Monday, January 31, 2011

Kemenangan Pilihanraya dan Kepercayaan Rakyat

Dalam tempoh setahun, boleh dikatakan dua atau tiga kali pilihan raya kecil diadakan, malah lebih kerap pun pernah. Pilihanraya diperlukan untuk memilih wakil dalam peringkat majlis perundangan negeri dan persekutuan.

Selalunya, apabila kemenangan memihak kepada Barisan Nasional (BN) mengalahkan Pakatan Rakyat, ungkapan yang selalu dikeluarkan ialah: Kemenangan sebagai tanda kepercayaan rakyat. Inilah retorik pemimpin atasan Melayu yang ketinggalan. Cara berfikir dan mengeluarkan kenyataan adalah bersikap segera, mudah dan senang hati.

Dalam waktu yang sama, tidakkah terfikir apakah jawapan jika calon BN itu kalah? Adakah jawapannya ini tanda ketidakpercayaan rakyat?

Mari kita fikirkan dalam konteks kemenangan ini, sambil tidak tahu menahu tentang strategi, tindakan malah pelaksanaan kempen-kempen pilihan raya kecil. Inilah kemenangan yang wajar disyukuri BN, dan sepatutnya pada malam kemenangan, BN dan seluruh yang berkempen melakukan solat sunat atau sujud syukur bersama-sama penyokong setia.

Dalam tempoh kemenangan inilah, BN seharusnya meyakinkan pengundi di kawasan-kawasan lain bahawa calon yang terbaik dijanjikan pada pilihan raya akan datang. Calon tidak semestinya anak bekas ahli politik juga, atau ahli-ahli korporat yang kaya raya. Calon yang serasi dengan rakyat ialah calon yang dilihat bijaksana, mempunyai ilmu, memahami masalah rakyat dan berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat. Ini untuk mengelakkan pemimpin yang memusnahkan harapan dan cita-cita rakyat, impian rakyat dan kesusahan rakyat.

Buktikanlah keperibadian yang ditunjukkan dalam akhbar, dalam televisyen dan web tertentu yang inilah calon yang terbaik yang ada di situ. Manakala yang ditandingi pula adalah yang bertentangan, negatif dan tidak sebagus calon BN.

Untuk pada masa akan datang, jangan sesekali beranggapan pengundi adalah orang kampung yang tiada pendirian, mudah diperbodoh dan seperti ‘tidak pernah bersekolah’. Jangan sesekali memperkecil keupayaan calon Pakatan Rakyat. Mungkin calon ini tiada kelulusan luar negeri, namun peribadi, cita-cita dan hasrat perjuangannya mungkin jauh lebih murni untuk agama, bangsa dan negara.

Apa guna pemimpin yang menang jika monumen bersejarah tertua diroboh, novel SN dibakar, penduduk di kawasan sesebuah penempatan dihalau, sisa buangan melimpah dekat taman perumahan, jalan biasa ditutup sebaliknya dibina lebuh raya, dan macam-macam masalah rakyat yang tidak didalami dan diusahakan untuk diselesaikan.

Mari kita berfikir secara kritikal dan bijaksana.

Isu Interlok dan Korupsi Minda

Saya, secara peribadi amat tersentuh dengan kontroversi yang melanda novel Interlok. Saya membaca Interlok pada tahun 1995, ketika masih bujangan. Interlok ketika itu tidak dipedulikan oleh sesiapapun. Malah sejak diterbitkan pada tahun 1971, dan dicetak semula 1973, tiada sesiapapun yang marah perkataan ‘paria’ dan gambaran-gambaran yang lain dalam novel itu. Sedangkan ketika itu berbagai-bagai persatuan dan NGO telah wujud, termasuk juga parti politik tertentu.

Ketika ini, ada suara yang mahukan novel itu dihentikan daripada dijadikan teks malah ada yang mahu diharamkan. Pihak pencetus isu ini juga mahu novel itu dimurnikan (dalam pengertian lain bermaksud dicincang dan diubah-ubah sana sini). Itulah nasib sebuah novel yang membawa simbol perpaduan yang cantik, apatah lagi dengan slogan 1 Malaysia yang sering disebut, dalam waktu yang sama bermakna pihak ini menafikan semangat 1 Malaysia itu, hinggakan novel itu mahu dibakar. Ingat, pepatah Melayu ada mengatakan ‘api yang kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan!’

