Thursday, July 12, 2007

Seminar Mengajar Belajar BM

Makluman Seminar. Marilah datang!
Seminar bahasa Melayu kali ke-3
Oleh Shaidah Shafie
SEMINAR Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Kali ke-3 2007 yang bertujuan berkongsi kepakaran pelajaran Bahasa Melayu dengan guru Bahasa Melayu di seluruh negara akan berlangsung di Auditorium, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), pada 28 dan 29 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kertas Kerja dan Prosiding, Nik Hassan Basri Nik Ab Kadir, berkata penganjur turut diharapkan memberi pendedahan kepada masyarakat pendidik mengenai Kemahiran Bernilai Tambah dan cadangan bagi melaksanakannya dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).“Kami juga berharap Jabatan Bahasa Melayu Upsi akan menjadi pemimpin dalam bidang P&P bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah dan menengah di Malaysia serta lebih banyak forum diadakan bagi membolehkan pensyarah dan penyelidik menggembleng tenaga demi melestarikan bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi Sastera.Sehubungan itu, 22 kertas kerja akan dibentangkan 24 sarjana pada seminar bertema Kemahiran Bernilai Tambah dan dua ucap utama, Kemahiran Bernilai Tambah oleh Prof Dr Abdul Hamid Mahmood serta Kajian Masa Depan oleh Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan.Antara kertas kerja yang akan dibentangkan pada seminar terbabit ialah Mempelajari Aspek Tatabahasa Melalui Komputer, Hubungan Antara Konsep Diri Murid Dengan Kemahiran Komunikasi, Kemahiran Belajar Menerusi Mendengar Dengan Berkesan, Penggunaan ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu dan Kemahiran Berfikir Dan Kreativiti: Kewajarannya Dalam Pengajaran Bahasa.Nik Hassan Basri berkata, yuran penyertaan RM 200 dikenakan untuk pembentang luar, peserta luar seperti Jabatan Pendidikan Negeri/Sekolah (RM200), pelajara luar Upsi (RM100) dan pelajar Upsi (RM70) dan dibayar atas nama Bendahari UPSI, Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Kali ke-3 2007.“Maklumat lanjut mengenai seminar ini, hubungi saya di talian 05-4505340, 016-9716033 atau faksimile 05-4583603 atau e-mel kepada nhb@upsi.edu.my,” katanya.

Monday, June 25, 2007

Sebuah Puisi tentang Kehilangan

Poetri Kehilangan Pahlawanku
(Alfahihah. Mengenang ayahanda yang kembali ke rahmat Allah pada 25 Mei 2007)

aku hilang suara seketika
pahlawanku telah pergi
tak tertangguh sesaat pun
apabila tiba waktu janjinya
pahlawanku tetap pergi

jemari kugenggam dalam wajah senyum
pergimu dalam kesempurnaan
yang dihadiah berkah kuasa Allah
dalam syahdu alam tersembunyi
kuamati wajahmu, kuresapi kasihmu
kenangan, biarpun nanti menjauh
kau kukuh abadi di hatiku

ketabahan yang kau ajarkan
kasih yang kau limpahkan
tanggungjawab yang kau asaskan
ilmu yang kau utamakan
ihsan dan iman yang kau ingatkan
disiplin yang kau tegaskan
prinsip diri yang kau kiaskan
rupa-rupanya menjadikan aku lebih
menjadi daripada yang kau sangkakan

ayahanda,
pahlawan di hatiku hanya satu
adalah dirimu
dalam diriku, ada kekuatanmu.

