Tuesday, August 22, 2006

Kuartet Merdeka

Sebentar tadi saya selesai menonton sebuah telefilem bernaratif sederhana namun berisi pesanan yang kuat. Kuartet Merdeka. Terbitan tahun 2002. Pernah ditayangkan beberapa kali sebelum ini. Saya sendiri telah dua kali menontonnya. Kali ini dan tahun lepas.
Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan, banyaklah program, filem dan telefilem bertema nasionalisme yang ditayangkan. Namun banyak yang bernada tempelan, jeritan dan slogan yang dirasakan bermusim.
Kuartet Merdeka membawa kisah empat sahabat Azmi, Kim Pang, Aru dan Suchat yang mewakili sekolahnya menyertai satu pertandingan lari berganti-ganti (kuartet) sempena Hari Kemerdekaan (ulang tahun kemerdekaan). Dalam keadaan serba kekurangan material, mereka tetap gigih berlatih di bawah bimbingan Cikgu Jalil dan Cikgu Hashim. Mereka berlatih di sekitar sawah padi, ladang getah kerana sekolah mereka tidak mempunyai kemudahan yang secukupnya. Keadaan ini menggambarkan dalam serba kekurangan kejayaan tetap boleh dimiliki atas syarat gigih dan yakin. Persahabatan mereka kekal hingga dewasa sambil tidak terelakkan permasalahan hidup masing-masing.
Telefilem ini melihat kemerdekaan bukan sahaja perlu dihadiahkan dengan bunga api dan mercun serta jeritan dan lagu-lagu, tetapi mengingatkan perjuangan sepadu yang perlu digembeling lalu dikekalkan.
Pada saat agak heboh untuk mencari filem terbaik, apatah lagi pelakon terbaik, telefilem sebegini wajar ditonton agar pihak-pihak tertentu janganlah terlalu sombong kononnya mereka sahaja boleh menghasilkan filem yang hebat. Dalam telefilem ini contohnya, mudah dari segi penceritaan, namun berkesan dari segi teknik imbas kembali dan sinematografi dan menggunakan bahasa yang lancar (walaupun banyak dialek utara digunakan). Tidak perlu berbahasa Inggeris untuk menjadi filem Malaysia yang sebenarnya, konon.
Filem ini dilakonkan oleh Eman Manan, Idris Diah, Mustafa Mahidin, Dr. Samat Salleh dan beberapa lagi. Kesemuanya lelaki. Tiada adegan belasah, tiada menangis meraung, tiada peluk-peluk, tiada lawak bodoh, tiada adegan kelab malam dan tiada apa yang sering dilihat dalam telefilem dan filem kita yang popular. Penulis skrip dan pengarah telefilem ini ialah Syed Azidi Syed Aziz. Pengarah Harapan FFM 19 baru-baru ini.

Sunday, August 20, 2006

Tongkat Warrant, Seorang Pejuang

Gambar dari web Usman Awang

Inilah seorang tokoh kemerdekaan yang seakan hampir dilupakan. Seorang pejuang multibidang (pertahanan negara – polis, sosiopolitik - wartawan, kemanusiaan – penulis/penyair, pentadbir – editor, ekonomi – penasihat dewan perniagaan). Beliau ialah Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang.
Beliau pernah menggunakan nama pena Tongkat Warrant. Genre yang banyak dihasilkan oleh beliau ialah puisi dan drama. Beliau hanya menghasilkan sebuah novel iaitu Tulang-Tulang Berserakan. Novel ini cukup besar dan penting dalam kesusasteraan Melayu.
Perjuangannya bermula awal 1950-an lagi ketika menjadi Setiausaha Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). ASAS 50 ketika itu bukan semata-mata berjuang dalam soal bahasa dan sastera malahan telah menjangkau perihal politik hingga membawa kepada penggubalan dasar-dasar negara. Sempena ulang tahun ke-49 kemerdekaan negara dan sempena ulang tahun ke-50 DBP (tempat beliau pernah berjasa), sesuatu perlu dilaksanakan untuk mengangkat dan mengenang kembali jasa besar tokoh ini. Sambil itu, fikirkanlah sejenak tentang apa yang telah kita buat untuk negara pada masa ini dan kesannya pada masa hadapan. Al-fatihah untuk Pak Usman.

