Bahasa ialah bunyi-bunyi vokal yang digunakan dalam ujaran atau lambang-lambang tertulis dari bunyi-bunyi vokal itu. Bahasa juga adalah alat komunikasi yang digunakan dalam lingkungan kelompok manusia tertentu. Bahasa, dalam pengertian lain juga adalah sopan santun atau tingkah laku yang baik. Malahan, dalam budaya Melayu, orang yang tidak berkelakuan baik atau bertingkah laku tidak sopan dianggap ‘tidak reti bahasa’.
Sememangnya bahasa itu bersifat arbitrari atau wewenang, bebas dan terbuka serta dapat diubahsuai dengan situasi dan keadaan. Bahasa, dari sisi untuk tujuan komunikasi lisan bersifat informatif, perlu jelas dan tepat. Ini penting untuk memudahkan maksud ujaran dapat difahami, apatah lagi dalam situasi pengamal tidak mahir bahasa tertentu. Contohnya, apabila ada pelancong dari luar negara yang ingin berbahasa Melayu, kesalahan, kesilapan, dan kesalahgunaan istilah tertentu tidak menjadi masalah. Yang penting maksud yang ingin disampaikan dapat difahami.
Daripada contoh di atas, seorang pelancong dari negara luar menggunakan bahasa Melayu yang salah dan lemah boleh dimaafkan malahan patut dibanggakan kerana daya usaha pelancong itu untuk menggunakan bahasa Melayu, bahasa yang asing sekali penggunaan baginya. Dalam suasana yang sama seperti demikian jika dilakukan oleh rakyat tempatan yang mahir malah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Bahasa Melayu di sekolah, apakah kesalahan penggunaan bahasa itu boleh dimaafkan?
Kesalahan bahasa sebagai komunikasi berbentuk tulisan turut berlaku. Komunikasi tulisan dalam media seharusnya bersifat betul daripada segi peraturan bahasa (tatabahasa) dan nahunya di samping memenuhi tugas komunikasi itu iaitu tepat, jelas dan difahami. Mari kita lihat beberapa penggunaan bahasa Melayu oleh orang Melayu melalui blog terutama blog peribadi.
Agak menyedihkan, ada dalam kalangan orang Melayu yang bangga sekali menggunakan bahasa Melayu yang salah dalam blog mereka. Kesalahan itu bukan kerana mereka tidak tahu tetapi mereka sengaja demi kebanggaan akan perbuatan merosakkan bahasa itu. Mungkin dalam sistem pesanan ringkas (SMS) boleh dimaafkan selain sifatnya peribadi dan tujuan untuk berhubung dan cepat untuk menaip pada kekunci telefon. Tetapi, sampai bilakah kita asyik memaafkan sahaja kesilapan yang kita lakukan sendiri?
Kesalahan bahasa juga amat ketara di radio dan televisyen. Juruhebah atau penyampai radio terutama radio swasta pada hari ini sangat bebas berbahasa secara langsung terus kepada penonton. Kebebasan berbahasa ini bukan sahaja menunjukkan banyak kesalahan tetapi memperakukan bahasa yang kurang ajar, diselangi hilai tawa yang sangat memualkan. Keadaan ini juga berlaku dalam dialog-dialog beberapa siri lawak jenaka di televisyen serta beberapa siri drama, sitcom, telefilem dan filem cereka.
Bahasa berkembang seiring dengan kebudayaan sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang berkembang dengan ketamadunan yang bijaksana amat dipengaruhi oleh bahasanya. Pemikiran yang baik juga dipengaruhi oleh tanggapan dan penguasaannya terhadap sesuatu bahasa. Jika orang Melayu ingin menjadikan tamadunnya unggul, setiap orang Melayu itu seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Akhir sekali, saya ingin tanyakan , jujurkah kita bahawa sebenarnya kita menyayangi dan menghargai bahasa Melayu?
No comments:
Post a Comment