Thursday, November 26, 2009

Salam AidilAdha

Salam Aidil Adha buat semua.
Kisah Nabi Ismail a.s akan diulangi lagi dalam khutbah untuk memberi peringatan.
Walaupun berkali-kali disebut, adalah wajar kerana sifat manusia itu sering lupa.
Kepada jemaah haji Malaysia, selamat mengerjakan haji
dan pulang dengan keberkatan haji mabrur.
Dan tentunya, yang belum ke sana sedang menyimpan cita-cita. InsyaAllah.
Subhanallah, kuterbayang Baitullah.

Wednesday, November 25, 2009

Gramedia di Mines

Usai sahaja Pertemuan Penyair Nusantara ke 3 di DBP saya terus ke Mines Shoping Centre, Seri Kembangan. Ketika belajar di UPM dahulu, inilah tempat sarapan, makan tengah hari dan makan malam saya. Saya mencari kedai buku Gramedia, gedung buku yang terkenal di Indonesia. Baru di buka sebulan di situ selain ada dua lagi cawangan di Shah Alam dan Seberang Jaya.
Agak kecewa, tidak banyak buku terbitan Indonesia. Selebihnya sama seperti kedai buku Malaysia yang lain seperti MPH dan Popular. Harapnya, buku Indonesia diperbanyak dan terkini.
Antara buku yang dibeli, belum buka balut lagi

Seronok dan Tidak Seronok Jadi Jurugambar


Saya memang minat fotografi, tapi tiada ilmu mendalam tentang itu. Belum masuk mana-mana kursus secara serius walaupun ada keinginan untuk itu. Kamera, sejak tingkatan dua sudah guna Olympus manual. Kemudian Kodak (kamera murah), dan kemudian ada Sony digital. Pernah guna Panasonic Lumix sekejap kemudian jual pada kawan. Ketika jadi guru dulu, pernah jadi jurugambar program dan aktiviti sekolah. Tapi tidak lama, mungkin tidak serasi dengan tugas itu, kemudian banyak program menjadi juruacara dan moderator selain tugas-tugasan dalaman sebagai Setiausaha, Bendahari, AJK itu ini dan lain-lain.
Ketika PENA menganjurkan program, saya tawar diri jadi jurugambar untuk dokumentasi PENA walaupun jurugambar DBP dan media mempunyai kamera yang lebih canggih. Dalam PENA, ada wartawan akhbar tetapi jarang memetik kamera melainkan mereka membawa jurugambar akhbar tersebut. Dua program besar PENA tahun 2005 dan 2006 (Perhimpunan Penulis Muda di Tanjung Piai dan Seminar Persuratan dan Peradaban Melayu di Port Dickson), saya jadi jurugambar untuk dokumentasi dan ada juga yang saya jual.
Sekarang PENA sudah ada jurugambar sendiri. Dan ahli PENA masing-masing bawa kamera, bukan di sini sahaja malah ke luar negara.
Minat tentang fotografi tidak pernah padam. Dengan kamera digital kecil 4.0 megapixel (dahulu) dan 10.2 megapixel (sekarang) saya ambil apa sahaja gambar yang saya minati terutama jika melawat sesuatu tempat. Banyak sekali laman web menampilkan gambar-gambar yang baik malah ada juga yang mengajar cara mengambil gambar yang baik dan contoh-contoh gambar yang cantik, menarik dan kreatif.
Selain menggulati kerja-kerja rutin, memikirkan penyelidikan dan pengajian, melaksanakan amanah mengajar dan berceramah, menggarap kreativiti lewat karya-karya, membaca buku-buku fiksyen dan non-fiksyen, saya akan bermain dengan kamera.
Kadangkala menatap gambar ada kebahagiaan, ada kesedihan, ada kelucuan dan ada kemarahan. Gambar juga seperti sebuah karya kreatif, yang terpulang kepada jurugambarnya, cara gambar diambil dan objek yang diambil. Seronoknya menjadi jurugambar atau fotografer ini, boleh ambil gambar apa sahaja.Manakala yang tidak seronoknya, gambar sendiri tiada siapa mahu ambil.

