Saturday, July 22, 2006

Kerja, Aktiviti, Sensitiviti

Aduhai, jadual harian semakin padat. Kerja semakin banyak. Saya teringat kata-kata seseorang, “Sesiapa yang merungutkan kerjanya, dia tu ma…” Ah, tak sanggup rasanya ingin diteruskan kata itu. Semoga tidak tergolong dalam manusia jenis itu.
Apabila pelajar-pelajar semakin hampir dengan peperiksaan, cikgu-cikgu yang lebih berdebar-debar. Nampaknya yang rajin mengulangkaji (selain pelajar-pelajar yang punya motivasi tinggi) cikgu-cikgu pun turut mengulangkaji.
Minggu ini, dua tragedi yang menyedihkan melanda umat Islam. Di Lubnan, semakin menjadi-jadi celakanya Israel. Di Pulau Jawa pula, hempasan ombak besar terjadi lagi. Membaca berita dan melihat gambar-gambar di akhbar juga di internet, terasa sungguh menyedihkan. Tragedi yang cukup mengusik sensitiviti kita.
Itu tidak termasuk lagi tragedi dalam soal budaya dan bahasa di negara ini. Selain isu penyanyi yang hendak kahwin diperbesar media, cadangan jawatankuasa Laporan Pengajian Tinggi supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di Institusi Pengajian Tinggi Awam merupakan 'pukulan maut' dan 'malapetaka besar' kepada bahasa Melayu. Jika cadangan tersebut diterima dan dilaksanakan di universiti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan mati. Malahan jika penggunaan bahasa Inggeris dilaksanakan di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti, bahasa Melayu hanya akan menjadi bahasa pasar.
Aduhai, aduhai.
Sementara itu, pada 18 dan 19 Julai lalu, Unit Dokumentasi Warisan Melayu dan Peribumi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM menganjurkan Seminar Bahasa Melayu Mahawangsa. Saya sempat hadir pada hari pertama, sebelah petang. Hanya mendapatkan dua kertas kerja dan ke gerai-gerai buku. Tiga buah buku terbitan Indonesia saya beli. Terserempak dengan Dr. Arbaie dan Dr, Ahmad Mahmood Musanif. Kemudian ke bilik Haji Naffi Mat, serahkan surat dan brosur Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional yang akan berlangsung di Port Dickson pada 4-6 Ogos ini.
Malam 19 Julai lalu, berlangsung Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. Dari Rumah Pena, letak kereta berhampiran stesen monorel. Bersama-sama Zakir, Rahimidin dan Lutfi kami menaiki monorel kerana bimbang kesesakan jalan, apatah lagi sudah agak terlewat.
Tahniah, syarikat Utusan Melayu kerana telah 21 tahun menganjurkan hadiah ini secara konsisten. Cuma agak tersentak apabila kategori baru, novel Inggeris dimulakan tahun ini. Saya pun tidak pasti apa tujuan yang sebenar-benarnya? Mungkin kerana kehendak penaja.
Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 semakin hampir. Buku himpunan kertas kerja kini di peringkat final sebelum dicetak. Begitu juga kad jemputan dan maklumat peserta. Kami akan berkampung lagi di Rumah Pena seminggu dua ini untuk melangsaikan apa yang patut.
Saya berhenti di sini. Ingin membuat sedikit persediaan. Ada ceramah teknik menjawab Kertas 2 Bahasa Melayu esok.

Sunday, July 16, 2006

Detik jaringan Zidane (11:09)?

Mungkin agak lewat untuk memperkata Piala Dunia. Telah hampir seminggu berakhir. Pasukan pilihan dalam kejohanan ini (sejak musim-musim sebelum ini juga) adalah pasukan Brazil. Apabila tewas di tangan pasukan Perancis, pasukan yang nyaris-nyaris tidak layak ke pusingan kedua, para peminat dan penyokongnya terkilan.
Imej yang dipaparkan berikut berfokus kepada Zidane, yang dikatakan makin tua makin menjadi itu. Ini bukan perbincangan tentang taktikal dalam permainan, bukan juga siapa hebat, siapa bintang. Ini adalah pandangan dari sisi yang lain. Analisis yang ironi, lalu menuntut kita berfikir dan menafsir. Mungkin benar satu kebetulan, dan metafora yang berkias.