ARIFF MOHAMAD

Monday, May 21, 2007

Blog, Blogers & Bolognise


Ini catatan biasa. Catatan yang bukan marah siapa-siapa, bukan salahkan siapa siapa. Ini catatan biasa.
Sabtu,
Aku hadiri satu majlis diskusi yang dahulu dinamakan dialog pinggir yang membincangkan tajuk Sastera Underground vs Sastera Islam. Tajuk ini hanya untuk tarikan audien dan tiada apa yang boleh dibanggakan daripada dapatannya. Tarafnya lebih baik daripada sembang-sembang. Namanya dialog, tiada kertas kerja dan bolehlah pakai t-shirt dan bersilang kaki di depan khalayak.
Bagus juga tajuk yang begini, sekurang-kurangnya dapat menarik perhatian audien untuk hadir. tidaklah seperti tajuk yang terlalu klise dan sterotaip seperti "Masa Depan...." , "Ke arah...." "Menuju..." yang bunyinya seperti sebuah kempen dan manifesto pilihanraya.
Tetapi aku lebih suka hadir dalam majlis begini, selain tambah maklumat dan tengok perangai orang ialah dapat jumpa kawan-kawan seangkatan.

Aku dapati semakin banyak blog dibina oleh penulis-penulis. Bagus sekali. Blog adalah seperti rumah kecil yang khas untuk menyimpan dokumen, catatan, diari, bahan ilmiah, maklumat atau paling sedikit kata-kata mudah atau apa sahaja walaupun sekeping gambar untuk kita sendiri dan jika dikunjungi, dibaca dan diulas amatlah baik dan berterima kasihnya tuan rumah. Blog juga perlu untuk medan berhujah dan berpolemik tetapi siapa yang mahu ambil tahu kalau hal itu remeh dan kecil puncanya. Menulis blog nampak mudah namun perlu juga perhatian dan tumpuan masa walau sedikit (kadang-kadang lama juga). Aku teringat kata-kata Jimadie ketika aku mula-mula membina blog dulu, katanya, menulis blog seperti berlari marathon. Ya, aku setuju.

Hari yang lain,
Aku menikmati spageti bolognise dengan rasa yang sentimental.

...dan aku ingin menulis cerpen seperti tajuk ini, "blog, blogers dan bolognise" dengan ingatan dalam diri aku aku tak mahu marah sesiapa, tidak mahu salahkan sesiapa, tidak mahu sindir sesiapa.

Friday, May 18, 2007

Catatan Hari Guru

Saya terima banyak pesanan ringkas melalui telefon (sms) daripada kawan-kawan. Ada yang menghantar sebagai balasan (yang saya mulakan ucapan) dan ada yang memulakan ucapan (lalu saya balas). Ada juga yang saya hantar tetapi agaknya terlupa untuk membalas.
Ada sms yang saya terima mengatakan saya bukan lagi guru, tidak perlu ucap dan sambut Hari Guru. Namun maksud 'guru' dan 'cikgu' itu apa agaknya. Menyebut hal ini dapatlah dibayangkan di kalangan guru-guru masih keliru dengan makna konotatif dan fitur aplikasi bahasa dan budaya.
Guru bukan sahaja yang mengajar di sekolah-sekolah, tetapi ustaz-ustaz yang mengajar kita Muqaddam, Al-Quran, tajwid di surau dan masjid juga guru. Guru bukan sahaja yang masuk ke kelas, berkemeja dan bertali leher, seseorang yang menegur dan memantau kita juga seorang guru, termasuklah abang dan kakak kandung.
Saya, secara peribadi cukup bersyukur kerana pernah menjadi guru, dan sekarang saya tetap beranggapan saya seorang guru walaupun tempat dan suasana bukan di sekolah.
Ketika mengajar di sekolah dahulu, saya antara guru yang mendapat banyak hadiah pada Hari Guru. Saya sendiri tidak tahu mengapa, saya adalah antara guru yang disenangi pelajar-pelajar saya. Mungkin kerana saya mengajar dengan menarik, saya tidak terlalu garang dalam kelas ataupun teknik pengajaran saya tidak membuatkan mereka mahu tidur. Bayangkan, saya juga seorang guru disiplin, ketua panitia dan guru kelas. Di kelas, saya seperti guru yang lain, menyediakan jadual bertugas kepada pelajar-pelajar dan menghias kelas juga termasuk menggantungkan langsir warna pink untuk mereka. Waktu yang sama, sebagai guru disiplin, saya sesekali bertindak sebagai 'polis' dan menyelesaikan beberapa 'kes' tidak kira kecil atau besarnya dan kadang-kadang mengancam nyawa. Waktu yang sama juga, saya menguruskan jawatankuasa peperiksaan dan panitia Bahasa Melayu yang sentiasa memerlukan laporan, aktiviti dan pemantauan serta kursus dalaman.
Namun semua itu saya jalani dengan selesa walaupun sesekali ada rungutan dan desah hati yang terlepas dan banyak yang saya pendam.
Dalam sebuah novel saya, melalui watak Azie ada saya tulis (yang dimudahkan jadi begini): "Aku sudah merasakan manis dan masamnya menjadi guru."
Kepada semua guru dan wajar digelar guru, saya ucapkan Selamat Hari Guru. Guru sesekali seperti "kandil kemerlap di malam gelap" membakar diri menerangi orang lain. Namun pada zaman ICT ini, "guru adalah lampu kalimantang, menerangkan yang lain sambil menerangi diri sendiri."

