Tuesday, September 29, 2009

Novel Serius vs Novel Popular

Perkara ini timbul kembali bermain-main seketika dalam fikiran. Memperkata sastera serius dan sastera popular ini tidak pernah selesai sejak sekian lama. Ada yang mengatakan karya-karya yang popular itu bukan dalam kategori sastera hanya cerita semata-mata dan ada yang mengatakan yang karya itu masih dalam kategori sastera cuma bertingkat rendah. Tinggi dan rendah ini seperti kasta pula dalam masyarakat feudal.
Melihat situasi semasa, serius dan popular ini banyak dilihat dalam karya novel. Jarang sekali diperkata cerpen serius dengan cerpen popular, puisi serius dan puisi popular. Apa pula ciri-ciri serius dan popular yang membezakan hingga timbulnya darjat dan kasta in?
Kita perhatikan satu demi satu, ciri-ciri karya ini pada novel. Dan mari kita renung-renungkan. Dan temui karya anda dalam bahagian mana.

Novel Serius
Kulit
Sederhana, ringkas, menarik, kemas, ada foto dan ilustrasi
Cetakan/Terbitan/ Jualan Cetakan bajet. 3,000-5,000 naskhah edisi pertama (DBP). Antara penerbit DBP, Utusan, PTS, Creative Ent., Karangkraf (Alaf 21), Citra Kurnia, dll dan juga penerbitan sendiri.
Tajuk
Menggambarkan isu, idealisme, kiasan, sindiran , nama orang, nama tempat, tahun, masa, peribahasa. Namun tajuk bukanlah menggambarkan isi yang menentukan serius atau popular karya itu.
Penulis
Selalu menghasilkan novel yang bermesej serius. Memilih penerbit. Ada yang dikenali dan ada yang tidak dikenali. Ada yang banyak menghasilkan karya dan ada yang kurang.
Nilai dan Pengajaran
Banyak nilai dan pengajaran. Secara tersirat dan tersurat. Secara tidak langsung dapat diserapkan. Membawa pengajaran berdasarkan watak dan peristiwa.
Tema Pelbagai. Namun mengutamakan persoalan kemanusiaan, masyarakat, ketuhanan, idealisme, sejarah, nasionalisme namun tidak menafikan tema kasih sayang dan percintaan.
Unsur Pendidikan Banyak dalam karya remaja. Dalam novel dewasa juga ada tetapi pendidikan dalam membentuk peribadi dan sahsiah serta membijaksanakan pembaca. Memasukkan pelbagai pengetahuan dalam bidang lain seperti perubatan, syariat, muamalah, undang-undang, pertanian dll.
Unsur Falsafah/Kebijaksanaan Banyak rujukan ataupun hasil pembacaan yang luas daripada penulisnya. Kebolehan menguasai bidang tertentu juga dapat dikesani dalam karya. Dapat dilihat kejujuran dan kebijaksaan pengarang melontarkan idea dan cerita.
Pengiktirafan Diiktiraf oleh panel yang berwibawa, sarjana sastera, pengkaji dan dalam kalangan penulis sendiri serta pembaca yang bijak juga. Pengiktirafan bukan semata-mata dalam bentuk hadiah semata-mata tetapi yang kekal disebut sepanjang zaman.
Sambutan Pembaca Tidak kisah dengan sambutan pembaca. Namun sedar bahawa karya yang baik dibaca oleh pembaca yang baik juga.


Novel Popular
Kulit
Variasi, foto dan ilustrasi penuh, warna-warni, cantik.
Cetakan banyak kerana dijangka sambutan baik. Antara penerbit Creative Enterprise, Karangkraf (Alaf 21), PTS, KarnaDya, Buku Prima, Rhythm, Federal, Tintarona, Kakibuku, dll dan juga penerbitan sendiri.
Tajuk
Menggambarkan perasaan, naluri hati, metafora (cth: Ombak Rindu), hiperbola (cth: Melawan Takdir), kiasan, nama perempuan, nama bunga, unsur bahasa pinjaman, bersifat semasa, ada dialek (cth: Yo, I Love U, Sayang) dll.
Penulis
Selalunya setia dengan satu-satu penerbitan. Karya-karya yang hampir sama temanya. Ada yang suka membuat sekuel (bersambung dalam novel kedua setelah novel pertama laku di pasaran). Setahun menghasilkan satu hingga tiga novel (bergantung individu)
Nilai dan Pengajaran
Ada nilai dan pengajaran. Secara tersurat dan dinyatakan dalam dialog atau perincian (cth: itulah kau, kan tak baik buat begitu…)
Tema
Pelbagai. Namun mengutamakan tema persoalan rumah tangga, percintaan, persahabatan, pengembaraan, masak-memasak dan jahit-menjahit namun ada juga unsur nasionalisme yang ditampal-tampal.
Unsur Pendidikan
Ada dalam karya remaja dan dewasa. Namun dalam beberapa novel dewasa unsur unsur pendidikan kurang diutamakan. Fokus pada cerita.
Unsur Falsafah/Kebijaksanaan
Ada juga yang merujuk tetapi ‘copy & paste’ sahaja asal nampak ada falsafah tinggi tetapi dapat dikesani pembaca. Ada yang berjaya menimbulkan kesan kebijaksanaan dan keinsafan kepada pembaca dan ada yang membuatkan pembaca terasa bosan.
Pengiktirafan
Diiktiraf oleh pembaca yang suka dan saudara-mara dan kroni-kronimya. Mudah dilupakan.
Sambutan Pembaca
Ambil berat dengan sambutan pembaca. Lihat apa yang pembaca suka, maka tulislah. Penulis akan seronok jika dapat masuk senarai buku popular sebab jika menulis sastera serius tidak mungkin atau sukar sekali masuk senarai itu.