Thursday, November 19, 2009

Puisi dan Keupayaan Memperkata Apa Sahaja

Puisi adalah genre yang paling sukar untuk dihasilkan. Ramai orang yang beranggapan menulis puisi sangat mudah. Selain bentuknya yang pendek dan ringkas, puisi dapat dihasilkan di mana-mana asal ada pen dan kertas atau komputer. Persepsi ini perlu diperbetul. Puisi bukan semudah ini. Dan maaf, jika saya katakan bukan semua puisi yang ada tersiar dalam akhbar, majalah, blog, malah ada yang telah dibukukan pun, layak digelar puisi yang sebenar-benarnya. Ada yang tidak layak digelar puisi. Namun ini bukanlah satu penghakiman yang muktamad kerana setiap individu, pembaca, penilai, pengkritik dan editor mempunyai pandangan dan ilmu masing-masing. Puisi-puisi yang dikatakan tidak layak disebut puisi yang sebenar-benarnya itu mungkin boleh disebut sajak suka-suka atau himpunan kata yang membentuk rangkap semata-mata.

Puisi mempunyai pecahan-pecahannya. Puisi itu luas termasuk juga pantun, syair dan gurindam juga merupakan puisi, dalam pembahagian puisi tradisional. Namun disebabkan tradisionalnya pada nama, maka puisi lama ini tidak begitu popular, tidak diminati dan hampir dilupakan. Puisi moden, hanya sajak. Namun ada juga pecahan-pecahan yang kadangkala kabur untuk ditentukan seperti lirik lagu puisi, puisi naratif, sajak deklamasi, sajak sempena dan lain-lain. (Saya, dalam banyak keadaan beranggapan ‘puisi’ itu adalah karya yang bernilai tinggi manakala sebaliknya hanya dipanggil ‘sajak’, menyetujui yang dikatakan oleh Muhammad Haji Salleh dalam buku Pengalaman Puisi)

Puisi yang baik, tentunya ada pemikiran. Ada tujuan puisi itu disampaikan selain luahan perasaan semata-mata. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, perasaan itu ada juga baiknya kerana perasaan yang mendalam dapat memberi kesan perasaan juga kepada pembaca. Seterusnya daripada perasaan yang dikesani ini dapat memberikan tafsiran tentang diri manusia itu sendiri, kehidupan, amal baktinya, dosa pahalanya, dan sejauhmana kebijaksanannya.

Kadangkala rasa lucu apabila membaca puisi-puisi tertentu yang kelihatan tiada apa-apa yang ingin dinyatakan melainkan pandangan peribadi yang tidak dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Puisi yang bijaksana seharusnya dapat dinikmati oleh orang lain agar bijaksana dan bermanfaat juga. Kalau tidak membaca puisi itu hanya membuang masa.

Perlu didalami unsur-unsur puisi itu, kepada mereka yang belum tahu apa itu puisi sebenarnya. Bukan semata-mata definisi siapa-siapa namun fahamilah unsur-unsur yang terbina daripada puisi itu. Puisi juga, sewajarnya ada keindahan. Keindahan itu pula luas maksudnya namun dapat dibahagikan kepada keindahan estetik bahasa melalui gaya bahasa dan keindahan makna yang terungkap. Lagi satu adalah nilai. Nilai juga dapat dibahagikan kepada dua, iaitu nilai murni yang dapat dikesani daripada isi puisi dan lagi satu nilai gaya bahasa yang dapat memperlihat keistimewaan sesuatu bahasa itu sendiri yang menunjukkan bahas itu kreatif, kaya dan luas serta unik.

Sememangnya puisi merupakan satu genre yang cepat terkesan dihasilkan apabila penulis terasa tersentuh, terfikir dan ingin memberikan justifikasi terbuka kepada pembaca. Puisi mempunyai keupayaan memperkata apa sahaja. Pembaca boleh memnikmati sekaligus mentafsir dan menghayati puisi tersebut. Selebihnya milik penulis puisi itu.