Friday, May 11, 2007

Buku Baru di Mejaku


Siddharta, 2007 (BM)

Novel karya pemenang Hadiah Nobel Sastera dari Jerman, Hermann Hesse
Terjemahan Melayu dari karya asli Jerman
Telah diterjemahkan ke 52 bahasa
Lebih 7,000,000 naskah telah dijual di seluruh dunia
Merupakan bahan bacaan wajib di sekolah Jerman

Friday, May 04, 2007

Lagi Cerita di Pesta Buku

Gerai PTS,
Saya jumpa Puan Ainon. Saya sudah banyak kali jumpa buku-buku terbitan PTS di luar. Dan kadang-kadang saya pesan daripada taukenya sendiri, Prof. Abdullah. Sempat saya memperkata novel Laskar Pelangi, Andrea Hirata (Indonesia) yang diterbitkan oleh PTS. Saya katakan novel ini 'touching', menarik dan jujur. Puan Ainon bersetuju dan beliau kata ramai yang berpendapat demikian.
Novel ini novel dewasa tetapi pendekatannya kanak-kanak. Novel ini bercerita dengan gaya yang bersahaja namun berkesan dan seperti yang saya katakan tadi, menyentuh. Novel ini mendapat sambutan yang menggalakkan di Indonesia dan di Malaysia, menurut Puan Ainon, sudah habis untuk cetakan pertama.
Saya terfikir, betapa jika menggunakan pendekatan yang sesuai, gaya yang menarik, kreatif, hasilnya sangat memuaskan hati.
Dan saya terfikir lagi, banyak pengalaman kecil yang perlu diceritakan menjadi novel.
Gerai Cerdik Publication,
Saya tunjukkan Rita '20 pada jurujual. Saya tanya, "Novel ini laku tak?"
Dia senyum, "Biasa saja", jawabnya.
Saya berkata dan bertanya lagi, kenapa tidak dipromosi dengan baik, kenapa tidak dibuat poster besar-besar. Dia jawab syarikat lebih fokus buku sekolah. Itu lebih laku dan suka dibeli.
Saya tanya kenapa editor tidak datang?
Kenapa penulis-penulis tidak dijemput. Khadijah Hashim ada menulis, Siti Jasmina, Alias Ismail dan lain-lain.
"Saya tidak tahu", jawabnya.
Dia bertanya saya kenapa tanya itu ini.
Saya jawab, "Ini novel saya."
Dalam hati saya, "Memang susah untuk kaya jika menulis novel macam ini."

Thursday, May 03, 2007

Inilah Puisi Kesunyian Seorang Ayah

aku dapat menangkap dan membaca kesunyiannya
tidak sama dengan kesunyianku
ya, benar.

dia sunyi kasih sayang
aku sunyi inspirasi
dia sunyi suara-suara
aku sunyi kreativiti.

dia seorang ayah
aku pun.

ayahku terbaring lemah hari ini
aku hiba
tubuhnya kering
batuknya,
oh, Tuhan
aku sebak.

entah kenapa
kesunyian terasa makin dalam
makin dalam
dalam.

puisi spontaneus ariffmohamad,
pagi ini, ketika ini.

