Wednesday, August 02, 2006

Wangi?


Wangi Jadi Saksi, teater perdana di auditorium baru Dewan Bahasa dan Pustaka. Teater ini arahan U-Wei Haji Saari, yang lebih dikenali dalam pengarahan filem cereka.
Teater yang mengambil perbelanjaan lumayan (khabarnya 600 ribu Ringgit Malaysia) menemui khalayak dari 27 Julai hingga 6 Ogos ini.
Drama ini membawa tafsiran lain tentang teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dari sisi Dang Wangi (isteri Hang Jebat) yang dikatakan menjadi saksi pembunuhan Hang Jebat yang dilakukan oleh Pateh Kerma Wijaya, bukannya Hang Tuah.
Sememangnya teks sejarah boleh ditafsir dalam berbagai-bagai bentuk dan pandangan, namun beberapa perkara yang mengusik sensitiviti perlu diambil kira.Beberapa perkara boleh dibincangkan dari segi ‘fact in story’ teater ini.
Antaranya, betapa lemahnya pahlawan Melayu bernama Jebat yang hanya mati menyerah malahan ditikam dari belakang. Juga, betapa baculnya Tuah yang meninggalkan Jebat dengan tenang sedangkan Jebat sedia menanti dibunuh. Selain, lemahnya Wangi sebagai saksi pembunuhan yang hanya menangis tanpa menuntut sebarang keadilan sebaliknya datang melutut kepada Patih Kerma Wijaya.
Tidak ada sedikitpun pertarungan, tiada amukan melainkan hanya ketenangan dan perbualan klise antara dua saudara lagenda itu. Muzik yang tulen berunsur kejawaan dapat dirasakan. Di mana muzik Melayu, di mana orang Melaka?
Dari segi props dan pembinaan pentas, terlalu ringkas dirasakan. Menggunakan tayangan gambar slaid dengan tatacahaya dan kain langsir yang sekejap ada sekejap tiada, juga papan lapis tiga tingkat menunjukkan ini bukanlah teater yang layak dengan belanja yang sedemikian besar dan menggunakan khidmat pakar props luar negara pula. Tidak ada watak sultan, tiada latar istana yang indah, hanya kosong seperti teater di Stor DBP.
Dialog yang mulanya indah berseni, terutama perbualan antara Kerma Wijaya (Khalid Salleh) dan Bendahara (Datuk Rahim Razali) namun tidak dikekalkan hingga ke akhir. Watak Wangi yang sepatutnya kuat hanya merintih dan menyerah. Begitulah pada pandangan karya ini terhadap wanita Melayu.
Lakonan Jebat (dimainkan oleh Soffi Jikan pada malam saya saksikan) tidak menunjukkan keperwiraan yang sepatutnya. Dia hanya lebih banyak menggeletar, mungkin menunjukkan gelisah dan ketidaktentuan, dan begitulah keadaannya hingga akhir. Tiada bukti kasih sayang dan mesra terhadap Wangi hinggakan pada saat kematiannya, isterinya itu ditolak jauh-jauh.

Pelakon hanya hanya enam orang. Ini tidak termasuk ‘ninja’ berpakaian hitam (sebagai peletak dan pengangkat props kecil seperti dulang dan cawan) yang kadangkala terasa melucukan. Mungkin tiada cara lain, atau tiada pakaian lain untuk mereka. Sungguh berjimat teater ini nampaknya. Saya teringat pada bulan lalu, saya menonton Bangsawan Naga Chini di Istana Budaya. Pelakonnya ramai, propsnya cantik, aksinya menarik. Walaupun ada kelemahan, namun secara keseluruhan rasa berbaloi dengan bayaran tiket yang minima RM20 berbanding yang ini, paling minima RM35.
Apapaun, persembahan ini telah berjaya dipentaskan. Namun, diharapkan DBP mencari skrip yang baik dari karyawan yang teruji untuk mempersembahkan teater di auditorium yang cantik itu pada masa mendatang. Sememangnya tiada kesempurnaan dalam apapun, namun biarlah ada kepuasan di kalangan penonton sama ada estetika mahupun keinteletualannya.