Monday, May 04, 2009

Kenyataan Akhbar PENA tentang PPSMI

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris telah berkembang ke tahap kedua apabila berlakunya penyertaan ahli politik dalam tunjuk perasaan yang digerakkan oleh golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan. Lanjutannya ada pemimpin politik kerajaan menjadikan penyertaan ahli politik sebagai alasan untuk menyelar penentangan tersebut walaupun sebenarnya penentang-penentang PPSMI tidak bermotifkan politik, dan malah sudah lebih enam tahun menyuarakan pandangan mereka secara sabar dan sopan.


Kedua, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang sejak Jun 2002, secara terbuka melalui kenyataan akhbarnya menentang PPSMI, tetap dengan pendirian asalnya bahawa PPSMI harus dimansuhkan segera sebelum isu ini mendatangkan implikasi pendidikan, sosial dan politik yang lebih buruk.


Ketiga, Sudah sedemikian banyak memorandum, hasil penyelidikan ilmiah, forum dan persidangan diadakan , dan dengan demikian sudah cukup banyak maklumat, dapatan ilmiah, dan pendapat disampaikan oleh kelompok budayawan dan ilmuwan kepada Kementerian Pelajaran. Sikap Kementerian Pelajaran yang menangguh-nangguhkan keputusan selama ini sangatlah mengecewakan sedangkan PPSMI telah menjadi isu kebangsaan yang berat sehingga menimbulkan pemikiran bahawa Kementerian Pelajaran tidak cekap dan tidak pantas menangani masalah, dan tidak sensitif terhadap suara-suara jujur dan rasional rakyat.


Keempat, Sempena pelantikan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran , PENA mengucapkan setinggi tahniah dengan iringan doa restu agar beliau dirahmati Allah dengan sikap perjuangan kebangsaan yang tinggi, menghormati warisan dan agama sebagai akar dan asas kemodenan bangsa, dan menempuh kejayaan yang cemerlang.


Kelima, PENA sekali lagi, dengan hormatnya menyeru kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran , dan dalam kekuasaannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, memansuhkan PPSMI dan memulihkan kembali peranan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan.


Keenam, Keputusan PENA ini bukan sahaja berasaskan premis bahawa PPSMI memberi natijah buruk kepada perkembangan kognitif dan keadilan pendidikan majoriti anak-anak dari keluarga biasa di luar bandar dan di pinggir bandar , tetapi yang lebih berbahaya PPSMI sedang meminggirkan Bahasa Kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu moden .


Dato’ Baharuddin Zainal ( Presiden )

No comments: