Friday, October 17, 2008

Forum Sastera Sempena BBSN08

Forum Sastera sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 dengan tema “Merenung Masa Depan Sastera Melayu” diadakan di Dewan Sri Tanjung, UPSI anjuran DBP Wilayah Utara dengan kerjasama Fakulti Bahasa, UPSI.

Acara terbahagi dua sesi, sesi pertama syarahan Haji A.Halim Ali bertajuk “Peranan dan Sumbangan Guru dalam Perkembangan Puisi Tanah Air”. Namun yang paling menarik adalah sesi kedua forum yang dibarisi tiga ahli panel yang mantap dan bertenaga, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Baha Zain dan Prof Rahman Shaari. Cuma agak sayang, masa untuk mereka bercakap tentang masa depan sastera yang perlu direnung-renungkan amat terhad. Rugi, masa dan ruang yang sebaik-baiknya untuk kita dengar kata-kata tokoh ini di tempat yang cukup sesuai, pada waktu yang cukup kena, tapi kesempatan yang cukup sedikit. Masa satu jam setengah diperuntukkan tambahan mengejar waktu makan (Jumaat pula), ditolak dengan alu-aluan ketibaan dan perasmian, ucapan itu-ini maka tokoh ini hanya boleh bercakap lebih kurang 15 minit setiap seorang.

Apapun tahniah penganjuran forum terutama Jabatan Kesusasteraan Melayu, Haji Halim, Datuk Rosli dan Hasrina terutamanya. Setidak-tidaknya program ini termasuk juga dalam senarai program BBSN.

Tokoh-tokoh ini berbicara tentang sastera kini dan masa depan. Saya ringkaskan dengan gaya bahasa saya sendiri seperti berikut:

Prof Muhammad Haji Salleh:

Sastera di negara ini memang dikesampingkan dan ditolak ke tepi. Ilmu sastera seolah-olah berada di bawah berbanding bidang sains, kejuruteraan dan lain-lain. Ini mengakibatkan nilai-nilai murni dan budaya fikir tinggi melalui sastera itu tidak ada dalam masyarakat negara ini. Ini amat merugikan dan menyedihkan. Saya menangis mengenangkan nasib sastera di negara ini.

Datuk Baha Zain:

Tidak ada synergy collaboration antara badan-badan yang bertanggungjawab di negara ini berkaitan dengan sastera. Kementerian Kebudayaan, DBP, ITNMB, Majlis Buku Kebangsaan dan beberapa lagi badan dan organisasi bergerak dengan haluan masing-masing. Kononnya ada wujud kerjasama untuk meningkatkan, mengembangkan sastera namun sebenarnya tidak wujud.

Prof Rahman Shaari:

Salah satu bidang yang amat kuat dan rapat dengan masyarakat adalah pendidikan. Melalui pendidikan sastera dapat berkembang dan dipromosi. Namun orang selalu memikirkan dan bertanyakan apa kaitan sastera dengan kewangan. Adakah sastera itu menguntungkan. Para penulis memikirkan berapa bayaran untuk sesebuah karya. Para pelajar juga begitu. Sebagai contoh ada program di DBP yang berfaedah tetapi dikira dari segi tambang dan kos lain maka para pelajar tidak dapat menghadirkan diri.

Banyak lagi yang dapat direnungkan. Saya pun mencatat ‘gitu-gitu’ sahaja. Ada yang terlekat ada yang terlepas. Namun banyak yang terkesan.

Monday, October 13, 2008

Puisi Naratifnya Mudahnya Bergelar Datuk

Orang Melayu selalunya sopan berbahasa. Namun begitu sesekali marahnya meledak juga. Ketika berjalan-jalan menyusur sebatang sungai aku terpandang sehelai kertas bertulis. Aku dapati kata-kata dalam kertas ini penuh rasa amarah dan entah kenapa aku pun tersentak juga. Ku bersandar di sebatang pohon yang tidak silap aku namanya pohon Melaka. Aku membaca kata-kata dalam kertas ini yang bertajuk "Puisi Naratifnya Mudahnya Bergelar Datuk".
Inilah puisi tersebut:

Hari ini, pada tanggal ini, orang Malaysia mudah bergelar ‘Datuk’. Bukan orang Malaysia (Tanah Melayu) sahaja, orang India di tanah India pun boleh. Orang Cina di Tanah Hong Kong juga boleh. Apa yang tidak boleh. Semua boleh. Suka hatilah. Apa-apa sahaja. Tidak perlu pandangan sesiapa. Tidak perlu bijak pandai, tidak perlu penelitian ilmiah, tidak perlu pandangan orang agama, suka hatilah. Buatlah.

Hari ini, pada tanggal ini, orang Malaysia mudah bergelar ‘Datuk’. Berlakon filem watak pembantu dari mula sampai tua pun dapat Datuk, pelawak tebar roti canai pun dapat Datuk, nyanyi dua tiga lagu gelek-gelek pun dapat Datuk, kontraktor bancuh simen pun dapat Datuk, berenang beberapa kilometer pun dapat Datuk, jadi mat rempit pun dapat Datuk. Bukan susah dapat Datuk.

Aku teringat datukku di kampung. Dia tidak perlu bersusah-susah untuk dapat Datuk. Dia ada 11 anak dan kini 64 cucu. Dia memang Datuk. Dia Datuk berkat. Datuk yang sebenar. Dunia akhirat.

-

Menyusur Pandang Susur Masa di BSLN

Gambar: Cenderamata untuk Saudara Erry. Terima kasih daun keladi.

Ke Balai Seni Lukis Negara (BSLN) setelah bertahun-tahun tidak ke sana. Atas sebab projek ilmiah kursus UBM 1032, atas nama program Kembara Ilmu, atas kesudian pihak BSLN menerima dengan tangan yang cukup terbuka, atas urusan surat-menyurat yang ada kesilapan namun dimaafkan, atas kebenaran pentadbir, atas pengorbanan usaha para pelajar, kami ke sana.
Pameran Susur Masa sempena 50 tahun BSLN sedang diadakan. (tamat hujung tahun ini). Bertuah juga dapat melihat hampir keseluruhan karya terbaik pelukis tempatan termasuk beberapa dari luar negara, juga arca. ada lukisan yang kerap ditengok, ada yang belum pernah, dan ada yang tidak jemu-jemu ditatap.
Terima kasih BSLN dan tahniah. 50 tahun yang sunyi namun berisi.
Gambar: Seniman S.Amin Shahab bersama-sama lukisan terpanjang beliau.

Kearifan Orang Melayu Berbahasa

"Mulia cakap kerana beradab, bermakna bual kerana berakal, berisi bicara kerana berkira, elok berbisik kerana selidik, terpuji isyarat kerana cermat."

"Apabila hendak menyampaikan perasaan, lakukan dengan perasaan, apabila hendak menyampaikan fikiran, lakukan dengan fikiran, apabila hendak menyampaikan kehendak lakukan dengan bijak, apabila hendak melakukan niat, lakukan dengan cermat, apabila hendak menyampaikan maksud, lakukan secara patut."

"Celaka cakap aib tersingkap, celaka bual badan terjual, celaka bicara membawa cedera, celaka perangai cakap merempai, celaka laku tidak bermalu."

"Apa tanda Melayu yang bijak, berfikir dahulu sebelum bertindak. Apa tanda Melayu beradab, berfikir dahulu sebelum bercakap. Apa tanda Melayu bertuah, berfikir dahulu sebelum bermadah. Apa tanda Melayu berakal, berfikir dahulu sebelum berbual."

-Ungkapan Dr. Tenas Effendi.

Gambar: Sekumpulan pelajar kursus UBM 1032 bersama-sama Prof Dr. Tenas Effendi, Prof. Emeritius Abdullah Hassan dan saya pada akhir majlis Syarahan Raja Ali Haji anjuran Persatuan Linguistik Malaysia dan DBP pada 10 Oktober 2008.

