Friday, November 14, 2008

Sastera adalah Rahsia

“Sejarah telah memperlihat kepada kita bahawa sastera sebenarnya ialah rahsia dan sulit; dirahsiakan dan disulitkan oleh sasterawan melalui pelbagai jenis wadah yang membentuk gabungan kerana pada dasarnya makna kehidupan dan pengalaman sendiri itu sulit dan rahsia. Kerahsiaan sastera kadang-kadang begitu jauh tersembunyi sehingga para khalayak perlu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dari segi kreativiti, sensitiviti, dan daya gabungan untuk benar-benar memahami karya itu, dan seterusnya ‘terhibur’ olehnya.”

Kata-kata itu dipetik daripada buku Shahnon Ahmad (SN Datuk) bertajuk Weltanschauung Suatu Perjalanan Kreatif (DBP,2008). Shahnon melanjutkan penyataan ini dengan huraian bahawa sastera itu memerlukan khalayak yang bijak berfikir. Kerahsiaan dan kesulitan bergelumang dalam diri pengkarya (penulis/ sasterawan) yang berkait amat rapat dengan hakikat kehidupan yang banyak rahsia, aneh, dan payah. Sastera merahsiakan dan menyuratkan makna-makna kemanusiaan melalui pelbagai citra dan lambang sehingga menuntut daya yang amat tinggi bagi membolehkannya menggabung lambang dan citra itu dengan makna yang sebenar, yang jauh tersurat. Sastera adalah ilmu tinggi, atau bukan sebarangan. Dalam sastera ada persoalan metafizik, falsafah di samping kias dan figura, yang rapat dengan kemanusiaan, ketuhanan dan alam.

Membaca buku Shahnon yang terbaharu ini terasa amat mesra dan rasa cinta pada sastera itu semakin mendalam. Shahnon menghantar pengalaman menggulati bidang sastera dan dunia akademik lebih 50 tahun dalam buku ini. Buku ini bukan semata-mata autobiografi atau memoir, malahan sebagai rujukan dan panduan yang bermakna kepada sasterawan, bukan sasterawan , pengkaji dan peminat sastera atau sesiapa sahaja. Walaupun ada pengulangan peristiwa dan pengalaman yang telah dikongsi dalam dua buku autobiografi terawal (Perjalananku Sejauh Ini, 2006 dan Setitis Embun Semarak Api, 2007) namun tetap menarik dan mengesankan apabila membacanya. Buku Weltanschauung ini ditulis sekitar 1998-1999 atau lebih sedikit daripada itu. Buku ini sepatutnya terbit lebih awal daripada dua buku yang terdahulu di pasaran itu.

Difikir-fikirkan, banyak sangat benarnya bahawa sastera itu adalah rahsia. Teks-teks yang terpapar pada kertas memberi makna denotasi dan konotasi. Kisah, cerita dan peristiwa bukan sekadar mengusik emosi namun jauh meneroka ketajaman akal dan bersihnya hati. Agak berat mengungkapkan hal-hal yang sebjektif begini, namun itulah sastera. Berkaitan teks, ingat lagi pada Sejarah Melayu melalui kisah Hang Tuah dan Hang Jebat (Hang Kasturi) yang bertarung kemudian dicetuskan pertanyaan, siapakah yang benar dan siapakah yang salah? Soalan ini tidak terjawab dengan muktamad sehingga sekarang. Itulah antara bukti istimewanya karya sastera yang berahsia ini.

Bidang penulisan adalah bidang yang sunyi sepi, tersendiri. ‘Kerja’ sebagai penulis memang banyak cabarannya, banyak yang menggelisahkan, banyak yang perlu dirahsiakan. Dalam proses menulis juga, ada perkara yang terpaksa ditangguhkan, dilupakan begitu sahaja, dilepaskan. Akan timbul rasa kecewa, geram, marah dan beberapa lagi, yang dapat dikesani ataupun tersimpan sebagai rahsia diri. Namun ada ketikanya agak bising dan hangat juga bergantung kepada hasil tulisan (karya) itu. Menulis adalah kerja sendiri-sendiri dan “rahsia’ kerana untuk menceritakan hal itu kepada orang lain, bukanlah sesuatu yang menarik untuk diperkata, kecuali yang benar-benar mahu tahu, berminat, bertanya, mencontohi atau mewawancara sahaja.

