Alhamdulillah, ulang tahun ke 50. Usia merdeka yang tidaklah begitu tua dan tidak juga muda.
Persoalan kemerdekaan ini agak menarik diperkatakan, malah popular, tetapi tidaklah sepopular apabila memperkata tentang program realiti televisyen. Kesan dan refleksi rasa dan fikir dan rasa juga ada sedikit-sedikit hampir sama. Rasa mual ada, sakit hati ada, sedih pun ada.
Namun begitu, kemerdekaan adalah sesuatu yang cukup penting untuk diambil berat dan diberi perhatian. Lebih penting dan bukanlahlah seremeh rancangan realiti.
Bagaimana kita menyambut atau merayakan anniversary ke 50 ini? Pasti telah banyak program dirancang dan akan dilaksanakan oleh banyak pihak. Daripada kementerian, jabatan hinggalah pertubuhan bukan kerajaan, swasta dan lain-lain. Harap-harapnya begitulah. Ada rasa patriotik.
Tapi patriotik yang ingin disemai, ditanam, dibaja dan dibesarkan itu bagaimana pula. Oh, subjektif dan konotatifnya perkara ini.
Tahun ini sambutan kemerdekaan kita seperti tahun-tahun sebelumnyalah agaknya. Kita kibar bendera di sana-sini, cipta bendera besar-besar, buat kek besar-besar dan tulis dalam rekod. Itulah yang ada dalam fikiran kita agaknya. Dan itulah makna merdeka yang ingin diberitahu kepada anak-anak kita. Malam merdeka, dengar denting jam lalu menjerit dan berbunga apilah kita ya.
Adakah begitu kita mengenang dan menghargai sejarah?
Adakah sejarah kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa itu hanya perlu diingat dengan bunga api dan laungan tiga atau tujuh kali merdeka?
Subhanallah, kita telah jauh tersasar sebenarnya.
Kemerdekaan adalah sesuatu yang cukup mahal sesungguhnya. Walau dengan apa cara sekalipun, rundingan ataupun pelepasan senjata perang, merdeka yang kita dapat bermula dengan akal fikir, rasa sedar dan gerak juang orang-orang terdahulu. Siapakah orang-orang itu? Sungguh banyak, bukan seorang dua seperti dalam buku sejarah kita.
Sempena 50 tahun kemerdekaan negara ini, sepatutnya kita buat solat hajat dan doa kesyukuran besar-besaran di seluruh negara. Isikan khutbah jumaat dengan kesedaran merdeka dan pentingnya semangat juang sayangkan negara.
Banyak lagi program pengisian jiwa dan perkembangan minda sekaligus kesedaran diri patut dijalankan. Kita perlu revolusi fikiran yang lebih keras sebenarnya. Kita telah banyak dilupakan dan dilalaikan dengan hiburan yang berbasa-basi, sikap endah tak endah, cinta bahasa dan negara yang kian terhakis dan macam-amacam lagi hingga seakan-akan menjadi ancaman kepada bahasa, agama, bangsa dan negara.
Setelah 50 tahun, apa pencapaian Melayu di negara ini yang boleh dibanggakan. DEB, penswastaan, persyarikatan, telekomunikasi? Milik siapa?
Setelah 50 tahun, apa nasib bahasa nenek moyang kita, bahasa Melayu? sastera Melayu?
Setelah 50 tahun, semakin banyak mat rempit nampaknya, semakin kerap terjadi kes pembunuhan, ragut, masalah sosial, dadah.
Ya, Allah, lindungilah kami.
Kita perlu lebih jauh berfikir tentang merdeka, bukan hanya mencari orang yang bernama 'merdeka'.
Marilah kita bermuhasabah. Buat kali ke 50 ini.
6 comments:
saya mahukan pandangan yang bernas apa yang sepatutnya kita 'buat' setelah 50 tahun merdeka.
bagi orang 50 sudah boleh dkatan tua, tetapi pada negara 50 masih terlalu muda...
masalahnya sambutan merdeka kita lebih bersifat kulit-kulitan daripada isi. siapa gayut bendera besar-besar dan banyak-banyak kat kereta dan premis, seolah-olah dialah yang paling patriotik.
kemerdekaan sebenar ialah kemerdekaan jiwa. jiwa merdeka. lima puluh tahun gari penjajahan terlucut, tapi jiwa kita masih di kamar abdi.
lihat pada nasib bahasa Melayu! merdekakah kita? Arghhh.......
Merdeka perlu diisi dengan jiwa yang merdeka.
Apa guna merdeka jika agama,bangsa dan bahasa tidak dimartabatkan.
Sumbanglah walau sekecil hama.
http://jiwarasa.blogspot.com/2005/08/kerana-kau-ku-masih-di-sini.html
terima kasih che606, mohamadkholid, sahrun dan jiwa rasa atas pandangan-pandangan yang diberi.
saya dapat rasakan nilai kejujuran itu di mana.
tanyakan pada diri sendiri, apakah yg telah anda lakukan untuk memerdekakan negara? atau memerdekakan bangsa atau agama? tak pun..memerdekakan diri anda sendiri????
Post a Comment