Wednesday, September 24, 2008

Salam Aidil Fitri



selamat menyambut hari raya aidil fitri
maaf zahir batin
kepada saudara-mara,
guru-guru,
kawan-kawan yang jauh atau dekat di mata,
yang dekat dan jauh di hati,
teman-teman sekerja,
para editor dan penerbit buku saya,
pelajar-pelajar dan bekas pelajar,
tidak lupa
pengunjung blog ini
juga
kepada bos-bos
juga tidak lupa kepada
orang-orang kampung saya yang masih rajin membuat lemang
orang-orang politik yang tidak berhenti-henti berbalah
'orang-orang' di sawah ladang yang sentiasa berhujan panas
juga kepada
rosyam nor
dan
'fasha sandha'

Friday, September 05, 2008

Hilang Lagi Bintang Di Langit

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Pejuang kemerdekaan dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 5.58 petang ini akibat jangkitan paru-paru.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan.

- Sebutir lagi bintang berkilau hilang di mata. Moga perjuangan diambil iktibar, dikenang selama-lama. Al-fatihah.

catatan:
ketika pesta buku antarabangsa kl april lalu, saya telah membeli 8 novel pak samad terbitan creative enterprise dengan harga yang amat murah. saya membelinya untuk melengkapkan koleksi saya, dan yang telah ada pun saya beli juga. mungkin novel-novel ini tidak diterbitkan lagi oleh creative atau entah. saya merasa beruntung memiliki novel-novel itu dan merupakan koleksi yang cukup bermakna.
antara novel2 itu ialah: sutinah, menimba yang jernih, detik-detik cemas, tembok tidak tinggi, kail panjang sejengkal dan lain-lain.

Wednesday, September 03, 2008

Salam Ramadhan

Selamat berpuasa kepada pengunjung blog yang tidak popular ini.
Masuk hari ketiga Ramadhan, dalam meneruskan tugas rutin, enak sekali saya membaca Weltanschauung (Shahnon Ahmad) dan buku Sirah Nabawiyah.
- malam, bertarawih di Masjid Tanjong Malim.
Insya Allah.

Wednesday, August 27, 2008

Siapa Sultan Alaudin?

Sebelum-sebelum ini kita dihadapkan dengan kisah secara realisme seperti Lantai T.Pinkie, Ronggeng Rokiah menggulati persoalan manusia dan kemanusiaan zaman dan wawasan yang sederhana. Kita juga dibawa nada agama dan menyentuh fikrah insani dalam Tiang Seri Tegak Berlima atau Anak Tanjong. Kita juga punya teater yang mahal seperti Wangi Jadi Saksi dan Puteri Gunung Ledang. Ada teater yang jelas bertema sindir seperti Raja Lawak dan Kena Main.
Kita telah dilunakkan dengan bangsawan Si Bongkok Tanjong Puteri, juga melankoliknya Uda dan Dara, kita dikias dengan kreativiti Yang Menjelma dan Menghilang. Semua ini drama, yang berjaya dipentaskan dan dalam beberapa sudut, drama-drama ini berkesan malah diiktiraf baik.
2 Jam Sebelum Sultan Alaudin Syahid Diracun (2JSSASD) hasil karya Faisal Tehrani arahan Dr. Abu Hasan Hasbullah sedang berlangsung sekarang (25-29 Ogos di UM). Drama ini drama yang berani. Berani kerana menyangkut isu yang semasa dan kritikan dalam persoalan politik. Banyak dialog yang sering dikatakan sensitif tapi dilepaskan begitu sahaja. Perkataan seperti 'mamak', 'liwat', 'buah tak bertangkai', dan banyak lagi diungkapkan. Teater ini bukan hanya meminta kita berfikir apa ada dalam teks tapi "lihat, inilah yang sepatutnya kita katakan, dan katakanlah." Nama-nama watak yang digunakan sinikal, berani dan lucu dalam hakikat. Nama-nama seperti Maya Longoria, Azam, Saiful dan Ros, jika dalam soalan peperiksaan sekolah sudah tentu diharamkan kerana menyentuh individu yang masih hidup atau telah mati.
Namun teks tetaplah teks. Karya ini dapat berdiri dengan kelantangan dan kebebasannya. Dengan props yang sangat sederhana, dipentaskan di dewan yang 'biasa-biasa', pementasan ini dikira berjaya. Namun membuatkan kita tersentak beberapa kali dengan luncuran kata-kata dan adanya adegan menonggeng dan munculnya pengarah sebenar.
Cuma, agak tidak selesa apabila melihat watak perempuan dilakonkan oleh lelaki. Watak Tun Senaja itu seharusnya diberi kepada perempuan begitu juga dengan tukang busana pementasan.
Sambil menonton, saya terfikir siapa Sultan Alaudin dalam situasi hari ini. Jawapan saya bersimpang-siur namun terjawab sendiri.