Laman web SN Usman Awang ialah
http://www.tongkatwarrant.com/

Melayu di Pulau Pinang


Nasib Melayu di Pulau Pinang masih belum terbela dan terbela (bela-pelihara, bela-dilindungi). Masalah Melayu di Pulau Pinang (terutama bahagian pulau, sekitar George Town) sejak sekian lama masih tidak berubah. Isu ini telah dibangkitkan sejak tahun 70-an, berterusan dalam 90-an hinggalah ke hari ini. Lebih menyedihkan pemimpin utama negara kita satu ketika dahulu dan sekarang adalah dari utara (Tun Dr. Mahathir, Dato’ Seri Anwar, Dato’ Seri Abdullah).
Dalam Mingguan Malaysia hari ini (20 Ogos 2006), wawancara dengan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Salim Abd Bari dinyatakan beberapa persoalan tentang nasib Melayu di negeri itu dan juga berkaitan dengan cadangan penggiliran jawatan Ketua Menteri. Belum pun usul penggiliran jawatan ini dibawa ke peringkat lebih atas, mereka sudah diberi ‘amaran’ agar tidak memanjangkannya. Parti Gerakan nampaknya cukup bimbang kehilangan kuasa. Tapi UMNO peringkat pusat perlu mengambil perhatian akan hal ini.
Antara isu orang Melayu di Pulau Pinang yang dinyatakan dalam MM hari ini ialah pemilikan tanah di bandar, pengabaian kawasan Melayu di bandar, pembangunan tanah wakaf, pembangunan luar bandar yang meminggirkan orang Melayu dan masalah sosial antaranya penagihan dadah.
Di tengah-tengah bandar raya Geoge Town atau sekitarnya, payah sekali menemui nama Melayu yang gah. Kedai-kedai besar tidak banyak milik Melayu. Jika adapun hanya kedai-kedai kain dan restoran yang boleh dibilang dengan patahan jari. Melayu lebih banyak ditemui menjual laksa dan air sirap di Jalan Kulit atau gerai pasar malam. Yang lain dikuasai orang Cina dan India Muslim. Penguasaan ekonomi di sini telah lama dikuasai oleh bukan Melayu.
Orang Melayu di Pulau Pinang (termasuk Seberang Perai) perlu bangun bersuara. Secara umum, seluruh Melayu di negara ini perlu mengambil perhatian akan perkara ini. Menjelang ulang tahun kemerdekaan, tidak salah malah digalakkan menunjukkan patrotisme dengan mengibar bendera. Namun apa maknanya jika kita hanya berdiam diri tentang hal-hal sebegini.


p/s: Saya pernah tinggal di Pulau Pinang selama tiga tahun sebagai pelajar. Saya tinggal menyewa di No. 63, Lengkok P.Ramlee tidak jauh dari jalan Air Itam dan Jalan Free School. Pernah mengajar di SRK Francis Light dan di Tanjung Tokong. Ketika itu saya sudah nampak permasalahan Melayu di sini.
Banyak kenangan di Pulau Pinang. Persekitaran lautnya cantik. Angin bukitnya segar. Nasi kandarnya memang ‘power’, dan tidak lupa anak mami yang manja.

Peperiksaan Semakin Hampir!

Kepada calon-calon peperiksaan utama UPSR, PMR, SPM, STPM, masa semakin hampir ke tarikh keramat anda berada di dewan peperiksaan. Diharapkan sudah sedia bekalan yang secukupnya untuk berperang.

Setelah Aku Ditinggalkan…

(Mungkin kawan-kawan saya tidak suka entri sebegini. Namun perlu diingatkan, bacalah hingga selesai dulu. Saya tidak memberi sebarang promosi kepada sesiapapun)
Al-kisah Mawi dan Diana telah senyap di media. Kini heboh tentang Datuk K dan Siti Nurhaliza pula. Biarlah mereka hendak kahwin mengalahkan putera raja pun. Mereka sama-sama kaya. Saya tidaklah berminat untuk mengetahui lebih banyak tentang perkahwinan mereka atau pernyataan akhbar kedua-duanya.
Atas : Nor Diana (Gambar dari web Diana)
Bawah: Tengku Zawyah (Gambar dari Utusan Malaysia)

