juga Datuk Dr. Awang Had Salleh yang sangat uzur sekarang.

Thursday, November 01, 2007

Sukma dan Kalbu

Saya baru menghabiskan pembacaan Bedar Sukma Bisu dalam tempoh sehari. Kerana novel ini pemenang hadiah utama, saya dahulukan berbanding dengan Mahabbah (Shahnon Ahmad). Kemudian saya menyambung dengan Manikam Kalbu. Sedangkan Tuhan Manusia saya masih tertangguh, begitu juga dengan Bila Tuhan Berbicara. Saya juga memiliki Nama Beta Sultan Alaudin tapi masih belum dibaca namun telahpun membaca Kekasih Sam Po Bo sebaik sahaja saya beli daripada Ujana Ilmu. Dalam tempoh setahun dua ini, berderet karya Faisal diterbitkan.Satu contoh yang baik untuk penulis muda. Ada sesetengah penulis muda cakap banyak saja, sedangkan hasil tiada (kurang).

Secara peribadi, saya kagum akan kesungguhan Faisal. Komitmennya pada dunia penulisan seperti ‘jangan pandang belakang’ dan Faisal cukup bersedia menghadapi apa saja cabaran memilih sebagai penulis sepenuh masa. Faisal telah buktikan. Hasilnya tidak mengecewakan. Yang penting kesungguhan, selain bakat dan kreativiti. Juga ketabahan yang dapat saya fikirkan dan rasakan, perit dan tenangnya.

Sedikit tentang Bedar Sukma Bisu, tentang Wefada dan empayar perniagaannya, tentang sejarah dan nostalgia generasi terdahulu, juga cinta. Falsafah pertukangan layar (bedar, perahu, lancang dll) dapat diungkapkan dengan kreatif. Ada kalanya terasa seperti berdokumentari, namun beraksi secara tidak sedar. Faisal merujuk banyak buku tentang ini. Namun sesekali terasa terlalu banyak fakta ingin diberi sedangkan penghayatan novel perlu banyak kepada penceritaan, naratif dan kesan pembacaan (mungkin sedikit perasaan walupun perlu dicabar juga dengan pemikiran).

Novel ini penting dari sudut antropologi, budaya, dan seni (pertukangan melayu). Ironis dengan cabaran dan globalisasi, juga unsur perjuangan (juga tentang kegigihan wanita).

Apapun, tahniah Faisal Tehrani. Semoga DBP dan pihak yang lain mengadakan diskusi beberapa karya pemenang hadiah 50 tahun DBP termasuk Sukma dan Kalbu.

Friday, October 26, 2007

Dengar Lagu

Perjalanan merentasi lebuh raya agak jauh dan memenatkan. Hujung Ramadhan menuju awal Syawal pulang ke kampung. Ke Alor Star kemudian hari raya ketiga pulang ke Teluk Intan. Dalam minggu raya itu juga sempat ke KL atas tujuan tugas rasmi.
Sepanjang pemanduan ditemani lagu-lagu. Tapi maaf, lagu yang saya dengar tidak disiarkan di radio tempatan atau jarang sekali. Saya, secara peribadi semakin malas mendengar radio sebab banyak sangat juruhebah yang tak ketahuan ketawa tak tentu, memperleceh orang lain, kurang bermoral dan bernada pondan. Tapi bukanlah semua juruhebah begitu, ada yang baik dan ada yang terlalu sopan dan syahdu. Hanya beberapa stesen sahaja selain stesen LRT.
Mungkin nama penyanyi dan kumpulan yang saya senaraikan di bawah agak asing bagi orang kita, tapi saya suka sekali (senang, dan merasakan lagu-lagu ini sedap dan menarik) mendengarnya. Lagu-lagu itu dari kumpulan:
Letto

Kertas
Kerispatih
Dygta
Ungu
Republik
Anima

Cubalah dengar (cari di kedai CD atau kaset) dan dapatkan jawapan kenapa lagu-lagu kita semakin kurang diminati.

Ruang Rindu


Ruang Rindu

Di daun yang ikut mengalir lembut

Terbawa sungai ke ujung mata dan

Aku mulai takut terbawa cinta

Menghirup rindu yang sesakkan dada

Jalanku hampa dan kusentuh dia

Terasa hangat o di dalam hati

Ku pegang erat dan kuhalangi waktu

Tak urung jua kulihatnya pergi

Tak pernah kuragu dan selalu ku ingat

Kerlingan matamu dan sentuhan hangat

Ku saat itu takut mencari makna

Tumbuhkan rasa yang sesakkan dada

Kau datang dan pergi bagitu sahaja

Semua ku terima apa adanya

Mata terpejam dan hati menggumam

Di ruang rindu kita bertemu

p/s - ini hanya sekadar lagu.

Monday, October 08, 2007

Raya!


Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada:
seluruh keluarga
kawan-kawan sekerja
kawan-kawan seangkatan dalam bidang penulisan
pelajar-pelajar dan bekas pelajar
manusia berhati mulia yang pernah menjadi guru saya
dan semua
pembaca blog
termasuk Mak timah di Kampung Pisang
Haji Berahim di Pulau Tengah
mak long, mak ngah, mak andak
dan juga juruhebah yang bertugas
dengan ucapan;
sebelum makan jangan lupa baca bismilah dan
jangan bercakap banyak ketika sedang makan!

Di Hujung Semester

Hujung semester,

Para pelajar: selesai tugasan, mula debar peperiksaan.

Saya: selalu buka IMS, semak tugasan, semak jawapan peperiksaan.

Semester ini agak memenatkan saya. Selain meneruskan tugas penyelaras Bahasa Melayu Profesional, saya juga mengajar subjek Kaedah Bahasa Melayu.

Subjek ini berat kandungannya, meliputi teori pembelajaran, pendekatan, kaedah dan teknik mengajar, kemudian memberi perhatian juga kepada Sukatan Pelajaran serta mengadakan sesi pengajaran mikro kepada para pelajar. Itu tidak termasuk pembentangan kumpulan dan dua tugasan pelajar.

Satu lagi subjek yang saya kendalikan ialah Pengantar Kesusasteraan, Kebudayaan dan Kesenian Melayu kepada pelajar kumpulan A major Bahasa Melayu. (Kumpulan B dikendalikan oleh Encik Razali Ayob). Bagi saya ini subjek 'enjoy' secara pendekatannya namun 'berat' dari segi tanggungjawabnya. Subjek ini memperkata tiga bidang yang penting dalam pengungkapan makna peradaban dan tamadun bangsa iaitu kesusasteraan, kebudayaan, dan kesenian.

Dalam kelas inilah kita (saya dan pelajar) bukan sahaja meneroka makna dan konsep tetapi penghayatan sekadar yang termampu. Rasanya subjek lain tidak dapat menyaksikan lagu-lagu P.Ramlee divideokan, tiada tayangan zapin dan ulet mayang, tiada deklamasi puisi dan lakonan tetapi dalam kelas ini kita lakukan. Dan itulah antara keistimewaan subjek ini. View untuk subjek ini terlalu luas namun dapat dikuasai dengan baik.

Saya gembira sekali. Terima kasih atas kerjasama pelajar-pelajar.

Saya tiada masalah dengan kedua-dua subjek ini. Namun saya membantu tugas untuk satu subjek yang agak besar bilangan pelajarnya. Dan entah bagaimana ada timbul masalah sedikit.

Masalah timbul ini kerana tiada rasa kefahaman dan pengertian, juga nilai luhur dalam diri itu tiada atau kurang atau hilang. Saya hanya mahu berkias sahaja, kerana terlalu jujur dan berterus terang membuatkan kita teraniaya!

Selamat hari raya. Jumpa lagi semester depan.
Gambar hiasan: Bersama-sama sifu, Prof Emeritius Dr.Abdullah Hassan.

Monday, October 01, 2007

Intermezzo!

Cerpen "Pada Ruang Intermezzo" disiarkan dalam MM semalam, 30 September. Terima kasih editor.
Selamat membaca.