Friday, August 15, 2008

Puisi Baha Zain yang Masih Berbara


Postponing Truth and Other Poems (Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain) terjemahan Muhammad Haji Salleh (SN) memuatkan puisi-puisi Datuk Baha secara kolektif daripada Perempuan dan Bayang-bayang (1974), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa ke Kota (1994), Esei dan Puisi Baha Zain (2000), Sajak-sajak Merdeka (tidak diterbitkan) dan Renungan di Taman (tidak diterbitkan).
Baha Zain adalah antara penyair Malaysia yang 'briliant'. Tidak banyak penyair yang sebegini. Pemilihan kata-kata dalam puisinya tepat, tajam dan bijaksana. Gayanya bersahaja namun terkesan. Estetika tetap ada secara terselindung di sebalik makna dan ungkapan kata-kata itu sendiri.
Secara peribadi, puisi Baha Zain tetap membara dari segi pesanan, penyataan, sindiran dan keindahannya juga kelembutan dan romantisnya. Beliau sepatutnya sudah lama diberi anugerah sastera negara (Sasterawan Negara) tetapi tidak pasti pula kriteria yang bagaimana untuk melayakkan penerimaan anugerah itu yang sepatut-patutnya.
Kehadiran buku ini dinanti-nantikan dan dibanggakan!
Saya petik puisi "Dua Wajah Kenyataan"
Bulan sebahagian tergantung di langit kelam
Bintang-bintang tersusun seakan berserakan
Api-api berkelipan di perahu nelayan
permukaan yang siang tadi menyilaukan
kini pekat, berat dan hitam
hanya cahaya pembeza ukuran
antara kenyataan siang
dan kenyataan malam
di mana batasmu langit dan lautan
(1993)

Jangan Biarkan Begitu

Alkisah Si Luncai terjun dengan labu-labunya perlu kita ingat sesekali. Cerita tetap cerita. Cerita rakyat dahulu kala. Tapi jangan biarkan saja. Ada perkara boleh kita biarkan, tapi ada BANYAK perkara yang perlu kita halang atau pertahankan. Apa lagi yang tinggal pada kita (Melayu) jika banyak sangat yang ingin dibuka, diberi, dan digadaikan?
Berita akhbar ini dipetik untuk kita fikirkan.

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kemarahan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ekoran isu membuka institusi itu kepada pelajar bukan bumiputera terus memuncak apabila lebih 20,000 lagi pelajar mengadakan bantahan di seluruh negara.


Tuesday, August 12, 2008

Filem Bagaimana yang Kita Harapkan?


Gambar dari Utusan Malaysia

Sabtu lalu berlangsungnya Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 21 (FFM21) di Putrajaya. Festival kali ini sengit daripada segi persaingan pengkarya (terutama pengarah) berbanding pelakon. Beberapa pengarah yang tersendiri, pernah diiktiraf terbaik termasuk dalam kalangan pengkritik dan ahli akademik perfileman turut mengarah filem (penyertaan FFM21 ini). Mereka ialah:

