Tuesday, June 07, 2011

Sang Pemimpi dan tentang mimpi-mimpi

Saya baru sahaja menonton filem Sang Pemimpi, buah tangan terbaharu Riri Reza. Sang Pemimpi adalah sekuel Laskar Pelangi, Andrea Hirata. Filem ini keseluruhannya menarik. Sinematografi yang dimainkan oleh Riri Reza boleh dipuji malah jauh lebih baik berbanding filem samseng Malaysia sehari dua ini. Entahlah kenapa dalam fikiran produser dan pengarah filem di Malaysia selalu mengangkat subjek asing seperti samseng yang keterlaluan dan hantu-hantu serta kejahatan yang melampau. Apabila Sang Pemimpi membawa subjek kemanusiaan, pentingnya pendidikan, ilmu, kebijaksanaan, cita-cita, impian dan kasih sayang, saya dapat kesani bahawa unsur-unsur itu dalam filem Melayu mutakhir ini sangat kurang malah boleh dikatakan tiada. Bukan mahu memuji karyawan Indonesia secara keterlaluan, tetapi segelintir mereka nampaknya memahami sebuah filem yang baik, memahami kreativiti dan memahami bahawa seni itu seharusnya dekat dengan jiwa masyarakat. Saya tidak nampak apa dekatnya filem Kongsi dalam jiwa anak-anak muda kita. Juga tidak dapat membayangkan apa yang seharusnya difahami dan dikesani dalam filem KL Gangster (judulnya seperti tiada idea, hanya mengambil judul daripada filem Bade Azmi, KL Menjerit dan Gangster).
Sang Pemimpi berbicara tentang kemanusiaan, tentang cita-cita. Filem ini bukanlah sempurna. Terdapat kelemahan sana-sini. Antaranya gambaran Paris hanya pada kata-kata dan peta. Paris sebenar tidak ditunjukkan dalam filem ini. Mungkin secara metafora, Paris tidak perlu digambarkan melainkan hanya cita-cita yang diperkatakan.
Filem ini sewajarnya menjadi pilihan untuk ditonton. tontonlah filem ini sambil menanyakan tentang mimpi-mimpi tentang filem-filem Melayu.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Arif,
Apa khabar sekarang?
Semoga terus berjaya, ceria dan teruskan update blog.

Kawan lame:
-Fadz.

ekspresi said...

salam fadz. terima kasih.