Bagaimana agaknya dengan bekas isteri Datuk K? Beliau masih muda juga, awal 40-an jika tidak silap. Jika Diana telah muncul dalam teater, telah menjadi model untuk iklan busana muslimah, dan mungkin iklan apa lagi selepas ini, dan khabarnya ingin jadi penyanyi nasyid pula. Tengku Zawyah pun rasanya boleh jadi terkenal juga. Atau mungkin beliau hanya berdiam diri sesuai dengan sikap low profilenya.
Kepada Mawi dan Datuk K, seharusnya beri peluang kepada bekas pasangan mereka itu jadi terkenal seperti anda. Diana dan Tengku mungkin akan berkata. “Setelah aku ditinggalkan… aku perlu mengubati kepiluan hati ini.”
Cuma caranya terpulanglah kepada mereka.

p/s: Apa gunanya terkenal kalau tidak memberi apa-apa makna kepada perjuangan bangsa, agama dan negara!

Monday, August 14, 2006

Gubra?

FFM19. Pesta lagi. Usaha mengangkat martabat filem patut dipuji dengan penganjuran festival filem setiap tahun. 23 filem bertanding walaupun yang benar-benar baik tidak sampai sepuluh. Yang lain? Macam filem main-main saja. (Ada satu filem tu tajuknya pun ‘main-main’, ha ‘gila-gila’ pun ada) Ada beberapa kelemahan sepanjang FFM siaran langsung di TV. Pengacara tidak menghormati pelakon veteran. Tak kenal langsung siapa di hadapan mereka sedangkan kamera fokus beberapa kali. Memalukan!
Gubra menang filem terbaik. Tahun lepas Sepet kalahkan Puteri Gunung Ledang. Ada orang boleh terima sebab kelainan yang dibawa oleh Sepet. Nilai keluarga, persahabatan dan integrasi kaum. Tapi Gubra lain sedikit. Ada hal yang sensitif tentang agama dipaparkan. Kisah ustaz berjiran dengan pelacur dan beberapa lagi isu. Seolah-olah Islam itu boleh buat semua. Keterbukaan yang tidak bertempat. Cacamerba. Menang juga. FFM19 pun cacamerba. Cerita terbaik dimenangi filem lain. Pengarah terbaik Suhaimi Baba. Filem terbaik Gubra (Yasmin). Entahlah. Siapalah juri tidak tahu pula.
Ada apa pada Gubra? Saya tidak mahu mengulas banyak. Boleh baca dalam blog tehranifaisal dan artikelnya dalam Dewan Budaya, Julai 2006.

Thursday, August 10, 2006

Puisi Sempena Hari Kebangsaan


Cerita Lain tentang Kemerdekaan

burung-burung bersarangan, damai menyemati diri
dalam-dalam diusik bayu sentosa bumi terindah
perjuangan belum tamat dikisahkan
namun kita cepat bertepuk tangan
sama-sama, bergembira

awan putih, langit biru, kasih satu
sungguh-sungguh, nikmat dikecap
perjuangan, seberat manapun jarang difikirkan
mahal keringat jerih payahnya
kita hanya (masih) bertepuk tangan
menjerit melaung tanpa makna sebati
sama-sama, bergembira

daun-daun berguguran melewati hari
aliran di sungai menghimpun kedukaan
langkah ke puncak sering tersangkut
harapan terhalang dek kewalahan memanjang
impian seumpama slogan ditertawakan
cita-cita murni disindir tanpa perdebatan
maka beginilah
mengusung cerita komedi ke sana ke mari
sedang diri tanpa genggaman berisi

suara ini bukan pancaran pesimisme
jatidiri telah dikukuhkan sejak berzaman-zaman
namun percayalah, kealpaan dan khayalan
akan menghanyutkan melainkan segera ingat
perlu berubah, perlu kembali digubah

sesekali langit mendung memberi isyarat
hujan, turunlah semahu-mahunya
biar bumi ini berbanjir nasionalisme
lupakan pedih atau cerita sedih
letakkan fantasia sepanjang hari ke tepi
jalinan kemerdekaan yang berselirat
telusuri alurnya namun perlu gagah
tiada kata lain untuk kemerdekaan ini
hanya bersedia dan berjuanglah lagi!


