Friday, April 20, 2007

Nadra yang Luka


Membaca Atas Nama Cinta (ANC) adalah satu pengalaman yang menarik. Secara peribadi, saya memang ingin menulis novel tentang sejarah Natrah / Nadra (Maria Hertogh) yang melibatkan empat negara. Baru-baru ini saya terjumpa novel ANC ini, dan agak gembira juga peristiwa ini telah dinovelkan.

Peristiwa Natrah adalah peristiwa sejarah politik dan keagamaan yang dianggap sensitif. Maka, banyak pihak yang tidak begitu memfokuskan walaupun isi dan pengajarannya sangat penting. Suatu ketika dahulu, majalah Dewan Masyarakat ada mengangkat isu ini sebagai fokus utama untuk empat keluaran berturut-turut. Jika tidak silap, wartawan yang melakukan liputan dan penyelidikan tersebut ialah Fatini Yaacob. Bagi saya itu adalah antara dokumen tentang Natrah yang penting.

Sedikit tentang Natrah: Dia gadis Belanda yang dibesarkan oleh keluarga Melayu setelah diserahkan sebagai anak angkat dan memeluk Islam. Kemudian setelah awal remaja, keluarga kandungnya ingin menuntut semula. Ini melibatkan soal mahkamah. Akhirnya, Natrah kembali ke negaranya. Ini kisah pilu sebenarnya. Juga mencabar keutuhan tradisi kita, kemantapan institusi perundangan agama kita, dan juga keyakinan serta jatidiri politik kita.

Peristiwa Natrah telah diabadikan oleh Isa Kamari (jika tidak silap inilah novel berbahasa Melayu yang pertama tentang Natrah). Isa, seorang penulis dari Singapura yang telah memenangi Sea Write Award pada tahun 2006. Kesungguhan Isa menghasilkan novel ini patut dipuji. Dan tambah menarik, sebuah CD yang mengandungi tiga lagu puisi dendangan Isa dan kawan-kawannya (kumpulan Sirrfillsirr) dikepilkan bersama-sama novel. Lagu-lagu puisi ini tidak mengecewakan. Tahniah Saudara Isa Kamari.

Saya telah menghubungi Isa melalui emel tentang novel ini. Dan beliau membalas:
syukran kerana telah membaca anc. sebenarnya ketika menulis anc, tumpuan saya adalah untuk menggambarkan cerita tersebut seadanya, tanpa banyak intervensi kerana kisahnya memang sudah sangat dramatik dan romantis. saya telah berusaha menggunakan bahasa yang termudah agar dapat digarap lebih ramai pembaca. malah saya mencuba juga untuk menghapuskan batasan di antara karya 'sastera' dan karya 'popular' kali ini. setelah berenang dalam lautan sastera selama 30 tahun, saya semakin berasakan batasan itu sebenarnya adalah 'palsu' yang hanya direka-reka bagi kepentingan golongan tertentu.lebih ramai pembaca harus dapat menelusuri pemikiran sasterawan. jika sasterawan 'terperangkap' dalam dunianya sendiri, pembaca tidak akan dapat mengakses pemikirannya. salah satu cara mendekati pembaca ialah dengan menghapuskan batasan tersebut. hamka berjaya dalam pendekatan ini, saya fikir.sekadar menambah.....semoga dapat direnungkan bersama.
salam
isa
www.isakamari.com
labirin maya sasterawan nusantara
SUKMAISA CONCEPT POWERHOUSE

Wednesday, April 18, 2007

Bahasa Melayu Samudera


Bagi saya, buku ini sangat penting. Buku ini melihat sejarah penyebaran dan perkembangan bahasa Melayu di beberapa tempat seperti di Kepulauan Cocos, Pulau Christmas, Australia Barat, dan Australia Timur.

Kita dapat menerima hakikat bahawa bahasa mempunyai kaitan rapat dengan perihal budaya, adat resam, juga kesusasteraan, kesenian dan lebih penting dalam hal komunikasi. Buku ini menyelongkar penyebaran dan kemantapan bahasa di tempat-tempat yang dinyatakan di atas dalam pelbagai sisi dan dapat bertahan lebih seratus tahun, di Kepulauan Cocos terutamanya.

Buku ini menjelaskan bagaimana orang Melayu (dari alam Melayu) merantau ke wilayah baru seperti di Australia lantas dapat mempertahan bahasa Melayu, warisan budaya dan agama Islam.

Walaupun berada dalam kominiti yang kecil dan sedikit terasing, namun yang dikagumi adalah kekuatan dan kesungguhan mereka mempertahan bahasa Melayu daripada.... apa sahaja!

Monday, April 16, 2007

Buku Murah di DBP

7 April
Ke DBP. Beli DS, DB dan buku-buku murah. Ada yang RM1 sebuah. Ada juga buku yang baik tetapi dijual dengan harga itu. Tapi kebanyakannya saya sudah ada. Cuma tengok saja. Rugilah siapa yang tidak beli. Kalau saya pergi lagi, saya dapati buku ini ada lagi, saya akan beli semua. Saya akan beri hadiah kepada sesiapa yang 'mengerti'. Hendak tahu buku apa? SMS saya, okey!
Sempat berbual-bual dengan Azlee Lee.

Petang, sampai senja mesyuarat di Rumah PENA. Perancangan Seminar Budaya Serantau. Zakir pengerusikan mesyuarat. Saleeh sebagai Jeneral. Sham AlJohori al Bendahari. Lutfi ada. Luqman ada. Amirul Fakir dari Ipoh dan Shahrunizam dari Kuantan pun datang. Ikram dari DBP. Nazmi bawa kamera besar. Shukri dan Marjan juga ada bersama-sama hingga ke restoran mi hailam.

Wednesday, April 04, 2007

Merdekanya Selama 50 tahun

Alhamdulillah, ulang tahun ke 50. Usia merdeka yang tidaklah begitu tua dan tidak juga muda.
Persoalan kemerdekaan ini agak menarik diperkatakan, malah popular, tetapi tidaklah sepopular apabila memperkata tentang program realiti televisyen. Kesan dan refleksi rasa dan fikir dan rasa juga ada sedikit-sedikit hampir sama. Rasa mual ada, sakit hati ada, sedih pun ada.
Namun begitu, kemerdekaan adalah sesuatu yang cukup penting untuk diambil berat dan diberi perhatian. Lebih penting dan bukanlahlah seremeh rancangan realiti.
Bagaimana kita menyambut atau merayakan anniversary ke 50 ini? Pasti telah banyak program dirancang dan akan dilaksanakan oleh banyak pihak. Daripada kementerian, jabatan hinggalah pertubuhan bukan kerajaan, swasta dan lain-lain. Harap-harapnya begitulah. Ada rasa patriotik.
Tapi patriotik yang ingin disemai, ditanam, dibaja dan dibesarkan itu bagaimana pula. Oh, subjektif dan konotatifnya perkara ini.
Tahun ini sambutan kemerdekaan kita seperti tahun-tahun sebelumnyalah agaknya. Kita kibar bendera di sana-sini, cipta bendera besar-besar, buat kek besar-besar dan tulis dalam rekod. Itulah yang ada dalam fikiran kita agaknya. Dan itulah makna merdeka yang ingin diberitahu kepada anak-anak kita. Malam merdeka, dengar denting jam lalu menjerit dan berbunga apilah kita ya.
Adakah begitu kita mengenang dan menghargai sejarah?
Adakah sejarah kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa itu hanya perlu diingat dengan bunga api dan laungan tiga atau tujuh kali merdeka?
Subhanallah, kita telah jauh tersasar sebenarnya.
Kemerdekaan adalah sesuatu yang cukup mahal sesungguhnya. Walau dengan apa cara sekalipun, rundingan ataupun pelepasan senjata perang, merdeka yang kita dapat bermula dengan akal fikir, rasa sedar dan gerak juang orang-orang terdahulu. Siapakah orang-orang itu? Sungguh banyak, bukan seorang dua seperti dalam buku sejarah kita.
Sempena 50 tahun kemerdekaan negara ini, sepatutnya kita buat solat hajat dan doa kesyukuran besar-besaran di seluruh negara. Isikan khutbah jumaat dengan kesedaran merdeka dan pentingnya semangat juang sayangkan negara.
Banyak lagi program pengisian jiwa dan perkembangan minda sekaligus kesedaran diri patut dijalankan. Kita perlu revolusi fikiran yang lebih keras sebenarnya. Kita telah banyak dilupakan dan dilalaikan dengan hiburan yang berbasa-basi, sikap endah tak endah, cinta bahasa dan negara yang kian terhakis dan macam-amacam lagi hingga seakan-akan menjadi ancaman kepada bahasa, agama, bangsa dan negara.
Setelah 50 tahun, apa pencapaian Melayu di negara ini yang boleh dibanggakan. DEB, penswastaan, persyarikatan, telekomunikasi? Milik siapa?
Setelah 50 tahun, apa nasib bahasa nenek moyang kita, bahasa Melayu? sastera Melayu?
Setelah 50 tahun, semakin banyak mat rempit nampaknya, semakin kerap terjadi kes pembunuhan, ragut, masalah sosial, dadah.
Ya, Allah, lindungilah kami.
Kita perlu lebih jauh berfikir tentang merdeka, bukan hanya mencari orang yang bernama 'merdeka'.
Marilah kita bermuhasabah. Buat kali ke 50 ini.

Friday, March 30, 2007

Makluman Awal Seminar

Seminar ini dinamakan Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu. Mengajar dan Belajar juga sering disebut pengajaran dan pembelajaran. Seminar ini adalah sambungan dua seminar yang telah diadakan, iaitu Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Pertama (2004) dan Seminar Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Kedua (2006). Seminar pada kali ini akan memfokuskan kepada tema 'Kemahiran Bernilai Tambah' sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib serta peranannya dalam menerapkan pelbagai kemahiran kepada murid selain mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara.
Seminar ini juga turut berperanan meneruskan tradisi kecemerlangan MPSI dan IPSI dalam bidang pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Adalah diharapkan seminar kali ini dapat menjadikan Jabatan Bahasa Melayu, UPSI sebagai pemimpin dalam bidang ini yang sekaligus dapat meningkatkan lagi nama UPSI di peringkat nasional dan internasional.
Para pensyarah pendidikan, pegawai-pegawai perkhidmatan pendidikan, guru-guru, pelajar-pelajar, dan sesiapa yang berminat dialu-alukan menyertai. Untuk pembentangan kertas kerja juga masih terbuka.
Maklumat lanjut dapatkan di sini

Wednesday, March 21, 2007

Antara Kajang dengan Tanjong Malim

Kajang, keluar rumah jam 7.00 pagi untuk ke tempat kerja, masih sempat tiba jam 7.30. Jika keluar jam 7.30, ha, sampai tempat kerja 8.30!
Begitulah keadaan jalan raya yang selalu membuatkan aku letih, bosan dan mengantuk dalam kereta. Nasib baiklah dalam kereta aku banyak lagu rock dan lagu-lagu segar. (Aku jarang dengar radio kecuali IKIM dan Radio Muzik sebab radio swasta membuatkan aku benci dengar juruhebah perasan dan tak bersopan ketawa berdekah-dekah di udara).
Sekarang, lega sedikit. Tanjong Malim, keluar rumah jam 7.00, sampai tempat kerja 7.10. Kalau keluar jam 7.30, sampai tempat kerja jam 7.40.
Namun begitu, kesesakan dan kesibukan di jalan tetap ada. Susah sekali untuk mengelak kesesakan kerana manusia berurusan, bekerja, berniaga dan apa sahaja untuk hidup.
Ya, kerana urusanlah saya perlu tinggalkan komputer ini untuk sementara.