Tuesday, September 25, 2007

Pilu, Awal Ramadhan Menguji

Pilu,
awal Ramadhan yang menguji
tentang kehilangan
tak terterpa akal
jauh,
di sebalik janji luh mahfuz
telah tertulis
kisahmu, nurin.
Al-fatihah.

Aku seperti kehilangan kata-kata. Takziah keluarga Nurin.

http://www.nurinjazlin.blogspot.com/

Thursday, September 20, 2007

Cerita Lain tentang Kemerdekaan



Agak terlewat untuk memperkata kemerdekaan kerana kemerdekaan bagi kebanyakan kita adalah musim Ogos sahaja. Maka saya membuat kelainan, memperkata kemerdekaan (ulangtahun) pada bulan September. Ya, mungkin terlewat bagi mereka yang tidak pernah ambil tahu tentang kemerdekaan yang sebenar-benarnya.
Saya letakkan puisi saya dalam blog ini. Sebagai kenangan sempena 50 tahun sambutan kemerdekaan Malaysia yang tercinta. Bagi saya tidak perlu letak bendera banyak-banyak pada kereta, tidak perlu menyaksikan bunga api malam merdeka, tidak perlu potong kek, dan ada lagi beberapa yang tidak perlu.

Inilah puisi saya. Puisi sederhana segala-galanya.

Cerita Lain tentang Kemerdekaan

burung-burung bersarangan, damai menyemati diri
dalam-dalam diusik bayu sentosa bumi terindah
perjuangan belum tamat dikisahkan
namun kita cepat bertepuk tangan
sama-sama, bergembira

awan putih, langit biru, kasih satu
sungguh-sungguh, nikmat dikecap
perjuangan, seberat manapun jarang difikirkan
mahal keringat jerih payahnya
kita hanya (masih) bertepuk tangan
menjerit melaung tanpa makna sebati
sama-sama, bergembira

daun-daun berguguran melewati hari
aliran di sungai menghimpun kedukaan
langkah ke puncak sering tersangkut
harapan terhalang dek kewalahan memanjang
impian seumpama slogan ditertawakan
cita-cita murni disindir tanpa perdebatan
maka beginilah
mengusung cerita komedi ke sana ke mari
sedang diri tanpa genggaman berisi

suara ini bukan pancaran pesimisme
jatidiri telah dikukuhkan sejak berzaman-zaman
namun percayalah, kealpaan dan khayalan
akan menghanyutkan melainkan segera ingat
perlu berubah, perlu kembali digubah

sesekali langit mendung memberi isyarat
hujan, turunlah semahu-mahunya
biar bumi ini berbanjir nasionalisme
lupakan pedih atau cerita sedih
letakkan fantasia sepanjang hari ke tepi
jalinan kemerdekaan yang berselirat
telusuri alurnya namun perlu gagah
tiada kata lain untuk kemerdekaan ini
hanya bersedia dan berjuanglah lagi!


ARIFF MOHAMAD

Wednesday, September 19, 2007

Bermain dengan Mimpi dan Kreativiti


Ini bukanlah promosi percuma. Ini adalah kejujuran. Sesiapapun tidak menafikan kebijaksanaan. Apatah lagi pada sesebuah karya. Dan kebijaksanaan itu bergantung pula bagaimana penerimaan pembaca. Terkesan.
Membaca Laskar Pelangi membuatkan saya ketawa, saya kagum dan saya menangis. Inilah keanehan sesebuah hasil kreativiti. Laskar Pelangi sebuah kisah zaman kanak-kanak seperti sebuah pengalaman dalaman yang ada pada setiap kita. Latarnya di Belitong, di sekolah terpencil, namun pengalaman dalaman itu hanya dirasai pembaca. Sukar dimengerti dalam situasi yang perlu dengan kata-kata.
Andrea Hirata melanjutkan Laskar Pelangi lewat Sang Pemimpi. Lebih bertenaga dan berapi. Beberapa bulan kemudian lahir pula Edensor sebagai yang ketiga dalam siri tetraloginya. Saya belum habis membacanya dan khabarnya tetralogi ini sudah lengkap dan akan berada di pasaran novel yang keempat tidak lama lagi. Tahniah Andrea dan Bentang Pustaka. (Laskar Pelangi edisi Bahasa Melayu diterbitkan oleh PTS).

Novel-novel ini menyingkap tentang perjuangan dari sisi yang tersendiri, kemanusiaan yang telus, kasih yang dalam, persahabatan yang mulus. Kejujuran terpancar di mana-mana. Cuma bertanya di dalam diri kita, di mana kita berada?

Pada kulit luar Sang Pemimpi ada dipetik kata-kata Sasterawan Ahmad Tohari, "Andrea adalah jaminan bagi sebuah karya sastera bergaya saintifik dengan penyampian yang cerdas dan menyentuh". Manakala Prof Sapardi Djoko Damono, dari Universitas Indonesia menyebut karya Andrea sebagai metafora yang berani, tidak biasa, tidak terduga, kadang kala ngawur (tidak berdasar kebenaran), namun amat memikat.

Seorang bloger yang dikenali sebagai Muhammad Sulhanudin mengatakan, daya tarik yang menonjol dari karya-karya Andrea juga terletak pada kemungkinan yang amat luas dari eksplorasinya terhadap karakter dan peristiwa. Setiap paragraf yang disajikan seakan dapat berkembang menjadi sebuah cerpen, dan setiap bab mengandung letupan intelegensia, kisah, dan romantika untuk untuk dapat tumbuh menjadi buku tersendiri. Andrea tidak pernah kehilangan idea dan cerdik dalam melihat suatu fenomena dari sudut yang tidak pernah dilihat oleh orang lain. Setiap kalimatnya potensial. Ironi diolahnya menjadi jenaka, cinta pertama yang absurd menjadi mempesona, tragedi diparodikan, ilmu fizika, kimia, biologi dan astronomi diolah menjadi sastera.Telah banyak pujian dilontarkan atas kematangan karya maupun teknik menulis alumnis Fakultas Ekonomi Universitas Indonesia yang mendapat biasiswa sarjana di Paris de University, Sorbonne, Perancis itu.

Begitulah. Kebijaksanaan dan kreativiti.

Saya boleh katakan, hanya mimpi, namun adakalanya boleh dicapai dengan kreativiti.

Tuesday, September 18, 2007

Lama Tak Jumpa


Saya mulakan dengan Assalamualaikum.
Lama, terlalu lama blog ini tidak dikemaskini dan tiada post baru. Mulanya ingin menyepi seketika memberi tumpuan urusan rasmi dan karya penulisan. Rupa-rupanya semakin diberi tumpuan semakin banyak dan semakin tidak pernah selesai. Ada sahaja hari demi hari, berkurang yang ini, bertambah yang lain pula.
Kesihatan sedikit terganggu. Aktiviti pun macam-macam. Selain menguruskan seminar, berminat pula hadiri seminar lain, jadi pembentang mesti siapkan kertas kerja, jadi peserta pun kena beri perhatian.
Buku, semakin bertambah di rak. Hingga kadang-kadang masalah hendak baca yang mana satu dahulu. Sedang baca yang ini teringat mahu baca yang lain.
Fikiran kadang-kadang letih, perasaan juga terusik. (Tak perlulah cerita di sini)
Apapun, saya ingin kembali berblog dengan kadar yang mampu. Insya Allah.
Kawan-kawan, dan pelajar saya, sila beri sokongan.
Terima kasih.
Selamat berpuasa.
Dan saya baru menyambut ulangtahun ke -- tiga hari lalu. bukan dengan piza atau spageti tetapi martabak Maidin Sungai Sekamat Kajang.

