Friday, October 09, 2009

Satu Malaysia dalam Talentime?

Sudah terlewat untuk memperkata filem Talentime. Namun tidak terlewat untuk memperkata Satu Malaysia (1 Malaysia) sebuah gagasan yang dicetuskan untuk perpaduan dalam serba-serbi dalam negara ini.
Talentime, buah tangan terakhir Allahyarham Yasmin Ahmad sememangnya patut dipuji kerana diolah dengan kreatif, menarik dan mengesankan. Filem ini lebih sopan berbanding Gubra. Subjek yang mudah, tentang persahabatan, kasih sayang kekeluargaan, cinta dan perpaduan dapat diolah dengan berkesan. Namun dalam yang baik itu, tentulah juga ada kelemahan yang terpaksalah direlakan. Terutama soal bahasa. Filem-filem Yasmin tidak pernah mendaulatkan bahasa Melayu. Bahasa dalam filem Yasmin cacamerba, rojak dan tunggang langgang. Ibu dan anak bercakap yang berbangsa Melayu bercampur-campur bahasa Melayu dan Inggeris. Dalam filem ini juga bahasa Tamil banyak digunakan (dialog watak keluarga India), bahasa Cina dan bahasa Inggeris slanga British (keluarga campuran Melayu+Cina+Inggeris) tetapi diindahkan dengan nama Melor, Mawar dan Melati.
Berbalik tentang Satu Malaysia, ada model satu Malaysia dalam filem ini. Namun model ini bukanlah sempurna sepenuhnya. Hanya gambaran tentang Satu Malaysia dapat dilihat. Atau sekadar hiasan yang membuktikan satu Malaysia dalam filem Malaysia, inilah dia. Realiti filem tetaplah filem, dalam realiti hidup realiti dalam filem yang dipaparkan itu hanya berlaku segelintir, dalam keadan yang kecil relatifnya. Selebihnya, masih jauh daripada kenyataan itu.
Tidak dinafikan di sekolah, para pelajar sememangnya bergaul dengan bangsa-bangsa lain. Dan ada ketikanya tidak dilihat ada jurang pemisah dalam pergaulan, persahabatan mahupun pencapaian akademik dan penonjolan bakat tertentu termasuklah bakat seni. Apabila keluar dari sekolah, tanggapan dan rasa itu terus berlangsung dengan baik namun ada ketikanya terselit juga rasa tidak puas dan merasakan perbedaan tetap wujud apatah lagi memikirkan tentang bahasa, agama, kepercayaan dan amalan harian. Ini tidak boleh dinafikan kerana setiap bangsa mempunyai jati diri dan identitinya yang tersendiri yang payah dipadamkan dengan nama gagasan yang tidak menyeluruh dan kabur.Tentang Talentime, kehadiran para pelakon baru seperti Mahesh Jugal Kishor dan Pamela Chong serta Jacquelin Victor dan Howard Hon patut dipuji. Begitu juga dengan Syafie Naswip yang sangat berbakat di samping Harith Iskandar, Adibah Noor dan Mazlina Musthapa. Lagu gubahan Pete Lim juga enak didengar dan sumbangan suara Aizat dan Atilia menambah sentuhan filem ini.

5 comments:

Anonymous said...

apa makna setelah tiada baru namanya diagungkan...al-fatihah buat yasmin ahmad.



kasih ariana..

Anonymous said...

menyentuh mengenai bahasa Melayu, saya ingin meminta pendapat encik mengenai asal-usul bangsa Melayu.. sehingga kini leluhur kita dibayangi dengan pelbagai teori, hingga ada yang mengatakan kita mempunyai kaitan yang agak rapat dengan bangsa Yahudi (hubungan antara isteri2 nabi Ibrahim)rujuk - http://mistisfiles.blogspot.com/2009/03/alter-terahsia-bangsa-melayu-bhg-1.html
apa pandangan encik??
TQ.
abe

ekspresi said...

terima kasih ariana.
saya tidak pernah mengagungkan yasmin. saya hanya menilai filem alllahyarham.

ekspresi said...

terima kasih abe,
perlu berhati-hati dengan dogma pihak tertentu. banyak juga kekeliruan. yang penting, kita mesti ada asas ilmu, banyak belajar dan bijaksana dalam banyak keadaan.

Anonymous said...

talentime sebuah hiasan kehidupan-kehidupan kita yang realitinya terdapat sesetengah masyarakat yang banyak menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan mereka.. sekian.. -shiefpool-