Pesta Buku

Isnin, 30 April.
Saya ke Pesta Buku Antarabangsa KL 2007. Pagi-pagi sudah sampai. Mungkin kerana hari Isnin, pengunjung tidak seramai hari Sabtu atau Ahad.
Pesta Buku, acara tahunan yang tidak pernah saya lepaskan. Dahulu naik LRT dari Bandar Tun Razak atau komuter dari Kajang ke PWTC. Balik bawa beberapa beg plastik penuh dengan buku.
Kali ini lain. Kali ini saya tidak banyak membeli buku. Entah. Keghairahan tak ada. Buku baru tidak banyak yang menarik minat. Mungkin ada yang telah dibeli atau sememangnya buku baru tidak banyak. Atau saya hanya melihat dari bidang yang saya minat atau selalu perhatikan sahaja, buku itu-itu sahaja sedangkan dalam bidang lain banyak, agaknya.
Ya, pesta buku kali ini terasa sedikit sunyi. Mungkin sememangnya sunyi, gerai tidak sebanyak tahun lepas, pengunjung tidak ramai, atau kerana hari Isnin, atau kerana aku sememangnya sunyi.
Sempat lihat sepintas lalu perasmian karya digital (karyanet) DBP, selintas dengar ceramah Dr Awang Sariyan di pentas utama, angkat tangan dari jauh dengan Marsli N.O, berbual-bual seketika dengan Rahimidin dan Shamsuddin, terserempak kawan lama di kolej di Pulau Pinang dahulu, makan tengah hari dengan Encik Mazlan (Media Publishing).
Pulang segera, lebih kurang jam 3.30 petang, ayahanda kurang sihat. Dan terus ke Kampung Gajah, Perak petang itu juga.

Friday, April 20, 2007

Nadra yang Luka


Membaca Atas Nama Cinta (ANC) adalah satu pengalaman yang menarik. Secara peribadi, saya memang ingin menulis novel tentang sejarah Natrah / Nadra (Maria Hertogh) yang melibatkan empat negara. Baru-baru ini saya terjumpa novel ANC ini, dan agak gembira juga peristiwa ini telah dinovelkan.

Peristiwa Natrah adalah peristiwa sejarah politik dan keagamaan yang dianggap sensitif. Maka, banyak pihak yang tidak begitu memfokuskan walaupun isi dan pengajarannya sangat penting. Suatu ketika dahulu, majalah Dewan Masyarakat ada mengangkat isu ini sebagai fokus utama untuk empat keluaran berturut-turut. Jika tidak silap, wartawan yang melakukan liputan dan penyelidikan tersebut ialah Fatini Yaacob. Bagi saya itu adalah antara dokumen tentang Natrah yang penting.

Sedikit tentang Natrah: Dia gadis Belanda yang dibesarkan oleh keluarga Melayu setelah diserahkan sebagai anak angkat dan memeluk Islam. Kemudian setelah awal remaja, keluarga kandungnya ingin menuntut semula. Ini melibatkan soal mahkamah. Akhirnya, Natrah kembali ke negaranya. Ini kisah pilu sebenarnya. Juga mencabar keutuhan tradisi kita, kemantapan institusi perundangan agama kita, dan juga keyakinan serta jatidiri politik kita.

Peristiwa Natrah telah diabadikan oleh Isa Kamari (jika tidak silap inilah novel berbahasa Melayu yang pertama tentang Natrah). Isa, seorang penulis dari Singapura yang telah memenangi Sea Write Award pada tahun 2006. Kesungguhan Isa menghasilkan novel ini patut dipuji. Dan tambah menarik, sebuah CD yang mengandungi tiga lagu puisi dendangan Isa dan kawan-kawannya (kumpulan Sirrfillsirr) dikepilkan bersama-sama novel. Lagu-lagu puisi ini tidak mengecewakan. Tahniah Saudara Isa Kamari.