Thursday, July 12, 2007

Seminar Mengajar Belajar BM

Makluman Seminar. Marilah datang!
Seminar bahasa Melayu kali ke-3
Oleh Shaidah Shafie
SEMINAR Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Kali ke-3 2007 yang bertujuan berkongsi kepakaran pelajaran Bahasa Melayu dengan guru Bahasa Melayu di seluruh negara akan berlangsung di Auditorium, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), pada 28 dan 29 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kertas Kerja dan Prosiding, Nik Hassan Basri Nik Ab Kadir, berkata penganjur turut diharapkan memberi pendedahan kepada masyarakat pendidik mengenai Kemahiran Bernilai Tambah dan cadangan bagi melaksanakannya dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).“Kami juga berharap Jabatan Bahasa Melayu Upsi akan menjadi pemimpin dalam bidang P&P bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah dan menengah di Malaysia serta lebih banyak forum diadakan bagi membolehkan pensyarah dan penyelidik menggembleng tenaga demi melestarikan bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi Sastera.Sehubungan itu, 22 kertas kerja akan dibentangkan 24 sarjana pada seminar bertema Kemahiran Bernilai Tambah dan dua ucap utama, Kemahiran Bernilai Tambah oleh Prof Dr Abdul Hamid Mahmood serta Kajian Masa Depan oleh Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan.Antara kertas kerja yang akan dibentangkan pada seminar terbabit ialah Mempelajari Aspek Tatabahasa Melalui Komputer, Hubungan Antara Konsep Diri Murid Dengan Kemahiran Komunikasi, Kemahiran Belajar Menerusi Mendengar Dengan Berkesan, Penggunaan ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu dan Kemahiran Berfikir Dan Kreativiti: Kewajarannya Dalam Pengajaran Bahasa.Nik Hassan Basri berkata, yuran penyertaan RM 200 dikenakan untuk pembentang luar, peserta luar seperti Jabatan Pendidikan Negeri/Sekolah (RM200), pelajara luar Upsi (RM100) dan pelajar Upsi (RM70) dan dibayar atas nama Bendahari UPSI, Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Kali ke-3 2007.“Maklumat lanjut mengenai seminar ini, hubungi saya di talian 05-4505340, 016-9716033 atau faksimile 05-4583603 atau e-mel kepada nhb@upsi.edu.my,” katanya.

Monday, June 25, 2007

Sebuah Puisi tentang Kehilangan

Poetri Kehilangan Pahlawanku
(Alfahihah. Mengenang ayahanda yang kembali ke rahmat Allah pada 25 Mei 2007)

aku hilang suara seketika
pahlawanku telah pergi
tak tertangguh sesaat pun
apabila tiba waktu janjinya
pahlawanku tetap pergi

jemari kugenggam dalam wajah senyum
pergimu dalam kesempurnaan
yang dihadiah berkah kuasa Allah
dalam syahdu alam tersembunyi
kuamati wajahmu, kuresapi kasihmu
kenangan, biarpun nanti menjauh
kau kukuh abadi di hatiku

ketabahan yang kau ajarkan
kasih yang kau limpahkan
tanggungjawab yang kau asaskan
ilmu yang kau utamakan
ihsan dan iman yang kau ingatkan
disiplin yang kau tegaskan
prinsip diri yang kau kiaskan
rupa-rupanya menjadikan aku lebih
menjadi daripada yang kau sangkakan

ayahanda,
pahlawan di hatiku hanya satu
adalah dirimu
dalam diriku, ada kekuatanmu.

ARIFF MOHAMAD

Monday, May 21, 2007

Blog, Blogers & Bolognise


Ini catatan biasa. Catatan yang bukan marah siapa-siapa, bukan salahkan siapa siapa. Ini catatan biasa.
Sabtu,
Aku hadiri satu majlis diskusi yang dahulu dinamakan dialog pinggir yang membincangkan tajuk Sastera Underground vs Sastera Islam. Tajuk ini hanya untuk tarikan audien dan tiada apa yang boleh dibanggakan daripada dapatannya. Tarafnya lebih baik daripada sembang-sembang. Namanya dialog, tiada kertas kerja dan bolehlah pakai t-shirt dan bersilang kaki di depan khalayak.
Bagus juga tajuk yang begini, sekurang-kurangnya dapat menarik perhatian audien untuk hadir. tidaklah seperti tajuk yang terlalu klise dan sterotaip seperti "Masa Depan...." , "Ke arah...." "Menuju..." yang bunyinya seperti sebuah kempen dan manifesto pilihanraya.
Tetapi aku lebih suka hadir dalam majlis begini, selain tambah maklumat dan tengok perangai orang ialah dapat jumpa kawan-kawan seangkatan.

Aku dapati semakin banyak blog dibina oleh penulis-penulis. Bagus sekali. Blog adalah seperti rumah kecil yang khas untuk menyimpan dokumen, catatan, diari, bahan ilmiah, maklumat atau paling sedikit kata-kata mudah atau apa sahaja walaupun sekeping gambar untuk kita sendiri dan jika dikunjungi, dibaca dan diulas amatlah baik dan berterima kasihnya tuan rumah. Blog juga perlu untuk medan berhujah dan berpolemik tetapi siapa yang mahu ambil tahu kalau hal itu remeh dan kecil puncanya. Menulis blog nampak mudah namun perlu juga perhatian dan tumpuan masa walau sedikit (kadang-kadang lama juga). Aku teringat kata-kata Jimadie ketika aku mula-mula membina blog dulu, katanya, menulis blog seperti berlari marathon. Ya, aku setuju.

Hari yang lain,
Aku menikmati spageti bolognise dengan rasa yang sentimental.

...dan aku ingin menulis cerpen seperti tajuk ini, "blog, blogers dan bolognise" dengan ingatan dalam diri aku aku tak mahu marah sesiapa, tidak mahu salahkan sesiapa, tidak mahu sindir sesiapa.

Friday, May 18, 2007

Catatan Hari Guru

Saya terima banyak pesanan ringkas melalui telefon (sms) daripada kawan-kawan. Ada yang menghantar sebagai balasan (yang saya mulakan ucapan) dan ada yang memulakan ucapan (lalu saya balas). Ada juga yang saya hantar tetapi agaknya terlupa untuk membalas.
Ada sms yang saya terima mengatakan saya bukan lagi guru, tidak perlu ucap dan sambut Hari Guru. Namun maksud 'guru' dan 'cikgu' itu apa agaknya. Menyebut hal ini dapatlah dibayangkan di kalangan guru-guru masih keliru dengan makna konotatif dan fitur aplikasi bahasa dan budaya.
Guru bukan sahaja yang mengajar di sekolah-sekolah, tetapi ustaz-ustaz yang mengajar kita Muqaddam, Al-Quran, tajwid di surau dan masjid juga guru. Guru bukan sahaja yang masuk ke kelas, berkemeja dan bertali leher, seseorang yang menegur dan memantau kita juga seorang guru, termasuklah abang dan kakak kandung.
Saya, secara peribadi cukup bersyukur kerana pernah menjadi guru, dan sekarang saya tetap beranggapan saya seorang guru walaupun tempat dan suasana bukan di sekolah.
Ketika mengajar di sekolah dahulu, saya antara guru yang mendapat banyak hadiah pada Hari Guru. Saya sendiri tidak tahu mengapa, saya adalah antara guru yang disenangi pelajar-pelajar saya. Mungkin kerana saya mengajar dengan menarik, saya tidak terlalu garang dalam kelas ataupun teknik pengajaran saya tidak membuatkan mereka mahu tidur. Bayangkan, saya juga seorang guru disiplin, ketua panitia dan guru kelas. Di kelas, saya seperti guru yang lain, menyediakan jadual bertugas kepada pelajar-pelajar dan menghias kelas juga termasuk menggantungkan langsir warna pink untuk mereka. Waktu yang sama, sebagai guru disiplin, saya sesekali bertindak sebagai 'polis' dan menyelesaikan beberapa 'kes' tidak kira kecil atau besarnya dan kadang-kadang mengancam nyawa. Waktu yang sama juga, saya menguruskan jawatankuasa peperiksaan dan panitia Bahasa Melayu yang sentiasa memerlukan laporan, aktiviti dan pemantauan serta kursus dalaman.
Namun semua itu saya jalani dengan selesa walaupun sesekali ada rungutan dan desah hati yang terlepas dan banyak yang saya pendam.
Dalam sebuah novel saya, melalui watak Azie ada saya tulis (yang dimudahkan jadi begini): "Aku sudah merasakan manis dan masamnya menjadi guru."
Kepada semua guru dan wajar digelar guru, saya ucapkan Selamat Hari Guru. Guru sesekali seperti "kandil kemerlap di malam gelap" membakar diri menerangi orang lain. Namun pada zaman ICT ini, "guru adalah lampu kalimantang, menerangkan yang lain sambil menerangi diri sendiri."