Penulis jarang bercerita proses kreatifnya ketika sepi dan gelisah itu. Apabila terhasil, barulah dapat diceritakan untuk dikongsi. Wadah penerbitan tentang proses kreatif pula tidak banyak. Jika seseorang penulis itu belum teruji kesasterawanannya, belum layak lagi digelar sasterawan, maka ruang untuk bercerita proses kreatifnya dalam majalah atau buku amat payah sekali ditemui. Sehingga sekarang beberapa penulis yang diakui baik dan pernah memenangi banyak hadiah peringkat kebangsaan dan serantau pun tidak ada ruang untuknya bercerita proses kreatif. Ada sebuah dua majalah yang memuatkan ruangan proses kreatif namun amat meloyakan apabila penulis yang baru menulis dua tiga cerpen atau satu dua puisi diberi ruang.

Orang lain (pembaca, khalayak yang bukan dalam kalangan penghasil karya) tidak mahu atau tidak berminat untuk tahu apa yang sebenarnya ada dalam fikiran, perasaan, dan hati seseorang penulis. Ini bergantung kepada niat. Bercakap tentang niat, benar-benar menguji diri takut-takut tersalah cakap dianggap riak dan tidak ikhlas pula. Dan kadang-kadang yang baik pun disalah tafsir juga. Apabila karya itu diterbitkan, pembaca yang bijak yang tahu menilai dan berpengetahuan (sedikit atau luas) dapat menangkap maksud dan niat penulis itu. Dan banyak juga yang tidak dapat ditangkap juga hinggakan karya itu terus kabur dan sepi begitu sahaja.

Daripada pengalaman sasterawan terdahulu, dapat dikesani mereka ini memang banyak berahsia. Ada sesetengah karya yang bertahun-tahun tidak dapat dikupas atau lebih dari itu, dikunyah dengan baik sekali oleh pembaca. Hal ini agak malang dan merugikan khalayak kerana tidak dapat sepenuhnya ‘bermandi-manda’ dalam takungan pemikiran yang ada pada sasterawan ini.

Karya-karya Shahnon memang banyak rahsia dalam bersahajanya. Karya Arenawati juga. Karya Anwar Ridhwan dan Zaen Kasturi juga. Azizi Hj.Abdullah, banyak berahsia dalam sinisnya. Dalam puisi, Latiff Mohidin dan Baha Zain, antaranya. Dan ada beberapa lagi.

Dalam situasi sekarang, ada yang perlu dirahsiakan dalam diri penulis. Dan tentulah ada yang perlu diberitahu. Kalau orang tidak mahu tahu, bahasa kasarnya, lantaklah! Namun kasihan mereka terus hanyut dalam keseronokan dan kepicisan karya-karya yang mereka digemari. Dalam situasi sekarang juga, banyak perkara yang perlu diluahkan dalam karya, dalam rahsia namun bijaksana. Dan harap-harap juga, semakin banyak pembaca yang bijaksana.

Wednesday, November 12, 2008

Other Colours yang Menusuk


Saya sedang membaca buku ini. Baru pertengahan buku. Buku ini menusuk-nusuk jantung dan fikiran saya. Ini autobiografi dan himpunan tulisan non-fiksyen Orhan Pamuk, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2006.
Belum habis baca, maka tiada ulasan. Saya hanya memberitahu bahawa buku ini, baik dan penting untuk para penulis.