  1. Dr.Anuar Nor Arai – pengkritik filem yang disegani, ahli akademik dan karyawan drama dan filem yang disegani. Beliau mempertaruh Johny Bikin Filem yang telah dihasilkan 15 tahun lalu.
  2. Dr. Hatta Azad Khan – bekas Ketua Pengarah Istana Budaya, kini pensyarah UiTM, pernah menghasilkan filem Mat Som, berdasarkan komik Lat satu ketika dahulu. Hatta juga penulis drama, antara yang terkenal Syyy (Pi Mai Pi Mai Tang Tu). Dr. Hatta mempertaruh filem Wayang.
  3. Suhaimi Baba – pernah beberapa kali menang anugerah bermula Selubung hingga Layar Lara kemudian siri Pontianak dan Waris Jari Hantu dan kali ini mempertaruh 1957: Hati Malaya (yang pernah saya ulas sebagai filem yang menghiris hati)
  4. Osman Ali – pengarah muda yang berpotensi selepas hasilkan Bukak Api dan Surat untuk Bulan, namun makin dikritik selepas Puaka Tebing Biru tambah pula kali ini menghasilkan Anak Halal.
  5. Khabir Bhatia – bukan orang Malaysia tapi cukup cemerlang dalam garapan telenovela melayu (Idaman) dan filem terbaiknya, Cinta. Kali ini mempertaruh Sepi.
  6. Amir Muhammad – banyak menghasilkan filem pendek, juga seorang pengkritik dan pengulas filem selain penulis sastera Inggeris. Filem Susuk merupakan filem cereka pertamanya.

Kali ini tiada penyertaan filem arahan Adman Salleh, U-Wei dan Yasmin. Begitu juga tiada filem Aziz M.Osman, Bada Hj. Azmi dan Yusof Haslam.

Semenjak Suhaimi Baba melepaskan Pontianak Harum Sundal Malam, banyaklah hantu-hantu dan Pontianak di pawagam kita. Ditambah pula dengan hantu Jepun, Korea dan Siam. Pengkarya kita pun berani buat filem hantu dan seram sebab dapat sambutan. Penerbit yang tidak tahu apa-apa tentang karya pun mahu cari untung dengan filem-filem begini. Tapi hanya satu dua sahaja boleh dianggap terbaik.

Satu lagi trend pembikin filem adalah kisah muda-mudi yang samseng gila dan lumba-lumba. Ibarat filem Bollywood yang menampilkan hero yang berlagak miskin namun kuat beradu (bergaduh), filem kita pun mahu buat seperti itu. Filem sebegini tiada jati diri, malah lebih kosong daripada pemikiran tauke-tauke panggung. Tiada apa- yang boleh dibanggakan daripada filem-filem ini melainkan meraikan kegagalan dan kehancuran akhlak.

Filem terbaik FFM21 adalah Kala Malam Bulan Mengambang, arahan Mamat Khalid. Filem hitam putih ini menarik daripada beberapa sudut namun dari segi pemikiran dan budaya, filem Wayang lebih mengusik. Kemengan filem ini tidak dijangkakan apatah lagi bagi anugerah lakonlayar terbaik dimenangi oleh filem Cuci ( Hans Issac). Selalunya filem yang memenangi lakonlayar terbaik mempunyai peluang yang cerah untuk filem terbaik. Entah kenapa pula yang dikatakan lakonlayar filem ini terbaik sedangkan dialog filem ini berbahasa pasar dan perkembangan cerita dapat diduga. Sedikit pelik filem yang bernaratif ringan dan biasa-biasa dapat hadiah lakonlayar terbaik namun filem yang berat pemikiran seperti Johny atau Wayang atau 1957, tidak menang. Cerita asal terbaik pula dimenangi oleh Anak Halal (Osman Ali). Anak Halal pernah dikritik kerana menampilkan kehidupan muda-mudi yang bebas, jauh dari pegangan agama dan rendah moralnya.

Kemenangan Kala Malam Bulan Mengambang bukanlah kemenangan mutlak yang membolot banyak anugerah utama melainkan Pengarah Terbaik (Mamat Khalid), Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik dan Kostum Terbaik. Rumusan mudah dapat dilihat filem ini cemerlang daripada segi pembikinan, pengarahan dan penataan serta pelakon utama yang terlalu kerap muncul bukan kerana inti pemikiran dan ceritanya.

