Thursday, May 28, 2015
Daun Kenangan...
Saturday, January 04, 2014
The Happy Life of Debbie, Sebuah daripada empat filem Taiwan dalam siri 'perkahwinan imigran'.
Saturday, June 15, 2013
Wednesday, January 11, 2012
PPMN Fasa Ketiga
PPMN fasa ketiga telah dilaksanakan 16-18 Disember lalu. Sejak dari PPMN pertama, saya berperanan sebagai ahli jawatankuasa, dari sekecil-kecil tugas hingga tugas-tugas yang penting. Juga berkesempatan membentangkan kertas kerja (PPMN kedua dan ketiga). Semua itu pengalaman yang menarik dan tentunya kenangan yang indah.
PPMN dijayakan dengan kerjasama banyak pihak. Kerjasama daripada idea dan tenaga, juga bantuan daripada segi kewangan, penyediaan bahan dan sarana dan persediaan tempat penganjuran. Menjayakan PPMN, dan seminar-seminar yang lain juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga, juga fikiran dan sikap mengawal rasa dalam beberapa keadaan, terutama bagi yang dipertanggungjawabkan jawatan-jawatan penting.
PPMN pertama diadakan di Tanjung Piai, Johor pada tahun 2005. SM Zakir bertindak sebagai Pengarah dibantu oleh Shamsuddin Othman, Mohamad Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali dan barisan jawatankuasa dalam kalangan penulis muda yang berterusan bekerjasama dengan PPMN dan program-program PENA yang lain. Ucap utama disampaikan oleh Datuk Baharuddin Zainal. PPMN kedua diadakan di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2009 dibarisi AJK yang diketuai oleh Saifullizan Yahaya sebagai Pengarah Program dibantu oleh Muhammad Lutfi Ishak. Ucap utama disampaikan oleh SN Datuk Dr Anwar Ridhwan.
PPMN ketiga berlangsung di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur. Pengarah Program Muhammad Lutfi Ishak dibantu saya dan AJK yang bekerja keras dari awal seperti Rebecca Ilham, Norziati Rosman, Hani Salwah dan ramai lagi termasuk Zaiful Nizam, dan Ijamala MN yang tetap setia dengan PPMN dari yang pertama hingga ketiga ini. Juga tenaga-tenaga baru seperti Fadli Akiti, Nisa Yusof, Hafiz Latif, Norhazwin, Zarif Hasan, Arif Atan dan Ali Atan dan yang lain-lain. Ucap utama disampaikan oleh Datuk Profesor Dr Mohd Salleh Yaapar. Terima kasih juga kepada para wartawan sastera dari Berita harian dan Saudara Ku Seman dari Mingguan Malaysia.
PPMN ketiga juga sempat meluncurkan tiga buah buku iaitu antologi Karya Sasterawan 2011, Perjuangan Penulis Muda ; Arah dan Cabaran (kumpulan kertas kerja) dan Takah Lima Puluh (antologi puisi sempena 50 tahun PENA).
PPMN ketiga yang bertemakan “Pengukuhan Makna diri Pengarang Muda” membariskan para pembentang kertas kerja daripada pelbagai latar pengamalan dan penguasaan subjek. Yang pasti, terdapat kertas kerja yang baik daripada segi penghujahan. Terdapat kertas kerja yang diberi perhatian lebih oleh pihak-pihak tertentu dari sisi pro dan kontranya. Yang kena pada yang pro tentulah pujian melangit akan diberikan, manakala yang kontra tentulah ada emosi sinis diungkapkan. Cuma, perbahasan-perbahasan lanjut tidak pula mahu diteruskan. Dalam waktu yang sama, ada yang bersikap neutral dan buat-buat tidak kisah.
Sememangnya dunia kesusasteraan mahukan perdebatan dan polemik dengan niat untuk kebaikan. Namun keadaan ini berlangsung secara sangat sederhana. Malahan perbincangan tentang dunia sastera dalam akhbar, majalah dan blog semakin kurang ditambah pula dengan adanya laman sosial seperti facebook dan twitter yang lebih banyak berbicara soal peribadi yang kadangkala berbunyi remeh-temeh. Mungkin, berbicara tentang apa-apa subjek berkaitan dunia sastera sama ada teorinya, suasananya dan kesesuaiannya dengan zaman tidak begitu menarik dan menguntungkan lagi. Jadi, perbahasan ilmu itu hanya dalam kertas kerja, seminar dan kuliah semata-mata.
Seperti PPMN yang sebelumnya, perhimpunan kali ini membawa resolusi pada akhir seminar. Resolusi PPMN ketiga antara lain mengesyorkan agar para penulis/ pengarang memanfaatkan nilai-nilai sejagat sebagai teras pemikiran dan pengucapan dalam pengkaryaan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukunegara. Selain itu menegaskan bahawa
Dasar Kebudayaan Kebangsaan mesti diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu manifestasi kerangka kebudayaan yang jelas.
Saranan kepada Kementerian Pelajaran juga diberikan untuk memartabatkan sastera kebangsaan dalam sistem pendidikan negara dengan menekankan aspek kesusasteraan dan saintifik secara seimbang. Juga kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan agensi kerajaan yang terbabit mesti menyediakan geran penyelidikan, zamalah, penerbitan dan memberi peluang kepada penulis muda yang berbakat untuk menyertai aktiviti peringkat serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan intelektualiti dan kreativiti. Agensi tersebut dan pihak-pihak lain yang berkaitan perlu mewujudkan program pertemuan penulis muda peringkat Asean untuk mempertemukan penulis muda serantau bagi merapatkan hubungan kebudayaan serantau.