Saya telah menghubungi Isa melalui emel tentang novel ini. Dan beliau membalas:
syukran kerana telah membaca anc. sebenarnya ketika menulis anc, tumpuan saya adalah untuk menggambarkan cerita tersebut seadanya, tanpa banyak intervensi kerana kisahnya memang sudah sangat dramatik dan romantis. saya telah berusaha menggunakan bahasa yang termudah agar dapat digarap lebih ramai pembaca. malah saya mencuba juga untuk menghapuskan batasan di antara karya 'sastera' dan karya 'popular' kali ini. setelah berenang dalam lautan sastera selama 30 tahun, saya semakin berasakan batasan itu sebenarnya adalah 'palsu' yang hanya direka-reka bagi kepentingan golongan tertentu.lebih ramai pembaca harus dapat menelusuri pemikiran sasterawan. jika sasterawan 'terperangkap' dalam dunianya sendiri, pembaca tidak akan dapat mengakses pemikirannya. salah satu cara mendekati pembaca ialah dengan menghapuskan batasan tersebut. hamka berjaya dalam pendekatan ini, saya fikir.sekadar menambah.....semoga dapat direnungkan bersama.
salam
isa
www.isakamari.com
labirin maya sasterawan nusantara
SUKMAISA CONCEPT POWERHOUSE

Wednesday, April 18, 2007

Bahasa Melayu Samudera


Bagi saya, buku ini sangat penting. Buku ini melihat sejarah penyebaran dan perkembangan bahasa Melayu di beberapa tempat seperti di Kepulauan Cocos, Pulau Christmas, Australia Barat, dan Australia Timur.

Kita dapat menerima hakikat bahawa bahasa mempunyai kaitan rapat dengan perihal budaya, adat resam, juga kesusasteraan, kesenian dan lebih penting dalam hal komunikasi. Buku ini menyelongkar penyebaran dan kemantapan bahasa di tempat-tempat yang dinyatakan di atas dalam pelbagai sisi dan dapat bertahan lebih seratus tahun, di Kepulauan Cocos terutamanya.

Buku ini menjelaskan bagaimana orang Melayu (dari alam Melayu) merantau ke wilayah baru seperti di Australia lantas dapat mempertahan bahasa Melayu, warisan budaya dan agama Islam.

Walaupun berada dalam kominiti yang kecil dan sedikit terasing, namun yang dikagumi adalah kekuatan dan kesungguhan mereka mempertahan bahasa Melayu daripada.... apa sahaja!

Monday, April 16, 2007

Buku Murah di DBP

7 April
Ke DBP. Beli DS, DB dan buku-buku murah. Ada yang RM1 sebuah. Ada juga buku yang baik tetapi dijual dengan harga itu. Tapi kebanyakannya saya sudah ada. Cuma tengok saja. Rugilah siapa yang tidak beli. Kalau saya pergi lagi, saya dapati buku ini ada lagi, saya akan beli semua. Saya akan beri hadiah kepada sesiapa yang 'mengerti'. Hendak tahu buku apa? SMS saya, okey!
Sempat berbual-bual dengan Azlee Lee.

Petang, sampai senja mesyuarat di Rumah PENA. Perancangan Seminar Budaya Serantau. Zakir pengerusikan mesyuarat. Saleeh sebagai Jeneral. Sham AlJohori al Bendahari. Lutfi ada. Luqman ada. Amirul Fakir dari Ipoh dan Shahrunizam dari Kuantan pun datang. Ikram dari DBP. Nazmi bawa kamera besar. Shukri dan Marjan juga ada bersama-sama hingga ke restoran mi hailam.