Mamat Khalid adalah pengarah yang serius dan tekun, namun beberapa filemnya dilihat agak main-main (seperti Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang dan beberapa telemovie kelakarnya di NTV7 suatu ketika dahulu). Apabila Mamat menghasilkan Kala Malam Bulan Mengambang,persepsi filem itu seperti filem-filem sebelumnya tetap ada.

Walau apapun, tidak dipertikai kemenangan Kala Malam Bulan Mengambang. Cuma sedikit terkilan filem seperti Wayang (daripada skrip asal di Finas, Kelir Kaku), Johny Bikin Filem (filem noir yang mirip Godfather) dan Sepi (kisah manusia yang bergerak dalam naratif yang menyentuh rasa dan fikiran) tidak diiktiraf sewajarnya. Lagipun agak jarang kita dapat menyaksikan karya Anuar Nor Arai dan Hatta dalam sinema kita.

Agak menarik FFM21 kali ini mengiktiraf Ruminah Sidek (Mak Mah) sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (juga anugerah khas veteran wanita). Inilah keterbukaan penilaian juri pelakon yang dialu-alukan. Pelakon pembantu terbaik tidak semestinya muda yang berperanan kedua atau ketiga penting dalam filem. Watak ibu, orang tua, nenek, orang gaji juga berkesan. Terfikir juga betapa banyak pelakon-pelakon bukan hero dalam sinema kita yang jarang atau tidak pernah diberi anugerah seperti Baharuddin Haj Omar, Haji Arshad, Hisham Ahmad Tajudin, Tamam Idris, Ahmad Marbawi, Roomai Noor, Noraini Hashim, Rokiah Shafie, Rohaya Rahman, M.Suki, Kuswadinata, Mustafa Maarof dan banyak lagi nama (antaranya sudah meninggal dunia)

Daripada senarai penyertaan FFM kali ini, dapat dikesani pola pemikiran karyawan kita berada dalam kitaran yang sederhana. Jangan harapkan unsur falsafah, jangan fikirkan tentang cita-cita mengangkat budaya dan warisan, jangan mimpi tentang moral dan wawasan kemanusiaan, keagamaan, peradaban, teknologi sebaliknya marilah kita tonton kisah anak muda yang samseng di jalan raya dengan kereta mewah, remaja kolej yang suka menyanyi, wanita pendendam, kisah hantu dalam masyarakat yang mengaibkan, korporat melayu yang kehilangan arah, dan gejala masyarakat yang bebas dan mengkhayalkan.

Mungkin kita perlu menoleh ke belakang, dengan mengambil contoh filem-filem yang tersenarai di bawah. Ini adalah filem-filem kita yang telah kita tinggalkan sebagai nostalgia namun filem-filem ini kaya pemikirannya, walaupun tidak begitu tinggi dan hebat namun amat sesuai dan memadai untuk diwajarkan dengan situasi kita, budaya kita dan keupayaan ilmu, persekitaran, modal dan teknologi kita. Kita mahukan filem-filem yang sebegini lagi, terutama pada masa kini. Filem-filem itu antaranya:

  1. Matinya Seorang Patriot (1984) arahan Rahim Razali – kisah keluarga korporat yang patriotik dan sinikal dengan perjuangan Melayu serta perkaitannya dengan tradisi dan agama, juga undang-undang.
  2. Bukit Kepong (1980) arahan Jins Shamsuddin – kisah perjuangan pasukan polis Bukit Kepong yang mempertahan tanah air. Cukup tebal nilai kemanusiaan dan nasionalisme.
  3. Bintang Malam (1991) arahan Adman Salleh – kisah anak muda pulang dari rantauan yang mencari keluarganya dan menyelamatkan kecurangan dan menebus kesilapan.
  4. Sayang Salmah (1994) arahan Mahadi J. Murat – kisah perjuangan yang gagal dan sikap anak muda yang mengikut nafsu hingga lupakan keluarga dan perjuangan.
  5. Ranjau Sepanjang Jalan arahan Jamil Sulong diangkat dari novel Shahnon Ahmad. Kisah kemiskinan dan kepayahan keluarga petani dan ikhtiar mengubah nasib.
  6. Hang Jebat arahan Husain Haniff – kisah dari klasik Melayu Tuah-Jebat tentang kesetiaan, persahabatan, percintaan dan kebenaran.
  7. Semerah Padi arahan P.Ramlee – kisah keadilan dalam agama, juga percintaan dan persahabatan.
  8. Kami (1981) arahan Patrick Yeoh – kisah persabahatan anak gelandangan yang menempuh nasib di kota raya, juga cita-cita dan perpaduan.
  9. Kembara Seniman Jalanan (1985) – filem muzikal tentang situasi industri hiburan yang melibatkan cetak rompak, dadah yang akhirnya dimusnahkan dan dikalahkan dengan kebenaran.
  10. Jogho arahan U-wei Haji Shaari daripada novel S.Othman Kelantan berkisar tentang keputusasaan dalam dua gelanggang, politik dan laga lembu.