Interlok ialah sebuah novel. Apabila dinamakan novel, tentulah secara sistem dan prosesnya bersifat novel. Interlok bukanlah kisah benar malah watak utama seperti Seman, Chin Huat dan Maniam itu adalah watak-watak fiksyen yang tidak menyentuh mana-mana pihak sama ada yang masih hidup ataupun yang telah tiada. Jika adapun secara kebetulan yang sangat sedikit. Jika ada yang terkena pun masih boleh dibuktikan. Sangat kejam tindakan membakar novel dan gambar seorang sasterawan yang dihormati, apatah lagi pada peringkat hujung usia malah keuzuran pula. Lebih mendukacitakan perbuatan ini direstui oleh pertubuhan politik yang diharapkan memperjuang kepentingan rakyat. Golongan ini sepatutnya tidak perlu memikirkan cara untuk memadamkan sejarah tetapi membina satu paradigma baru atau sejarah baru untuk generasi mereka pada masa akan datang. Jika tiada kasta di Malaysia, mantapkanlah tanggapan itu dengan pelbagai usaha. Bela dan binalah generasi yang tiada kasta serta banyak menabur jasa. Padamkanlah tanggapan-tanggapan negatif selama ini. Jujurlah dalam berbicara, fikirkan juga kepentingan kaum lain yang bersama-sama di negara yang bernama MALAYsia ini. Sedarlah, nama asal bagi negara ini ialah Tanah Melayu. Jika itu diakui itu sudah cukup untuk menjadi hidup lebih toleransi.

Gambaran tentang watak Melayu terlalu banyak yang negatif dalam novel-novel Melayu. Malah dalam filem pun watak Melayu sangat daif dan negatif. Perempuan pelacur dalam Salina ialah Melayu, perempuan yang dirogol bergilir-gilir dalam filem Embun juga Melayu. Lelaki miskin dan berpenyakit dalam Ranjau Sepanjang Jalan ialah Melayu. Malah Melayu juga pernah dikatakan malas, lemah, suka bersantai dan macam-macam lagi. Tetapi Melayu –Melayu ini marah pun marah cakap-cakap saja. Semua ini kerana Melayu ini bijaksana, berfikir waras dan rasional dan tahu makna sejarah, suasana kehidupan mengikut konteks budaya dan kehendak zaman. Perkembangan agama juga memainkan faktor. Persepsi, amalan dan penghayatan serta kedalaman ilmu tentang agama Islam berbeda dalam situasi tahun 1950-an, 60-an hingga sekarang. Sebagai contoh mudah, tahun 1970-an tidak ramai perempuan Melayu yang bertudung berbanding pada hari ini.

Apabila novel seperti Interlok dijadikan teks, unsur-unsur yang dibincangkan bukanlah perkataan ‘paria’ atau sejarah kasta dan sebagainya. Dalam sukatan pelajaran, ada kemahiran bernilai tambah, ada pengisian kurikulum, ada unsur tatabahasa. Pengajaran Komsas bukan semata-mata tentang istilah tetapi jauh daripada itu tentang nilai murni, nilai estetika, ungkapan, gaya bahasa, pengajaran, perwatakan, teknik penceritaan dan sebagainya. Guru-guru yang mengajar Komsas ini pula telah mengetahui berbagai-bagai teori dan pendekatan pegadogi yang kaya degan kaedah, berpuluh-puluh teknik dan berbagai-bagai-bagai model pengajaran termasuk kebebasan mencipta kreativiti dalam pengajaran. Guru-guru ini adalah dalam kalangan yang telah lulus sarjana muda pendidikan malah ada yang telah memperoleh sarjana dan doktor falsafah. Beri kepercayaan dan penghormatan kepada guru-guru ini dan jangan terlalu bimbang terhadap mereka.