ARIFF MOHAMAD
Kajang.
p/s: 2006, ulang tahun ke 49 kemerdekaan negara. Sudah kerap sangat kita dengar orang menjerit pada setiap malam 31 Ogos itu. Apa kata tahun ini, ramai-ramai ke Masjid. Sambut kesyukuran dengan tahlil dan solat hajat mohon kesejahteraan rakyat negara ini pelbagai lapisan dari yang atas tangga hingga yang di bawah jambatan. Mohon kepada Allah agar kita terlindung dari kejahatan manusia dan syaitan dan syaitan berwajah manusia. Mohon agar semua pihak punya kesedaran yang dalam tentang ancaman yang menggugat agama dan bangsa kita. Ya, terlalu banyak yang ingin dipohon sebenarnya. Bersama-samalah kita.

Saya dan Datuk Baha


Saya ingin memberi penghormatan kepada tokoh ini. Bagi saya, beliau adalah tokoh yang jujur dalam perjuangannya tentang bahasa, sastera dan budaya. Beliau ‘maintain’ apabila bercakap tentang isu-isu bahasa dan sastera ini dengan terbuka dan berani. Tidak seperti sesetengah rakan seperjuangannya yang sekejap begini sekejap begitu. Mendengar ucapannya sepuluh tahun dahulu, tahun lalu ataupun semalam sekalipun, nadanya tetap sama. Pendiriannya tetap jelas.
Tahniah Datuk Baha. Anda juga adalah hero. Walaupun tanpa riuh didendang dan dijulang.

Dua buku yang dilancarkan

Buku Persuratan dan Peradaban Nasional diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad, S.M Zakir dan Shamsuddin Othman merupakan himpunan 27 kertas kerja SPPN 4-6 Ogos 2006. Buku ini diedarkan secara percuma kepada peserta seminar lalu. Kepada yang tidak dapat menyertai seminar, buku ini boleh didapati dengan harga RM35.00. Hubungi Rumah PENA untuk maklumat lanjut.


Satu lagi buku yang dilancarkan ialah antologi puisi Manuskrip Luka Bangsa. Penyelenggara Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman. Puisi yang termuat sumbangan 59 orang penulis tanah air termasuk beberapa penulis baru. Berharga RM10.00. Boleh dapatkan di PENA atau sila ke ujanailmu.

Aku yang memetik kamera

Kamera Digital Sony aku bawa ke mana-mana sahaja. Sebenarnya aku ingin ambil gambar keluarga aku sahaja. Tapi apabila keluar rumah, aku cuba juga memain-mainkan kamera termasuk ambil gambar pemandangan atau apa sahaja yang menarik pada aku. Kalau minat ‘save’ kalau tidak suka, ‘delete’. Yang menarik kemudiannya aku jadikan ‘wallpaper’ skrin komputer. Di sekolah, jika ada aktiviti aku akan memetik gambar budak-budak sekolah dan juga kawan-kawan aku. Dalam seminar dan acara rasmi, aku bawa juga tapi kadang-kadang rasa segan hendak bangun untuk mengambil gambar.
Apabila dilihat kembali di komputer, memang banyak tetapi gambar sendiri yang paling kurang. Memang itulah nasib jurugambar.
Gambar juga punyai bahasa yang tersendiri. Daripada gambar, seolah-olah dapat dikesani apa yang dirasakan oleh seseorang. Ada yang senyum meleret, ada juga yang seakan-akan terpaksa. Ada yang malu-malu, dan ada yang pura-pura malu. Gambar juga dapat bercerita dengan tafsiran yang tersendiri. Hampir sama seperti kita menilai lukisan. Ada yang punya rasa, ada yang dapat menyelami fikiran dan estetik, dan ada yang beranggapan kosong, entah apa-apa.
Kunjungan ke PD kali ini tidak sempat menjejak pantai.
View laut dari bilik penginapan di Hotel Costa Rica.
Aku bukan wartawan. Dalam seminar anjuran PENA baru-baru ini aku diminta untuk mengambil gambar untuk tujuan dokumentasi. Dan aku dapat laksanakan walaupun kadang-kadang rasa malas juga untuk ke depan mengambil gambar orang yang membentang kertas kerja atau berucap. Sebenarnya aku lebih suka mengambil gambar yang bukan untuk tujuan rasmi. Gambar untuk album sendiri yang pasti punya makna dan kenangan pada masa akan datang. Aku lebih suka ambil keluarga aku pergi melawat Planetarium atau KLCC, juga gambar pelajar-pelajar sekolah aku yang tersengih memegang bukunya, atau gambar kawan-kawan bermain futsal.

