Thursday, August 13, 2009

Mengungkap Sejarah sebagai Naratif

Saya sedang membaca novel bertajuk “Tun Perak”. Kisah Bendahara Melaka yang bijaksana, dan kontroversi juga. Novel ini terbitan Tinta Publisher di bawah dana Dewan Bahasa dan Pustaka. Sambil-sambil saya membaca kembali “Lepaskan Kembali Aku Ke Laut Jilid 1” edisi terawal DBP karya Shaari Isa.
Kedua-dua novel ini mengangkat sejarah. Satu, sejarah lama zaman Kesultanan Melaka yang ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin dan satu lagi novel berkisah dalam dekad pancaroba menjelang kemerdekaan. Elok juga musim sambutan kemerdekaan, sambil melaung-laungkan slogan Satu Malaysia yang juga bersempena pelancaran Amanah Saham 1 Malaysia, kita membaca novel-novel sebegini.
Tun Perak, dalam bentuk naratif, terasa lebih mengesankan. Kisah Tun Perak sebagai Bendahara sejak remajanya hingga penghujung usia. Kisah dalam sejarah Melayu ini dihidupkan kembali walaupun ada juga kelemahan garapan yang tidak ketara. Tahniah kepada penulisnya atas usaha sebegini.
Lepaskan Kembali Aku ke Laut pula sememangnya panjang dan memerlukan masa yang panjang untuk membacanya serta menjenuhkan juga. Kisah Kazman, nasionalis Melayu dan juga sisi birokrat British di Tanah Melayu yang menarik untuk ditekuni.
Mengungkap sejarah sebagai naratif satu tugas yang berat namun penuh tanggungjawab. Penulis generasi kini perlu mencontohi usaha sebegini dalam penghasilan karya. Karya-karya yang mengangkat sejarah ini perlu diperbanyak pada masa kini dengan tafsiran segar dan membuka mata. Paling tidak, sumbangan ini dapat membantu pada ketika kekaburan tentang dimensi nasionalisme dan jati diri yang ketika-ketika tertentu dikelirukan.
Saya pernah mengangkat sejarah Pasir Salak dalam dimensi yang tersendiri dalam Versi Aria. Novel ini jarang diperkatakan mungkin kerana bentuknya terlalu kecil dan kehadirannya amat sederhana. Pengalaman mengangkat sejarah ini menarik walaupun memenatkan.
Idea untuk menulis Versi Aria pada tahun 2000 saya peroleh ketika melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak yang mana terdapat replika tombak yang menikam J.W.W Birch dan sebuah tugu peringatan. Juga dua buah Rumah Kutai yang diisi dengan frem-frem penceritaan pembunuhan Birch, kesultanan Perak dan peralatan gambaran budaya terdahulu termasuk senjata, pakaian dan alatan perikanan.
Saya menulis cerpen mulanya dengan tajuk yang sama. Namun cerpen itu tidak lengkap, lalu saya hentikan seketika. Ketika diwartakan Pertandingan Menulis Novel Alaf Baru, saya menulisnya kembali. Saya meminta pandangan Saudara Shahrom T.M Sulaiman ketika itu. Saya bertanya sambil menguji keyakinan diri untuk menyentuh tentang Revolusi Mental dan Malay Dilemma diangkat dalam novel itu. Saudara Shahrom mengatakan boleh saja dengan syarat berhati-hati dengan fakta. Saya terus menulisnya.
Pembacaan perlu luas dan banyak. Maka bersepah-sepahlah buku rujukan yang saya baca. Saya menulisnya dalam tempoh satu bulan setengah termasuk dalam bulan Ramadhan. Dan Alhamdulillah novel itu siap dan telah dua kali ulang cetak oleh Dawama dan diterbitkan oleh DBP.
Benarlah, dalam proses menulis, kita perlu membaca juga. Kadangkala yang dibaca lebih banyak daripada yang ditulis. Mungkin kerja sebegini lebih susah berbanding menulis novel percintaan remaja yang hanya bercerita, bercerita dan bercerita. Mungkin.
Saya telah memulakan draf sebuah novel yang diangkat daripada sejarah. Harap-harapnya menjadi novel yang sempurna satu hari nanti.

1 comment:

Global Excellent Marketing Sdn.Bhd (GEM) www.gemsb.com said...

Salam, Jemput Tn Rumah ke GEM Community ( DIrektori/Forum Perniagaan, Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia) - http://gem.socialgo.com