Friday, July 14, 2006

Interlog, Enter Blog

Gambar hiasan

Terima kasih atas kunjungan ke blog ini. Usianya terlalu baru. Dua minggu. Sebarang komen dan pendapat membina amat dialu-alukan. Terima kasih juga maklum balas yang diberi dan juga kiriman melalui e-mel dan sms. Saya menghargainya.
Saya tidak banyak tahu tentang aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi. Menggunakan komputer hanya untuk menaip menggunakan Microsoft Word sahaja. Saya belajar sendiri melayari internet, blog, download atau menggunakan apa-apa program Microsoft Office kerana minat ingin mencuba dan desakan-desakan tertentu. Contohnya untuk berceramah kenalah tahu Powerpoint dan sebagainya.
Maka, atas dasar cuba-cuba itulah blog ini terbina sambil ingin berkongsi pengalaman dan kebolehan yang serba sedikit dengan pembaca.
Blog ini bukanlah untuk kepentingan diri. Saya hadir dalam dunia sastera dengan niat baik dan merasakan saya ada kebolehan dalam bidang ini. Seperti yang saya tulis sebelum ini, dunia sastera memberikan keindahan namun ada juga yang melukakan. Dunia sastera kadangkala riuh kadangkala sepi. Dan bertambah sepi apabila ada pihak yang menjadikannya projeksi politik, siasah manusia. Ada perkara yang membuatkan kita marah, geram dan tidak puas hati. Namun begitu, semuanya dipujuk sendiri. Menganggap sebagai satu perjuangan, ya, perjuangan yang mesti diteruskan. Ibarat seorang peladang, asalkan pokok yang ditanam dapat dilihat tumbuh subur, berbunga dan berbuah segar sudah memadai. Berkat usaha, ada rezeki. Alhamdulillah. Jika ada yang menghargai terima kasih dan saya serahkan ke hadrat Allah.
Selain memasukkan bahan-bahan manfaat umum, tidak salah rasanya saya memasukkan karya-karya saya mengisi blog ini. Untuk promosi, untuk makluman dan tatapan. Dalam perancangan, saya akan memasukkan bahan-bahan umum dan juga yang berkaitan dengan dunia pendidikan, sebagai penghargaan kepada profesion saya.
Ini juga antara cara untuk mendekatkan sastera dan pendidikan kepada pembaca. Juga untuk teman-teman penulis, pelajar-pelajar saya, kawan-kawan sekerja dan sesiapa sahaja. Insya Allah.

Salam hormat.

Tuesday, July 11, 2006

"Selamat Tinggal Kekasihku…"

Sesekali redakan fikiran tentang berita hiburan…
Program hiburan yang paling diminati sekarang ini ialah rancangan realiti berbentuk pertandingan nyanyian. Berbagai-bagai nama diberi seperti Akademi Fantasia, One In A Million, Mentor dan macam-macam. Dan isu yang saya sentuh ini adalah sebenar-benar ‘realiti’.
Minggu ini hangat memperkata tentang kisah Asmawi, penyanyi hasil undian ramai dari salah satu program yang saya nyatakan di atas.. Kisahnya boleh dikatakan sama hangat dengan kekalahan Brazil di tangan Perancis dalam kejohanan bolasepak Piala Dunia di Jerman. Dalam tempoh yang amat dekat, Mawi putus tunang dan kehilangan ayah tercinta.
Takdir Yang Maha Kuasa. Tiada kuasa tangan manusia menghalang. Namun kisah putus tunang ini mencetus kontroversi. Mawi dituduh tidak bersikap adil, telah berubah sejak popular dan kaya-raya. Ada yang simpati pada Noor Diana, tunang Mawi. Pendapat pro dan kontra tercetus. Ada yang memberi komen dan pandangan secara matang, ada juga yang seperti budak-budak darjah enam. Siapa benar, siapa salah, entahlah.

