Saya tidak selalu menonton teater. Setahun sebuah atau dua sahaja. Saya tiada masa, sebagai alasan untuk menyedapkan hati sendiri. Minat terhadap teater semakin pudar, kerana teater Malaysia yang telah memudarkannya. Penggiat teater tidak perlu marahkan saya. Jika mahu marah saya, marahlah semua orang yang berpandangan seperti saya. Saya menyatakan di sini, bahawa teater Malaysia telah pudar dan memudarkan. Mungkin, orang lain juga berpandangan sedemikian tetapi mereka tidak menyatakan di sini.
Pudar yang saya maksudkan dari segi skrip atau cerita yang baik dalam teater Malaysia. Dalam tempoh lima tahun terakhir (2005-2010) pementasan teater di Istana Budaya banyak menampilkan teater muzikal yang tidak termasuk konsert penyanyi dan komposer tempatan atau luar negara. Ada usaha menampilkan bangsawan seperti Bangsawan Naga Tasik Cini dan kisah klasik Seri Mersing, namun masih berbaur muzikal dan menampilkan penyanyi dan pelakon televisyen sebagai watak utama.
Konsep drama sebagai seni yang di dalamnya terangkum falsafah seni gerak, seni lakon, bahasa dan pengucapan estetika telah kurang terasa dalam teater-teater Malaysia sekarang. Ini pernyataan umum tanpa perincian setiap satu yang dinyatakan di atas. Percaya atau tidak, eloklah direnung dan difikirkan.
Bahasa dalam teater Malaysia sama dalam bahasa dalam filem. Malahan istana budaya pun sangat berminat dengan filem-filem untuk diteaterkan seperti yang telah dilakukan sebelum ini. Antaranya pementasan teater muzikal Impak Maksima dari filem Impak Maksima (sebutan yang betul Maksimum), Terima Kasih Cinta (Cinta), Cuci (Cuci The Movie) dan banyak lagi.
Pelakon-pelakon Malaysia tidak dilatih untuk berlakon teater dengan baik. Sebaliknya dilatih untuk berlakon di televisyen malah ada yang kaku macam kayu pun mahu berlakon dalam televisyen dan filem. Tidak seperti tahun-tahun 70-an dan 80-an yang mana asas lakonan yang mantap bermula daripada teater. Ini dapat dibuktikan dengan nama-nama besar dalam lakonan seperti Rahim Razali, Ahmad Tarmimi, Dr. Samat Salleh, Khalid Salleh, Fauziah Nawi, Wan Hanafi Su, Eman Manan, Nasir Bilal Khan dan lain-lain bermula dengan teater. Kita tidak hairan mereka sentiasa mempamerkan lakonan yang baik kerana asas lakonan yang mereka miliki sudah mantap.
Pada hari ini, keadaan menjadi terbalik apabila pelakon-pelakon drama dan filem diambil. Pelakon ini tidak perlu susah-payah dengan vokal dan aksi kerana teknologi pembesar suara digunakan dan muzikal yang membantu gerakan. Berbeza sekali dengan sebelum majunya teknologi, apabila setiap pelakon perlu mengujarkan dialog atau monolog tanpa pembesar suara di pentas. Jadi, pada masa ini, sesiapapun boleh berlakon teater tidak kiralah dia pelakon televisyen, pelakon filem, penyanyi, pengacara mahupun menteri.
Gambaran tentang masyarakat Melayu yang realistik sudah kurang malahan tidak ada lagi dalam teater Melayu. Mungkin Istana Budaya atau produksi penerbitan teater Malaysia sudah lupa akan Tamu di Bukit Kenny, Atap Genting Atap Rumbia, Tok Perak mahupun Cindai. Mereka sudah lupa karya-karya ini ataupun mengambil sebuah karya yang sebegini untuk dipentaskan. Sebaliknya mereka mengangkat tokoh-tokoh politik untuk dikisahkan dalam bentuk muzikal. Tokoh-tokoh politik ini pula dikisahkan yang baik-baik sahaja untuk mengambil hati. Dari segi prinsip sebuah kerja seni yang jujur, pengisahan begini tidak sesuai dinamakan teater, mungkin hanya sebuah lakonan biografi ataupun dokumentari.
Keunggulan teks Melayu mempunyai kesendirian dan keistimewaan. Dalam Sejarah Melayu ada berpuluh-puluh kisah yang menarik dijadikan teater. Dalam Hikayat Hang Tuah juga dan beratus-ratus hikayat Melayu lama yang mempunyai pengisahan yang menarik. Pilihlah yang mana sesuai, buangkan yang tahyul-mahyul. Ambillah inti lalu garapkan dalam dimensi yang segar dan kontemporari ataupun mengadaptasi secara kreatif dan bijaksana.
Dalam teks moden juga, banyak yang boleh diadaptasi. Hari-hari Terakhir Seorang Seniman misalnya menarik untuk diangkat yang menggambarkan sosiobudaya Melayu. Interlok yang heboh dengan perkataan paria itu juga menarik untuk diangkat dalam multisegmen rakyat Malaysia. Apatah lagi yang mengungkap persoalan politik dalam novel-novel zaman pertengahan Shanon Ahmad ataupun mengangkat semula zaman awal pengkaryaan Shahnon tentang masyarakat petani manakala pada zaman hujung tentang mahabbah insaniah. Begitu juga dimensi aneh dan tidak logik tetapi bijaksana seperti dalam Naratif Ogonshoto. Itu tidak lagi membuka persoalan yang satira dalam karya-karya Pak Sako, realisme dalam A.Samad Ismail, keampuhan Melayu dalam karya Arenawati, jatidiri Melayu dan Islam dalam novel Mohd Affandi Hassan, falsafah perjuangan individualiti dalam cerpen S.M Zakir, kesyahduan femenisme dalam novel Fatimah Busu, malah yang lebih moden Islamisasi dalam novel Zaid Akhtar, Azman Ahmad Al-Kurauwi ataupun Siti Munirah A.Rashid. Ini adalah contoh yang sempat saya fikirkan. Ada banyak lagi yang boleh diangkat dalam teater Melayu jika berhasrat mengambil teks Melayu tradisional dan moden sebagai premisnya.
Peranan ini seharusnya diambil oleh lulusan bidang penulisan terutama skrip daripada institusi pengajian tinggi ataupun akademi milik kerajaan atau swasta. Naskhah-naskhah Melayu ibarat ruyung yang di dalamnya terdapat sagu yang berguna. Pecahkan ruyung ambillah sagunya. Bukan mengambil sagu milik orang lain.
2 comments:
Menarik. Syabas atas artikel yang ditulis.
- Anak Waris/resam-melayu.com
terima kasih.
Post a Comment