Friday, February 23, 2007

Gie yang Berbara


Menonton"Gie", hasil kerja kreatif Riri Riza membuatkan saya terfikir dan merenung sejenak keupayaan berfikir dan kreativiti berseni karyawan filem tempatan. Malaysia, negara yang tercinta ini tidak pernah kering dengan tenaga kreatif muda yang boleh, malah mengatasi upaya bersaing dengan karyawan luar, dari Asia mahupun peringkat dunia. Tetapi sering juga tertanya-tanya mana hasil yang terbaik kita?

Saya kagumi Gie bukan semata-mata kerja penataan dan pengarahan tetapi sudut bercerita dan persoalan yang dipilih. Patriotik, nasionalisme, politik. Perkara-perkara yang disebutkan ini apabila tiba pada karyawan kita, bagai ada ketakutan dan entah dinamakan apa, maka hanyalah tinggal di atas kertas. Tidak banyak, malah kita hampir tidak ada karya bertema nasionalisme atau persoalan politik (tidak kira dari sisi kanan atau kirinya) sejak lima tahun kebelakangan ini di pawagam.

Kita sangat-sangat memerlukan filem sebegini sebenarnya. Filem yang bernada berani, jelas dan mesej kemanusiaan yang kuat. Ada perkara lain yang kita pelajari selain berhibur. Ada nilainya, ada kesedarannya, agak rasa cinta negara dan bangsa, ada semangat malah ada pesanan yang dapat kita serapi atau unsur yang patut dijadikan sempadan. Kita mahukan filem sedemikian bukannya filem hantu, bukan filem cakap penang, bukan filem lawak kosong, bukan filem cinta budak-budak, bukan filem suami gaduh dengan isteri di bilik, bukan cerita polis lapor penyiasatan di pejabat, bukan cerita mat rempit yang minda sempit, bukan, bukan, bukan.

Sedikit tentang Gie; Filem ini berdasarkan catatan harian Soe Hok Gie, lelaki keturunan cina yang pada peringkat remajanya lagi sudah punyai perspektif yang tersendiri tentang politik. Watak Gie melihat dengan agak jelas apa itu revolusi, konfrontasi dan jiwa seorang pejuang dari dimensi yang dipilihnya.

Filem ini filem terbaik Festival Filem Indonesia dua tahun lepas. Nicholas Saputra memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik. Filem ini memang menarik walaupun naratifnya agak lambat namun berbara pengisiannya. Saya menontonnya di Jakarta. Dan filem ini tidak akan masuk di pawagam Malaysia. Kita sepatutnya ada filem nasionalisme versi kita sendiri. Kita ada banyak pejuang, baik yang dijulang, mahupun yang disenyapkan!

p/s: Kepada peminat filem Melayu, cubalah dapatkan VCD filem-filem Melayu yang 'berbara' iaitu (antaranya): Hang Jebat (Husain Haniff), Cucu Datuk Merah (M.Amin), Semerah Padi (P.Ramlee), Bukit Kepong (Jins Shamsuddin), Matinya Seorang Patriot dan Pemburu (Rahim Razali), Yassin (Kamarul Ariffin), Amuk (Adman Salleh) dan Sayang Salmah (Mahadi J.Murat)

5 comments:

Unknown said...

Dah lama saya dengar cerita tentang filem ini dan Catatan Harian Soe Hock Gie.

Di mana saya boleh cari buku dan filem ini?

Anonymous said...

aku lebih suke membaca buku dp menonton. mungkin buku tu ada kat MPH bookstore kot..popular?

oh ya, apa pandangan awak semua tentang karya novel, filem berunsurkan sains di malaysia?

ekspresi said...

buku itu rasanya tiada di malaysia. indon saja.

ekspresi said...

filem berunsur sains yang bagaimana? seperti star war? silent of the lamb? green miles? atau filem kita sekuel mat bond (mat sentul), syukur 21(eddie pak), dan xxray(aziz m.osman)atau cicakman (yusry)?
sains tidak menjanjikan itu filem yang baik.

Anonymous said...

aku dah tengok filem ni beberapa bulan yg lalu. Ya, satu adaptasi yang menarik dan berjaya mengungkapkan nuansa sebenar soe. pengarahnya memberikan kamera dan sejarah sebagai pencerita. itulah filem.