Monday, March 19, 2007

Siri Puisi Dulu-dulu II

Berpuisi dalam Hujan

secawan coklat tumpah di meja tulis
menyeret hati duka, sukma makin menebal
awal pagi mesej diterima
sahabatku yang itu mohon perpisahan
minta diri mahu memadam kehampaan
terkesima tidak sempat melambai
tanpa senandung lagu tanpa mengulit fikir rasa
dia pergi jua, jauh, semakin laju langkahnya
pasti, rindu dendam terhanyut
dalam kebanjiran putus asa dan kesia-siaan
badai dan angin memesankan nostalgia
tersindir elusan lembut sesekali, teruja diusiknya

hujan bagai cetusan ironi, mengguris
yang terkoyak bukan cuma hati malah alur fikir
yang menjerit bukan batin tetapi mulut terkunci
yang terlimpah bukan danau tetapi kerinduan bererti
tulang-temulang bergetar tanggungjawab
mata asyik-asyik melihat langit
hidung tercium waktu tertinggal
telinga terngiang pesanan waktu singkat
hujan pun teduh, kerinduan makin hangat

dia, sahabat
seorang yang merajuk dalam perang
perang menentang korupsi belum berkesudahan
berkesudahan adalah kata-kata mimpi yang jauh
jauh diajari kenyataan yang menikam-nikam
menikam-nikam dada berisi cita-cita dan slogan
slogan mengarak panji-panji kemanusiaan
kemanusiaan yang calar-balar dek keangkuhan
keangkuhan yang terpaksa diterima untuk hidup
hidup yang semakin disempitkan material
material yang mengenyangkan perut-perut
perut-perut yang ada padaku, pada sesiapa sahaja

sahabat, sememangnya kutahu kau takkan pulang
kau takkan pulang, melainkan aku datang
datang membawa kekuatan yang kau tinggalkan
tinggalkan, untuk kembali berperang.

ARIFF MOHAMAD

Monday, March 12, 2007

Kenapa "Berikan Waktu pada Logika"?

Ini adalah persoalan kreatif dan seharusnya dijawab dengan kreatif juga. Kita perlu memberi peluang dan keterbukaan pada hal-hal yang logik tetapi sering dianggap aneh dan di luar tabu. Dalam keadaan apa sahaja dan bidang apa sahaja. Namun ada kewajaran dan rasionalnya.
Cerpen "Berikan waktu pada Logika" tersiar dalam Mingguan Malaysia, kelmarin (Ahad, 11 Mac 2007). Dan inilah karya saya yang pertama tersiar di media tahun ini.

Monday, March 05, 2007

Tentang Sanggeetha

Memang, saya sangat ingin bercerita dan mengulas novel ini. Saya telah mendapatkan novel ini sebaik sahaja keluar dari kotaknya (baru sampai). Tapi... tak baca habis lagi!
Ada kesempatan saya akan mengulas setelah habis membaca nanti. Jika ada yang telah membaca silakan beri pandangan. Sekurang-kurangnya memberi semangat kepada saya untuk menghabiskan pembacaan.
Azizi Hj Abdullah antara penulis Malaysia yang istimewa. Sangat aktif, prolifik dalam penulisan. Terbaru, pemenang kedua Pertandingan Novel Jubli Emas DBP.

Friday, March 02, 2007

Siri Puisi Dulu-dulu I

Gambar dari sebuah blog multiply fotografer Indonesia (Ijal).

Bermain dengan Kenangan

Aku ingin bercerita tentang hari-hari lalu
pada angin, yang dapat kulontar
kau pasti tidak dapat mendengar
masih, amat masih kuhafali cerita kita
jarimu runcing mengelus kelopak
sambil aku memainkan gendang kebahagiaan
lewat petang di bawah pohon
kau tersenyum,
pohon itu kita namakan pohon pengertian.

Mana ada lagi kisah seperti kita
hujan telah lama memadamkan
langsung menjatuhkan hukum
cubaan demi dugaan kita gagahkan
namun terkulai jua, kau pun menjauh
aku berlari, lari dari kehampaan itu.

Aku kembali di pohon ini, kini
tanpa gendang, cuma irama alam
pohon meranggas, dedaun gugur
kita telah dituakan dek pengalaman
bekas-bekas peperangan masih kelihatan
hatiku pedih menyusup.

Benar, peperangan menghancurkan janji
perjuangan menuntut pengorbanan ini
sengsara yang datang tanpa disangka
aku tidak pernah merasakan salah langkah
mungkin, kemungkinan dicipta menebat luka
ketika dulu darah muda cepat menyampah
pantang yang tidak kena, membuak marah.