Friday, May 11, 2007

Buku Baru di Mejaku


Siddharta, 2007 (BM)

Novel karya pemenang Hadiah Nobel Sastera dari Jerman, Hermann Hesse
Terjemahan Melayu dari karya asli Jerman
Telah diterjemahkan ke 52 bahasa
Lebih 7,000,000 naskah telah dijual di seluruh dunia
Merupakan bahan bacaan wajib di sekolah Jerman

Friday, May 04, 2007

Lagi Cerita di Pesta Buku

Gerai PTS,
Saya jumpa Puan Ainon. Saya sudah banyak kali jumpa buku-buku terbitan PTS di luar. Dan kadang-kadang saya pesan daripada taukenya sendiri, Prof. Abdullah. Sempat saya memperkata novel Laskar Pelangi, Andrea Hirata (Indonesia) yang diterbitkan oleh PTS. Saya katakan novel ini 'touching', menarik dan jujur. Puan Ainon bersetuju dan beliau kata ramai yang berpendapat demikian.
Novel ini novel dewasa tetapi pendekatannya kanak-kanak. Novel ini bercerita dengan gaya yang bersahaja namun berkesan dan seperti yang saya katakan tadi, menyentuh. Novel ini mendapat sambutan yang menggalakkan di Indonesia dan di Malaysia, menurut Puan Ainon, sudah habis untuk cetakan pertama.
Saya terfikir, betapa jika menggunakan pendekatan yang sesuai, gaya yang menarik, kreatif, hasilnya sangat memuaskan hati.
Dan saya terfikir lagi, banyak pengalaman kecil yang perlu diceritakan menjadi novel.
Gerai Cerdik Publication,
Saya tunjukkan Rita '20 pada jurujual. Saya tanya, "Novel ini laku tak?"
Dia senyum, "Biasa saja", jawabnya.
Saya berkata dan bertanya lagi, kenapa tidak dipromosi dengan baik, kenapa tidak dibuat poster besar-besar. Dia jawab syarikat lebih fokus buku sekolah. Itu lebih laku dan suka dibeli.
Saya tanya kenapa editor tidak datang?
Kenapa penulis-penulis tidak dijemput. Khadijah Hashim ada menulis, Siti Jasmina, Alias Ismail dan lain-lain.
"Saya tidak tahu", jawabnya.
Dia bertanya saya kenapa tanya itu ini.
Saya jawab, "Ini novel saya."
Dalam hati saya, "Memang susah untuk kaya jika menulis novel macam ini."

Thursday, May 03, 2007

Inilah Puisi Kesunyian Seorang Ayah

aku dapat menangkap dan membaca kesunyiannya
tidak sama dengan kesunyianku
ya, benar.

dia sunyi kasih sayang
aku sunyi inspirasi
dia sunyi suara-suara
aku sunyi kreativiti.

dia seorang ayah
aku pun.

ayahku terbaring lemah hari ini
aku hiba
tubuhnya kering
batuknya,
oh, Tuhan
aku sebak.

entah kenapa
kesunyian terasa makin dalam
makin dalam
dalam.

puisi spontaneus ariffmohamad,
pagi ini, ketika ini.

Pesta Buku

Isnin, 30 April.
Saya ke Pesta Buku Antarabangsa KL 2007. Pagi-pagi sudah sampai. Mungkin kerana hari Isnin, pengunjung tidak seramai hari Sabtu atau Ahad.
Pesta Buku, acara tahunan yang tidak pernah saya lepaskan. Dahulu naik LRT dari Bandar Tun Razak atau komuter dari Kajang ke PWTC. Balik bawa beberapa beg plastik penuh dengan buku.
Kali ini lain. Kali ini saya tidak banyak membeli buku. Entah. Keghairahan tak ada. Buku baru tidak banyak yang menarik minat. Mungkin ada yang telah dibeli atau sememangnya buku baru tidak banyak. Atau saya hanya melihat dari bidang yang saya minat atau selalu perhatikan sahaja, buku itu-itu sahaja sedangkan dalam bidang lain banyak, agaknya.
Ya, pesta buku kali ini terasa sedikit sunyi. Mungkin sememangnya sunyi, gerai tidak sebanyak tahun lepas, pengunjung tidak ramai, atau kerana hari Isnin, atau kerana aku sememangnya sunyi.
Sempat lihat sepintas lalu perasmian karya digital (karyanet) DBP, selintas dengar ceramah Dr Awang Sariyan di pentas utama, angkat tangan dari jauh dengan Marsli N.O, berbual-bual seketika dengan Rahimidin dan Shamsuddin, terserempak kawan lama di kolej di Pulau Pinang dahulu, makan tengah hari dengan Encik Mazlan (Media Publishing).
Pulang segera, lebih kurang jam 3.30 petang, ayahanda kurang sihat. Dan terus ke Kampung Gajah, Perak petang itu juga.

Friday, April 20, 2007

Nadra yang Luka


Membaca Atas Nama Cinta (ANC) adalah satu pengalaman yang menarik. Secara peribadi, saya memang ingin menulis novel tentang sejarah Natrah / Nadra (Maria Hertogh) yang melibatkan empat negara. Baru-baru ini saya terjumpa novel ANC ini, dan agak gembira juga peristiwa ini telah dinovelkan.

Peristiwa Natrah adalah peristiwa sejarah politik dan keagamaan yang dianggap sensitif. Maka, banyak pihak yang tidak begitu memfokuskan walaupun isi dan pengajarannya sangat penting. Suatu ketika dahulu, majalah Dewan Masyarakat ada mengangkat isu ini sebagai fokus utama untuk empat keluaran berturut-turut. Jika tidak silap, wartawan yang melakukan liputan dan penyelidikan tersebut ialah Fatini Yaacob. Bagi saya itu adalah antara dokumen tentang Natrah yang penting.

Sedikit tentang Natrah: Dia gadis Belanda yang dibesarkan oleh keluarga Melayu setelah diserahkan sebagai anak angkat dan memeluk Islam. Kemudian setelah awal remaja, keluarga kandungnya ingin menuntut semula. Ini melibatkan soal mahkamah. Akhirnya, Natrah kembali ke negaranya. Ini kisah pilu sebenarnya. Juga mencabar keutuhan tradisi kita, kemantapan institusi perundangan agama kita, dan juga keyakinan serta jatidiri politik kita.

Peristiwa Natrah telah diabadikan oleh Isa Kamari (jika tidak silap inilah novel berbahasa Melayu yang pertama tentang Natrah). Isa, seorang penulis dari Singapura yang telah memenangi Sea Write Award pada tahun 2006. Kesungguhan Isa menghasilkan novel ini patut dipuji. Dan tambah menarik, sebuah CD yang mengandungi tiga lagu puisi dendangan Isa dan kawan-kawannya (kumpulan Sirrfillsirr) dikepilkan bersama-sama novel. Lagu-lagu puisi ini tidak mengecewakan. Tahniah Saudara Isa Kamari.

