Wednesday, December 16, 2009

Tentang Teater Natrah


Teater Natrah: Antara Garapan Kreatif Imaginatif dan Karya Biografi
Oleh ARIFF MOHAMAD
Mengangkat peristiwa sejarah dalam karya merupakan komitmen yang berat. Namun begitu, ada kelonggaran diberi pada penghasilan teks pengkaryaan jika sesuatu peristiwa sejarah itu dihasilkan dalam bentuk kreatif imaginatif. Usaha ini telah banyak dilakukan sambil menyerahkan pentafsiran makna dan pengajaran kepada khalayak sama ada pembaca ataupun penonton. Sebagai sebuah karya yang berjaya, pancaran kebijaksanaan pemikiran yang dibawa dan sentuhan seni daripada berbagai-bagai sudut seharusnya dapat dikesani.
Teater Natrah diarahkan oleh Erma Fatima dipentaskan dengan gemilangnya di Istana Budaya dari 30 November hingga 9 Disember kemudian disambung hingga 13 Disember 2009 membuktikan teater merupakan medium hiburan yang popular dalam kalangan masyarakat. Apatah lagi kisah Natrah merupakan kisah yang sangat menyentuh serta punya sejarah yang besar dan penting bagi negara ini, Singapura dan Indonesia juga di samping tentunya melibatkan negara Belanda dan Britain yang mentadbir Tanah Melayu ketika itu. Natrah adalah sebuah ikon yang punya keistimewaan sendiri dalam konteks sejarah masyarakat Malaysia, Indonesia dan Singapura dan sebagai kenangan hidup bagi masyarakat yang pernah mengenali Natrah dan manusia-manusia yang rapat dengannya di Chukai, Terengganu dan Singapura.
Maria Hertogh atau Natrah (dalam panggilan bahasa Melayu) atau Nadra (panggilan bahasa Inggeris) ialah anak angkat Che Aminah Mohamad, seorang wanita Melayu peniaga emas yang pernah tinggal di Tjimahi, Pulau Jawa. Keadaan perang dan ancaman tentera Jepun telah menyebabkan keluarga Natrah (ayahnya seorang tentera Belanda) terancam. Apabila ayahnya ditahan oleh tentera Jepun, kesukaran hidup telah menyebabkan nenek Natrah (sahabat dan jiran Che Aminah) menyerahkan Natrah untuk dijaga. Kemudian, Natrah dibawa pulang ke Chukai, Terengganu hingga seorang pegawai Inggeris menyuruh Natrah dibawa ke Singapura. Dari situ, bermulalah konflik yang menghiris ini.
Seseorang pengkarya wajar memilih dua kategori pengkaryaan peristiwa sejarah sama ada dalam bentuk kreatif imaginatif atau bentuk karya biografi. Kisah Natrah boleh dilihat daripada berbagai-bagai-bagai sudut dan keupayaan garapan bergantung pada pengkarya. Isa Kamari pernah menghasilkan novel Atas Nama Cinta yang merupakan karya kreatif imaginatif yang sederhana namun berjaya dan mempunyai sentuhan sendiri. Fatini Yaacob, pengkaji kisah hidup Natrah telah menulis kisah hidup Natrah dalam bentuk biografi bermula dalam majalah Dewan Masyarakat Februari 1989 hingga Mei 1989. Kini, tulisan lengkap tentang Natrah telah dibukukan dan diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia.
Peristiwa yang berlaku hampir 60 tahun dahulu seharusnya dilihat daripada perspektif yang tersendiri dan penuh sedar. Masyarakat Islam tentunya amat tersentuh apabila mengetahui Natrah menghabiskan hidupnya dalam agama Kristian seperti yang digambar dalam teater ini. Perubahan agama ini tidak pula dipastikan secara kerelaan Natrah sendiri (yang ketika itu bersia 13 tahun) ataupun dipaksa sebaik sahaja dibawa ke Girls Home di Singapura dan dijaga oleh Mother St. Columbia.
Sisi kemanusiaan dalam peristiwa benar mahupun sebagai teks kreatif, selalunya diberi perhatian sebagai unsur didaktif. Terlalu banyak manusia yang memberikan nilai kemanusiaan yang cukup tinggi dalam kisah Natrah ini. Tentunya Che Aminah dan Mansor Adabi dan manusia-manusia lain seperti kawan-kawan baik Che Aminah, peguam Ahmad Ibrahim, M.A Majid dan juga nasionalis Sardon Jubir dan Burhanuddin Helmi. Dalam teater ini watak-watak dipaparkan hanya sebagai watak sampingan (kecuali Che Aminah) dan paparan tentang perjuangan dan semangat nasionalisme mereka hanya pada aras yang dasar semata-mata. Masyarakat di Chukai pada awal kehadiran Natrah di Kampung Air Putih juga digambar secara bersuka-suka dan tari-menari. Malahan, watak Kamariah, seorang lagi anak angkat Che Aminah yang merupakan seorang anak Jepun langsung tidak dipaparkan.
Pemilihan karya dalam bentuk biografi mempunyai risiko tentang fakta dan kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang sebenar pada watak. Dalam teater ini, dikesani unsur biografi ditekankan namun begitu kreatif imaginatif yang diharapkan di dalamnya menjadikan karya ini berterabur dan dipersoalkan. Persoalan di sini bukanlah tentang hidup Natrah itu sendiri kerana peristiwa sebenar telah lama berlaku. Masyarakat hari ini hanya melihat dan menjadikannya pengajaran dalam keadaan tidak boleh berbuat apa-apa tindakan daripada segi undang-undang syariat mahupun undang-undang sivil. Semuanya telah terjadi dan tidak perlu menyalahkan sesiapa lagi. Semua peristiwa itu hanyalah pengajaran agar masyarakat sedar bahawa Natrah pernah wujud bukan sahaja di pentas sandiwara tapi dalam realiti.