Pohon pengertian semakin uzur,
seuzur kenangan kita
pada ketika memikirkan hayat
dan teringatkan dirimu yang jauh
aku membacakan Al-Fatihah
biar, biarlah segalanya dibawa masa
cerita ini mungkin dapat dimengerti
oleh mereka yang mahu memahami
atau sia-sia, setelah aku juga tiada.

ARIFF MOHAMAD

Apabila Tiba Mac

Masuk bulan Mac maksudnya sudah berada di suku pertama tahun ini. Memang dirasakan masa cepat berlalu.
Aku : Rasakan tugas semakin banyak.
Kita : Mari bergerak dalam rentak 'Marching'.

Wednesday, February 28, 2007

Menantunya di Sebelah Pintu

Tahniah kepada Dr. Siti Khariah Mohd Zubir (pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI) dan Haji Mustaffa yang baru sahaja mendapat menantu perempuan. Yang menariknya, menantu yang dicari-cari selama ini hanya di sebelah bilik Dr. Siti di bangunan Fakulti Bahasa. Ha ha senang dapat menantu ya!
Selamat pengantin baru dan tahniah kepada Zarima dan suami. Nampaknya semakin mudah bekerjasama kerana mendapat ibu mertua yang sama jabatan, sama fakulti dan sama aliran. Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Puan Zarima dikenali sebagai Ustazah di sini kerana mengajar bahasa Arab. Beliau pernah menulis esei dalam ruangan sastera antarabangsa Dewan Sastera.
p/s: Sungguh meriah kenduri di Sepang Ahad lalu. Khabarnya sampai ke malam. Kalau ada gambar saya masukkan nanti.

Monday, February 26, 2007

Tahniah Pemenang Jubli Emas DBP

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang Sayembara Menulis Sempena Jubli Emas DBP. Tidak kiralah penulis lama atau baru. Hadiah lumayan juga. Harapnya novel, cerpen, drama dan puisi-puisi tersebut dapat diterbitkan untuk ditatap, dihayati, dikenangi.

p/s: Mana suara yang pernah marah-marah DBP dulu?

Friday, February 23, 2007

Gie yang Berbara


Menonton"Gie", hasil kerja kreatif Riri Riza membuatkan saya terfikir dan merenung sejenak keupayaan berfikir dan kreativiti berseni karyawan filem tempatan. Malaysia, negara yang tercinta ini tidak pernah kering dengan tenaga kreatif muda yang boleh, malah mengatasi upaya bersaing dengan karyawan luar, dari Asia mahupun peringkat dunia. Tetapi sering juga tertanya-tanya mana hasil yang terbaik kita?

Saya kagumi Gie bukan semata-mata kerja penataan dan pengarahan tetapi sudut bercerita dan persoalan yang dipilih. Patriotik, nasionalisme, politik. Perkara-perkara yang disebutkan ini apabila tiba pada karyawan kita, bagai ada ketakutan dan entah dinamakan apa, maka hanyalah tinggal di atas kertas. Tidak banyak, malah kita hampir tidak ada karya bertema nasionalisme atau persoalan politik (tidak kira dari sisi kanan atau kirinya) sejak lima tahun kebelakangan ini di pawagam.

Kita sangat-sangat memerlukan filem sebegini sebenarnya. Filem yang bernada berani, jelas dan mesej kemanusiaan yang kuat. Ada perkara lain yang kita pelajari selain berhibur. Ada nilainya, ada kesedarannya, agak rasa cinta negara dan bangsa, ada semangat malah ada pesanan yang dapat kita serapi atau unsur yang patut dijadikan sempadan. Kita mahukan filem sedemikian bukannya filem hantu, bukan filem cakap penang, bukan filem lawak kosong, bukan filem cinta budak-budak, bukan filem suami gaduh dengan isteri di bilik, bukan cerita polis lapor penyiasatan di pejabat, bukan cerita mat rempit yang minda sempit, bukan, bukan, bukan.