Dalam resolusi PPMN ketiga juga mengesyorkan agar Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memberikan biasiswa kepada penuntut cemerlang dan penulis lepasan sekolah untuk menuntut dalam bidang kesusasteraan sama ada di dalam negeri atau di luar negara. Dan yang terakhir, agensi-agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri perlu memperbanyak peruntukan untuk menyemarakkan aktiviti kesusasteraan, kebudayaan, pemikiran dan penerbitan penulis untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada antara penulis di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
PPMN ketiga memberi kenangan manis apabila perasmian dilaksanakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Sumbangan RM 1 juta kepada PENA yang diumumkan pada malam perasmian, yang serentak juga melancarkan sambutan 50 tahun PENA sesuatu di luar jangkaan. Kepada suara-suara di luar yang agak pesimis dengan situasi ini, percayalah, apa yang PENA lakukan termasuk PPMN ini bukanlah untuk kepentingan peribadi. Ini untuk dimanfaatkan bersama-sama. Soal politik satu hal yang lain tetapi siapa lagi yang diharapkan untuk menggerakkan bahasa, budaya dan sastera sesebuah negara? Bukankah pemerintah itu sangat berperanan. PENA tidak perlu dicemburui, kerana PENA tidak pernah pun berasa cemburu dengan sesiapa.
PPMN keempat hanya dalam bayangan. Saya, mungkin hanya hadir untuk bertemu kawan-kawan sahaja nanti. Harapnya PPMN keempat dilangsungkan dengan lebih baik dan bermanfaat. Jika tiada PPMN keempat dan seterusnya, saya antara yang terasa amat terkilan.
Kembara
menggunakan pengangkutan awam, bas dan komuter. Memerlukan masa yang banyak, penat berjalan namun menjimatkan wang. Tidak perlu memikirkan tol, parking dan petrol.
Saya masih terus berkembara dalam Kembara Pasca-S, dan suka dengan cara ini, sesekali.
Lensa PPMN 3
Itu tempat yang paling sesuai untuk Timbalan Pengarah Program PPMN yang juga AJK PENA. Gambar bersama-sama Sindiket Soljah.
'Hanya orang perjuangan tahu makna sebenar sebuah perjuangan'
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, anak Penghulu di Chemor kini Presiden PENA.
Kejayaan Khair dan Saleeh adalah bukti bahawa kita perlu berani
bermain dengan mimpi-mimpi.
sebuah catatan sejarah secara kreatif dan nostalgia yang menarik.
Antara bakal guru yang bertebaran di seluruh negara.
Ingat, suara UPSI ada di mana-mana!
Kerusi yang kosong bermakna ada pembentang yang tidak hadir.
Jadi, biarkanlah moderator bertindak seperti panel juga...
Kalau ada lagi ramai macam ini lagi bagus!
Nombor 2 dari kiri itu pelajar Universiti Malaya dari Jepun.
PPMN bukan lagi bertaraf nasional tetapi sudah ke peringkat antarabangsa.
S.M Zakir (juga penerima SEA Write Award 2011).
Dua perempuan itu, Hani Salwah dan Rebecca (ada nama Melayunya)
adalah harapan untuk pelaksanaan PPMN seterusnya.

Tuesday, September 06, 2011
Perginya Seorang Pemikir Melayu
Kepergian Dato' Hassan Ahmad pada 31 Ogos 2011 ketika ulangtahun kemerdekaan negara dan hari raya kedua merupakan satu kehilangan besar bagi bangsa, agama dan negara ini. Benar, perginya tiada ganti. Almarhum adalah pemikir Melayu yang tersendiri. Alfatihah.
Khazanah pemikir Melayu yang ada pada simpanan saya. Falsafah Melayu terselit di dalamnya. buku-buku ini mungkin sudah tiada dijual di pasaran apatah lagi urusan percetakan diserahkan kepada syarikat yang bermasalah. Namun masih banyak di perpustakaan. Sunday, July 31, 2011
Ramadhan dan Cita-cita
Moga-moga Ramadhan yang mempunyai seribu keindahan ini turut memberi ruang kepada kreativiti selain melebihkan amalan wajib dan sunat yang dituntut. Semoga Ramadhan yang penuh dengan cahaya dan keberkatan ini menajamkan akal dan hati untuk berkarya sebaik-baiknya. Semoga Ramadhan juga memberi jawapan kepada beberapa keraguan dan kebimbangan berkaitan dengan tuntutan melunaskan cita-cita yang ingin didapatkan selama ini.
Sungguh pun ada perkara yang membuatkan rasa terkilan, tetapi harapnya ada yang memberikan rahmat yang tersembunyi.
Thursday, July 21, 2011
Lensa Mastera
Untungnya sampai awal ke Jakarta sempat pada hari terakhir Pesta Buku Jakarta 2011. Setiap gerai menawarkan diskaun minimum 20%. Kali kedua mengunjungi Istora Senayan. Tiba-tiba terbayang Lee Chong Wei dan Taufik Hidayat beraksi.
Kelompok 3 yang sentiasa berinspirasi. Berdiri dari kiri: Saat Omar (Malaysia), Nisah Haron (pembimbing Malaysia), dan Mohd Rafi (pembimbing Singapura). Duduk dari kiri: Shahira (Singapura), Ilyani Khalid (Malaysia), Zakiya (Indonesia) dan Cornelia (Indonesia).
Bersama-sama Bapak Ahmad Tohari, sasterawan Indonesia yang saya kagumi. Antara novel beliau Ronggeng Dukuh Paruk, Kubah, Nyanyian Malam dan edisi terbaharu Bekisar Merah. Pernah menulis di bawah cahaya lampu minyak tanah dan menaip tanpa langkau demi menjmatkan kertas.