Saya telah menghubungi Isa melalui emel tentang novel ini. Dan beliau membalas:
syukran kerana telah membaca anc. sebenarnya ketika menulis anc, tumpuan saya adalah untuk menggambarkan cerita tersebut seadanya, tanpa banyak intervensi kerana kisahnya memang sudah sangat dramatik dan romantis. saya telah berusaha menggunakan bahasa yang termudah agar dapat digarap lebih ramai pembaca. malah saya mencuba juga untuk menghapuskan batasan di antara karya 'sastera' dan karya 'popular' kali ini. setelah berenang dalam lautan sastera selama 30 tahun, saya semakin berasakan batasan itu sebenarnya adalah 'palsu' yang hanya direka-reka bagi kepentingan golongan tertentu.lebih ramai pembaca harus dapat menelusuri pemikiran sasterawan. jika sasterawan 'terperangkap' dalam dunianya sendiri, pembaca tidak akan dapat mengakses pemikirannya. salah satu cara mendekati pembaca ialah dengan menghapuskan batasan tersebut. hamka berjaya dalam pendekatan ini, saya fikir.sekadar menambah.....semoga dapat direnungkan bersama.
salam
isa
www.isakamari.com
labirin maya sasterawan nusantara
SUKMAISA CONCEPT POWERHOUSE

Wednesday, April 18, 2007

Bahasa Melayu Samudera


Bagi saya, buku ini sangat penting. Buku ini melihat sejarah penyebaran dan perkembangan bahasa Melayu di beberapa tempat seperti di Kepulauan Cocos, Pulau Christmas, Australia Barat, dan Australia Timur.

Kita dapat menerima hakikat bahawa bahasa mempunyai kaitan rapat dengan perihal budaya, adat resam, juga kesusasteraan, kesenian dan lebih penting dalam hal komunikasi. Buku ini menyelongkar penyebaran dan kemantapan bahasa di tempat-tempat yang dinyatakan di atas dalam pelbagai sisi dan dapat bertahan lebih seratus tahun, di Kepulauan Cocos terutamanya.

Buku ini menjelaskan bagaimana orang Melayu (dari alam Melayu) merantau ke wilayah baru seperti di Australia lantas dapat mempertahan bahasa Melayu, warisan budaya dan agama Islam.

Walaupun berada dalam kominiti yang kecil dan sedikit terasing, namun yang dikagumi adalah kekuatan dan kesungguhan mereka mempertahan bahasa Melayu daripada.... apa sahaja!

Monday, April 16, 2007

Buku Murah di DBP

7 April
Ke DBP. Beli DS, DB dan buku-buku murah. Ada yang RM1 sebuah. Ada juga buku yang baik tetapi dijual dengan harga itu. Tapi kebanyakannya saya sudah ada. Cuma tengok saja. Rugilah siapa yang tidak beli. Kalau saya pergi lagi, saya dapati buku ini ada lagi, saya akan beli semua. Saya akan beri hadiah kepada sesiapa yang 'mengerti'. Hendak tahu buku apa? SMS saya, okey!
Sempat berbual-bual dengan Azlee Lee.

Petang, sampai senja mesyuarat di Rumah PENA. Perancangan Seminar Budaya Serantau. Zakir pengerusikan mesyuarat. Saleeh sebagai Jeneral. Sham AlJohori al Bendahari. Lutfi ada. Luqman ada. Amirul Fakir dari Ipoh dan Shahrunizam dari Kuantan pun datang. Ikram dari DBP. Nazmi bawa kamera besar. Shukri dan Marjan juga ada bersama-sama hingga ke restoran mi hailam.

Wednesday, April 04, 2007

Merdekanya Selama 50 tahun

Alhamdulillah, ulang tahun ke 50. Usia merdeka yang tidaklah begitu tua dan tidak juga muda.
Persoalan kemerdekaan ini agak menarik diperkatakan, malah popular, tetapi tidaklah sepopular apabila memperkata tentang program realiti televisyen. Kesan dan refleksi rasa dan fikir dan rasa juga ada sedikit-sedikit hampir sama. Rasa mual ada, sakit hati ada, sedih pun ada.
Namun begitu, kemerdekaan adalah sesuatu yang cukup penting untuk diambil berat dan diberi perhatian. Lebih penting dan bukanlahlah seremeh rancangan realiti.
Bagaimana kita menyambut atau merayakan anniversary ke 50 ini? Pasti telah banyak program dirancang dan akan dilaksanakan oleh banyak pihak. Daripada kementerian, jabatan hinggalah pertubuhan bukan kerajaan, swasta dan lain-lain. Harap-harapnya begitulah. Ada rasa patriotik.
Tapi patriotik yang ingin disemai, ditanam, dibaja dan dibesarkan itu bagaimana pula. Oh, subjektif dan konotatifnya perkara ini.
Tahun ini sambutan kemerdekaan kita seperti tahun-tahun sebelumnyalah agaknya. Kita kibar bendera di sana-sini, cipta bendera besar-besar, buat kek besar-besar dan tulis dalam rekod. Itulah yang ada dalam fikiran kita agaknya. Dan itulah makna merdeka yang ingin diberitahu kepada anak-anak kita. Malam merdeka, dengar denting jam lalu menjerit dan berbunga apilah kita ya.
Adakah begitu kita mengenang dan menghargai sejarah?
Adakah sejarah kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa itu hanya perlu diingat dengan bunga api dan laungan tiga atau tujuh kali merdeka?
Subhanallah, kita telah jauh tersasar sebenarnya.
Kemerdekaan adalah sesuatu yang cukup mahal sesungguhnya. Walau dengan apa cara sekalipun, rundingan ataupun pelepasan senjata perang, merdeka yang kita dapat bermula dengan akal fikir, rasa sedar dan gerak juang orang-orang terdahulu. Siapakah orang-orang itu? Sungguh banyak, bukan seorang dua seperti dalam buku sejarah kita.
Sempena 50 tahun kemerdekaan negara ini, sepatutnya kita buat solat hajat dan doa kesyukuran besar-besaran di seluruh negara. Isikan khutbah jumaat dengan kesedaran merdeka dan pentingnya semangat juang sayangkan negara.
Banyak lagi program pengisian jiwa dan perkembangan minda sekaligus kesedaran diri patut dijalankan. Kita perlu revolusi fikiran yang lebih keras sebenarnya. Kita telah banyak dilupakan dan dilalaikan dengan hiburan yang berbasa-basi, sikap endah tak endah, cinta bahasa dan negara yang kian terhakis dan macam-amacam lagi hingga seakan-akan menjadi ancaman kepada bahasa, agama, bangsa dan negara.
Setelah 50 tahun, apa pencapaian Melayu di negara ini yang boleh dibanggakan. DEB, penswastaan, persyarikatan, telekomunikasi? Milik siapa?
Setelah 50 tahun, apa nasib bahasa nenek moyang kita, bahasa Melayu? sastera Melayu?
Setelah 50 tahun, semakin banyak mat rempit nampaknya, semakin kerap terjadi kes pembunuhan, ragut, masalah sosial, dadah.
Ya, Allah, lindungilah kami.
Kita perlu lebih jauh berfikir tentang merdeka, bukan hanya mencari orang yang bernama 'merdeka'.
Marilah kita bermuhasabah. Buat kali ke 50 ini.