Sedikit tentang Gie; Filem ini berdasarkan catatan harian Soe Hok Gie, lelaki keturunan cina yang pada peringkat remajanya lagi sudah punyai perspektif yang tersendiri tentang politik. Watak Gie melihat dengan agak jelas apa itu revolusi, konfrontasi dan jiwa seorang pejuang dari dimensi yang dipilihnya.

Filem ini filem terbaik Festival Filem Indonesia dua tahun lepas. Nicholas Saputra memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik. Filem ini memang menarik walaupun naratifnya agak lambat namun berbara pengisiannya. Saya menontonnya di Jakarta. Dan filem ini tidak akan masuk di pawagam Malaysia. Kita sepatutnya ada filem nasionalisme versi kita sendiri. Kita ada banyak pejuang, baik yang dijulang, mahupun yang disenyapkan!

p/s: Kepada peminat filem Melayu, cubalah dapatkan VCD filem-filem Melayu yang 'berbara' iaitu (antaranya): Hang Jebat (Husain Haniff), Cucu Datuk Merah (M.Amin), Semerah Padi (P.Ramlee), Bukit Kepong (Jins Shamsuddin), Matinya Seorang Patriot dan Pemburu (Rahim Razali), Yassin (Kamarul Ariffin), Amuk (Adman Salleh) dan Sayang Salmah (Mahadi J.Murat)

Wednesday, February 21, 2007

Cuti?

Tahun Baru Cina. Cuti. Balik kampung. Alangkah letihnya bergerak di lebuh raya seperti semut. Kereta semakin banyak. Tol semakin naik. Jalan tetap sesak?

p/s: Ada ketika, aku kehilangan bahasa untuk memperkata sesuatu.

Thursday, February 08, 2007

Al-Kisah Dua Peladang

Tanah ladang yang gilang-gemilang di hujung sana telah diketahui pemiliknya. Namun tiada siapa yang pernah berjumpa atau menyapa pemiliknya itu. Tanah subur dengan pohon epal yang berbuah ranum seperti dalam keasingan, tersendiri namun kewujudannya sangat penting dan diketahui semua orang, dapat dilihat semua malah seperti mercu tanda perkampungan itu.
Pemilik tanah yang berhijau merah itu milik orang ternama, orang terkenal dan orang hebat. Itulah kata-kata orang lain, kata-kata pihak yang menggembar-gembur atau mungkin kata-kata pemilik ladang epal itu sendiri. Maka, orang lain yang bodoh alang dan buat-buat bodoh pun percaya. Ya, itu tanah milik orang ternama dan tanah itu subur. Lihatlah.
Seorang pemilik tanah oren di sebelah berasa sedikit kecil hati. Satu, kerana tanahnya tidak sesubur tanah ladang epal di sebelah. Kedua, dia bukan orang ternama. Ketiga, orang di sebelah tidak pernah mahu menjawab sapaannya dan berbual-bual dengannya. Pernah dia cuba menyalami dan mengucapkan tahniah atas kesuburan dan hasil ladang epal kepada pemilik tanah sebelah namun sapaan dan ucap tahniah itu tidak pernah dibalas dengan terima kasih dan apatah lagi sedikit senyum pun.
Begitulah, rungut pemilik ladang oren, sama berjiran, sama bertani, namun terasing dalam dunia yang diciptakan sendiri. Ya, dunia keegoan dan dunia perasan yang diri itu macam bagus dan tidak bersyukur.