Siti Jasmina dan Nisah Haron dari PEN.

Ya, aku memang seronok memetik kamera. Seronok melihat kejujuran manusia. Dapat menerka hati budi beberapa manusia. Seronok melihat gambar bercerita dengan tafsiran hati dan akal.

Pelancaran www.penamalaysia.com


Persatuan Penulis Nasional (PENA) kini mempunyai laman web sendiri. Tahniah untuk PENA. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang mewakili Menteri Besar pada malam perasmian Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 4 Ogos 2006. Sila masuk.

p/s: Harap sentiasa update.

Setelah Berseminar

Acara perasmian seminar dan pelancaran buku dan laman web pena

Antara teman-teman dan jawatankuasa kerja


Antara peserta seminar

Ucap utama 1: Dr. Awang Sariyan

Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 (SPPN) di Port Dickson telah pun berakhirAhad lalu. Bagi pihak penganjur dan jawatankuasa kerja, kami mengucapkan terima kasih atas penglibatan dan kerjasama semua pihak.
Seminar ini telah menghimpunkan cendekiawan, sasterawan, budayawan, pendidik, mahasiswa, peminat sastera, penulis dan wakil dari agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan individu yang berminat.
Selain itu seminar ini mempertemu sahabat-sahabat lama dan menjalin perkenalan baru. Keseluruhannya seminar ini berjaya. Berjaya dilaksanakan walaupun ada juga kekurangan dari segi sarana dan kemudahan tempat tinggal yang agak sempit, juga jadual yang agak padat.
Resolusi yang dibentangkan termasuk gagasan untuk Dasar Kesusasteraan Kebangsaan akan dimurnikan lagi dan dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi. Dengar khabar, ada cadangan untuk diadakan kongres tentang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan ini pada masa akan datang. Apapun, yang penting untuk kebaikan bersama.
Seminar ini telah mengumpulkan kertas kerja yang baik sekaligus dapat menambah bahan dokumentasi tentang kesusasteraan Melayu juga dapat mengecas pemikiran segar.

p/s – Antara lain, secara ‘sense’ indera keenam mungkin, saya dapat mengenali dan membaca hati budi beberapa manusia. Juga betapa politik dalam sastera tetap ada cuma kembang dan kempisnya sahaja bergantung kepada keadaan. Saya berharap saya masih kuat untuk berperindian secara wajar, ya, seperti saya sekarang.

Wednesday, August 02, 2006

Jumpa di Seminar!

Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional akan berlangsung Jumaat ini, 4 Ogos hingga Ahad, 6 Ogos. Penyertaan setakat ini hampir 200 orang termasuk pembentang kertas kerja dan undangan khas. Seminar yang akan membincangkan tentang bahasa, sastera dan budaya ini mendokumentasikan himpunan kertas kerja dalam bentuk buku termasuk dua ucap utama. Inilah antara usaha penganjur yang patut dipuji. Sepatutnya begitulah. Kertas kerja amat wajar dibukukan. Jika hanya distapel, mudah tercicir, mudah hilang dan dilupakan.
Sebagai salah seorang di pihak urus setia, saya berharap seminar ini berjalan dengan lancar. Semoga juga kita dapat mencari kejernihan dan apa juga yang positif terhadap bahasa, sastera dan budaya. Jumpa di sana!

Siapakah gadis ini?


Inilah gambar kulit novel Rita ’20.
Fragmen novel lihat link galeri karya ariff
Saya akan menjual sendiri novel ini dengan harga RM16.90 sepanjang Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 4-6 Ogos nanti. Insya Allah. Juga kumpulan puisi saya Bebaskan Ekspresi dan novel Versi Aria.

Ini bukan masa untuk gembira

Subhanallah. Sememangnya ini bukanlah masa untuk kita gembira. Kita seharusnya berkabung dan berdoa, jika hanya itu keupayaan kita. Saudara-saudara kita di Palestin dan Lubnan ditimpa musibah yang amat dahsyat. Cukup sedih dan simpati. Beristighfar banyak-banyak apa yang telah terjadi. Israel dan Amerika makin melampau.
Banyak gambar, berita dan pandangan yang baik boleh dilihat dalam beberapa laman web dan blog.