Sunday, November 15, 2009

Kesempitan Idealisme

Saya tidak hairan apabila Istana Budaya membuka peluang untuk filem Cuci diteaterkan baru-baru ini. Ini bukan kali pertama filem dibawa ke pentas teater. Puteri Gunung Ledang sebelum ini juga Impak Maksima.
Khabarnya pemimpin-pemimpin besar dan pemimpin utama hadir. Akhbar pun mengulas karya ini hebat. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, teater Cuci adalah daripada filem. Begitu juga dengan Impak Maksima dan Puteri Gunung Ledang. Teater muzikal ini bukan daripada skrip yang teruji sebagai naskhah teater. Mana skripnya, mana bukunya?
Orang Malaysia nampaknya masih buta atau kelabu biji mata tentang teater. Asal ada pementasan, ada lagu, ada pelakon, jadilah teater. Jangan pedulikan cerita, pemikiran, idea, pengajaran… jangan peduli semua itu kerana teater hanyalah pementasan.
Saya , secara peribadi rasa bertanggungjawab terhadap seni, budaya dan karya-karya di negara ini. Saya hanya menegur tetapi hanya dalam blog ini sahajalah. Lain-lain saya tidak mampu. Jika karya ingin membina pemikiran tinggi, kreativiti yang baik, tonjolkanlah seni yang baik, yang mempunyai pemikiran tinggi, atau kalau tidak tinggi sangat pun biar betul caranya dan pendekatannya. Jangan suka hati saja.
Kepada karyawan filem, buat filem sajalah. Kalau ingin masuk pentas teater, isi dulu skrip dengan pemikiran yang bernas dan bijaksana. Hasilkan dulu skrip yang baik, kemudian terbitkan skrip. Contohilah negara maju. Kita mempunyai tempat pementasan yang sangat baik. Tapi janganlah diisi dengan cerita yang hanya hiburan dan seronok-seronok yang memperlihat rendah idealismenya.
Maaf, terkasar bahasa kepada sesiapa sahaja, yang terasa, agaknya.

Pisau Cukur


Siapa yang sudah menonton filem ini? Boleh tolong beri komen. Saya, maaf ya. Tidak sempat menontonnya. Tiket percuma? Beri pada orang lain sajalah. Filem Malaysia ada kualiti? Entah, tapi banyak yang ada kuali saja...

Friday, November 13, 2009

Makluman Seminar

Seminar Intelek Muda ASASI Kali Ke-2
anjuran Akademi Sains Islam Malaysia
Tarikh : 13 hingga 14 November 2009 (Jumaat-Sabtu)
Tempat : Perpustakaan Daerah Hulu Langat (Berhadapan Kompleks Pentadbiran Daerah Hulu Langat, bersebelahan dengan Taman Tasik Cempaka, Bangi)
Yuran Penyertaan : RM20.00
- InsyaAllah saya berada di sana pada hari sabtu untuk membentangkan kertas kerja bertajuk "Bahasa dan Pemikiran Kritis Golongan Muda"
Maklumat lanjut di sini


Pertemuan Penyair Nusantara 2009
Tarikh: 20 hingga 22 November 2009
Tempat: Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Anjuran: Persatuan Penulis Nasional (PENA)
- InsyaAllah saya hadir bersama-sama memeriahkan.
Rujuk web pena


Seminar Peradaban Melayu
Anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Tarikh: 23 dan 24 November 2009
Tempat: Dewan Seminar, Aras 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Yuran: Peserta biasa: RM150.00 (satu orang); Institusi: RM400.00 (tiga orang); Pelajar: RM100.00 (satu orang)
Yuran ini hanya untuk kertas kerja, kudapan masa rihat dan makan tengahari semasa seminar.
Tema: Seminar ini akan membincangkan Melayu dari sisi: orangnya, sejarahnya, politiknya, bahasanya, kesarjanaannya, identitinya, wilayahnya, budayanya, keseniannya, agamanya, ekonominya, raja dan kerajaannya, pemimpinnya, mimpinya, masa depannya, kebimbangannya, dll.
Lain-lain tentang IPM