Seorang kawan ke China

Saya ada kawan. Dia keturunan Cina. Umur sebaya. Lahir pada bulan yang sama. Biliknya sebelah bilik saya. Saya masuk sini bulan Oktober, dia bulan Disember. Namanya Tan Tiam Lai.
Dia ini sesekali gagap apabila bercakap. Nampak lurus. Dalam hati, entah. Tapi pancaran wajahnya tulus. Suka menolong orang, dan sesekali sanggup bersusah-susah untuk orang lain.
Tan kini sudah sebulan di China. Universiti Nanjing, katanya. Saya tidak tahu di mana dan bagaimana keadaannya.
Apa yang membanggakan saya, dia dapat belajar phD di sana dengan biasiswa kerajaan China. Tahniah berkali-kali saya ucapkan kepadanya. Tiga tahun dia akan berkelana di sana. Tapi tidak masalah sangat sebab 'saudara mara' dia melambak di sana.
Orang kata, berkawan dengan bangsa lain hanya di permukaan, tiada erat dalam hati. Tapi entah. Mungkin bukan semua. Dengan Tan, ada beberapa yang kami sama-sama fahami dalam hati, ada yang permukaan saja. Kami tahu kami ikhlas berkawan.
Ada antara kawan-kawan, bukan Cina, semestinya Melayu, yang susah untuk dicakap persahabatan secara permukaan atau lebih mendalam. Subjektif. Susah mahu cakap. Ada kawan-kawan yang ke China dan ke mana-mana pun tidak beritahu kita. Apatah lagi mengundang.
Mungkin aku akan ke sana, tanpa mengundang sesiapa. Tapi ke mana?

Entah...


Aku mahu bermain badminton petang ini, sekejap lagi. Aku sudah malas memikirkan apa-apa yang memberatkan kepala. Aku mahu berpeluh dan tenang.
Sekarang, kopi putih Oldtown kuhirup segar. Aroma menyeluruhi bilik. Program tersusun-susun dalam kepala. Tugas ini-ini, itu-itu banyak lagi. Macam tidak berkesudahan satu-satu-satu.
Kadang-kadang serabut, kadang-kadang lega.

Friday, October 17, 2008

Forum Sastera Sempena BBSN08

Forum Sastera sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 dengan tema “Merenung Masa Depan Sastera Melayu” diadakan di Dewan Sri Tanjung, UPSI anjuran DBP Wilayah Utara dengan kerjasama Fakulti Bahasa, UPSI.

Acara terbahagi dua sesi, sesi pertama syarahan Haji A.Halim Ali bertajuk “Peranan dan Sumbangan Guru dalam Perkembangan Puisi Tanah Air”. Namun yang paling menarik adalah sesi kedua forum yang dibarisi tiga ahli panel yang mantap dan bertenaga, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Baha Zain dan Prof Rahman Shaari. Cuma agak sayang, masa untuk mereka bercakap tentang masa depan sastera yang perlu direnung-renungkan amat terhad. Rugi, masa dan ruang yang sebaik-baiknya untuk kita dengar kata-kata tokoh ini di tempat yang cukup sesuai, pada waktu yang cukup kena, tapi kesempatan yang cukup sedikit. Masa satu jam setengah diperuntukkan tambahan mengejar waktu makan (Jumaat pula), ditolak dengan alu-aluan ketibaan dan perasmian, ucapan itu-ini maka tokoh ini hanya boleh bercakap lebih kurang 15 minit setiap seorang.

Apapun tahniah penganjuran forum terutama Jabatan Kesusasteraan Melayu, Haji Halim, Datuk Rosli dan Hasrina terutamanya. Setidak-tidaknya program ini termasuk juga dalam senarai program BBSN.

Tokoh-tokoh ini berbicara tentang sastera kini dan masa depan. Saya ringkaskan dengan gaya bahasa saya sendiri seperti berikut:

Prof Muhammad Haji Salleh:

Sastera di negara ini memang dikesampingkan dan ditolak ke tepi. Ilmu sastera seolah-olah berada di bawah berbanding bidang sains, kejuruteraan dan lain-lain. Ini mengakibatkan nilai-nilai murni dan budaya fikir tinggi melalui sastera itu tidak ada dalam masyarakat negara ini. Ini amat merugikan dan menyedihkan. Saya menangis mengenangkan nasib sastera di negara ini.