Monolog Natrah ketika usia tua pada awal dan akhir teater ini terasa mengganggu keseluruhan kisah Natrah. Sesiapapun tidak mengetahui ajal maut dan agama apa akhirnya seseorang manusia. Ini soal akidah dan rahmat yang Maha Kuasa. Dalam teater ini dipaparkan kebersalahan rasa dalam diri Natrah. Wajarkah begitu sedangkan Natrah terhantar dalam kemelut ini bukan atas kehendaknya. Tangan-tangan penjajah yang begitu membenci agama Islam dan membodohkan masyarakat yang dijajahnya yang menyebabnya terjadi demikian. Meletakkan patung di pentas, imej gereja dan salib yang besar membuatkan penonton yang beragama Islam berasa tidak selesa sambil menanyakan apa perlunya itu digambarkan. Sebagai persepsi dirasakan penting dan besarnya agama Kristian itu bagi Natrah daripada agama Islam yang diletakkan sebagai set pada monolog akhirnya.
Kesudahan yang malang dan gagal bagi pejuang Melayu, bagi agama Islam cukup ketara dalam teater yang dihasilkan oleh karyawan Melayu dan beragama Islam ini. Realiti adalah realiti namun subjek yang dipaparkan tidak kreatif dan tidak mengambil kira sensitiviti. Gambaran pejuang-pejuang yang bersorak di luar mahkamah sambil melaungkan ‘Natrah Islam’ dilihat terlalu bersahaja bagi sebuah perjuangan agama yang sebenar. Selain itu, tragedi rusuhan di Singapura 1950 menyebabkan 18 orang terbunuh dan 173 orang tercedera seharusnya diberi perhatian lebih khusus tentang perjuangan orang-orang Melayu ketika itu. Kesungguhan M.A Majid mengutip derma mengelilingi kota dan kampung juga tidak dipaparkan.
Keberkesanan teater ini adalah watak Che Aminah (Umie Aida) dan watak Adeline (Samantha Schubert). Kedua-dua berperanan dengan berkesan. Walaupun dalam keadaan sebenar Che Aminah tidak bercakap seperti Umie Aida, dapat dirasakan jiwa watak yang luruh dengan kekecewaan tindakan undang-undang yang dikuasai penjajah. Kasih sayang yang tinggi telah dikorbankan. Begitu juga dengan nilai agama yang hanya dapat diserahkan pada Allah Maha Pencipta. Dari sisi Adeline pula, kesilapannya dapat ditebus kerana kuasa kolonial. Dia dapat membawa pulang Natrah namun dalam realiti, dia gagal menjadikan Natrah sebagai anak yang patuh dan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepadanya.
Watak Natrah (Maya Karin) digambarkan periang dan gemar bermain. Tidak pula digambarkan tentang minatnya terhadap Islam. Dalam keadaan tertentu, watak ini berjaya diperanankan dengan baik terutama pada babak-babak klimaks. Dalam suasana romantik pula, watak Natrah dilihat berlebih-lebih sedangkan ketika perkahwinan itu dia berusia 13 tahun. Watak Mansor Adabi (Remy Ishak) pula, lebih banyak dipaparkan gelora cinta dan kecewanya kehilangan Natrah tetapi tidak pada agama dan tanah airnya.
Alunan muzik dalam teater ini sama seperti teater muzikal yang lain. Unsur tari-menari masyarakat kampung dan suasana Natrah berangkat ke Singapura seperti sebuah filem yang penuh dengan kelunakan lagu mendayu dan visual imaginasi. Sesekali lagu-lagu mirip irama Bollywood yang menggunakan instrumen moden yang menenggelamkan suasana tahun 1950-an. Kelincahan para penari, termasuk para penari di gereja dengan memakai salib membuatkan sesetengah penonton mengerutkan kening.
Demikianlah teater Natrah daripada sisi biografi dan kreatif imaginatif yang bercampur-campur. Ada kekuatan daripada sisi-sisi tertentu dan ada garapan yang berterabur dan tidak sesuai. Natrah adalah kisah penting dalam masyarakat kita. Terlalu banyak yang boleh kita pelajari daripada Natrah, bukan kisah cinta semata-mata.

4 comments:

Anonymous said...

emmm..saya setuju dgn komen en ttg teater tu..terutama pemakaian salib n tidak memakai tudung semasa baca al-Quran..saya kurang setuju sedikit masa bab nie..sepatutnya pengarah lebih peka kan..

Rahimidin Z said...

Nak peka apa kalau dah pekak.

ekspresi said...

terima kasih atas pandangan anonymous dan sdr rahimidin.

DrZackiey said...

Dalam membincangkan Natrah, isu yg berkaitan bukanlah boleh hanya dilihat apa yg tersurat tetapi kita kena melihat apa yg tersirat.

Dengan kata lain, bahawa sekedar melihat ia sebagai peristiwa sejarah, percintaan dan airmata semata-mata tidak akan banyak memberikan kita pelajaran.

Walhal, sekiranya kita selidiki bhw peristiwa berkenaan sebenarnya berkait rapat dg kolonialisma, patriotisma, agama, dan pertembungan budaya.

Malah sosio ekonomi, strata sosial, kefahaman mengenai undang2, kedaulatan raja2 serta pelbagai perkara yg tidak dpt diulas panjang lebar di sini.