Friday, November 06, 2009

Naratif yang Memerlukan Sudut Pandangan


Kerana namanya naratif, atau pengertian lain adalah cerita atau pengkisahan, maka terdapat sudut pandangan dalamnya. Sudut pandangan dalam bahasa yang lain ialah point of view (POV) ataupun ada yang menyebut sebagai viewpoint. Istilah POV lebih dekat dengan kerja-kerja sinematografi, fotografi yang melibatkan alat iaitu kamera. Namun daripada konsepnya POV itu adalah daripada pandangan individu. Dalam konteks naratif, pandangan itu adalah orang yang menghasilkan karya itu, penulis atau pengkarya atau narator.

Pengarang bebas memilih sudut pandangan yang mahu digunakan dalam karyanya. Dalam buku Characters & Viewpoint (1988), Orson Scott Card menyatakan terdapat beberapa sudut pandangan yang boleh dipilih dan setiap satunya ada kelebihan dan bergantung pula dengan karya yang hendak dihasilkan. Jika sudut pandangan orang pertama digunakan, dengan kata ‘aku’ atau ‘saya’ atau ‘kami’, maka tentulah ada batasan yang menyebabkan watak itu tidak dapat bercerita semua perkara dalam satu masa. Namun sudut pandangan pertama menggunakan ‘aku’ lebih dekat dengan pembaca, lebih mesra dan semestinya lebih lancar bagi pengarang iu sendiri kerana kadang-kadang ‘aku’ itu adalah sebahagian daripada dirinya sendiri.

Sudut pandangan yang kerap dan popular digunakan ialah sudut pandangan orang ketiga. Dalam kategori ini ada pembahagiannya, sudut pandangan orang ketiga serba tahu dan terbatas. Ada juga yang menamakan sudut pandangan ini sebagai bird view atau sudut pandangan mata burung. Sudut pandangan ini memberikan kebebasan kepada penulis untuk bercerita tentang apa sahaja dan siapa sahaja yang diketahuinya. Di sini pengarang telah mengenal semua watak secara ifzikal dan dalamannya hingga boleh bercerita tentang watak itu serba-serbi, pengalamannya dan peristiwa yang dihadapinya. Dalam waktu yang sama bercerita tentang watak yang lain dan peristiwa yang lain di tempat yang lain juga.

Diringkaskan tentang sudut pandangan daripada buku O.S. Card ini iaitu:
1. Narator Serba Tahu, sudut pandangan orang ketiga, ibarat sebuah CCTV yang merakam semua peristiwa, setiap detik, dan boleh menceritakan kembali. Sudut pandangn ini merupakan sudut pandangan yang lengkap, dan setiap watak pula mempunyai sudut pandangan sendiri terhadap apa yang mereka alami, rasai dan lihat.
2. Narator Pertama, sudut pandangan orang pertama, seperti yang dijelaskan di atas merupakan sudut pandangan yang terhad kepada satu watak.
3. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terhad Luaran, iaitu seperti pancaran lampu pentas yang hanya menyuluh satu watak sahaja. Selalunya watak utama diberi perhatian. Pengarang bercerita tentang perasaan, perlakuan dan apa yang dialami oleh satu watak itu sahaja tanpa mendalami watak lain.
4. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terhad Dalaman/ Mendalam (deep penetration), walaupun masih terhad pada satu watak, perincian tentang watak-watak diberi perhatian dan didalami.
5. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terhad: Pandangan Sinema, seperti sebuah kamera yang merakam gambar untuk filem atau video. Dapat merangkumi semua watak, tidak berfokus kepada satu watak yang digerakkan oleh pengarang.