Datuk Baha Zain:

Tidak ada synergy collaboration antara badan-badan yang bertanggungjawab di negara ini berkaitan dengan sastera. Kementerian Kebudayaan, DBP, ITNMB, Majlis Buku Kebangsaan dan beberapa lagi badan dan organisasi bergerak dengan haluan masing-masing. Kononnya ada wujud kerjasama untuk meningkatkan, mengembangkan sastera namun sebenarnya tidak wujud.

Prof Rahman Shaari:

Salah satu bidang yang amat kuat dan rapat dengan masyarakat adalah pendidikan. Melalui pendidikan sastera dapat berkembang dan dipromosi. Namun orang selalu memikirkan dan bertanyakan apa kaitan sastera dengan kewangan. Adakah sastera itu menguntungkan. Para penulis memikirkan berapa bayaran untuk sesebuah karya. Para pelajar juga begitu. Sebagai contoh ada program di DBP yang berfaedah tetapi dikira dari segi tambang dan kos lain maka para pelajar tidak dapat menghadirkan diri.

Banyak lagi yang dapat direnungkan. Saya pun mencatat ‘gitu-gitu’ sahaja. Ada yang terlekat ada yang terlepas. Namun banyak yang terkesan.

Monday, October 13, 2008

Puisi Naratifnya Mudahnya Bergelar Datuk

Orang Melayu selalunya sopan berbahasa. Namun begitu sesekali marahnya meledak juga. Ketika berjalan-jalan menyusur sebatang sungai aku terpandang sehelai kertas bertulis. Aku dapati kata-kata dalam kertas ini penuh rasa amarah dan entah kenapa aku pun tersentak juga. Ku bersandar di sebatang pohon yang tidak silap aku namanya pohon Melaka. Aku membaca kata-kata dalam kertas ini yang bertajuk "Puisi Naratifnya Mudahnya Bergelar Datuk".
Inilah puisi tersebut:

Hari ini, pada tanggal ini, orang Malaysia mudah bergelar ‘Datuk’. Bukan orang Malaysia (Tanah Melayu) sahaja, orang India di tanah India pun boleh. Orang Cina di Tanah Hong Kong juga boleh. Apa yang tidak boleh. Semua boleh. Suka hatilah. Apa-apa sahaja. Tidak perlu pandangan sesiapa. Tidak perlu bijak pandai, tidak perlu penelitian ilmiah, tidak perlu pandangan orang agama, suka hatilah. Buatlah.

Hari ini, pada tanggal ini, orang Malaysia mudah bergelar ‘Datuk’. Berlakon filem watak pembantu dari mula sampai tua pun dapat Datuk, pelawak tebar roti canai pun dapat Datuk, nyanyi dua tiga lagu gelek-gelek pun dapat Datuk, kontraktor bancuh simen pun dapat Datuk, berenang beberapa kilometer pun dapat Datuk, jadi mat rempit pun dapat Datuk. Bukan susah dapat Datuk.

Aku teringat datukku di kampung. Dia tidak perlu bersusah-susah untuk dapat Datuk. Dia ada 11 anak dan kini 64 cucu. Dia memang Datuk. Dia Datuk berkat. Datuk yang sebenar. Dunia akhirat.

-

Menyusur Pandang Susur Masa di BSLN

Gambar: Cenderamata untuk Saudara Erry. Terima kasih daun keladi.

Ke Balai Seni Lukis Negara (BSLN) setelah bertahun-tahun tidak ke sana. Atas sebab projek ilmiah kursus UBM 1032, atas nama program Kembara Ilmu, atas kesudian pihak BSLN menerima dengan tangan yang cukup terbuka, atas urusan surat-menyurat yang ada kesilapan namun dimaafkan, atas kebenaran pentadbir, atas pengorbanan usaha para pelajar, kami ke sana.
Pameran Susur Masa sempena 50 tahun BSLN sedang diadakan. (tamat hujung tahun ini). Bertuah juga dapat melihat hampir keseluruhan karya terbaik pelukis tempatan termasuk beberapa dari luar negara, juga arca. ada lukisan yang kerap ditengok, ada yang belum pernah, dan ada yang tidak jemu-jemu ditatap.
Terima kasih BSLN dan tahniah. 50 tahun yang sunyi namun berisi.
Gambar: Seniman S.Amin Shahab bersama-sama lukisan terpanjang beliau.