Friday, March 30, 2007

Makluman Awal Seminar

Seminar ini dinamakan Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu. Mengajar dan Belajar juga sering disebut pengajaran dan pembelajaran. Seminar ini adalah sambungan dua seminar yang telah diadakan, iaitu Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Pertama (2004) dan Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Kedua (2006). Seminar pada kali ini akan memfokuskan kepada tema 'Kemahiran Bernilai Tambah' sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib serta peranannya dalam menerapkan pelbagai kemahiran kepada murid selain mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara.
Seminar ini juga turut berperanan meneruskan tradisi kecemerlangan MPSI dan IPSI dalam bidang pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Adalah diharapkan seminar kali ini dapat menjadikan Jabatan Bahasa Melayu, UPSI sebagai pemimpin dalam bidang ini yang sekaligus dapat meningkatkan lagi nama UPSI di peringkat nasional dan internasional.
Para pensyarah pendidikan, pegawai-pegawai perkhidmatan pendidikan, guru-guru, pelajar-pelajar, dan sesiapa yang berminat dialu-alukan menyertai. Untuk pembentangan kertas kerja juga masih terbuka.
Maklumat lanjut dapatkan di sini

Wednesday, March 21, 2007

Antara Kajang dengan Tanjong Malim

Kajang, keluar rumah jam 7.00 pagi untuk ke tempat kerja, masih sempat tiba jam 7.30. Jika keluar jam 7.30, ha, sampai tempat kerja 8.30!
Begitulah keadaan jalan raya yang selalu membuatkan aku letih, bosan dan mengantuk dalam kereta. Nasib baiklah dalam kereta aku banyak lagu rock dan lagu-lagu segar. (Aku jarang dengar radio kecuali IKIM dan Radio Muzik sebab radio swasta membuatkan aku benci dengar juruhebah perasan dan tak bersopan ketawa berdekah-dekah di udara).
Sekarang, lega sedikit. Tanjong Malim, keluar rumah jam 7.00, sampai tempat kerja 7.10. Kalau keluar jam 7.30, sampai tempat kerja jam 7.40.
Namun begitu, kesesakan dan kesibukan di jalan tetap ada. Susah sekali untuk mengelak kesesakan kerana manusia berurusan, bekerja, berniaga dan apa sahaja untuk hidup.
Ya, kerana urusanlah saya perlu tinggalkan komputer ini untuk sementara.

Monday, March 19, 2007

Siri Puisi Dulu-dulu II

Berpuisi dalam Hujan

secawan coklat tumpah di meja tulis
menyeret hati duka, sukma makin menebal
awal pagi mesej diterima
sahabatku yang itu mohon perpisahan
minta diri mahu memadam kehampaan
terkesima tidak sempat melambai
tanpa senandung lagu tanpa mengulit fikir rasa
dia pergi jua, jauh, semakin laju langkahnya
pasti, rindu dendam terhanyut
dalam kebanjiran putus asa dan kesia-siaan
badai dan angin memesankan nostalgia
tersindir elusan lembut sesekali, teruja diusiknya

hujan bagai cetusan ironi, mengguris
yang terkoyak bukan cuma hati malah alur fikir
yang menjerit bukan batin tetapi mulut terkunci
yang terlimpah bukan danau tetapi kerinduan bererti
tulang-temulang bergetar tanggungjawab
mata asyik-asyik melihat langit
hidung tercium waktu tertinggal
telinga terngiang pesanan waktu singkat
hujan pun teduh, kerinduan makin hangat

dia, sahabat
seorang yang merajuk dalam perang
perang menentang korupsi belum berkesudahan
berkesudahan adalah kata-kata mimpi yang jauh
jauh diajari kenyataan yang menikam-nikam
menikam-nikam dada berisi cita-cita dan slogan
slogan mengarak panji-panji kemanusiaan
kemanusiaan yang calar-balar dek keangkuhan
keangkuhan yang terpaksa diterima untuk hidup
hidup yang semakin disempitkan material
material yang mengenyangkan perut-perut
perut-perut yang ada padaku, pada sesiapa sahaja

sahabat, sememangnya kutahu kau takkan pulang
kau takkan pulang, melainkan aku datang
datang membawa kekuatan yang kau tinggalkan
tinggalkan, untuk kembali berperang.

ARIFF MOHAMAD

Monday, March 12, 2007

Kenapa "Berikan Waktu pada Logika"?

Ini adalah persoalan kreatif dan seharusnya dijawab dengan kreatif juga. Kita perlu memberi peluang dan keterbukaan pada hal-hal yang logik tetapi sering dianggap aneh dan di luar tabu. Dalam keadaan apa sahaja dan bidang apa sahaja. Namun ada kewajaran dan rasionalnya.
Cerpen "Berikan waktu pada Logika" tersiar dalam Mingguan Malaysia, kelmarin (Ahad, 11 Mac 2007). Dan inilah karya saya yang pertama tersiar di media tahun ini.

Monday, March 05, 2007

Tentang Sanggeetha

Memang, saya sangat ingin bercerita dan mengulas novel ini. Saya telah mendapatkan novel ini sebaik sahaja keluar dari kotaknya (baru sampai). Tapi... tak baca habis lagi!
Ada kesempatan saya akan mengulas setelah habis membaca nanti. Jika ada yang telah membaca silakan beri pandangan. Sekurang-kurangnya memberi semangat kepada saya untuk menghabiskan pembacaan.
Azizi Hj Abdullah antara penulis Malaysia yang istimewa. Sangat aktif, prolifik dalam penulisan. Terbaru, pemenang kedua Pertandingan Novel Jubli Emas DBP.

Friday, March 02, 2007

Siri Puisi Dulu-dulu I

Gambar dari sebuah blog multiply fotografer Indonesia (Ijal).

Bermain dengan Kenangan

Aku ingin bercerita tentang hari-hari lalu
pada angin, yang dapat kulontar
kau pasti tidak dapat mendengar
masih, amat masih kuhafali cerita kita
jarimu runcing mengelus kelopak
sambil aku memainkan gendang kebahagiaan
lewat petang di bawah pohon
kau tersenyum,
pohon itu kita namakan pohon pengertian.

Mana ada lagi kisah seperti kita
hujan telah lama memadamkan
langsung menjatuhkan hukum
cubaan demi dugaan kita gagahkan
namun terkulai jua, kau pun menjauh
aku berlari, lari dari kehampaan itu.

Aku kembali di pohon ini, kini
tanpa gendang, cuma irama alam
pohon meranggas, dedaun gugur
kita telah dituakan dek pengalaman
bekas-bekas peperangan masih kelihatan
hatiku pedih menyusup.

Benar, peperangan menghancurkan janji
perjuangan menuntut pengorbanan ini
sengsara yang datang tanpa disangka
aku tidak pernah merasakan salah langkah
mungkin, kemungkinan dicipta menebat luka
ketika dulu darah muda cepat menyampah
pantang yang tidak kena, membuak marah.

Pohon pengertian semakin uzur,
seuzur kenangan kita
pada ketika memikirkan hayat
dan teringatkan dirimu yang jauh
aku membacakan Al-Fatihah
biar, biarlah segalanya dibawa masa
cerita ini mungkin dapat dimengerti
oleh mereka yang mahu memahami
atau sia-sia, setelah aku juga tiada.

ARIFF MOHAMAD

Apabila Tiba Mac

Masuk bulan Mac maksudnya sudah berada di suku pertama tahun ini. Memang dirasakan masa cepat berlalu.
Aku : Rasakan tugas semakin banyak.
Kita : Mari bergerak dalam rentak 'Marching'.

Wednesday, February 28, 2007

Menantunya di Sebelah Pintu

Tahniah kepada Dr. Siti Khariah Mohd Zubir (pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI) dan Haji Mustaffa yang baru sahaja mendapat menantu perempuan. Yang menariknya, menantu yang dicari-cari selama ini hanya di sebelah bilik Dr. Siti di bangunan Fakulti Bahasa. Ha ha senang dapat menantu ya!
Selamat pengantin baru dan tahniah kepada Zarima dan suami. Nampaknya semakin mudah bekerjasama kerana mendapat ibu mertua yang sama jabatan, sama fakulti dan sama aliran. Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Puan Zarima dikenali sebagai Ustazah di sini kerana mengajar bahasa Arab. Beliau pernah menulis esei dalam ruangan sastera antarabangsa Dewan Sastera.
p/s: Sungguh meriah kenduri di Sepang Ahad lalu. Khabarnya sampai ke malam. Kalau ada gambar saya masukkan nanti.

Monday, February 26, 2007

Tahniah Pemenang Jubli Emas DBP

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang Sayembara Menulis Sempena Jubli Emas DBP. Tidak kiralah penulis lama atau baru. Hadiah lumayan juga. Harapnya novel, cerpen, drama dan puisi-puisi tersebut dapat diterbitkan untuk ditatap, dihayati, dikenangi.

p/s: Mana suara yang pernah marah-marah DBP dulu?

Friday, February 23, 2007

Gie yang Berbara


Menonton"Gie", hasil kerja kreatif Riri Riza membuatkan saya terfikir dan merenung sejenak keupayaan berfikir dan kreativiti berseni karyawan filem tempatan. Malaysia, negara yang tercinta ini tidak pernah kering dengan tenaga kreatif muda yang boleh, malah mengatasi upaya bersaing dengan karyawan luar, dari Asia mahupun peringkat dunia. Tetapi sering juga tertanya-tanya mana hasil yang terbaik kita?

Saya kagumi Gie bukan semata-mata kerja penataan dan pengarahan tetapi sudut bercerita dan persoalan yang dipilih. Patriotik, nasionalisme, politik. Perkara-perkara yang disebutkan ini apabila tiba pada karyawan kita, bagai ada ketakutan dan entah dinamakan apa, maka hanyalah tinggal di atas kertas. Tidak banyak, malah kita hampir tidak ada karya bertema nasionalisme atau persoalan politik (tidak kira dari sisi kanan atau kirinya) sejak lima tahun kebelakangan ini di pawagam.

Kita sangat-sangat memerlukan filem sebegini sebenarnya. Filem yang bernada berani, jelas dan mesej kemanusiaan yang kuat. Ada perkara lain yang kita pelajari selain berhibur. Ada nilainya, ada kesedarannya, agak rasa cinta negara dan bangsa, ada semangat malah ada pesanan yang dapat kita serapi atau unsur yang patut dijadikan sempadan. Kita mahukan filem sedemikian bukannya filem hantu, bukan filem cakap penang, bukan filem lawak kosong, bukan filem cinta budak-budak, bukan filem suami gaduh dengan isteri di bilik, bukan cerita polis lapor penyiasatan di pejabat, bukan cerita mat rempit yang minda sempit, bukan, bukan, bukan.

Sedikit tentang Gie; Filem ini berdasarkan catatan harian Soe Hok Gie, lelaki keturunan cina yang pada peringkat remajanya lagi sudah punyai perspektif yang tersendiri tentang politik. Watak Gie melihat dengan agak jelas apa itu revolusi, konfrontasi dan jiwa seorang pejuang dari dimensi yang dipilihnya.

Filem ini filem terbaik Festival Filem Indonesia dua tahun lepas. Nicholas Saputra memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik. Filem ini memang menarik walaupun naratifnya agak lambat namun berbara pengisiannya. Saya menontonnya di Jakarta. Dan filem ini tidak akan masuk di pawagam Malaysia. Kita sepatutnya ada filem nasionalisme versi kita sendiri. Kita ada banyak pejuang, baik yang dijulang, mahupun yang disenyapkan!

p/s: Kepada peminat filem Melayu, cubalah dapatkan VCD filem-filem Melayu yang 'berbara' iaitu (antaranya): Hang Jebat (Husain Haniff), Cucu Datuk Merah (M.Amin), Semerah Padi (P.Ramlee), Bukit Kepong (Jins Shamsuddin), Matinya Seorang Patriot dan Pemburu (Rahim Razali), Yassin (Kamarul Ariffin), Amuk (Adman Salleh) dan Sayang Salmah (Mahadi J.Murat)

Wednesday, February 21, 2007

Cuti?

Tahun Baru Cina. Cuti. Balik kampung. Alangkah letihnya bergerak di lebuh raya seperti semut. Kereta semakin banyak. Tol semakin naik. Jalan tetap sesak?

p/s: Ada ketika, aku kehilangan bahasa untuk memperkata sesuatu.

Thursday, February 08, 2007

Al-Kisah Dua Peladang

Tanah ladang yang gilang-gemilang di hujung sana telah diketahui pemiliknya. Namun tiada siapa yang pernah berjumpa atau menyapa pemiliknya itu. Tanah subur dengan pohon epal yang berbuah ranum seperti dalam keasingan, tersendiri namun kewujudannya sangat penting dan diketahui semua orang, dapat dilihat semua malah seperti mercu tanda perkampungan itu.
Pemilik tanah yang berhijau merah itu milik orang ternama, orang terkenal dan orang hebat. Itulah kata-kata orang lain, kata-kata pihak yang menggembar-gembur atau mungkin kata-kata pemilik ladang epal itu sendiri. Maka, orang lain yang bodoh alang dan buat-buat bodoh pun percaya. Ya, itu tanah milik orang ternama dan tanah itu subur. Lihatlah.
Seorang pemilik tanah oren di sebelah berasa sedikit kecil hati. Satu, kerana tanahnya tidak sesubur tanah ladang epal di sebelah. Kedua, dia bukan orang ternama. Ketiga, orang di sebelah tidak pernah mahu menjawab sapaannya dan berbual-bual dengannya. Pernah dia cuba menyalami dan mengucapkan tahniah atas kesuburan dan hasil ladang epal kepada pemilik tanah sebelah namun sapaan dan ucap tahniah itu tidak pernah dibalas dengan terima kasih dan apatah lagi sedikit senyum pun.
Begitulah, rungut pemilik ladang oren, sama berjiran, sama bertani, namun terasing dalam dunia yang diciptakan sendiri. Ya, dunia keegoan dan dunia perasan yang diri itu macam bagus dan tidak bersyukur.

Ke Ruang Meditasi Baru

Ketika mengiak-ngiak kembali buku-buku, fail-fail dan bahan cetakan yang menyemakkan bilik, aku terjumpa catatan-catatan lama yang cukup berharga dari segi nilai sentimentalnya. Kebanyakannya draf cerpen, novel dan puisi-puisi yang tidak siap. Ada juga yang aku catatkan tarikh ketika menulisnya dahulu, ada yang sudah lebih 10 tahun. Dan aku fikirklan sejenak, ya, sudah lama aku jejaki bidang penulisan kreatif ini. Sesungguhnya telah banyak juga masa telah aku berikan untuk menulis, cuma hasilnya tidak sebanyak karya Arena Wati.
Catatan dan draf ini penting bagiku, mungkin dokumentasi atau kenang-kenangan untuk anak-anak cucu.
Novel yang aku mulakan dalam bentuk tulisan tangan bertajuk Kelahiran Kedua mula aku tulis pada tahun 1994. Namun hanya lima bab, tidak dapat disiapkan hingga sekarang. Apabila membacanya kembali, rasanya sudah tidak relevan dengan rasa dan alur fikir aku sekarang. Maka, aku membuat keputusan untuk menghentikannya hanya di situ dan tidaklah dapat menjadikannya sebuah novel yang lengkap. Aku akan simpan, sampai bila, entah.
Begitu juga dengan puisi. Terlalu banyak, beratus-ratus jumlah. Dari secebis kertas, atas tisu, buku nota juga helaian berkecai, aku kumpulkan kembali. Juga yang telah aku kumpulkan dalam bentuk yang sempurna sebanyak tiga jilid. Namun aku akui, bukan semua berkualiti, ada yang hanya seperti catatan dan ada yang luahan rasa semata-mata. Namun aku akan tetap simpan. Itulah kerja-kerja kreatifku sejak zaman sekolah lagi.
Aku amat sayangi semua ini. Dan aku mahu semua ini dekat dan semakin dekat dengan diriku. Aku sayangkan dunia kreativiti ini. Dan aku tidak mahu ia hilang.
Itulah kerja aku beberapa minggu ini, di Kajang. Mengemas bilik, memasukkan buku-buku dan apa sahja yang aku anggap penting dan berguna ke dalam kotak. Lalu dibawa ke Tanjong Malim.
Di Tanjong Malim, aku mencari rumah yang ada empat bilik. Salah satunya bilik meditasiku!
Dan aku berharap aku akan terus berkarya di ruang meditasi baru ini.