Bersama-sama Seno Gumira Ajidarma. Asyik beliau bercerita tentang novel Jazz, Parfum dan Insiden melalui ceramah beliau. Banyak juga menulis cerpen, antara yang terkenal ialah Sebuah Pertanyaan untuk Cinta, Cinta di Atas Perahu Cadik dan terbaharu dalam cerpen pilihan Kompas 2010, Dodolitdodolitdodolibret. Antara kata-kata Seno yang sempat saya catat: “Karya yang sukses ialah karya yang dibilang bagus dan jelek.”
Bersama-sama Hafizah Iszahanid dan Asma Nadia. Asma Nadia, adinda kepada Helvi Tiana Rosa ini memiliki syarikat penerbitan buku sendiri selain aktif menyampaikan ceramah sastera dan kekeluargaan. Filem Emak Ingin Naik Haji berdasarkan cerpen beliau dengan judul yang sama. Antara kata-kata Asma, “guru yang paling baik ialah membaca.”
Panorama Gunung Mas yang luar biasa indahnya. Gambar asli tanpa sebarang editing. Saya menggunakan kamera DSLR Sony Alpha menggunakan seting aperture dan shutter automatik gambar saiz 16:9 . Saya juga peminat fotografi, terfikir akan datang lagi khusus untuk mengambil gambar.
Rombongan Cik Kiah dari Malaysia. Berdiri dari kiri: Bahrudin Bekri (tidak banyak bicara, tapi diajak menyanyi, boleh saja! katanya), saya yang mewakili batik Malaysia, Cikgu Abdul Razak Adam (katanya sangat berbaloi hadir ke bengkel Mastera walaupun dengan belanja sendiri), Husairi Hussin (terpaksa pulang awal kerana kemalangan kakanda di Baling), dan Saat Omar (terkilan kerana Putu Wijaya yang dikagumi pulang awal). Duduk dari kiri: Hafizah Iszahanid (peserta ‘last minute’ ke Mastera yang banyak bertanya, al-maklumlah dia ini seorang wartawan),Nisah Haron (peserta Indonesia bernama Cornelia mengatakan puan ini begitu energetic sekali)dan Ilyani Khalid (kak yong dari Kuala Kangsar yang tidak perlu tukar gear dialek Perak apabila berjumpa saya dan Hafizah).MASTERA, Kreativiti dan Saudara Nusantara
Program ini bukanlah bertujuan semata-mata untuk melahirkan novel yang hebat. Bukan juga untuk memastikan novel itu semestinya mendapat sambutan hangat untuk berada dalam carta pilihan pembaca kedai buku besar. Program ini juga bukan semata-mata untuk mengajar teknik penulisan yang berkesan. Program ini bukan untuk mengajar sesiapa. Program ini program wacana, perbincangan dan diskusi secara formal dan sebaiknya. Bagi saya, perbincangan dalam kumpulan amat bermanfaat, namun perbincangan di bilik rehat atau di luar kamar mahupun di dewan makan, juga memberi pengisian yang tersendiri. Benarlah kata orang pengalaman tidak boleh dijual beli.
Bengkel MASTERA Genre Novel 2011 disertai oleh 18 peserta dari empat buah negara iaitu tujuh orang dari Indonesia, tujuh orang dari Malaysia, dua orang dari Brunei Darussalam dan dua orang dari Singapura. Malaysia diwakili oleh Hafizah Iszahanid, Ilyani Khalid (Jemari Seni), Husairi Hussin, Bahruddin Bekri (PTS), Mohd Saad Omar, Abdul Razak Adam, dan saya. Program ini berlangsung pada 11-15 Julai 2011 di Andara Resort, Cisarua, Bogor, Indonesia. Urus setia program ialah Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan Nasional, Republik Indonesia manakala pembimbing pula tiga orang dari Indonesia (Ahmad Tohari, Putu Wijaya dan Asma Nadia), seorang dari Malaysia (Nisah Haron), Brunei (Dr. Haji Morsidi) dan Singapura (Muhammad Rafi) serta seorang penceramah undangan (Seno Gumira Ajidarma).
Program diisi dengan perbincangan manuskrip masing-masing. Manuskrip dibedah oleh pembimbing dan pandangan juga diberi dalam kalangan peserta. Tiga pusingan perbincangan berlaku kerana perbincangan berbeza cara mengikut pembimbing yang digilirkan. Saya membawa manuskrip sebuah novel bertema sosiopolitik yang saya gemari. Saya sangat berterima kasih atas pandangan yang diberi oleh para pembimbing dan rakan-rakan dalam kalangan peserta.
Program Penulisan MASTERA telah berlangsung selama 14 tahun sejak 1997. Pusingan untuk genre novel telah tiga kali iaitu 2001, 2006 dan 2011. Saya terlepas untuk tahun 2006. Tapi rupa-rupanya 2011 saya berpeluang juga walaupun pada hujung syarat usia. Saya pernah berasa kecil hati dengan MASTERA dan bersikap membiarkan sahaja apabila keliru dengan cara pemilihan peserta dari tahun ke tahun pelbagai genre.
Tuesday, June 07, 2011
Sang Pemimpi dan tentang mimpi-mimpi
Sang Pemimpi berbicara tentang kemanusiaan, tentang cita-cita. Filem ini bukanlah sempurna. Terdapat kelemahan sana-sini. Antaranya gambaran Paris hanya pada kata-kata dan peta. Paris sebenar tidak ditunjukkan dalam filem ini. Mungkin secara metafora, Paris tidak perlu digambarkan melainkan hanya cita-cita yang diperkatakan.
Filem ini sewajarnya menjadi pilihan untuk ditonton. tontonlah filem ini sambil menanyakan tentang mimpi-mimpi tentang filem-filem Melayu.