dan beberapa lagi filem Melayu yang baik, bermutu, berkesan dalam berbagai-bagai aspek terutama inti cerita, nilai dan pemikitran juga kualiti pengarahan, sinematografi dan aspek-aspek lain sesebuah filem.

Dunia filem Melayu yang dicintai, harapnya filem-filem kita tidak membawa kemunduran pemikiran, kreativiti dan akhlak. Bersama-sama fikirkan dan lakukanlah yang sepatutnya.

Friday, August 08, 2008

Puisi Malam Merdeka

Ini puisi saya. Belum pernah tersiar di mana-mana sebab saya tidak menghantarnya. Saya deklamasikan dengan iringan muzik dan slaid di auditorium pada Malam Jalinan Mesra pelajar Jabatan Bahasa Melayu UPSI semalam, 7 Ogos 2008.
Puisi ini juga untuk mengenang kemerdekaan negara ke 51.
Puisi naratif ini seperti kisah 10 budak hitam. Ada kelucuan namun bukan sekadar itu, lebih jauh dari itu sebenarnya. Fikirkan!

Kenangan Ketawa Malam Merdeka

potret dan cerita disuakan untuk dibaca
lihat dan kesani urat derita dan merah mata mereka
percayalah,
kemanusiaan tidak pernah mentertawakan sengsara
ketulusan tidak pernah mensia-sia kemenangan
seorang tua tampil tiba-tiba
mengajakku mendengar ceritanya
aku tidak kenal dia, malah ragu-ragu kebenarannya
katanya,
potret merdeka bukan dengan darah dan air mata sahaja
malah ketawa dan sindiran pun ada

dia bercerita:
pada malam 31 Ogos 1957 itu
aku bersama enam pejuang yang kecil namanya
berbasikal ke stadium untuk menjerit merdeka
perjalanan kami terkandas, satu basikal tayar pancit
tertangguh seketika, dia mahu ke rumah kawannya
esok saja ke stadium, katanya
tiba-tiba seorang sakit perut lalu membuang hajat
di pinggir hutan, hilang ditelan gelap malam
puas dilaung tidak menyahut
kami tinggalkan kerana masa tidak banyak

seorang lagi mengayuh lambat
tertinggal dalam gelap malam kemudian sesat
entah kenapa tinggal kami berempat terasa kelaparan
singgah di warung makan mi goreng dan air sirap
seorang terlalu kenyang hingga pengsan
lalu dia menumpang tidur di meja warung
kami teruskan perjalanan walaupun bertiga
telah hampir ke stadium, salah seorang daripada kami
terserempak teman wanita lamanya
apalagi, mengada-ngadalah dia
mahu berdating sekejap katanya
tinggallah kami berdua
belum sempat masuk ke stadium
temanku yang seorang itu terseliuh kakinya
menjerit-jerit sakit mahu ke klinik
aku suruh dia pergi sendiri
dan aku pun melangkah ke stadium
saat orang sudah melaungkan merdeka kali ke tujuh
dan aku katakan,
yang ketujuh itulah nasibku
berbanding temanku yang enam tadi
aku yang sempat sampai ke sini.


seusai cerita ketawa bergema
namun aku pula tertanya-tanya
apakah itu sekadar cerita
atau menyindir sesiapa?