Wednesday, April 04, 2007

Merdekanya Selama 50 tahun

Alhamdulillah, ulang tahun ke 50. Usia merdeka yang tidaklah begitu tua dan tidak juga muda.
Persoalan kemerdekaan ini agak menarik diperkatakan, malah popular, tetapi tidaklah sepopular apabila memperkata tentang program realiti televisyen. Kesan dan refleksi rasa dan fikir dan rasa juga ada sedikit-sedikit hampir sama. Rasa mual ada, sakit hati ada, sedih pun ada.
Namun begitu, kemerdekaan adalah sesuatu yang cukup penting untuk diambil berat dan diberi perhatian. Lebih penting dan bukanlahlah seremeh rancangan realiti.
Bagaimana kita menyambut atau merayakan anniversary ke 50 ini? Pasti telah banyak program dirancang dan akan dilaksanakan oleh banyak pihak. Daripada kementerian, jabatan hinggalah pertubuhan bukan kerajaan, swasta dan lain-lain. Harap-harapnya begitulah. Ada rasa patriotik.
Tapi patriotik yang ingin disemai, ditanam, dibaja dan dibesarkan itu bagaimana pula. Oh, subjektif dan konotatifnya perkara ini.
Tahun ini sambutan kemerdekaan kita seperti tahun-tahun sebelumnyalah agaknya. Kita kibar bendera di sana-sini, cipta bendera besar-besar, buat kek besar-besar dan tulis dalam rekod. Itulah yang ada dalam fikiran kita agaknya. Dan itulah makna merdeka yang ingin diberitahu kepada anak-anak kita. Malam merdeka, dengar denting jam lalu menjerit dan berbunga apilah kita ya.
Adakah begitu kita mengenang dan menghargai sejarah?
Adakah sejarah kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa itu hanya perlu diingat dengan bunga api dan laungan tiga atau tujuh kali merdeka?
Subhanallah, kita telah jauh tersasar sebenarnya.
Kemerdekaan adalah sesuatu yang cukup mahal sesungguhnya. Walau dengan apa cara sekalipun, rundingan ataupun pelepasan senjata perang, merdeka yang kita dapat bermula dengan akal fikir, rasa sedar dan gerak juang orang-orang terdahulu. Siapakah orang-orang itu? Sungguh banyak, bukan seorang dua seperti dalam buku sejarah kita.
Sempena 50 tahun kemerdekaan negara ini, sepatutnya kita buat solat hajat dan doa kesyukuran besar-besaran di seluruh negara. Isikan khutbah jumaat dengan kesedaran merdeka dan pentingnya semangat juang sayangkan negara.
Banyak lagi program pengisian jiwa dan perkembangan minda sekaligus kesedaran diri patut dijalankan. Kita perlu revolusi fikiran yang lebih keras sebenarnya. Kita telah banyak dilupakan dan dilalaikan dengan hiburan yang berbasa-basi, sikap endah tak endah, cinta bahasa dan negara yang kian terhakis dan macam-amacam lagi hingga seakan-akan menjadi ancaman kepada bahasa, agama, bangsa dan negara.
Setelah 50 tahun, apa pencapaian Melayu di negara ini yang boleh dibanggakan. DEB, penswastaan, persyarikatan, telekomunikasi? Milik siapa?
Setelah 50 tahun, apa nasib bahasa nenek moyang kita, bahasa Melayu? sastera Melayu?
Setelah 50 tahun, semakin banyak mat rempit nampaknya, semakin kerap terjadi kes pembunuhan, ragut, masalah sosial, dadah.
Ya, Allah, lindungilah kami.
Kita perlu lebih jauh berfikir tentang merdeka, bukan hanya mencari orang yang bernama 'merdeka'.
Marilah kita bermuhasabah. Buat kali ke 50 ini.

Friday, March 30, 2007

Makluman Awal Seminar

Seminar ini dinamakan Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu. Mengajar dan Belajar juga sering disebut pengajaran dan pembelajaran. Seminar ini adalah sambungan dua seminar yang telah diadakan, iaitu Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Pertama (2004) dan Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Kedua (2006). Seminar pada kali ini akan memfokuskan kepada tema 'Kemahiran Bernilai Tambah' sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib serta peranannya dalam menerapkan pelbagai kemahiran kepada murid selain mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara.
Seminar ini juga turut berperanan meneruskan tradisi kecemerlangan MPSI dan IPSI dalam bidang pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Adalah diharapkan seminar kali ini dapat menjadikan Jabatan Bahasa Melayu, UPSI sebagai pemimpin dalam bidang ini yang sekaligus dapat meningkatkan lagi nama UPSI di peringkat nasional dan internasional.
Para pensyarah pendidikan, pegawai-pegawai perkhidmatan pendidikan, guru-guru, pelajar-pelajar, dan sesiapa yang berminat dialu-alukan menyertai. Untuk pembentangan kertas kerja juga masih terbuka.
Maklumat lanjut dapatkan di sini