Kadangkala pengarang tidak menghiraukan sangat sudut pandangan ini. Sewajarnya sebelum memulakan penulisan, perkara ini wajar difikirkan dan diambil perhatian. Bukan dalam prosa naratif sahaja, dalam puisi juga perlu berhati-hati dalam sudut pandangan. Lihatlah karya-karya besar dan hebat, sudut pandangan yang bagaimana mereka gunakan. Dan kesani karya-karya yang kita temui di kedai-kedai buku, perpustakaan dan internet, apakah ada kesan terhadap sesuatu sudut pandangan yang digunakan selepas membacanya? Jadi, sudut pandangan memungkinkan kesan dan bermutu atau tidaknya sesebuah karya.

Sebagai pengarang kreatif, sudut pandangan atau apa-apa sahaja dalam penulisan, tidak semestinya terlalu bergantung dengan apa yang ada atau apa yang pernah dihasilkan. Ada ketikanya perlu juga pengarang generasi baru melakukan inovatif, melanggar konvensi, dan kreatif dalam menggubah, menyusun dan melanggam kraf naratifnya.

Monday, November 02, 2009

Sekolah Satu Aliran?

Saya sudah lama tidak berbual-bual dengan Pak Lias. Sejak isu PPSMI, Pak Lias banyak mendiamkan diri. Baru-baru ini saya sempat bertemunya. Sebaik sahaja meletakkan basikalnya di hadapan medan selera itu, saya tanya ke mana Pak Lias selama ini. Katanya dia sibuk buat lemang berniaga pasar malam selain membaca buku-buku dan kitab-kitab lama.
Saya tanyai Pak Lias tentang sekolah satu aliran. Ini jawabnya:
"Ingat peristiwa penutupan sebuah sekolah Cina yang kontroversi beberapa tahun dahulu. Ingat tunjuk perasaan tentang itu? Itu baru sebuah sekolah. Belum lagi mahu tutup semua sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil? Bagaimana agaknya cara damai untuk melaksanakan ini? Perjanjian Pangkor sekali lagi? Apa guna slogan 1 Malaysia kalau sekolah satu aliran pun susah untuk ditentukan. Apa khabar Sekolah Wawasan, sekolah bestari?
Lagi satu pertanyaan, sejak selepas merdeka Perikatan (BN) melalui MCA mewakili masyarakat Cina ada SJKC, MIC mewakili masyarakat India ada SJKT, UMNO yang mewakili masyarakat Melayu kenapa tidak pernah memikirkan untuk menubuhkan SJKM?"

Berita Terkejut

Pagi ini agak terkejut dengan berita penahanan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin oleh JAIS malam tadi. Tersentak seketika memikirkan macam-macam, dari pelbagai sisi. Dalam keadaan masyarakat kita yang semakin banyak orang pandai pada masa ini, terdapat selisih pendapat yang menyentuh perasaan, menggugat kedudukan dan menggoyang fahaman.
Faktor yang mempengaruhi mungkin kefahaman dan penerimaan terhadap ajaran dalam agama yang dibawa itu, atau mungkin juga faktor individu, juga faktor politik, atau pengaruh orang-orang di hadapan atau di belakang seseorang itu.
Sudahnya, kita katakan 'entah' dalam pengertian suasana masyarakat pada hari ini, yang 'entah' dan sering keliru juga!

Mengagumi Gigihnya Pak Latip

Dalam Mingguan Malaysia dua hari lalu, Dr Talib Samat ada menulis tentang kegigihan A.Latip Talib menulis novel-novel sejarah. Saya sendiri memeng telah terkesan banyaknya novel sejarah tulisan A.Latip Talib sejak 2006. Tahun 2009 ini begitu banyak sekali novel yang siap dihasilkan oleh beliau melalui syarikat PTS.
Beliau sangat gigih dan begitu aktif sekali. Tahniah. Dari sudut keprolifikan pengkaryaan itu amat wajar dicontohi.