Antara tujuan Komsas adalah untuk menggalakkan pelajar mengenali karya kesusasteraan yang baik, menghargai kreativiti sambil menjana pemikiran dan kreativiti sendiri. Pelajar-pelajar ini kelak diharap dapat sedar tentang situasi budaya, memahami unsur-unsur dalam sastera dan dapat membezakan mana karya yang baik, mana karya yang berselera rendah dan picisan, mana yang mengarut. Di samping itu juga pelajar-pelajar ini diharap dapat mengenali mana penulis yang baik, berkualiti, kreatif, berpandangan jauh, luas pengalaman sambil dapat juga mengenali penulis yang perasan bagus, yang menumpang-tumpang menulis dalam bahasa Melayu dalam sastera Melayu, dan penulis yang meminta-minta untuk diiktiraf.

Dalam isu Interlok, apa yang dapat saya simpulkan, dapat dikesan cara berfikir dan bertindak yang kurang matang beberapa individu. Individu ini bergerak atas nama persatuan yang hanya dianggotai oleh beberapa orang ahli malah masuk parti politik untuk kepentingan peribadinya. Individu ini kononnya bertindak bijak tetapi dalam waktu yang sama menunjukkan kegelojohannya.

Satu lagi yang dapat disimpulkan apabila ahli politik Melayu sangat berdiam diri dalam soal ini. Hanya ada beberapa sahaja yang mampu bersuara seperti Datuk Ibrahim Ali melalui PERKASA tetapi di mana suara UMNO, sebuah parti yang kononnya mahu memperjuangkan nasib orang Melayu. Apa reaksi UMNO (Pemuda, Puteri, Puteri) atau ahli-ahli UMNO yang tua-tua dalam soal ini. Sesungguhnya kita tidak memahami sekarang UMNO memperjuangkan apa? Apa yang UMNO buat dalam isu bahasa seperti PPSMI dahulu? Sekarang isu sastera pula.

Dan pada ketika ini, saya memikirkan satu istilah iaitu korupsi minda. Istilah ini saya tiupkan ke laut, sambil tidak mahu terlalu menuduh sesiapa.

2010, Tahun Kontroversi Sastera?

2010 menamatkan dekad pertama milenium baru yang digemparkan dengan fenomena Y2K sepuluh tahun dahulu. Dekad ini, seperti dekad-dekad yang terdahulu, mencatat pelbagai peristiwa di mana-mana pun di dunia ini. Manusia, sebagai perakam peristiwa dan turut terlibat dalam peristiwa tertentu.

2010, telah berakhir. Begitulah masa terasa cepat berganjak hari demi hari, minggu, bulan dan tahun. Dalam bidang penulisan, khususnya kesusasteraan Melayu, tahun 2010 mencatat sejarah tersendiri. Paling hangat ialah isu novel Interlok yang tercetus awal Disember 2010 yang dimulakan oleh kenyataan seorang timbalan menteri mahu novel itu dihentikan sebagai teks komponen sastera (komsas) bagi tingkatan lima di sekolah zon tengah. Isu ini bukan semata-mata isu sastera malah tentang menjadi isu budaya dan politik. Dalam konteks kesusasteraan, isu ini melibatkan maruah dan jatidiri seorang sasterawan negara dan persoalan kebebasan dalam kreativiti. Manakala dari sisi politik ini mempunyai kepentingan daripada sisi yang tidak dilihat dengan mata kasar. Namun keseluruhannya isu ini menyangkut persoalan peradaban, ketamadunan dan perjuangan bahasa dan budaya.

Pada masa akan datang, pihak Kementerian Pelajaran seharusnya berhati-hati dalam pemilihan teks terutama apabila terdapat teks (novel, cerpen, sajak dan drama) yang sangat lemah daripada segi isi, nilai termasuk judulnya.