Gambar dari Berita Harian, 11 Julai 2006

Walaupun kehidupan ini adalah realiti, tetapi memang berat untuk kita menerima hakikatnya. Inilah yang dialami oleh Mawi dan juga Diana. Kisah cinta mereka bermula di Felda telah berakhir. Berakhir setelah si putera berada di puncak kejayaan manakala si puteri sedang membina impian untuk bersama. Maka jika dijudulkan sebuah karya, judulnya “Selamat Tinggal Kekasihku.” Cuma agaknya siapakah yang mengujarkannya? A atau N?
Kita sepatutnya menghormati keputusan mereka. Sesiapapun bebas memperkata tentang Mawi seperti juga sesiapapun boleh mengundinya melalui sms.

p/s – Saya tidak banyak tahu tentang kisah Mawi ini. Dan tidak mahu ambil tahu sangat pun. Cuma, ingin dinyatakan di sini, Asmawi mahupun Noor Diana juga manusia biasa seperti kita. Sesekali mungkin tersilap, terlupa, walaupun sentiasa mengharapkan kewajaran dan kebenaran. Teruskan perjalanan yang masih jauh, Insya Allah.

Monday, July 10, 2006

Cerpen "Pelangi, Kami Ingin ke Sana"


Syukur, Alhamdulillah. Rezeki. Cerpen ini menang hadiah utama (kategori cerpen remaja) Hadiah Sastera Utusan Exxon-Mobil 2005. http://karyaekspresi.blogspot.com/

Kumpulan Puisi Bebaskan Ekspresi

Memuatkan 64 buah puisi yang dihasilkan antara tahun 1995 hingga 2003. Kebanyakan puisi dalam kumpulan ini pernah tersiar di beberapa akhbar dan majalah tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Watan, Akar, Dewan Sastera, Pelita Bahasa. Juga pernah tersiar dalam majalah kekeluargaan seperti Ibu dan Jelita serta majalah hiburan seperti URTV.
Kumpulan puisi ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu i) Ekpresi Kehidupan Berlagu yang memuatkan puisi-puisi tentang sensitiviti penulis terhadap persekitaran masyarakat. Bahagian ii) Ekspresi Juang Patriot, berfokus kepada tema nasionalisme yang digemari penulis. Tentang perjuangan. Bahagian iii) Ekspresi Perjalanan Berkias, tentang perjalanan hidup yang menempuhi suka duka, berbagai-bagai pengalaman yang kembali kepada diri. iv) Ekspresi Cinta Kasih, di mana kasih sayanglah yang menjadikan seseorang itu kuat.
Kumpulan puisi ini sudah lama diterbitkan (sejak Jun 2003) tetapi tidak banyak terdapat di kedai-kedai buku. Untuk mendapatkannya hubungi e-mel
ketukpintu@yahoo.com seseorang yang menguruskan jualan buku-buku saya melalui pos atau kunjungi http://www.ujanailmu.com.my/

Sila ke Galeri Karya

Blog tambahan, galeri karya saya. Silakan ke http://karyaekspresi.blogspot.com/

Terima kasih.

Membuka Diari Lama (Siri 1)

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 (PPMN05). Bertempat di Kukup Golf Resort & Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor pada 3-6 Jun 2005. Perhimpunan ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama erat Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Ini merupakan perhimpunan penulis muda yang terbesar alaf baru ini. Berbagai-bagai isu disentuh dalam berpuluh-puluh kertas kerja dalam beberapa sesi pembentangan, menghasilkan resolusi, juga dapat mendokumentasikan tiga buah buku penting iaitu prosiding (himpunan kertas kerja) yang bertajuk Idealisme dan Intelektualiti dalam Karya, antologi esei bertajuk Idealisme Penulis Muda, himpunan puisi, cerpen dan fragmen novel dalam Antologi Karya Angkatan Sasterawan 2005 dan buku ucaptama bertajuk Memartabatkan Sastera Melayu oleh Datuk Baharudin Zainal (Baha Zain).