Monday, May 23, 2011
Lensa di Tanjung
Shamsudin, saya dan Rahimidin dapat merasakan aura seorang Sasterawan Negara. Akhir perjalanan singkat ke Pulau Pinang sempena cuti Hari Vesak.
Ridzuan, Rahimidin dan Shamsudin sempat bergambar dengan anakanda Sasterawan Azizi Haji Abdullah bernama Azimah di pintu wad ICU Hospital Pulau Pinang. Hajat melawat kesampaian juga, dalam kawalan rapi dan masa yang terhad.
Buku-buku lama di Chowrasta. Sekarang sudah mahal sedikit berbanding lima tahun dan sepuluh tahun lalu. Sedikit panas, dan berhabuk. Jangan terkejut buku anda (para penulis) ada banyak di sini berbanding dalam simpanan anda sendiri.
Rahimidin kata, dulunya ini rumah Syed Sheikh al-Hadi, pengarang Hikayat Faridah Hanum. Sekarang, apa sudah jadi?
Monday, May 09, 2011
Buku, Penulis, Penerbit dan Perjuangan Duit
Saya kunjungi pesta buku setiap tahun. Namun kali ini, Pesta Buku Antarabangsa 2011, adalah pesta buku pertama yang saya tidak membeli sebuah buku pun.
Monday, March 21, 2011
Sedikit tentang Bahasa Melayu di IPTA
Situasi Bahasa Melayu di IPTA sudah agak runcing dan goyah terutama beberapa IPTA yang menduduki ranking teratas peringkat tempatan. Malahan apabila seorang Naib Canselor merendah-rendahkan keupayaan pelajar Pengajian Melayu dan seangkatan dengannya adalah bukti kegoyahan ini. Inilah cara berfikir barat yang telah meresap dalam fikiran orang atasan dalam bidang politik termasuk dalam bidang akademik khususnya pendidikan tinggi. Benarlah kata orang, penjajahan terus berlaku, bukan dengan pemerintahan dan penguasaan ekonomi tetapi secara halus penjajahan minda.
Saya bertugas di sebuah IPTA. Banyak situasi yang saya lihat pihak pengurusan pengajian tinggi sangat sayangkan bahasa Inggeris. Jika kita terdengar orang-orang ini bersembang-sembang tentang apa sahaja ketika rehat pagi atau petang, mereka menggunakan bahasa Inggeris. Yang menyedihkan apabila menggunakan bahasa Melayu, sangat teruk dengan loghat negeri masing-masing yang seolah-olah kita dengar percakapan adik-beradik di beranda rumah di kampung halaman. Itulah, orang-orang atasan kita berbahasa dalam pakaian rasmi pada waktu pejabat. Jadi, saya tidak hairan, apabila mereka ini sangat sayangkan bahasa Inggeris. Mahu jurnal diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Seperkara lagi yang menarik minat saya apabila bercakap tentang impian untuk menduduki ranking teratas dalam senarai universiti dunia. Jika tidak yang 100 teratas, dalam lingkungan 200 pun jadilah. Nampaknya itulah cita-cita kita. Jangan pedulikan pada hakikat, jati diri, nilai dan kualiti sebenar, tapi yang diberi penilaian pada angka. Yang memberi angka pula entah siapa-siapa yang kita pula ikutilah angka-angka itu seolah-olah itulah takdir untuk kita setujui. Keadaan ini samalah seperti seorang guru kelas yang memberikan markah kepada kedudukan seorang pelajar di kelasnya. Katakan dia mendapat nombor tujuh dalam kelasnya dan nombor sembilan dalam keseluruhan. Pelajar ini berada dalam ranking 10 teratas. Tetapi di rumah, pelajar ini adalah seorang yang biadab terhadap neneknya, jarang bersolat dan suka mencarut. Ini contoh sahaja.
Cita-cita untuk meletakkan universiti dalam ranking yang selesa pada peringkat antarabangsa tiada kena-mengena dengan bahas Inggeris. Universiti di Perancis, Jepun, China, Korea yang berada di ranking tertinggi tidak terfikir pun menggunakan bahasa Inggeris. Naib Canselor mereka tidak pernah merendahkan keupayaan pelajar yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Bahasa Melayu terus diusik, disergah dan dipersalah. Para ahli akademik, cendekiawan, buadayawan, bahasawan dan sasterawan termasuk penulis kecil-kecilan seperti saya akan terus bersuara. Namun beginilah cara kita kerana kita tiada kerusi untuk duduk dan diberi peluang berbincang di mana-mana dewan tertinggi malah di peringkat parlimen.
Friday, March 11, 2011
Sunday, March 06, 2011
Teater Melayu Mengejar Populariti
Saya tidak selalu menonton teater. Setahun sebuah atau dua sahaja. Saya tiada masa, sebagai alasan untuk menyedapkan hati sendiri. Minat terhadap teater semakin pudar, kerana teater Malaysia yang telah memudarkannya. Penggiat teater tidak perlu marahkan saya. Jika mahu marah saya, marahlah semua orang yang berpandangan seperti saya. Saya menyatakan di sini, bahawa teater Malaysia telah pudar dan memudarkan. Mungkin, orang lain juga berpandangan sedemikian tetapi mereka tidak menyatakan di sini.
Sunday, February 27, 2011
Buku Teks dan Teks Komsas: Sekadar Pandangan
Apabila memperkata tentang kesilapan dalam buku teks sekolah rendah, khusus merujuk teks Bahasa Inggeris Tahun Satu, bukan untuk menuding jari menyalahkan kepada pihak tertentu semata-mata, namun ada beberapa hal yang perlu diberi perhatian agar tidak berulang pada masa akan datang. Hal yang sangat berkait rapat dengan integriti, kepatuhan dan kesungguhan, keterabaian yang sepatutnya dapat dielakkan dan kebijaksanaan membuat keputusan bagi pihak-pihak tertentu.
