Friday, July 10, 2009

PPSMI: Antara Gembira dengan Curiga

Terima kasih Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengisytiharkan PPSMI dimansuhkan. Tetapi kenapa 2012? Tiga tahun macam-macam boleh berlaku, dan rasional kenapa menunggu hingga 2012 tidak pula diumumkan. Mungkin kerana penulisan semula buku teks dalam BM mengambil masa, tetapi pengajaran bukan 100% menggunakan buku teks. Mungkin juga sebab untuk membetulkan minda guru-guru dan pentadbir KPM untuk kembali berbahasa Melayu dalam pengajaran Matematik dan Sains itu? Atau entah apa sebab lain.
Walaupun begitu, keputusan itu sudah cukup baik berbanding sebelum ini yang hanya diam bertangguh dan tidak memberikan apa-apa keputusan. Nampaknya Tan Sri Muhyiddin lebih berani dan bijak membuat keputusan berbanding Datuk Seri Hishamudin yang berbolak-balik tentang PPSMI.
Sesungguhnya kerajaan untung banyak apabila PPSMI ini dimansuhkan kerana kerajaan melalui KPM tidak perlu mengeluarkan banyak wang memberikan laptop dan peralatan tayangan kepada sekolah-sekolah yang nilainya tidak munasabah. Bayangkan sebuah laptop berharga RM6,000 dan LCD juga sedemikian. Padahal jika guru-guru ini membeli laptop sendiri (pada masa ini) hanya bereharga bawah RM2,000. Pembaziran pembayaran kerajaan berlaku melalui agen-agen yang merupakan syarikat yang mendapat tender kerajaan yang mengambil untung berganda-ganda ini.
Selain itu, kerajaan juga dapat menjimatkan pengaliran wang apabila elaun khas yang diberikan kepada guru Matematik dan Sains ini (10% daripada gaji bagi guru sekolah rendah dan 5% daripada gaji bagi guru sekolah menengah) dihentikan. Sebenarnya ini adalah polisi pelik KPM yang memberi elaun lebih kepada guru dua subjek ini padahal tugas dan peranan sama dengan guru-guru subjek lain. Hendak dikatakan mahir berbahasa Inggeris, belum tentu, dan ada dalam kalangan guru Bahasa Melayu dan guru Pendidikan Jasmani pun mahir bahasa Inggeris tetapi tidak diberi elaun khas.
Memang sedikit lega dengan berita pemansuhan PPSMI tetapi itu bukan bermakna kita hanya perlu diam. Usaha untuk menguatkan bahasa Inggeris patut dipuji tetapi janganlah menggugat kepentingan bahasa Melayu pula. Walaupun PPSMI tidak dijalankan tetapi jangan kerah pelajar-pelajar ini menguasai BI dengan cara yang lain pula. Sebarang keputusan perlu dilihat dari pelbagai sudut. Untuk bertanya kepada tokoh, tanyalah pelbagai golongan termasuk tokoh pendidikan dan tokoh bahasa. Pendapat tokoh politik yang hanya bersandar logik bukan berdasarkan pandangan ilmu tidak perlulah dihiraukan sangat. Negarawan seperti Tun Dr Mahathir seeloknya banyak berehat sahaja menempuhi hari-hari senjanya.

6 comments:

sahrunizam abdul talib said...

Saya berikan undi untuk curiga. Lihatlah pengumumaman menteri ekoran pemansuhan ppsmi. sekali lagi fokusnya untuk memartabatkan bahasa inggeris.Antaranya sastera Inggeris akan disogokkan kepada pelajar seawal tahap dua sekolah rendah. Apa kebendanya ni? Sastera melayu buang dalam longkang sekolah.

lutfi said...

Salam Arif.
Yang untungnya bukan Kerajaan, tetapi 'golongan oportunis' yang memang ahli neraka tu.

ekspresi said...

sdr sahrunizam,
aduh, malangnya kita mempunyai pemimpin yang tiada sifat pemikir dan sayangkan bahasa dan budaya dan bangsa.

ekspresi said...

sdr lutfi,
betul tu.
banyak lagi program kerajaan yang tiada kaitan antara hasil dengan wang yang dilaburkan. antaranya juga adalah PLKN.

edolah said...

bagaimana pula dengan modul ppsb yang kita gulati dalam PLKN selama ini? tapi aku dah slow down menarik diri buat beberapa sesi kebelakangan ni...

Luqman Hakim QA said...

pembaziran wang para pembayar cukai!