Tuesday, February 06, 2007

Popular?

ada bintang yang bersinar
ada yang disinarkan
ada yang benar-benar bintang
ada yang tolong undi dan smskan
maka popularlah.
naik pentas, rasa hebat sangat
terlupa ambil hadiah
ada yang tidak sangka menang konon
bukan menang sebenarnya tapi orang undikan
ada yang hampir terlanggar tiang
ada yang bangga baju pinjam
aduhai, konon bintang
tapi sayang
itu HANYA popular
bukan terbaik!

Friday, January 26, 2007

Catatan Apologi Manusiawi

Belum siap apologi manusiawi di Acheh sana
masih menterjemah hikmah dan kiasannya
datang lagi derita menghiris benak di bumi Tuhan
tertumpah ingatan pada saudara seagama senegara
di selatan semenanjung kejutan melanda
air melimpah hilang sarana, menenggelam kudrat

(Aku semakin tidak bisa bicara mudah tentang ini
malah air mataku mengajar erti tabah)

Naluri terusik, simpati berkias dalam diam
berat mata memandang,
berat lagi tangan memegang
lantas menanyai diri tentang ketulusan
kasih sesama manusia,
kasih untuk Pencipta
antara ingatan dan waspada
seiring menyusun langkah mentarbiah
Ya, Rabbi, ampunilah kami

(Aku hampir hilang bicara
malah akal cuba menafsir
surat dan firasat sejauh qada dan qadar)

Hadiahkan simpati semampunya kepada mereka
dengan doa keprihatinan dan bukti keikhlasan
berikan nur kesyahduan pada diri
dengan serap iman dan rasa percaya
pelihara dan sejahtera bumi ini
ya, bumi yang cantik, yang satu ini.

ARIFF MOHAMAD

Untuk Kita Renung... dan Fikirkan


Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keputusan kewangan cemerlang dalam tempoh tiga bulan berakhir 30 November 2006 dengan mencatat keuntungan sebelum cukai RM1.34 bilion. Ini kenaikan 78.7 peratus berbanding RM747.6 juta yang diraihnya bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya, disumbangkan kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu dan peningkatan dalam permintaan tenaga.Keuntungan bersih bagi tempoh itu adalah RM1.25 bilion, meningkat 106 peratus daripada RM604.5 juta tempoh sama tahun kewangan lalu.
...
(Gambar dan berita dipetik daripada Berita Harian)

Wednesday, January 24, 2007

Malam Ini, Malam Puisi

Malam Puisi Kemanusiaan “Meraut Air Limpah” diadakan malam ini. Majlis ini diadakan tanda komitmen dan prihatin terhadap mangsa banjir di Johor. Maaf lewat mengumumkan kerana pada awalnya dicadangkan pada peringkat fakulti untuk penyerahan sumbangan sahaja. Kemudian diubah pada saat yang sangat suntuk menjadi malam puisi dengan mengundang tetamu kehormat.
Maka, saya ingin mengkhabarkan sekaligus mengundang peminat puisi dan sesiapa sahaja ke majlis tersebut. Diadakan pada 24 Januari 2007 di Auditorium Utama UPSI jam 8.00 malam. Diadakan persembahan deklamasi puisi, persembahan teromba, pentomin dan pertunjukan montaj selain kutipan dan penyerahan sumbangan. Jumpa di sana!

Monday, January 22, 2007

Jemput ke Ekspo



Maklumat lanjut www.upsi.edu.my

Dijemput, mana-mana individu berbagai-bagai bidang dan aliran, warga pendidik, karyawan juga pelajar ke Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berlangsung 22 hingga 26 Januari 2007. Berbagai acara seperti forum, dialog, syarahan dan pertandingan diadakan selain pameran dan jualan. Antara sesi yang dijangka menarik ialah Dialog dengan Perekacipta Zulkifli Harun (Zul Design) pada 23 Januari. juga Forum Educational in Malaysia pada 24 Januari dan Syarahan Prof. Dr. Yusof Othman (UKM) bertajuk Sains dari Perspektif Islam dan Syarahan Dr. Jamnul Azhar Mulkan bertajuk Mukzijat Sains dalam Al-Quran.

Jika ada kelapangan, datanglah ke Tanjong Malim.

Juwita, Laila Terlalu Istimewa

Semalam Juara Lagu TV3 masuk ke usia dewasa (21 tahun). Usia yang sudah melayakkan untuk mengundi. (di Batu Talam misalnya). Saya setuju dengan kemenangan lagu Terlalu Istimewa (juga juara kategori Balada). Lagu yang bermesej kemanusiaan dan baik melodi dan susunan muziknya. Penghargaan untuk Azlan dan Adibah, tahniah. Juga tahniah untuk M.Nasir, lagu Juwita Citra Terindah bagi kategori Pop Rock. Kebetulan kedua-dua CD penyanyi ini ada dalam kereta saya. Nampaknya citarasa saya tepat juga, dapat menilai lagu yang terbaik untuk didengar, sesekali ketika memandu terutamanya.
Namun saya cukup tertarik dengan lagu Warkah Buat Laila, juara kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif. Irama dan instrumen lagu ini amat baik dan dikukuhkan dengan lirik yang indah dan berkesan. Tahniah Ayob Ibrahim, Habsah Hassan dan Zahid. (Zahid pun menang juga kategori ini yang Mawi menangi tahun lalu melalui Aduh Saliha).
Yang pasti, juri semakin bijak dan sepatutnya begitu untuk masa akan datang sesuai dengan usia pertandingan ini.

Gambar dari web TV3

p/s: Bacalah lirik lagu ini.

WARKAH BUAT LAILA
LAGU : AYOB IBRAHIM
LIRIK : HABSAH HASSAN
PENYANYI : ZAHID
Warkah buatmu Laila

Kendati pun teranyam rasa di penjuru hati
Runtunan hidup tak mengizinkan kita bermimpi
Keutamaan kita teramat jauh berbeza
Sesungguhnya duniaku di sini bukan syurga
Hayatilah hakikatnya

Pabila telah tertutup mata dan pintu hati
Kemanusiaan mati ditelinga yang tuli
Teganya yang tidak berdosa
Dijadikan korban
Benci dan dendam bagai api di dalam sekam
Kata kata mu Laila

Azimat yang tersemat di hati
Sesungguhnya tiada terdaya
Menggapai harapan andainya bersendiri
Do’akanlah Laila

Do’a untukku dan yang senasib denganku
Agar kebenaran kembali dijulang
Sabar redha bertawakkal pada hikmah kalimah
LailahaillallahMuhammadarasulullah

LailahaillallahMuhammadarasulullah
LailahaillallahLailahaillallahLailahaillallah Allah Allah

Komputer Lembab

Pagi yang membuat aku geram!
Sudah siap menaip untuk publish dalam blog kemudian internet meragam, lalu hilang. Aku sudah menaip lima perenggan. Selalu aku draf dulu dalam Word kemudian baru Copy. Kadang-kadang aku taip terus. Tapi malangnya hari ini... Argh!

Friday, January 19, 2007

Hijrah

Selamat Tahun Baru. 1 Muharam 1428H. Ini benar-benar tahun baru. Tanpa belon, mercun, bunga api dan dentingan jam diikuti jerit pekik tidak tentu hala. Tahun baru Hijrah ini selalunya sunyi dari sisi suasana, namun cukup penting dalam diri individu Muslim. Iktibar peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w, maka konteks penghijrahan itu sebenarnya cukup dalam dan bermakna.
Harapnya tahun baru ini banyak kerja, komitmen yang dapat dilaksanakan dengan baik. Dan aku sangat memohon ke hadrat Allah agar diberi kekuatan untuk menulis karya yang ada beberapa 'projek' tertangguh.

Friday, January 05, 2007

Kabut, Sinar Penghujung dan Awal

Langsir enam ditutup, dilipat disimpan dalam memori
langsir tujuh digantung dengan doa dan harapan
hati tercalar pada hari aidiladha
kisah seorang saddam ditamatkan begitu mudah
tanah selatan ditenggelami air
namun pesta-pesta diteruskan juga

selamat tahun baru!