Wednesday, March 21, 2007

Antara Kajang dengan Tanjong Malim

Kajang, keluar rumah jam 7.00 pagi untuk ke tempat kerja, masih sempat tiba jam 7.30. Jika keluar jam 7.30, ha, sampai tempat kerja 8.30!
Begitulah keadaan jalan raya yang selalu membuatkan aku letih, bosan dan mengantuk dalam kereta. Nasib baiklah dalam kereta aku banyak lagu rock dan lagu-lagu segar. (Aku jarang dengar radio kecuali IKIM dan Radio Muzik sebab radio swasta membuatkan aku benci dengar juruhebah perasan dan tak bersopan ketawa berdekah-dekah di udara).
Sekarang, lega sedikit. Tanjong Malim, keluar rumah jam 7.00, sampai tempat kerja 7.10. Kalau keluar jam 7.30, sampai tempat kerja jam 7.40.
Namun begitu, kesesakan dan kesibukan di jalan tetap ada. Susah sekali untuk mengelak kesesakan kerana manusia berurusan, bekerja, berniaga dan apa sahaja untuk hidup.
Ya, kerana urusanlah saya perlu tinggalkan komputer ini untuk sementara.

Monday, March 19, 2007

Siri Puisi Dulu-dulu II

Berpuisi dalam Hujan

secawan coklat tumpah di meja tulis
menyeret hati duka, sukma makin menebal
awal pagi mesej diterima
sahabatku yang itu mohon perpisahan
minta diri mahu memadam kehampaan
terkesima tidak sempat melambai
tanpa senandung lagu tanpa mengulit fikir rasa
dia pergi jua, jauh, semakin laju langkahnya
pasti, rindu dendam terhanyut
dalam kebanjiran putus asa dan kesia-siaan
badai dan angin memesankan nostalgia
tersindir elusan lembut sesekali, teruja diusiknya

hujan bagai cetusan ironi, mengguris
yang terkoyak bukan cuma hati malah alur fikir
yang menjerit bukan batin tetapi mulut terkunci
yang terlimpah bukan danau tetapi kerinduan bererti
tulang-temulang bergetar tanggungjawab
mata asyik-asyik melihat langit
hidung tercium waktu tertinggal
telinga terngiang pesanan waktu singkat
hujan pun teduh, kerinduan makin hangat

dia, sahabat
seorang yang merajuk dalam perang
perang menentang korupsi belum berkesudahan
berkesudahan adalah kata-kata mimpi yang jauh
jauh diajari kenyataan yang menikam-nikam
menikam-nikam dada berisi cita-cita dan slogan
slogan mengarak panji-panji kemanusiaan
kemanusiaan yang calar-balar dek keangkuhan
keangkuhan yang terpaksa diterima untuk hidup
hidup yang semakin disempitkan material
material yang mengenyangkan perut-perut
perut-perut yang ada padaku, pada sesiapa sahaja

sahabat, sememangnya kutahu kau takkan pulang
kau takkan pulang, melainkan aku datang
datang membawa kekuatan yang kau tinggalkan
tinggalkan, untuk kembali berperang.

ARIFF MOHAMAD

Monday, March 12, 2007

Kenapa "Berikan Waktu pada Logika"?