Pasti masih segar dalam ingatan para peserta perhimpunan ini yang dapat menyaksikan kesungguhan penulis muda untuk menjadikan sastera sebagai wahana penting ke arah kemajuan negara dari sudut keinsanan dan pelestarian bahasa Melayu. Ada air mata yang menitis, ada pihak yang tersindir, ada kontroversi yang tercetus dan dapat mengakrabkan hubungan sesama penulis.


p/s- Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa, selain sibuk menjual buku, sempat juga mengambil gambar. Sesiapa yang masih belum mendapatkan gambar-gambar sepanjang perhimpunan ini, hubungi saya.

Demikianlah … yang indah dan yang melukakan.

Sastera @ kesusasteraan, bagaikan satu dunia yang tersendiri. Di dalamnya ada keindahan yang sukar dinyatakan dengan kata-kata, Cuma dapat dikesani oleh akal dan naluri. Ada impak intelektualiti dan harmoni yang tersendiri. Kadang-kadang terasa aneh. Maka kembali kepada diri, merenung dan mentafsir, inilah anugerah, nikmat dan hikmah Allah yang diberikan kepada manusia yang sepatutnya menghargai dan menyayangi kesusasteraan itu dan pastinya lebih utama, semakin dekat kepadaNya.

Proses kreatif, dalam penghasilan sesebuah karya serius adalah perjalanan dalaman yang lenguh dan jenuh. Sepintas lalu, memang dilihat agak mudah dan cepat (menulis puisi dan cerpen contohnya) namun hanya orang-orang yang tertentu (maksudnya penulis) yang memahami dan merasainya. Dalam proses inilah berlaku interaksi akal dan rasa yang adakalanya menyeronokkan, seperti bermain-main di padang kenangan. Sesekali terkesan dengan watak yang direka sendiri untuk bercakap dan bergerak seperti yang dikehendaki. Ya, aneh. Kepuasan atau keseronokan seseorang penulis itu bertambah-tambah apabila karya itu diterbitkan atau disiarkan atau paling tidak setelah dicetak melalui printer sendiri.

Menggarap kreativiti (menulis) ini bukanlah kerja yang boleh dikongsi. Ia bersifat peribadi yang nilainya cukup mahal dan sangat bererti. Sebab itu, jangan hairanlah jika seseorang penulis itu sangat menyayangi karyanya. Tidak sanggup rasanya dicuri, ditipu, diciplak ataupun diperlekeh. Namun untuk tujuan kebaikan seperti pengeditan dan adaptasi, boleh diterima.

Bagi seseorang penulis, berkarya juga satu perjuangan. Perjuangan mengangkat nilai kesusasteraan itu sudah pastinya. Jika penulis Melayu, sastera Melayulah yang disayang dan ingin dimartabatkannya. Dari sisi yang lain, sastera juga wadah untuk motivasi diri. Semakin berazam untuk menghasilkan karya yang baik, diterima pembaca lantas mengambil manfaat daripadanya. Jadi, karya yang dihasilkan sepatutnya berniat baik, dapat memberi kepuasan dan keseronokan walaupun agak berat berperanan untuk menyedarkan, menghantar pesanan dan mendidik.

Sastera juga adalah salah satu cabang pendidikan malahan bidang teorinya adalah sains sosial. Pendidikan adalah suatu proses yang mempunyai tujuan yang biasanya diusahakan untuk mencipta pola-pola tingkah laku tertentu pada orang yang dididik. Setiap suasana pendidikan mengandungi tujuan-tujuan, maklumat-maklumat yang dapat dinyatakan sebagai kandungan, metod yang sesuai untuk mempersembahkan kandungan itu secara berkesan.

Berbalik kepada dunia sastera yang digulati. Proses kreativiti seseorang penulis tulen itu tidak pernah selesai hinggalah ke tahap keuzuran fizikalnya. Lihatlah Shahnon Ahmad (Datuk Profesor Emiritius, Sasterawan Negara) yang tidak pernah berhenti berkarya (dalam esei, cerpen dan novel) hingga sekarang. Begitu juga dengan Abdullah Hussain, A. Samad Said (kedua-duanya Datuk, Sasterawan Negara). Karya-karya mereka malar-hijau dan tidak jemu-jemu dihayati malah masih diperkatakan hingga sekarang.