Teks tahun satu yang telah disahkan berlaku kesilapan yang ketara yang memalukan. Tanggungjawab yang seharusnya dipikul ialah penulis buku teks tersebut, editor dan penerbitnya. Malah pihak yang mengawal selia penghasilan dan percetakan buku teks sekolah-sekolah juga seharusnya bertanggungjawab. Dalam proses penerbitan buku teks, ada satu lagi pihak yang dilantik iaitu yang dinamakan jawatankuasa penilai ataupun nama yang lebih sedap jawatankuasa kawalan mutu. Jawatankuasa ini dianggotai oleh guru-guru yang berkaitan dengan bidang dan kepakaran serta diketuai oleh pensyarah daripada institusi pendidikan guru manakala pegawai Bahagian Buku Teks sebagai urus setia ataupun koordinator.
Lapis-lapis dalam sistem penerbitan ini bermula dengan draf sekumpulan penulis hinggalah draf cetakan untuk disemak penilai atau jawatankuasa kawalan mutu, dalam waktu yang sama atau kemudiannya berada di tangan editor. Bagaimana kesilapan ini boleh berlaku? Ini bukan masalah terlepas pandang satu atau dua individu tetapi melibatkan beberapa individu mungkin berbelas-belas jumlahnya.
Menulis buku teks bukanlah tugas yang mudah. Menjadi penulis buku teks yang terpilih juga bukanlah satu yang mudah. Terlalu banyak dugaan dan cabaran untuk dipilih menjadi penulis buku teks. Pernah dalam beberapa tahun sebelum ini, proses bermula dengan membeli tender dengan bayaran RM5o.oo, menulis sebuah bab contoh, kemudian menghantar bab contoh pada tarikh yang ditetapkan. Bab contoh itu pula akan dinilai oleh jawatankuasa yang tentulah penilai itu faham tentang idea dan sukatan pelajaran. Namun begitu saya pernah mendengar khabar angin bahawa penulis yang dipilih biasanya adalah penulis yang disenangi kerana pernah menulis buku teks sebelum itu ataupun saudara mara orang tertentu yang tidak pastilah saudara mara sebelah emak atau sebelah bapanya. Ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa bab contoh yang cantik dengan ilustrasi berwarna-warni akan menjadi teks yang menang iaitu penulisnya dipilih sebagai penulis. Adakah penilai ini tahu bahawa seseorang penulis tugasnya menulis bukannya ilustrator, bukannya pereka letak, bukannya pelukis? Itu hanyalah khabar-khabar angin semata-mata kerana angin itu apabila bertiup tidak nampak anginnya tetapi dapat dilihat pohon-pohon yang bergoyang.
Jadi, memanglah bertuah apabila telah dipilih menjadi penulis buku teks. Apabila seseorang itu dipilih sebagai penulis, beberapa kelebihan diperoleh dengan kerjasama beberapa lagi orang yang dilantik juga sebagai penulis bersama, ditambah dengan jawatankuasa penilai, ditambah dengan editor serta dihidangkan dengan makanan yang enak dan tempat mesyuarat yang selesa di hotel. Kebertuahan dan keselesaan itu semakin ketara apabila bayaran honorarium diterima.
Berbalik kepada kesalahan dalam buku teks, cara pemilihan penulis, dan penilaian panel, kita tidak akan terkejut jika penulis yang sama akan menulis buku teks pada masa akan datang. Mungkin kita tidak juga terkejut panel penilai yang sama akan menilai buku-buku lain pada masa akan datang. Dan tidak akan terkejut kesalahan-kesalahan sebegini, atau kesalahan lain akan berulang juga. Jadi hiduplah kita dalam pusingan dan putaran alam bawah tempurung, silap, betulkan, silap lagi dan betulkan lagi, silap lagi lagi dan betulkan lagi lagi…
Menyentuh buku teks, tidak dapat mengelakkan daripada terfikirkan juga tentang komponen sastera dalam bahasa Melayu atau Komsas yang mula dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSM mulai tahun 2001. Selepas 10 tahun, teks baharu digunakan mulai 2010 termasuklah novel Interlok yang mula digunakan bagi pelajar tingkatan lima mulai 2011 bagi zon tengah Semenanjung Malaysia. Sesungguhnya, istilah ‘komponen’ itu pun tidak tepat kerana beranggapan bahawa sastera adalah komponen, bahagian-bahagian atau ‘parts’ atau dengan penglihatan zahirnya hanyalah alat-alat seperti barang-barang tertentu yang boleh diletak-letak atau di susun-susun. Kesusasteraan bukanlah satu ‘barang’ atau ‘parts’ yang boleh dibahagi-bahagikankan, ipecah-pecahkan. Sebaliknya ilmu, nilai dan keindahan itu masuk sebagai penyerapan dalam bahasa Melayu melalui teks-teks sastera yang dipilih.
Teks-teks sastera yang dipilih mulai 2010 ini pun dilihat agak aneh dan menimbulkan beberapa pertanyaan. Antaranya wajarkah sebuah teks yang berimej negatif seperti mencabar seorang ayah yang dipanggil ‘papa’ agar berkahwin lagi? Adakah ini cukup bermoral untuk dibaca di sekolah-sekolah? Bagaimana pula gambaran tentang kemiskinan Melayu yang ditertawakan, kepayahan membayar yuran, kepercayaan kepada bomoh dan lain-lain yang masih ketinggalan berbanding zaman facebook dan blackberry pada hari ini. Jika ingin membina masyarakat, adakah karya yang sedemikian memperlihatkan tamadun atau menjana pemikiran yang matang atau peribadi Muslim yang bersepadu? Bagaimana dengan terdapatnya nama penulis yang sama berulang-ulang dalam genre yang berbeda dalam beberapa buah teks?