Ini adalah persoalan kreatif dan seharusnya dijawab dengan kreatif juga. Kita perlu memberi peluang dan keterbukaan pada hal-hal yang logik tetapi sering dianggap aneh dan di luar tabu. Dalam keadaan apa sahaja dan bidang apa sahaja. Namun ada kewajaran dan rasionalnya.
Cerpen "Berikan waktu pada Logika" tersiar dalam Mingguan Malaysia, kelmarin (Ahad, 11 Mac 2007). Dan inilah karya saya yang pertama tersiar di media tahun ini.

Monday, March 05, 2007

Tentang Sanggeetha

Memang, saya sangat ingin bercerita dan mengulas novel ini. Saya telah mendapatkan novel ini sebaik sahaja keluar dari kotaknya (baru sampai). Tapi... tak baca habis lagi!
Ada kesempatan saya akan mengulas setelah habis membaca nanti. Jika ada yang telah membaca silakan beri pandangan. Sekurang-kurangnya memberi semangat kepada saya untuk menghabiskan pembacaan.
Azizi Hj Abdullah antara penulis Malaysia yang istimewa. Sangat aktif, prolifik dalam penulisan. Terbaru, pemenang kedua Pertandingan Novel Jubli Emas DBP.

Friday, March 02, 2007

Siri Puisi Dulu-dulu I

Gambar dari sebuah blog multiply fotografer Indonesia (Ijal).

Bermain dengan Kenangan

Aku ingin bercerita tentang hari-hari lalu
pada angin, yang dapat kulontar
kau pasti tidak dapat mendengar
masih, amat masih kuhafali cerita kita
jarimu runcing mengelus kelopak
sambil aku memainkan gendang kebahagiaan
lewat petang di bawah pohon
kau tersenyum,
pohon itu kita namakan pohon pengertian.

Mana ada lagi kisah seperti kita
hujan telah lama memadamkan
langsung menjatuhkan hukum
cubaan demi dugaan kita gagahkan
namun terkulai jua, kau pun menjauh
aku berlari, lari dari kehampaan itu.

Aku kembali di pohon ini, kini
tanpa gendang, cuma irama alam
pohon meranggas, dedaun gugur
kita telah dituakan dek pengalaman
bekas-bekas peperangan masih kelihatan
hatiku pedih menyusup.

Benar, peperangan menghancurkan janji
perjuangan menuntut pengorbanan ini
sengsara yang datang tanpa disangka
aku tidak pernah merasakan salah langkah
mungkin, kemungkinan dicipta menebat luka
ketika dulu darah muda cepat menyampah
pantang yang tidak kena, membuak marah.

Pohon pengertian semakin uzur,
seuzur kenangan kita
pada ketika memikirkan hayat
dan teringatkan dirimu yang jauh
aku membacakan Al-Fatihah
biar, biarlah segalanya dibawa masa
cerita ini mungkin dapat dimengerti
oleh mereka yang mahu memahami
atau sia-sia, setelah aku juga tiada.

ARIFF MOHAMAD

Apabila Tiba Mac

Masuk bulan Mac maksudnya sudah berada di suku pertama tahun ini. Memang dirasakan masa cepat berlalu.
Aku : Rasakan tugas semakin banyak.
Kita : Mari bergerak dalam rentak 'Marching'.

Wednesday, February 28, 2007

Menantunya di Sebelah Pintu

Tahniah kepada Dr. Siti Khariah Mohd Zubir (pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI) dan Haji Mustaffa yang baru sahaja mendapat menantu perempuan. Yang menariknya, menantu yang dicari-cari selama ini hanya di sebelah bilik Dr. Siti di bangunan Fakulti Bahasa. Ha ha senang dapat menantu ya!
Selamat pengantin baru dan tahniah kepada Zarima dan suami. Nampaknya semakin mudah bekerjasama kerana mendapat ibu mertua yang sama jabatan, sama fakulti dan sama aliran. Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Puan Zarima dikenali sebagai Ustazah di sini kerana mengajar bahasa Arab. Beliau pernah menulis esei dalam ruangan sastera antarabangsa Dewan Sastera.
p/s: Sungguh meriah kenduri di Sepang Ahad lalu. Khabarnya sampai ke malam. Kalau ada gambar saya masukkan nanti.