Mereka (juga sasterawan terdahulu yang lain) telah menghasilkan karya yang memberi kesan kepada pembaca selain untuk berhibur, ada keindahan yang terungkap di dalamnya, ada falsafah yang tersembunyi, ada kata-kata yang perlu direnung-tafsir dan ada sindiran yang terkena pada sesiapa sahaja (walaupun ada juga yang bersifat ringan). Inilah perjuangan mereka. Dan mereka telah membuktikan.

Namun dalam situasi hari ini, apalah sangat pada sastera. Berapa banyak rakyat negara kecil ini yang membaca karya sastera pada saat hebohnya bolasepak Piala Dunia, Akademi Fantasia, juga kisah kahwin-cerai pelakon dan penyanyi. Begitu juga dengan kemudahan hiburan seperi kaset dan cakera padat, siaran televisyen 24 jam, akses internet, sms, mp3 dan macam-macam lagi. Ini tidak termasuk akan sibuknya manusia mengejar kemewahan atau paling tidak untuk bekerja siang malam mencari wang sebagai sara hidup agar dapat melunaskan perbelanjaan harian, bayaran bulanan kereta, bil telefon dan harga petrol yang semakin tinggi.

Maka sastera semakin kecil pada persepsi masyarakat negara ini yang tidak banyak tahu tentang manfaat dan keindahan pemikiran, falsafah atau apa sahaja yang baik dalam sastera. Karya-karya ringan, picisan begitu popular di kalangan pembaca negara ini terutama di peringkat remaja. Dari segi industri perbukuan memang ada baiknya tetapi dari segi pembangunan sahsiah dan intelektualiti, apa yang buku-buku sebegini boleh berikan? Secara peribadi, buku-buku ini hanya boleh memberikan kehancuran! Hancur budi bahasa, hancur bahasa, hancur akhlak.

Keadaan lebih runcing dan sakit apabila ada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab kerana ada kuasa dan upaya untuk melebarkan dan mengangkat martabat sastera tetapi tidak dapat berbuat demikian sepenuhnya. Tidak perlulah dinamakan badan apa, individu mana, namun koreksi pada diri, tanyai dan jawablah sendiri. Apa yang dilakukan untuk masa hadapan sastera Melayu di negara ini?

Catatan : Esei pendek ini dihasilkan biasan daripada beberapa blog teman penulis yang ‘bercerita’ secara kiasan tentang pemilihan seorang penulis novel ringan mewakili Malaysia ke seminar @ bengkel Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia. Pemilihan itu dibuat oleh jawatankuasa tertinggi sebuah badan berkanun bahasa, pendidikan, budaya, dan sastera yang cukup terkenal.
Apa yang dapat dinyatakan di sini, kami (penulis sastera serius) sungguh-sungguh tidak menyetujuinya kerana itu akan memalukan negara dan bertentangan dengan perjuangan pecinta bahasa dan sastera juga demi martabat kesusasteraan tulen.
Situasi sedemikian sangat mengecewakan!

puisi yang belum disiarkan, kenapalah agaknya?

Sebelum Bermula

dicantumkan tulang-tulang berjatuhan
ditindihi kuntuman harum taman indera
dilekatkan di atas kertas putih berbentuk wajah
bergantungan menjadi kolaj kenyataan
betapa sendiri ketawa menebat luka ini
cuba meyakini azam pada langkah baru

berpijak pada tanah merah
memegang panji perjuangan
janji terngiang-ngiang melatari
kilat guruh mengisyarat di langit
semarak pencak terpaku di bumi
peperangan pun bermula
gegaknya sementara ironinya terpenjara

catatan di meja agenda
berbincang tentang keharmonian
cuma getarnya seiringan alir inspirasi
kemenangan diisytihar gah
demi orang lain terimalah kekalahan ini

hingga upaya terhenti juga
kegagalan ini dicanangkan lebih awal
ketika mahu mengacukan senjata perang
ketewasan ditertawakan di bilik persidangan.


ARIFF MOHAMAD