Lihat, teliti dan fikirkanlah beberapa teks yang dipilih daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima. Sambil tidak menafikan, ada yang baik dan positifnya tetapi sepatutnya pemilihan dibuat lebih teliti agar pemilihan teks dilihat bertepatan dengan kehendak sukatan pelajaran, kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kehendak kesesuaian dengan pedagogi dan penjanaan kemahiran berfikir sepanjang pengajaran dan pembelajaran, penggunaan bahasa Melayu yang baik untuk mendaulat bahasa Melayu itu sendiri, kehendak kreativiti kesusasteraan, kehendak kesesuaian pelajar secara kontekstual, kehendak etika dan estetika dan tentunya kehendak agama Islam yang menjadi agama rasmi bagi negara ini.
Monday, February 21, 2011
Ada Apa pada Novel Melayu?
Ada apa pada novel Melayu? Soalan ini boleh dijawab dengan berbagai-bagai jawapan. Setiap jawapan itu pula ada yang betul, ada yang salah, ada yang hampir-hampir betul dan ada yang hampir-hampir salah. Ini tidak berkaitan dengan skala Likert namun masih berkait dengan persepsi dan pandangan. Persepsi dan pandangan itu pula bergantung pada setakat mana kenalnya seseorang itu pada karya prosa khususnya novel, tahunya dia tentang struktur dan berbagai-bagai-bagai di dalamnya, dan tahunya dia siapa itu pengarang atau penulis atau lebih sedap disebut sasterawan. Malahan, ada juga novel yang dihasilkan oleh bukan sasterawan, entah mahu dinamakan apa tidak pasti pula.
Kebanyakan pembaca termasuk penulis muda dan penulis baru amat gemar membaca novel sama ada novel itu dihasilkan oleh pengarang Malaysia atau luar negara. Keupayaan untuk membeli dan membaca novel juga satu keistimewaan. Namun sayang sekali, keistimewaan ini tidak digunakan dengan sebaik-baiknya apabila novel yang dibeli dan dibaca adalah novel yang berkisar tentang hantu-hanti, seram-meram dan cinta-cinti semata-mata.
Dalam pasaran kini, ada kecenderungan untuk melebarkan genre novel. Maka lahirnya novel thriller, novel seram, novel komedi, novel komik, novel fiksyen sains, novel fantasi dan tentunya novel cinta. Namun begitu, tidak ada pula yang serius mengerjakan novel falsafah (membawa hikmah dan kebijaksanaan), novel ilmu (seperti yang digagaskan oleh teori temapatan), novel politik (membawa persoalan semasa atau selama-lama), novel sosial (tentang masyarakat dan kasta pangkat dan darjatnya), novel psikologi (membawa persoalan nuerolisis psikik dan berkaitan motivasi dan kejiwaan), novel antropologi (tentang salasilah, asal-usul, ontologi, pascakolonial, kosmologi), novel sejarah ( tentang perjuangan datuk-nenek memperjuangkan ilmu, petua, wasiat, perjuangan politik dan lain-lain bukan seperti yang ada di pasaran sekarang. Novel yang diulang cetak beberapa belas kali itu bukan novel sejarah tetapi novel menceritakan kembali sejarah secara tidak kreatif), novel geografi (tentang latar dan posisi masyarakat berkaitan dengan alamnya), novel teater (bercorak teaterikal dan mirip monolog atau sebuah teks lakon) novel budaya (berkaitan dengan amalan masyarakat seharian dan pandangan alam), novel seni (bersifat abstrak, artistik dan avant-garde) dan lain-lain. Ada juga baiknya kepelbagaian genre ini untuk menyasarkan pembaca yang berbagai-bagai-bagai minat, malahan dalam keadaan yang lain memperkembang genre novel itu. Namun begitu, dalam hakikat nilai sastera, tentunya mengutamakan nilai estetika, selain pengalaman dan pengetahuan yang boleh dimanfaatkan. Tidak dinafikan tujuan lain yang juga penting adalah untuk tujuan menghiburkan hati dan mengisi masa lapang.
Keperluan utama bagi seseorang yang ingin menghasilkan karya yang baik ialah membaca karya-karya yang baik juga sama ada karya dari dalam negara ataupun dari luar, termasuk novel yang diterjemahkan. Bagaimanakah penulis-penulis atau pembaca mahu mendapatkan novel sebegini? Novel-novel yang mengangkat tema sejagat atau mainstream ini tidak banyak terdapat di kedai-kedai buku. Inilah yang malangnya. Novel-novel ini ada di stor buku Dewan Bahasa dan Pustaka ataupun di kedai-kedai tertentu sahaja. Mungkin ada dua buah di Kuala Lumpur, ada dua di utara dan ada dua di selatan, satu di Sabah dan satu di Sarawak. Jika tidak bertemu, carilah di perpustakaan.
Mungkin timbul pertanyaan, bagaimanakah caranya untuk menghasilkan novel sebegini. Adakah boleh duduk goyang kaki di bawah pokok semata-mata? Menulis di bawah pokok hanyalah ilusi pengarah drama dan filem yang gemarkan isu tahyul-mahyul. Menulis novel-novel begini memerlukan pembacaan yang baik, pergaulan yang sihat dan perbincangan dengan rakan-rakan yang matang ataupun dengan orang-orang yang berpengalaman luas, sesekali. Kursus atau bengkel penulisan wajar disertai. Jika bengkel itu dinamakan bengkel teknik penulisan fiksyen sains sebaik-baiknya dibimbing oleh pengarang yang pernah menghasilkan fiksyen sains bukannya seorang penyair. Jika itu berlaku, sesuatu yang pelik telah terjadi.