Dalam situasi yang lain,
pemilihan Zaen Kasturi (Zainal Palit) sebagai penerima Sea Write Award 2010 dari Kerajaan Thailand, bukanlah mengejutkan kerana nama beliau telah dicalonkan beberapa kali sebelum ini. Tetapi yang mengejutkan adalah penulis-penulis yang dipilih meninggalkan nama Zaen pada tahun sebelum-sebelum ini. Tanpa berniat untuk mempertikai pemilihan penerima anugerah sebelum ini, apa yang difikirkan seharusnya ialah nama penulis muda selalunya berada di bawah atau hanya pelengkap senarai sedangkan nama yang terdahulu masih terlalu banyak. Kaedah pemilihan dan penjurian seharusnya diubah. Lihatlah kualiti karya, bukan senioriti seperti memberi pingat untuk diberi. Pemilihan, syarat dan kriteria adalah milik penganjur dan jawatankuasa pemilih, tapi khalayak juga wajar tahu, dan berhak untuk menyatakan pendapat layak atau tidaknya seseorang. Zaen Kasturi sepatutnya telah mendapat anugerah tertinggi Asia Tenggara untuk bidang penulisan itu sejak lima ataupun sepuluh tahun dahulu. Karya-karya beliau banyak sekali memenangi Hadiah Sastera Perdana dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Pemilihan S.M Zakir (Syed Mohd Zakir Syed Othman) sebagai penerima anugerah penulis muda MASTERA, ringkasan daripada Majlis Sastera Asia Tenggara juga merupakan satu penghormatan kepada penulis muda. Tahun 2010 juga dalam gerakan berpersatuan dan berorganisasi, Persatuan Penulis Nasional (PENA) telah memberi peluang tampuk kepimpinan muda.

Selain komuniti siber lewat facebook dan blog, program diskusi juga rancak dijalankan. Antaranya Dialog Orang Muda (DOM) yang berkesinambungan daripada Dialog Pinggir yang diadakan di Rumah PENA bermula awal tahun 2000 (anggaran).

Kerjasama dalam pelbagai bidang seni, tidak semestinya penulisan tetapi grafik, seni visual, filem, muzik dan teater juga perlu untuk mewujudkan perkembangan yang sihat. Cuma sastera bahasa Inggeris agak terasing dan mewujudkan komuniti sendiri. Khalayak atau audien seharusnya memahami karya seni itu bagaimana yang dapat membezakan karya seni estetika tinggi dan karya yang bertaraf biasa-biasa sahaja.

Kembali Mengaktifkan Blog

Terasa terpanggil-panggil untuk mengaktifkan blog. Setelah berehat hampir sebelas bulan, blog Bebaskan Ekspresi tampil kembali. Dalam waktu yang sama saya membina sebuah blog lain, tanjung berkias yang ringkas dan menampilkan gambar foto, satu kerja seni yang juga saya minati. Saya tidak merasakan saya mempunyai momentum baru yang hebat tetapi saya digerakkan oleh rasa untuk kembali melontar idea, memberi komen dan ulasan, buah fikir dan dalam waktu yang sama akan mengkritik pada lapis-lapis yang akan direlevankan.

Kenapa saya ‘rehatkan’ blog ini? Ini soalan yang ditanyakan oleh beberapa orang kawan yang prihatin. Saya tidak boleh menyatakannya kerana sebab yang spesifik tidak ada. Tetapi adalah beberapa perkara yang menyebabkan saya terusik hingga bertindak demikian. Saya secara merendah diri, ingin tampil secara sederhana dalam melontarkan pandangan dalam bidang bahasa, sastera dan budaya. Sambil tidak menafikan turut tertarik dengan pelbagai hal yang berlaku di sekeliling masyarakat dalam dan luar negara dan juga cetusan-cetusan daripada pembacaan.

Sebagai manusia, dalam beberapa keadaan dan situasi mungkin kita bertentangan pendapat. Bukan sesama dalam komuniti, malah dengan isteri dan anak-anak pun berbeda pendapat. Saya mahu berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi saya tidak boleh memaksa orang lain menjadi kawan saya. Saya tahu saya tidak hebat dan kuat, tetapi orang yang merasakan kuat dan hebat hormatilah walaupun sedikit orang yang tidak hebat dan tidak kuat ini.

Dengan harapan yang baik-baik, saya mahu bersederhana serba-serbi.