ARIFF MOHAMAD

Friday, August 01, 2008

Pesta Buku Malaysia?

PWTC sekarang berlangsung Pesta Buku Malaysia? Rasanya ini pertama kali saya dengar dan diadakan. Saya singgah sebelum balik ke Tanjong Malim. Bersama-sama Lutfi dan di PWTC terserempak Faisal.
Pesta buku ini sunyi. Banyak syarikat buku yang menjual bahan-bahan penguasaan bahasa Inggeris untuk kanak-kanak. Tidak banyak buku dijual, tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa. Mungkin jarak masa yang terlalu hampir antara dua pesta lokal dan internasional itu, maka yang lokal ini kurang pengunjungnya. Atau mungkin kerana kurang promosi, atau orang sudah tidak berminat dengan buku.
Saya melihat ini dari perpektif kesungguhan kita, kalau hendak menganjurkan pesta buku, buatlah betul-betul. Ini diadakan ketika sekolah/kolej/universiti tidak bercuti, musim orang ingin beli baju raya, musim orang berpuasa sunat dan berpuasa ganti. Kesimpulannya, masa yang tidak kena selain faktor-faktor sambutan penjual dan promosi.
Pesta Buku Indonesia diadakan bulan November atau Disember setiap tahun di Jakarta. Dalam dewan yang terlalu besar, malah lebih besar daripada pesta buku antarabangsa kita.
Entri ini hanya luahan, juga pertanyaan untuk sesiapa yang dapat menjawabnya. Mengapa begini?
Pesta ini berlangsung 31 Julai hingga 3 Ogos.

Sesiapapun Tak Mampu Menahan Kehendak-Nya

Segala-galanya telah tertulis dan dijanjikan. Cuma kita tidak tahu. Sesiapapun tidak mampu menahan kehendak-Nya. Saya menjangka boleh bertemu lagi dengan Prof Syed Othman, berbual-bual, minta pendapat, dan sama-sama ketawa. Tapi rupa-rupanya pertemuan saya di biliknya itulah yang terakhir. Dan kelmarin, 31 Julai saya dan yang lain menziarah jenazahnya. Subhanallah.
Kita doakan marhum ditempatkan dalam kalangan yang dipelihara selama-lamanya. Al-fatihah.

Wednesday, July 30, 2008

Semoga Cepat Sembuh, Ayahanda

Sebenarnya, beliau bukan ayahanda saya. Tapi ayahanda Zakir dan adik-beradiknya yang lain. Saya menyebut 'ayahanda' dalam pengertian yang lain.
Prof Dr Syed Othman Syed Omar (S.Othman Kelantan) masuk wad dua minggu lalu. Saya masih tidak sempat melawatnya. Beliau masuk wad hari Jumaat/ Sabtu tidak silap saya. Hari Rabu itu saya berbual-bual dengannya di bilik barunya di Fakulti Bahasa UPSI.
Dia 'marah' saya sebab tidak tahu dia sudah mendaftar sebagai Pensyarah Tamu di UPSI. Saya minta maaf sebab ada kursus terjemahan dengan ITNMB. Beliau seperti biasa, banyak menasihat, banyak mengkritik dalam berlucu. Dia memang mahu cari rumah di Tanjong Malim sebab tidak larat berulang-alik. Dapat saya bayangkan keletihannya berulang alik Bangi-Tanjong Malim sebab saya pernah merasai pengalaman itu. Bukan letih badan saja, letih poket juga.
Prof merungut-rungut juga tentang karenah pentadbiran berkaitan pendaftarannya sebagai staf di sini. Katanya "adoko patut umur mace ni keno ujie air kecing untuk test dadoh (dadah) . Tengok oghe la...". Saya ketawa.
Dalam perbualan saya dan beliau baru-baru ini, beliau mengatakan puisi melayu pertama bukan ditulis oleh Pungguk seperti yang dipelajari di sekolah. Kata beliau, puisi melayu pertama di tulis oleh Tok Kenali.
Doa saya, doa kita, semoga cepat sembuh ayahanda.