Selalunya karya-karya yang baik hasil daripada pertandingan ataupun memenangi hadiah sastera mengikut tahunan atau dwitahunan. Tetapi ada juga novel yang tidak memenangi sebarang hadiah atau bukan dihasilkan untuk tujuan pertandingan juga baik malah jauh lebih baik, cuma nasib baiknya tidak ada kerana mungkin nama pengarangnya tidak terkenal ataupun novel itu tidak meletakkan logo 1 Malaysia pada kulit hadapannya. Setiap kemenangan seharusnya berterima kasih kepada panel pemilih dan penilai tetapi betapa malangnya jika sesebuah novel yang baik itu tertolak pada peringkat awal kerana ketidakfahaman penilai itu sendiri. Seharusnya, jika sesebuah novel itu tidak difahami, rujuklah orang lain yang boleh memahami atau tukarkan sahaja tugas itu kepada orang lain yang tahu tentang asal-usul novel.
Kecenderungan pasaran yang mengutamakan keuntungan dan kononnya selera pembaca seharusnya difikirkan kembali. Benarkah itu selera pembaca atau pembaca tiada pilihan untuk memilih seleranya. Benar, ada novel serius yang diminati tetapi novel yang tidak serius juga yang diminati ramai. Pembaca novel juga sama seperti penonton-penonton filem yang telah dirasuk hantu, khurafat, mistik, histeria, di sana ada hantu, jangan pandang belakang, hantu kak limah dan macam-macam lagi yang semuanya untuk menjerit dan ketawa-ketawa semata-mata. Selain daripada hantu-hantu itu, novel-novel Melayu masih mengekalkan momentum kisah cinta dengan ungkapan tasbih, zikir, sejadah yang menampilkan nilai Islam secara luaran malahan ada yang memperjuangkan poligami tetapi terlupa untuk memperjuangkan suasana politik Mesir, Afghanistan, Palestin, Mindanao dan Selatan Thailand ataupun idea-idea tentang kesucian peribadi, sirah rasul dan karekteristik Islam.
Sebagai pengarang Melayu, beragama Islam dan mempunyai tanggungjawab masyarakat, pendidikan malahan tanggungjawab diri dan keluarga sendiri. Tanyakan tentang ada apa pada novel Melayu? Novel bagaimanakah yang mahu kita hasilkan (bagi pengarang) dan novel bagaimanakah yang seharusnya kita baca (bagi pembaca)? Saya lambungkan soalan ini ke langit. Nah, itu tersangkut di dahan. Ambil dan jawablah.
Monday, February 14, 2011
Yang Aneh Tentang Pencinta Buku
Cinta, satu perasaan. Namun demikian, dalam keadaan yang juga wajar, cinta adalah fikiran. Mencintai kebijaksanaan juga membawa hikmah. Malah perkataan ‘philo’ dan ‘sophie’ dalam ungkapan philosophy adalah mencintai kebijaksanaan.
Buku merupakan salah satu daripada sumber cinta yang lahir di dunia. Istilah kitab juga dikaitkan dengan buku, namun kitab seperti kitab-kitab agama disifatkan lebih tinggi nilai dan kandungannya sedangkan buku pula berbagai-bagai-bagai daripada yang tinggi, sederhana dan rendah nilainya. Buku-buku juga bergantung pada bidang, jenis, kategori, genre dan bentuk. Dalam keadaan tertentu, buku juga boleh dianggap mempunyai kasta. Pembaca yang bijaksana dapat membezakan kategori buku-buku ini.
Saya mempunyai beberapa orang kenalan yang mempunyai ‘kegilaan’ terhadap buku. Menurut beberapa kenalan ini, mereka ‘pantang’ jika pulang dari kedai buku dengan tangan kosong. Maksudnya buku mesti dibeli. Jika tiada wang, jangan masuk kedai buku, sebab nanti hati akan merintih, fikiran akan teringat-ingat, batin akan terseksa jika buku yang sudah dipegang, diminati tidak dapat dimiliki. Sifat-sifat itulah yang ada pada pencinta buku.
Keinginan untuk mencari dan mendapatkan buku bagi pencinta buku dilihat aneh. Dia sanggup untuk meredah hujan untuk ke kedai buku sebelum kedai buku itu ditutup. Sanggup untuk berpanas, bersesak-sesak-sesak dalam LRT ataupun memandu di jalan raya terutama di bandar-bandar besar yang tidak pernah sunyi. Pencinta buku juga sanggup berdiri agak lama untuk memilih buku, membaca blurb pada buku, bergerak dari satu rak ke satu rak yang tidak disedari masa berlalu dari sejam ke dua jam malah hingga ke tiga jam pun tiada berasa lenguh. Aneh, namun itulah realiti apabila rasa diserang cinta.
Pencinta buku juga sesekali aneh apabila pasangan hidup merasa cemburu kerana asyik buku yang difikirkan. Tidakkah pencinta buku ini teringin membeli gelang emas atau subang bertatah berlian untuknya ataupun bagi lelaki jam Crocodile, jersi Adidas ataupun coklat Feraro Roche untuknya. Pencinta buku sesekali resah tentang ini namun seharusnya menggunakan kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah rumah tangga masing-masing.
Pencinta buku selalunya tidak berkira untuk mengeluarkan wang atau rela kad kredit digesek semata-mata untuk mendapatkan buku yang diingini. Pencinta buku jarang sekali membandingkan harga buku dengan sepinggan ayam gerong di restoran terkenal atau sepuluh kilogram beras ataupun rim tayar model terbaharu. Pencinta buku tahu membezakan itu dengan keperluan hidupnya.