Wangi?


Wangi Jadi Saksi, teater perdana di auditorium baru Dewan Bahasa dan Pustaka. Teater ini arahan U-Wei Haji Saari, yang lebih dikenali dalam pengarahan filem cereka.
Teater yang mengambil perbelanjaan lumayan (khabarnya 600 ribu Ringgit Malaysia) menemui khalayak dari 27 Julai hingga 6 Ogos ini.
Drama ini membawa tafsiran lain tentang teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dari sisi Dang Wangi (isteri Hang Jebat) yang dikatakan menjadi saksi pembunuhan Hang Jebat yang dilakukan oleh Pateh Kerma Wijaya, bukannya Hang Tuah.
Sememangnya teks sejarah boleh ditafsir dalam berbagai-bagai bentuk dan pandangan, namun beberapa perkara yang mengusik sensitiviti perlu diambil kira.Beberapa perkara boleh dibincangkan dari segi ‘fact in story’ teater ini.
Antaranya, betapa lemahnya pahlawan Melayu bernama Jebat yang hanya mati menyerah malahan ditikam dari belakang. Juga, betapa baculnya Tuah yang meninggalkan Jebat dengan tenang sedangkan Jebat sedia menanti dibunuh. Selain, lemahnya Wangi sebagai saksi pembunuhan yang hanya menangis tanpa menuntut sebarang keadilan sebaliknya datang melutut kepada Patih Kerma Wijaya.
Tidak ada sedikitpun pertarungan, tiada amukan melainkan hanya ketenangan dan perbualan klise antara dua saudara lagenda itu. Muzik yang tulen berunsur kejawaan dapat dirasakan. Di mana muzik Melayu, di mana orang Melaka?
Dari segi props dan pembinaan pentas, terlalu ringkas dirasakan. Menggunakan tayangan gambar slaid dengan tatacahaya dan kain langsir yang sekejap ada sekejap tiada, juga papan lapis tiga tingkat menunjukkan ini bukanlah teater yang layak dengan belanja yang sedemikian besar dan menggunakan khidmat pakar props luar negara pula. Tidak ada watak sultan, tiada latar istana yang indah, hanya kosong seperti teater di Stor DBP.
Dialog yang mulanya indah berseni, terutama perbualan antara Kerma Wijaya (Khalid Salleh) dan Bendahara (Datuk Rahim Razali) namun tidak dikekalkan hingga ke akhir. Watak Wangi yang sepatutnya kuat hanya merintih dan menyerah. Begitulah pada pandangan karya ini terhadap wanita Melayu.
Lakonan Jebat (dimainkan oleh Soffi Jikan pada malam saya saksikan) tidak menunjukkan keperwiraan yang sepatutnya. Dia hanya lebih banyak menggeletar, mungkin menunjukkan gelisah dan ketidaktentuan, dan begitulah keadaannya hingga akhir. Tiada bukti kasih sayang dan mesra terhadap Wangi hinggakan pada saat kematiannya, isterinya itu ditolak jauh-jauh.

Pelakon hanya hanya enam orang. Ini tidak termasuk ‘ninja’ berpakaian hitam (sebagai peletak dan pengangkat props kecil seperti dulang dan cawan) yang kadangkala terasa melucukan. Mungkin tiada cara lain, atau tiada pakaian lain untuk mereka. Sungguh berjimat teater ini nampaknya. Saya teringat pada bulan lalu, saya menonton Bangsawan Naga Chini di Istana Budaya. Pelakonnya ramai, propsnya cantik, aksinya menarik. Walaupun ada kelemahan, namun secara keseluruhan rasa berbaloi dengan bayaran tiket yang minima RM20 berbanding yang ini, paling minima RM35.
Apapaun, persembahan ini telah berjaya dipentaskan. Namun, diharapkan DBP mencari skrip yang baik dari karyawan yang teruji untuk mempersembahkan teater di auditorium yang cantik itu pada masa mendatang. Sememangnya tiada kesempurnaan dalam apapun, namun biarlah ada kepuasan di kalangan penonton sama ada estetika mahupun keinteletualannya.