Ke Ruang Meditasi Baru

Ketika mengiak-ngiak kembali buku-buku, fail-fail dan bahan cetakan yang menyemakkan bilik, aku terjumpa catatan-catatan lama yang cukup berharga dari segi nilai sentimentalnya. Kebanyakannya draf cerpen, novel dan puisi-puisi yang tidak siap. Ada juga yang aku catatkan tarikh ketika menulisnya dahulu, ada yang sudah lebih 10 tahun. Dan aku fikirklan sejenak, ya, sudah lama aku jejaki bidang penulisan kreatif ini. Sesungguhnya telah banyak juga masa telah aku berikan untuk menulis, cuma hasilnya tidak sebanyak karya Arena Wati.
Catatan dan draf ini penting bagiku, mungkin dokumentasi atau kenang-kenangan untuk anak-anak cucu.
Novel yang aku mulakan dalam bentuk tulisan tangan bertajuk Kelahiran Kedua mula aku tulis pada tahun 1994. Namun hanya lima bab, tidak dapat disiapkan hingga sekarang. Apabila membacanya kembali, rasanya sudah tidak relevan dengan rasa dan alur fikir aku sekarang. Maka, aku membuat keputusan untuk menghentikannya hanya di situ dan tidaklah dapat menjadikannya sebuah novel yang lengkap. Aku akan simpan, sampai bila, entah.
Begitu juga dengan puisi. Terlalu banyak, beratus-ratus jumlah. Dari secebis kertas, atas tisu, buku nota juga helaian berkecai, aku kumpulkan kembali. Juga yang telah aku kumpulkan dalam bentuk yang sempurna sebanyak tiga jilid. Namun aku akui, bukan semua berkualiti, ada yang hanya seperti catatan dan ada yang luahan rasa semata-mata. Namun aku akan tetap simpan. Itulah kerja-kerja kreatifku sejak zaman sekolah lagi.
Aku amat sayangi semua ini. Dan aku mahu semua ini dekat dan semakin dekat dengan diriku. Aku sayangkan dunia kreativiti ini. Dan aku tidak mahu ia hilang.
Itulah kerja aku beberapa minggu ini, di Kajang. Mengemas bilik, memasukkan buku-buku dan apa sahja yang aku anggap penting dan berguna ke dalam kotak. Lalu dibawa ke Tanjong Malim.
Di Tanjong Malim, aku mencari rumah yang ada empat bilik. Salah satunya bilik meditasiku!
Dan aku berharap aku akan terus berkarya di ruang meditasi baru ini.

Tuesday, February 06, 2007

Popular?

ada bintang yang bersinar
ada yang disinarkan
ada yang benar-benar bintang
ada yang tolong undi dan smskan
maka popularlah.
naik pentas, rasa hebat sangat
terlupa ambil hadiah
ada yang tidak sangka menang konon
bukan menang sebenarnya tapi orang undikan
ada yang hampir terlanggar tiang
ada yang bangga baju pinjam
aduhai, konon bintang
tapi sayang
itu HANYA popular
bukan terbaik!

Friday, January 26, 2007

Catatan Apologi Manusiawi

Belum siap apologi manusiawi di Acheh sana
masih menterjemah hikmah dan kiasannya
datang lagi derita menghiris benak di bumi Tuhan
tertumpah ingatan pada saudara seagama senegara
di selatan semenanjung kejutan melanda
air melimpah hilang sarana, menenggelam kudrat

(Aku semakin tidak bisa bicara mudah tentang ini
malah air mataku mengajar erti tabah)

Naluri terusik, simpati berkias dalam diam
berat mata memandang,
berat lagi tangan memegang
lantas menanyai diri tentang ketulusan
kasih sesama manusia,
kasih untuk Pencipta
antara ingatan dan waspada
seiring menyusun langkah mentarbiah
Ya, Rabbi, ampunilah kami

(Aku hampir hilang bicara
malah akal cuba menafsir
surat dan firasat sejauh qada dan qadar)

Hadiahkan simpati semampunya kepada mereka
dengan doa keprihatinan dan bukti keikhlasan
berikan nur kesyahduan pada diri
dengan serap iman dan rasa percaya
pelihara dan sejahtera bumi ini
ya, bumi yang cantik, yang satu ini.

ARIFF MOHAMAD

Untuk Kita Renung... dan Fikirkan


Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keputusan kewangan cemerlang dalam tempoh tiga bulan berakhir 30 November 2006 dengan mencatat keuntungan sebelum cukai RM1.34 bilion. Ini kenaikan 78.7 peratus berbanding RM747.6 juta yang diraihnya bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya, disumbangkan kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu dan peningkatan dalam permintaan tenaga.Keuntungan bersih bagi tempoh itu adalah RM1.25 bilion, meningkat 106 peratus daripada RM604.5 juta tempoh sama tahun kewangan lalu.
...
(Gambar dan berita dipetik daripada Berita Harian)