Kearifan Orang Melayu Berbahasa

"Mulia cakap kerana beradab, bermakna bual kerana berakal, berisi bicara kerana berkira, elok berbisik kerana selidik, terpuji isyarat kerana cermat."

"Apabila hendak menyampaikan perasaan, lakukan dengan perasaan, apabila hendak menyampaikan fikiran, lakukan dengan fikiran, apabila hendak menyampaikan kehendak lakukan dengan bijak, apabila hendak melakukan niat, lakukan dengan cermat, apabila hendak menyampaikan maksud, lakukan secara patut."

"Celaka cakap aib tersingkap, celaka bual badan terjual, celaka bicara membawa cedera, celaka perangai cakap merempai, celaka laku tidak bermalu."

"Apa tanda Melayu yang bijak, berfikir dahulu sebelum bertindak. Apa tanda Melayu beradab, berfikir dahulu sebelum bercakap. Apa tanda Melayu bertuah, berfikir dahulu sebelum bermadah. Apa tanda Melayu berakal, berfikir dahulu sebelum berbual."

-Ungkapan Dr. Tenas Effendi.

Gambar: Sekumpulan pelajar kursus UBM 1032 bersama-sama Prof Dr. Tenas Effendi, Prof. Emeritius Abdullah Hassan dan saya pada akhir majlis Syarahan Raja Ali Haji anjuran Persatuan Linguistik Malaysia dan DBP pada 10 Oktober 2008.

Wednesday, September 24, 2008

Salam Aidil Fitri



selamat menyambut hari raya aidil fitri
maaf zahir batin
kepada saudara-mara,
guru-guru,
kawan-kawan yang jauh atau dekat di mata,
yang dekat dan jauh di hati,
teman-teman sekerja,
para editor dan penerbit buku saya,
pelajar-pelajar dan bekas pelajar,
tidak lupa
pengunjung blog ini
juga
kepada bos-bos
juga tidak lupa kepada
orang-orang kampung saya yang masih rajin membuat lemang
orang-orang politik yang tidak berhenti-henti berbalah
'orang-orang' di sawah ladang yang sentiasa berhujan panas
juga kepada
rosyam nor
dan
'fasha sandha'

Friday, September 05, 2008

Hilang Lagi Bintang Di Langit

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Pejuang kemerdekaan dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 5.58 petang ini akibat jangkitan paru-paru.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan.

- Sebutir lagi bintang berkilau hilang di mata. Moga perjuangan diambil iktibar, dikenang selama-lama. Al-fatihah.

catatan:
ketika pesta buku antarabangsa kl april lalu, saya telah membeli 8 novel pak samad terbitan creative enterprise dengan harga yang amat murah. saya membelinya untuk melengkapkan koleksi saya, dan yang telah ada pun saya beli juga. mungkin novel-novel ini tidak diterbitkan lagi oleh creative atau entah. saya merasa beruntung memiliki novel-novel itu dan merupakan koleksi yang cukup bermakna.
antara novel2 itu ialah: sutinah, menimba yang jernih, detik-detik cemas, tembok tidak tinggi, kail panjang sejengkal dan lain-lain.

Wednesday, September 03, 2008

Salam Ramadhan

Selamat berpuasa kepada pengunjung blog yang tidak popular ini.
Masuk hari ketiga Ramadhan, dalam meneruskan tugas rutin, enak sekali saya membaca Weltanschauung (Shahnon Ahmad) dan buku Sirah Nabawiyah.
- malam, bertarawih di Masjid Tanjong Malim.
Insya Allah.