Thursday, September 17, 2009

Di sini, Ariff Mohamad dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada pengunjung blog ini, kawan-kawan sekerja, kawan-kawan penulis, kawan-kawan lama, para pelajar dan juga guru-guru serta saudara-mara dan sesiapa sahaja yang pernah bersalaman atau berkenalan dan yang pernah bertegur sapa atau berhubung.
Melalui blog ini saya dengan rendah hati menyatakan bahawa saya adalah manusia biasa yang pasti ada melakukan kesilapan, terkasar bahasa yang tentunya tidak disengajakan dan ada juga yang disengajakan.
Saya juga akan menerima, menghantar sms dan membalas sms secara 'foward' ucapan hari raya dan mungkin ada yang diselangi gambar-gambar dan pantun-pantun lucu dan indah. Terima kasih dan sangat saya hargai kerana ingin menghubungi saya. Tidak perlu dipertikai kenapa mesti di'foward'kan (dipanjangkan/dilanjutkan) kerana itulah sahaja cara yang cepat dan memang teknologi sms, mms dan emel untuk memudahkan manusia. Dan percayalah kejujuran itu hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sekadar hiasan, sebuah gambar perahu
(Gambar diambil daripada Massa Studio)


Pelayaran, kembara, perjalanan sesekali menarik juga dianalogi seperti berperahu. Berbekalkan kudrat dan upaya yang kecil, meredah lautan untuk memenuhi hasrat dan cita-cita hidup. Dengan harapan mendapat kebahagian daripada keberkatan dan keredhaan Ilahi, pastinya perahu sekecil ini, di lautan luas, tidak terelak pukulan ombak, tiupan angin, hujan ribut dan ancaman lanun. Dan sesungguhnya dalam kehidupan nyata sehari-hari, ombak, angin, hujan dan lanun ini memang wujud menggangu kita dengan pelbagai wajah dan penampilan.

Sekadar hiasan, gambar kanak-kanak di pantai
(Gambar diambil daripada Massa Studio)


Nostalgia. sesekali menjentik bagai kembang mewangi dan begitu menyindir apabila usia dewasa (menuju tua). Betapa tulusnya persahabatan kanak-kanak. Seronok bermain tanpa prasangka dan tanpa ego atau merasakan siapa yang paling hebat. Hati bagai berpadu dalam bulatan yang entah di mana letaknya dan kukuh bagai kepalan yang entah bagaimana bentuknya. Bersama-sama berlari ke sana-sini dengan comot wajah, kusam baju dan masam ketiak. Nostalgia tetaplah nostalgia yang semakin jauh ditinggalkan.

Sunday, September 13, 2009

Setelah Melengkapkan Tetralogi Laskar Pelangi

Saya telah menghabiskan pembacaan novel Maryamah Karpov karya Andrea Hirata sebagai pelengkap tetralogi Laskar Pelangi.
Dalam novel ini, nama Maryamah Karpov hanya tiga empat kali sahaja dan tidak menunjukkan kaitan yang kuat dengan perjalanan cerita yang setebal 400 lebih halaman ini (versi Indonesia). Sepatutnya nama A Ling yang dijadikan judul kerana dari awal lagi, cerita ini kembali kepada nostalgia zaman persekolahan dan fokus watak utama yang punya rasa cinta kepada A Ling.
Namun demikian, A Ling yang sepatutnya menjadi fokus hanya dikisahkan pada saat-saat akhir penceritaan. Yang panjang adalah kisah perjalanan Ikal sejak pulang dari Perancis dan membuat sampan untuk mendapatkan A Ling. Sesekali terasa menjemukan. Secara peribadi, saya tidak begitu teruja ketika membaca Maryamah Karpov berbanding membaca Laskar Pelangi.
Sang Pemimpi atau Edensor dan juga yang terakhir ini, tidak dapat menyamai atau menandingi yang pertama, Laskar Pelangi. Maka, secara peribadi saya berpendapat tetralogi ini hanya bergantung kepada kekuatan Laskar Pelangi.
Garapan Maryamah Karpov sesekali seperti hilang arah, tidak konsisten dan tidak berkesinambungan. Laskar Pelangi tetap menggugah berbanding tiga sekuel terkemudian. Namun begitu, tahniah kepada Andrea Hirata atas kejayaan tetralogi ini yang mencetus fenomena luar biasa. Dan tahniah juga kejayaan filem Laskar Pelangi (arahan Riri Reza) yang turut mempesonakan.