Namun begitu, pencinta buku ini mempunyai satu lagi tanggungjawab penting yang mesti dipenuhi iaitu membaca buku tersebut. Membaca buku bukanlah satu tugas yang boleh dilaksanakan bila-bila masa. Membaca buku memerlukan masa, perancangan dan keadaan badan dan otak yang segar. Jika membaca ketika badan letih atau mata mengantuk, kesannya akan berkurang. Jika mahu tidur dengan membaca, bacalah majalah.
Penangguhan dalam membaca buku sering berlaku. Namun begitu, membaca buku lain ketika membaca sesebuah buku juga adalah perkara biasa bagi pencinta buku. Malah ada yang tidak membaca sesebuah buku itu hingga habis. Satu lagi kebiasaan yang lain tetapi hanya pada pencinta buku tertentu ialah tidak tahu yang mana satu buku yang mahu dibaca dalam satu-satu masa.
Buku juga seharusnya disayangi. Buku perlu dijaga dengan baik. Letakkan di rak atau kotak di tempat yang kering dan mempunyai pengudaraan yang baik. Jika berada di tempat yang lembap, buku boleh berkulat ataupun berkedut kertasnya. Ada yang membalut buku yang dibeli atau buku-buku tertentu yang diminati, disayangi, bermakna ataupun yang dibeli dengan harga yang mahal. Satu lagi amalan pencinta buku ialah menulis nama sendiri dan tarikh dibeli pada halaman depan atau halaman kedua buku.
(Saya sendiri menyusun buku-buku dalam senarai atau sistem pengkatalogan seperti di perpustakaan. Mungkin ada yang menggunakan Sistem Dewey tetapi Sistem yang saya gunakan adalah Sistem ‘Sukahatiakulah’ iaitu menggunakan huruf sebagai kategori dan diikuti dengan nombor. Contoh R bagi buku rujukan diikuti 001 dan seterusnya. Saya mulai menyusun senarai atau index ini sejak tahun 2002 dengan tulisan tangan dalam buku panjang (seperti buku hutang dulu-dulu). Senarai dibagikan kepada lajur tajuk diikuti tahun terbitan, penulis, penerbit, tarikh diperoleh (dibeli). Contoh R001/ Sejarah Perak (1972)/ Buyong Adil (DBP)/ 6 Januari 1999. Sejak tahun lalu saya menambah satu lajur lagi iaitu harga memandangkan harga kertas semakin tinggi dan kos percetakan negara semakin meningkat. Malahan harga juga penting untuk diingati kerana saya pernah mendapatkan buku yang berharga seringgit dan pernah juga membeli buku yang berharga ratusan ringgit. Kategori lain yang saya gunakan ialah F bagi fiksyen, P bagi puisi, A bagi agama, U bagi umum dan S bagi sendiri/ buku yang dihasilkan sendiri. Dalam senarai buku itu, S adalah kategori yang paling sedikit.)
Beberapa langkah wajar diambil oleh pihak-pihak tertentu untuk menggalakkan orang meminati buku walaupun tidak semestinya menjadi pencinta buku yang dianggap aneh. Jadilah makhluk biasa-biasa sahaja tetapi meminati dan mencintai buku walaupun ‘gitu-gitu’ sahaja. Langkah kerajaan memberi rebet atas pembelian buku bagi cukai pendapatan tahunan adalah langkah yang baik. Usaha lebih giat untuk kempen membaca perlu dilaksanakan seperti memberi baucar buku atau elaun galakan membaca kepada semua orang tidak semestinya kakitangan kerajaan (kerana khabarnya ada segelintir kakitangan kerajaan ini kadangkala kerja menggunakan kaki dan tangan sahaja tanpa menggunakan hati dan otaknya).
Selain itu promosi buku-buku perlu juga digiatkan dan tidaklah bertumpu kepada buku-buku yang laris kerana menggunakan perkataan karipap sahaja sebagai contoh. Resensi buku di institusi pendidikan, di syarikat-syarikat swasta, di kilang-kilang pengeluaran, di pusat servis kereta, di perhentian teksi juga boleh diteruskan. Televisyen pula selang-selikanlah program bual bicara tergedik-gedik dengan bicara buku. Satu lagi, pameran dan jualan buku dengan potongan perlu diadakan secara kerap. Diharapkan juga penerbit-penerbit buku dan penjual-penjual buku faham-fahamlah kalau dikatakan karnival buku ataupun pesta buku mestilah ada diskaun. Jikalau tiada diskaun, lebih baik beli di kedai mamak stesen bas sahaja.
Demikianlah beberapa sifat dan tabiat yang ada pada pencinta buku. Pencinta buku bukanlah seseorang yang ideal ataupun hidupnya makan dengan buku dan tidur dengan buku. Pencinta buku juga banyak komitmen lain yang perlu diuruskan. Pencinta buku juga mempunyai minat yang lain seperti lukisan, filem, fotografi, sukan, seni persembahan dan lain-lain.
Menjejak Blog
- chulan chin
- cikgu aminhad
- dato baha
- datuk anwar ridhwan
- ghazali lateh
- hasrina
- helmy samad
- jimadie shah
- jiwa rasa
- luqman
- lutfi ishak
- m kholid
- marsli n.o
- mawar shafie
- nazmi yaakub
- nisah haron
- prof abdullah
- rahimidin
- raihani
- ridzuan harun
- s.m zakir
- sahrunizam
- saifullizan
- saleeh rahamad
- salina ibrahim
- salman sulaiman
- sham aljohori
- ummi hani
- ustaz azman
- w.b rendra
- zaid akhtar
- zarif







